Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 115

Firdaus Baru di Bumi

Firdaus Baru di Bumi

LIHATLAH pokok-pokok yang besar, bunga-bunga yang cantik, dan gunung-ganang yang tinggi. Tempat ini sangat indah, bukan? Lihat! Seekor rusa sedang makan makanan dari tangan seorang budak lelaki. Lihatlah singa dan kuda di padang rumput di situ. Mahukah adik tinggal di tempat seperti ini?

Tuhan mahu adik hidup selama-lamanya di dalam firdaus di bumi. Dia tidak mahu adik mengalami kesakitan atau penderitaan yang dialami oleh manusia hari ini. Inilah janji Tuhan kepada mereka yang akan hidup di dalam firdaus baru, “Tuhan akan tinggal bersama-sama mereka. Kematian, tangisan, atau kesakitan akan tiada lagi. Semua perkara yang lama telah berlalu.”

Yesus akan memastikan bahawa perubahan yang menakjubkan ini berlaku. Tahukah adik bila perubahan ini akan berlaku? Ya, setelah Yesus melenyapkan semua orang jahat dan membasmi segala kejahatan di bumi ini. Jika adik masih ingat, semasa Yesus berada di bumi, dia bukan sahaja menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihidapi orang malahan dia membangkitkan orang daripada kematian. Yesus melakukan mukjizat-mukjizat ini untuk menunjukkan apa yang akan dilakukan olehnya di seluruh bumi apabila dia menjadi Raja Kerajaan Tuhan.

Bayangkan betapa indahnya kehidupan manusia di firdaus baru di bumi pada masa itu! Yesus bersama-sama dengan mereka yang dipilihnya akan memerintah di syurga. Pemerintah-pemerintah ini akan menjaga semua orang di bumi dan memastikan bahawa mereka hidup bahagia. Marilah kita lihat apa yang perlu kita lakukan supaya Tuhan memberi kita kehidupan yang kekal di firdaus baru.