Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pemberontakan di Syurga

Pemberontakan di Syurga

Semasa Syaitan bercakap kepada Hawa melalui seekor ular, Hawa menyertai pemberontakannya terhadap Tuhan

Semua makhluk roh yang diciptakan oleh Yehuwa adalah baik. Kemudian satu malaikat menjadi jahat. Dia ialah Syaitan Si Iblis. Syaitan ingin orang di bumi menyembahnya, dan bukan Yehuwa. Inilah apa yang telah berlaku:

Di Taman Eden, terdapat banyak pokok yang menghasilkan buah-buahan yang enak. Yehuwa memberitahu Adam dan isterinya Hawa bahawa mereka boleh makan mana-mana buah yang disukai. Tetapi Tuhan melarang mereka daripada memakan buah salah satu pokok. Dia berkata bahawa jika mereka memakannya, mereka pasti akan mati.—Kejadian 2:9, 16, 17.

Suatu hari, semasa Hawa bersendirian, seekor ular bercakap kepadanya. Sudah pasti, ular tidak boleh bercakap; Syaitan Si Iblis yang membuatnya kelihatan seperti ular itu sedang bercakap. Syaitan memberitahu Hawa bahawa jika dia memakan buah larangan itu, dia akan menjadi bijaksana seperti Tuhan. Syaitan juga berkata bahawa dia tidak akan mati. Kedua-dua pernyataan ini bohong belaka. Walau bagaimanapun, Hawa mempercayai Syaitan dan memakan buah itu. Kemudian, dia memberikan sedikit buah itu kepada Adam, dan dia turut memakannya.—Kejadian 3:1-6.

Daripada kisah benar ini, kita mempelajari bahawa Syaitan ialah pemberontak dan pendusta. Syaitan memberitahu Hawa bahawa dia tidak akan mati walaupun melawan Tuhan. Syaitan telah berbohong. Hawa mati dan begitu juga dengan Adam. Syaitan tidak mati pada masa itu, meskipun pada akhirnya dia akan mati juga kerana dosanya. Namun, buat masa ini, Syaitan masih hidup dan terus menipu manusia. Dia masih pendusta dan dia mencuba menyebabkan orang lain melanggar hukum-hukum Tuhan.—Yohanes 8:44.

Malaikat-Malaikat Lain Memberontak

Selepas itu, malaikat-malaikat lain menjadi jahat. Malaikat ini nampak gadis-gadis cantik di bumi dan ingin bersetubuh dengan mereka. Jadi, mereka turun ke bumi sebagai lelaki dengan menggunakan tubuh manusia. Kemudian, mereka mengahwini gadis-gadis itu. Tindakan ini bertentangan dengan kehendak Tuhan.—Kejadian 6:1, 2; Yudas 6.

Malaikat-malaikat jahat turun ke bumi untuk bersetubuh dengan gadis-gadis

Perbuatan ini juga mencetuskan banyak masalah bagi umat manusia. Isteri-isteri malaikat ini melahirkan anak, tetapi mereka bukanlah anak-anak yang biasa. Mereka membesar dan menjadi gergasi yang ganas dan zalim. Lama-kelamaan, bumi begitu sarat dengan keganasan sehingga Yehuwa mendatangkan banjir yang besar untuk membinasakan orang jahat. Hanya Nuh dan keluarganya yang setia kepada Tuhan selamat mengharungi Banjir itu.—Kejadian 6:4, 11; 7:23.

Malaikat-malaikat yang jahat pula kembali ke syurga. Meskipun mereka tidak mati, mereka dihukum. Mereka tidak dibenarkan untuk kembali ke dalam keluarga Tuhan yang terdiri daripada para malaikat yang setia. Tambahan lagi, Yehuwa melarang mereka daripada menggunakan tubuh manusia. Akhirnya, mereka akan mati semasa Tuhan mengadili mereka.—2 Petrus 2:4; Yudas 6.

Syaitan Dibuang dari Syurga

Syaitan dan malaikat-malaikatnya yang jahat dibuang dari syurga

Pada awal abad ke-20, peperangan tercetus di syurga. Buku Wahyu menggambarkan apa yang terjadi, “Perang tercetus di syurga: Mikhael [Yesus Kristus yang telah dibangkitkan] dengan malaikat-malaikatnya [yang baik] berperang melawan naga itu [Syaitan]. Naga dan malaikat-malaikatnya [yang jahat] juga berperang melawan mereka. Tetapi naga dan malaikat-malaikatnya [yang jahat] kalah dan tidak lagi mempunyai tempat di syurga. Jadi, naga besar itu dibuang ke bawah. Naga itu ialah ular tua yang dipanggil Iblis dan Syaitan, yang sedang menyesatkan seluruh dunia. Naga itu dibuang ke bumi, dan malaikat-malaikatnya [yang jahat] juga dibuang ke bumi bersamanya.”

Apakah hasilnya? Catatan ini menyambung, “Oleh itu, bersukacitalah hai syurga dan kamu yang tinggal di syurga!” Para malaikat yang baik boleh bersukacita kerana Syaitan dan malaikat-malaikatnya, iaitu roh-roh jahat, tidak lagi berada di syurga. Tetapi bagaimana pula dengan manusia di bumi? Kata Bible, “Tetapi malanglah bumi dan laut kerana Iblis sudah turun kepada kamu dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.”—Wahyu 12:7-9, 12.

Syaitan dan para pengikutnya yang jahat menipu dan membawa malapetaka besar kepada penduduk bumi. Roh-roh jahat ialah musuh Tuhan. Mereka sangat keji.