Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sembahlah Yehuwa, Bukan Syaitan

Sembahlah Yehuwa, Bukan Syaitan

Kita semua perlu membuat pilihan. Sama ada kita menyembah Yehuwa atau menyembah Syaitan dan roh-roh jahatnya. Kita tidak boleh memilih kedua-duanya. Alangkah bijaknya jika kita menyembah Yehuwa!

Yehuwa Baik kepada Semua

Seperti yang telah kita pelajari, roh-roh jahat suka menyakiti dan menipu orang. Yehuwa tidak begitu. Dia mengasihi manusia sebagaimana seorang ayah mengasihi anak-anaknya. Dia ialah Pemberi “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.” (Yakobus 1:17) Dia tidak menyembunyikan apa-apa yang baik daripada manusia, meskipun Dia perlu membuat pengorbanan yang besar.—Efesus 2:4-7.

Anak Tuhan, Yesus, menunjukkan kasih kepada orang dengan menyembuhkan penyakit mereka

Fikirkan apa yang telah dilakukan oleh Anak Tuhan, Yesus, semasa dia berada di bumi. Dia membolehkan orang bisu bercakap dan orang buta melihat. Dia menyembuhkan pesakit kusta dan orang yang tempang. Dia mengusir roh-roh jahat dan mengubati bermacam-macam penyakit. Dengan kuasa Tuhan, Yesus bahkan membangkitkan orang mati agar mereka hidup semula.—Matius 9:32-35; 15:30, 31; Lukas 7:11-15.

Tuhan tidak bercakap bohong untuk memperdaya kita. Sebaliknya, Dia selalu bercakap benar. Dia tidak akan menipu sesiapa pun.—Bilangan 23:19.

Jauhi Amalan-Amalan yang Najis

Seperti lalat yang terperangkap di sarang lelabah, jutaan orang diperangkap oleh kepercayaan karut dan ajaran palsu. Mereka takut pada orang mati. Takut pada roh-roh jahat. Takut kena jampi atau sumpah. Takut pada petanda buruk. Mereka memerlukan barang-barang sakti dan azimat untuk melindungi diri. Mereka terikat dengan kepercayaan dan tradisi yang berdasarkan dusta-dusta Syaitan Si Iblis. Hamba-hamba Tuhan tidak dijerat oleh mana-mana hal ini.

Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada Syaitan. Jika anda menyembah Yehuwa, Dia akan melindungi anda daripada roh-roh jahat. (Yakobus 4:7) Jampi tidak dapat mencederakan anda. Misalnya di Nigeria, tiga orang dukun yang berkuasa mencuba membunuh seorang Saksi-Saksi Yehuwa dengan jampi kerana dia enggan meninggalkan bandar mereka. Apabila jampi mereka gagal, salah seorang dukun berasa takut. Dia pergi berjumpa dengan Saksi itu dan memohon ampun.

Orang Efesus telah membakar buku-buku sihir mereka

Jika roh-roh jahat mengganggu anda, gunakanlah nama Yehuwa semasa meminta bantuan-Nya, dan Dia akan melindungi anda. (Amsal 18:10) Namun, jika anda menginginkan perlindungan Tuhan, anda mesti membebaskan diri daripada semua hal yang berkaitan dengan spiritisme dan pemujaan roh-roh jahat. Pada zaman kuno, para penyembah Tuhan di kota Efesus telah berbuat demikian. Mereka mengumpulkan semua buku sihir mereka lalu membakarnya. (Kisah 19:19, 20) Hamba-hamba Tuhan hari ini mesti mengikut teladan mereka. Buanglah azimat, tangkal, benang “perlindungan,” batu sakti, buku sihir, dan apa sahaja yang berkaitan dengan amalan spiritisme.

Amalkan Penyembahan Sejati

Jika anda ingin menyenangkan hati Tuhan, sekadar meninggalkan penyembahan palsu dan mengikis amalan buruk tidak memadai. Anda mesti bergiat dalam penyembahan sejati. Bible menunjukkan apa yang perlu anda lakukan:

Hadiri perjumpaan Kristian.—Ibrani 10:24, 25

Pelajari Bible.—Yohanes 17:3

Khabarkan berita baik.—Matius 24:14

Berdoa kepada Yehuwa.—Filipi 4:6, 7

Hendaklah anda dibaptiskan.—Kisah 2:41

Bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa

Syaitan dan roh-roh jahat mempunyai pengikut di bumi yang mengajarkan serta mengamalkan perbuatan yang salah. Tetapi Yehuwa juga mempunyai umat-Nya. Mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. (Yesaya 43:10) Di serata bumi, terdapat lebih daripada lapan juta Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka semua berusaha sedaya upaya untuk berbuat baik dan mengajar orang tentang kebenaran. Di kebanyakan negara, anda dapat menemui mereka di Dewan Perjumpaan. Mereka mengalu-alukan kedatangan anda.

Tugas mereka adalah untuk membantu orang lain menyembah Tuhan. Mereka akan mempelajari Bible dengan anda di rumah anda, supaya anda dapat mengetahui cara yang betul untuk menyembah Yehuwa. Anda tidak perlu membayar apa-apa. Saksi-Saksi Yehuwa suka mengajarkan kebenaran kerana mereka mengasihi orang lain dan mengasihi Tuhan Yehuwa.

Saksi-Saksi Yehuwa akan membantu anda menyembah Tuhan