Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 113

Paulus di Roma

Paulus di Roma

LIHATLAH Paulus! Tangannya dirantai dan seorang askar Roma sedang mengawasinya. Paulus merupakan seorang tawanan di Roma dan dia sedang menunggu Kaisar Roma untuk memutuskan apa yang akan dilakukan kepadanya. Semasa Paulus berada dalam tahanan, orang dibenarkan untuk melawatnya.

Tiga hari selepas Paulus tiba di Roma, dia meminta beberapa orang pemimpin Yahudi untuk melawatnya. Maka, ramai orang Yahudi di Roma datang. Paulus mengajar mereka tentang Yesus dan Kerajaan Tuhan. Beberapa orang antara mereka percaya dan menjadi orang Kristian tetapi yang lain pula tidak percaya.

Paulus juga mengkhabarkan berita baik kepada askar-askar yang ditugaskan untuk mengawasinya. Selama dua tahun dia ditahan, Paulus berusaha untuk mengkhabarkan berita baik kepada semua orang yang ditemuinya. Bahkan, rumah tangga Kaisar juga berpeluang untuk mendengar berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan beberapa orang antara mereka menjadi orang Kristian.

Tetapi siapakah pelawat yang sedang duduk di meja sambil menulis? Dapatkah adik teka? Ya, dia ialah Timotius. Timotius juga pernah dipenjarakan kerana mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Tetapi sekarang dia sudah dibebaskan. Timotius telah datang ke Roma untuk membantu Paulus. Adakah adik tahu apa yang sedang ditulis oleh Timotius? Marilah kita lihat.

Adakah adik masih ingat akan kota Filipi dan Efesus yang disebut dalam Cerita 110? Paulus telah menubuhkan sidang Kristian di kota-kota tersebut. Sekarang, apabila Paulus ditahan, dia menulis surat kepada orang Kristian di sana. Surat-surat tersebut ialah sebahagian daripada Bible dan dinamakan buku Efesus dan buku Filipi. Paulus sedang memberitahu Timotius apa yang perlu dituliskan kepada rakan-rakan Kristian mereka di Filipi.

Orang Kristian di Filipi telah melayan Paulus dengan baik. Mereka mengirim hadiah kepada Paulus semasa dia dipenjarakan dan dia mengucapkan terima kasih kepada mereka dalam suratnya. Epafroditus ialah lelaki yang membawa hadiah itu kepadanya. Tetapi dia jatuh sakit dan hampir mati. Sekarang, dia sudah sembuh dan bersedia untuk pulang. Dia akan membawa surat daripada Paulus dan Timotius bersamanya semasa dia balik ke Filipi.

Semasa Paulus ditahan, dia menulis dua pucuk surat lagi yang boleh didapati di dalam Bible. Sepucuk surat ditulis kepada orang Kristian di kota Kolose. Tahukah adik apa nama surat itu? Surat Kolose. Sepucuk surat lagi merupakan surat peribadi Paulus kepada sahabat karibnya, Filemon, yang menetap di kota Kolose. Surat itu adalah tentang hamba Filemon yang bernama Onesimus.

Onesimus telah melarikan diri daripada Filemon dan pergi ke Roma. Dia dapat tahu bahawa Paulus ditahan di Roma. Jadi, dia melawat Paulus, dan Paulus mengajar Onesimus berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Tidak lama kemudian, Onesimus menjadi seorang Kristian juga. Onesimus berasa sesal kerana dia telah melarikan diri. Jadi, tahukah adik apa yang dituliskan oleh Paulus dalam suratnya kepada Filemon?

Paulus meminta Filemon untuk memaafkan Onesimus. Paulus menulis, “Aku menghantar dia kembali kepadamu. Sekarang dia bukan sahaja hambamu, tetapi dia seorang saudara Kristian yang baik juga.” Apabila Onesimus balik ke Kolose, dia membawa kedua-dua pucuk surat itu dengannya. Sepucuk surat diberikan kepada orang Kristian di Kolose dan sepucuk surat lagi diberikan kepada Filemon. Bayangkanlah betapa gembiranya Filemon apabila dia mengetahui bahawa hambanya telah menjadi seorang Kristian!

Paulus juga menyampaikan sebuah berita yang menggembirakan di dalam suratnya kepada Filemon dan orang Kristian di Filipi. “Aku akan mengutus Timotius kepada kamu,” kata Paulus kepada orang Kristian di Filipi. “Dan tidak lama lagi, aku sendiri akan mengunjungi kamu.” Dan Paulus menulis kata-kata ini kepada Filemon, “Sediakanlah tempat tinggal untukku.”

Selepas Paulus dibebaskan, dia melawat saudara saudari Kristian di banyak tempat. Tetapi tidak lama kemudian, dia ditahan sekali lagi. Kali ini Paulus tahu bahawa dia akan dibunuh. Jadi Paulus menulis surat kepada Timotius dan memintanya untuk datang secepat mungkin. “Aku telah membuktikan kesetiaanku kepada Tuhan, dan Tuhan pasti akan memberkatiku,” tulis Paulus. Beberapa tahun selepas Paulus dihukum mati, kota Yerusalem dimusnahkan sekali lagi. Kali ini kota Yerusalem dimusnahkan oleh tentera Roma.

Namun demikian, Bible mengandungi banyak cerita-cerita yang lain juga. Tuhan Yehuwa telah menyuruh hawari Yohanes untuk menulis buku-buku terakhir di dalam Bible, termasuklah buku Penyingkapan. Buku Penyingkapan menceritakan tentang masa hadapan. Marilah kita pelajari apa yang akan berlaku pada masa hadapan.