Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB LIMA

Latihlah Anak Anda sejak Kecil Lagi

Latihlah Anak Anda sejak Kecil Lagi

1, 2. Siapakah yang boleh membantu ibu bapa membesarkan anak?

KIRA-KIRA 3,000 tahun dahulu, seorang bapa berkata dengan penuh syukur, ‘Anak-anak adalah anugerah Yehuwa.’ (Mazmur 127:3) Ya, kebanyakan pasangan yang berkahwin berpeluang menikmati sukacita dan berkat sebagai ibu bapa. Namun, banyak tanggungjawab yang harus dipikul.

2 Usaha membesarkan anak-anak ialah tugas yang berat, lebih-lebih lagi pada hari ini. Meskipun begitu, ramai berjaya melakukannya. Penulis mazmur memberitahu kita caranya: ‘Jika bukan Yehuwa yang mendirikan rumah, sia-sialah usaha orang yang mendirikannya.’ (Mazmur 127:1) Jika anda menurut tunjuk ajar Yehuwa, anda dapat menjadi ibu atau bapa yang lebih baik. ‘Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri,’ kata Bible. (Amsal 3:5, ABB) Usaha membesarkan anak memakan masa 20 tahun; sepanjang masa ini, sudikah anda mengikut nasihat Yehuwa?

TERIMALAH PANDANGAN BIBLE

3. Menurut Bible, apakah tanggungjawab seorang bapa?

3 Di seluas dunia, ramai lelaki berpendapat bahawa kaum wanita bertanggungjawab melatih anak. Memang, Firman Tuhan menyatakan bahawa bapa bertanggungjawab menyara keluarga. Tetapi di mata Tuhan, ibu dan bapa patut berganding bahu dalam usaha melatih anak.​—Amsal 1:8, 9.

4. Mengapakah kita tidak patut merendah-rendahkan anak perempuan?

4 Bagaimanakah anda memandang anak-anak anda? Menurut laporan, bayi perempuan di Asia biasanya “tidak disambut baik.” Di Amerika Latin, orang masih berprasangka terhadap anak perempuan, bahkan dalam keluarga yang “berfikiran terbuka.” Pada hakikatnya, anak perempuan sama penting dengan anak lelaki. Yakub, seorang bapa yang terkenal pada zaman kuno menggambarkan semua anaknya, termasuk anak perempuannya, sebagai ‘anak-anak yang dikurniakan Tuhan kepada saya.’ (Kejadian 33:1-5; 37:35) Yesus juga memberkati “semua kanak-kanak” (lelaki dan perempuan) yang dibawa kepadanya. (Matius 19:13-15) Sudah pasti, Yesus mencerminkan pandangan Yehuwa.​—Ulangan 16:14.

5. Apakah yang perlu diambil kira oleh suami isteri semasa menentukan bilangan anak dalam keluarga?

5 Adakah masyarakat di negara anda beranggapan bahawa seorang wanita perlu melahirkan banyak anak? Sebenarnya, hal ini adalah keputusan peribadi suami isteri. Tetapi sebelum membuat keputusan, mereka perlu mengambil kira sama ada mereka dapat menyediakan makanan, pakaian, dan pendidikan untuk anak-anak. Sesetengah ibu bapa tidak mampu menyara semua anak lalu mereka meminta sanak saudara untuk membesarkan beberapa orang anak. Adakah tindakan ini wajar? Tidak. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka. Bible berkata, “Jika seseorang tidak memelihara sanak saudaranya, apa lagi anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus.” (1 Timotius 5:8) Ibu bapa yang bertanggungjawab mencuba merancang bilangan anak agar mereka dapat ‘memelihara anggota keluarga sendiri.’ Bolehkah mereka menggunakan kaedah pencegah kehamilan? Suami isteri perlu membuat keputusan sendiri. Jenis kaedah yang ingin digunakan juga terpulang kepada mereka kerana “tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.” (Galatia 6:5) Namun, mana-mana kaedah yang melibatkan pengguguran anak bercanggah dengan prinsip Bible. Tuhan Yehuwa ialah “sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:10) Jika kita menggugurkan anak, kita menunjukkan bahawa kita tidak menghormati Yehuwa. Menggugurkan anak sama dengan membunuh.​—Mazmur 139:16; Yeremia 1:5.

MEMENUHI KEPERLUAN ANAK ANDA

6. Bilakah ibu bapa harus mula melatih anak?

6 Amsal 22:6 mengatakan, “Ajarilah anak cara hidup yang betul.” Kerja mengajar atau melatih anak ialah satu lagi tanggungjawab berat bagi ibu bapa. Bilakah latihan ini harus bermula? Dari awal lagi. Rasul Paulus berkata bahawa Timotius telah dilatih “sejak kecil lagi.” (2 Timotius 3:15) Dalam bahasa Yunani, ungkapan ini boleh merujuk kepada bayi atau bahkan anak yang belum lahir. (Lukas 1:41, 44; Kisah 7:18-20) Maka, Timotius dilatih semasa dia masih kecil. Bak kata pepatah, “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.” Ya, masa kecil ialah waktu yang terbaik untuk mula mengajar anak kerana bayi yang kecil juga mendahagakan ilmu pengetahuan.

7. (a) Mengapakah kedua-dua ibu dan bapa harus menjalinkan hubungan yang erat dengan bayi mereka? (b) Gambarkan hubungan antara Yehuwa dengan Anak Tunggal-Nya.

7 “Perasaan kasih berputik di hati apabila saya menatap anak saya buat kali pertama,” ujar seorang ibu. Beginilah perasaan ramai ibu. Hubungan antara ibu dan bayi bertambah erat seraya mereka menghabiskan masa bersama-sama. Ibu yang menyusui bayinya merapatkan lagi hubungan ini. (Bandingkan 1 Tesalonika 2:7.) Belaian dan kata-kata ibu sangat penting untuk memenuhi keperluan emosi bayinya. (Bandingkan Yesaya 66:12.) Bagaimana pula dengan bapa? Dia juga perlu menjalinkan hubungan erat dengan bayinya. Yehuwa sendiri telah memberikan teladan. Di buku Amsal, kita belajar tentang hubungan antara Yehuwa dan Anak Tunggal-Nya, Yesus, yang berkata, ‘Yehuwa mencipta aku pada permulaan karya-Nya, setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya.’ (Amsal 8:22, 30; Yohanes 1:14) Demikian juga, seorang bapa yang pengasih akan memupuk hubungan yang intim dengan anaknya yang baru lahir. “Curahkan kasih sayang kepada anak. Pelukan dan ciuman tidak akan membunuhnya,” kata seorang bapa.

8. Bagaimanakah ibu bapa dapat merangsang otak bayi sejak lahir?

8 Tetapi bayi anda ada keperluan lain. Sejak lahir, otaknya dapat menerima dan menyimpan maklumat. Ibu bapa ialah sumber utama maklumat ini. Misalnya dalam soal bahasa, para penyelidik berpendapat bahawa kebolehan seorang anak untuk bercakap dan membaca “dipengaruhi oleh cara ibu bapa berkomunikasi dengannya sejak kecil.” Jika anda bercakap dan membaca dengan anak anda sejak dia lahir, dia akan meniru anda, dan lama-kelamaan dia juga akan belajar untuk membaca. Dengan ini, dia boleh membaca sebelum bersekolah. Hal ini sangat bermanfaat jika anda tinggal di negara yang kekurangan guru, dan bilik darjah pula sesak dengan pelajar.

9. Apakah matlamat utama ibu bapa Kristian?

9 Ibu bapa Kristian mengutamakan keperluan rohani anak mereka. (Lihat Ulangan 8:3.) Mereka bermatlamat untuk membantu anak-anak memupuk keperibadian Kristian. (Efesus 4:24) Untuk berbuat demikian, mereka perlu menggunakan bahan binaan dan kaedah yang sesuai.

SEMAI KEBENARAN DALAM HATI ANAK ANDA

10. Apakah sifat-sifat yang harus dipupuk oleh anak?

10 Bangunan yang kukuh memerlukan bahan binaan yang baik. Rasul Paulus berkata bahawa “emas, perak, atau batu permata” ialah bahan yang terbaik untuk membina keperibadian Kristian. (1 Korintus 3:10-12) Bahan-bahan ini melambangkan sifat seperti iman, kebijaksanaan, daya penilaian, kesetiaan, rasa hormat, serta kesyukuran yang mendalam terhadap Yehuwa dan hukum-Nya. (Mazmur 19:8-12; Amsal 2:1-6; 3:13, 14) Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka memupuk sifat-sifat ini dari awal lagi? Dengan mengikut tatacara yang telah digariskan pada zaman dahulu.

11. Pada zaman dahulu, bagaimanakah ibu bapa membantu anak mereka memupuk sifat-sifat baik?

11 Tidak lama sebelum bangsa Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa berfirman kepada ibu bapa, ‘Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang Aku berikan kepada kamu hari ini. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.’ (Ulangan 6:6, 7, ABB) Ya, ibu bapa perlu menunjukkan teladan, menjadi teman, berkomunikasi dengan anak-anak, dan mengajar mereka.

12. Mengapakah ibu bapa mesti menjadi teladan yang baik?

12 Tunjukkan teladan. Mula-mula, Yehuwa berfirman, ‘Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang Aku berikan.’ Kemudian, Dia menyambung, “Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu.” Perhatikan bahawa ibu bapa tidak boleh melupakan hukum Yehuwa. Maknanya, mereka perlu memupuk sifat-sifat yang diperkenankan Tuhan terlebih dahulu. Mereka perlu mencintai dan hidup selaras dengan kebenaran. Kemudian, barulah mereka dapat mencapai hati anak. (Amsal 20:7) Hal ini adalah kerana anak-anak lebih dipengaruhi oleh apa yang dilihat daripada apa yang didengar.​—Lukas 6:40; 1 Korintus 11:1.

13. Seperti Yesus, bagaimanakah ibu bapa Kristian dapat memberikan perhatian kepada kanak-kanak?

13 Jadilah teman. Yehuwa berfirman kepada orang Israel, ‘Percakapkanlah hukum itu kepada anak-anak semasa kamu di rumah ataupun berpergian.’ Hal ini bererti ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak biarpun mereka sibuk. Yesus sendiri menghabiskan masa bersama kanak-kanak. Pada penghujung aktiviti penyebarannya, ‘beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangannya pada mereka.’ Apakah yang dilakukan Yesus? Dia ‘memeluk semua kanak-kanak di situ, dan memberkati mereka.’ (Markus 10:13, 16) Bayangkanlah, saat kematian Yesus sudah mendekat. Namun, dia masih memberikan masa dan perhatiannya kepada kanak-kanak ini. Betapa baiknya teladan Yesus!

14. Mengapakah ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak mereka?

14 Berkomunikasi dengan anak. Luangkanlah masa untuk berkomunikasi dengan anak anda. Dengan berkomunikasi, anda dapat memerhatikan sifat-sifat yang sedang dipupuk olehnya. Tetapi, ingatlah bahawa berkomunikasi tidak bererti bercakap sahaja. “Saya perlu mengasah kemahiran mendengar, terutamanya mendengar dengan hati,” kata seorang ibu di Brazil. Kesabarannya membuahkan hasil apabila anak lelakinya mula meluahkan isi hati kepadanya.

15. Apakah yang harus diingati semasa memilih kegiatan riadah?

15 Anak-anak memerlukan “waktu untuk tertawa . . . dan waktu untuk menari,” iaitu waktu untuk beriadah. (Pengkhutbah 3:4; Zakharia 8:5) Ada banyak manfaatnya jika ibu bapa dan anak-anak beriadah bersama. Sedihnya, banyak keluarga berekreasi di depan kaca televisyen. Biarpun sesetengah rancangan televisyen menghiburkan kita, banyak yang merosakkan nilai-nilai murni. Menonton televisyen juga selalunya menghalang ahli keluarga daripada berkomunikasi. Maka, bolehkah anda melakukan kegiatan yang berfaedah bersama anak-anak? Kegiatan seperti bernyanyi, bermain, bergaul dengan kawan-kawan, dan melawat tempat yang menarik membuka peluang untuk berkomunikasi.

16. Apakah yang harus diajarkan oleh ibu bapa kepada anak mereka? Bagaimanakah mereka dapat berbuat demikian?

16 Ajarlah anak. “Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu,” kata Yehuwa. Apakah yang harus diajarkan? Menurut ayat yang sebelumnya, anda haruslah mengajar anak anda untuk ‘mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, jiwa, dan kekuatan.’ (Ulangan 6:5, ABB, nota kaki) Anda juga harus mengajarnya untuk mengasihi perintah Yehuwa dengan segenap jiwa. (Bandingkan Ibrani 8:10.) Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian? Dalam bahasa asal, perkataan “ajarkanlah” bererti mengajar dengan berulang kali. Maka, Yehuwa sedang memberitahu anda bahawa cara utama untuk membantu anak-anak membina keperibadian Kristian adalah dengan mengajar mereka tentang-Nya pada setiap kesempatan. Ertinya, anda harus mempelajari Bible dengan mereka secara tetap.

17. Ibu bapa perlu memupuk apa dalam hati anak mereka? Mengapa?

17 Kebanyakan ibu bapa sedar bahawa tidak mudah untuk menyemai ajaran di dalam hati anak. Rasul Petrus menggesa rakan Kristian, “Hendaklah kamu menjadi seperti bayi yang baru lahir, yang sentiasa haus akan susu rohani yang murni.” (1 Petrus 2:2) Kebanyakan orang biasanya tidak mendahagakan atau menginginkan pengetahuan rohani. Oleh itu, ibu bapa perlu mencari jalan untuk memupuk keinginan sebegini dalam hati anak mereka.

18. Bagaimanakah ibu bapa dapat mencontohi Yesus semasa mengajar anak?

18 Yesus mencapai hati orang dengan menggunakan perumpamaan. (Markus 13:34; Lukas 10:29-37) Kaedah ini sangat berkesan semasa mengajar kanak-kanak. Ajarkan prinsip-prinsip Bible menerusi gambar yang berwarna-warni atau cerita yang menarik, seperti yang terkandung dalam Buku Cerita Bible Saya. * Ajaklah anak-anak untuk ikut serta; mereka boleh melukis atau melakonkan kisah-kisah Bible. Selain itu, Yesus menggunakan soalan semasa mengajar. (Matius 17:24-27) Gunakanlah kaedah ini semasa pembelajaran keluarga anda. Janganlah hanya menyatakan hukum Tuhan, tetapi tanya soalan seperti, “Mengapakah Yehuwa memberikan hukum ini? Apakah manfaatnya jika kita mematuhinya? Apakah yang akan terjadi jika kita mengingkarinya?” Soalan-soalan sebegini akan merangsang fikiran anak anda dan membantunya untuk sedar bahawa hukum Tuhan baik dan berguna.​—Ulangan 10:13.

19. Jika ibu bapa menerapkan prinsip Bible, apakah manfaat yang akan diraih oleh anak mereka?

19 Jika anda menunjukkan teladan, menjadi teman, berkomunikasi, dan mengajar anak, anda dapat membantunya memupuk hubungan yang erat dengan Tuhan Yehuwa sejak kecil lagi. Hubungan ini akan mendorongnya untuk mengikut jejak Yesus dengan sukacita. Dia juga akan berusaha memelihara imannya biarpun berdepan dengan tekanan rakan sebaya dan godaan. Bantulah dia untuk selalu menghargai hubungannya dengan Yehuwa.​—Amsal 27:11.

ANAK MEMERLUKAN DISIPLIN

20. Apakah itu disiplin? Bagaimanakah ibu bapa boleh meniru Yehuwa semasa mendisiplinkan anak?

20 Disiplin ialah tegur ajar yang membetulkan minda dan hati. Anak-anak sentiasa memerlukan disiplin. Paulus menasihati kaum bapa supaya ‘mendidik anak-anak dengan ajaran [“disiplin,” NW] dan nasihat Tuhan.’ (Efesus 6:4) Seperti Yehuwa, ibu bapa harus mendisiplinkan anak dengan kasih. (Ibrani 12:4-11) Ibu bapa boleh berbuat demikian dengan membantu anak menggunakan daya fikirnya untuk mencapai kesimpulan yang betul. Maka, kita disuruh untuk ‘menerima ajaran,’ atau disiplin, ibu bapa. (Amsal 8:33) Apakah caranya untuk mendisiplinkan anak?

21. Apakah prinsip-prinsip yang harus diingati oleh ibu bapa semasa mendisiplinkan anak?

21 Sesetengah ibu bapa berfikir bahawa mendisiplinkan anak bererti menakut-nakutkan, memarahi, atau menghina mereka. Tetapi Paulus mengingatkan ibu bapa, “Janganlah perlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah.” (Efesus 6:4) Orang Kristian patut “ramah dengan semua orang” dan ‘menasihati orang dengan lemah lembut.’ (2 Timotius 2:24, 25) Meskipun ibu bapa Kristian perlu tegas, mereka mencuba mengingati nasihat ini semasa mendisiplinkan anak. Akan tetapi, ada masanya anak-anak enggan mendengar, dan ibu bapa mungkin perlu menghukum mereka.​—Amsal 22:15.

22. Jika seorang anak harus dihukum, dia harus memahami apa?

22 Setiap anak memerlukan disiplin yang berlainan. Ada anak yang “tidak dapat diajar hanya dengan kata-kata.” Ibu bapa mungkin perlu menghukum mereka demi “menyelamatkan nyawa mereka.” (Amsal 17:10; 23:13, 14; 29:19) Namun, seorang anak patut memahami mengapa dia dihukum. “Tegur ajar” dan “rotan dapat mengajar mereka mengubah kelakuan.” (Amsal 22:15; 29:15; Ayub 6:24) Tetapi hukuman ada hadnya. Yehuwa berfirman kepada umat-Nya, “Aku akan berlaku adil [“menghukum kamu dengan sewajarnya,” NW].” (Yeremia 46:28b) Bible tidak sekali-kali menyetujui tindakan memukul atau merotan anak dengan teruk sehingga badannya lebam, atau bahkan cedera.​—Amsal 16:32.

23. Apabila ibu bapa mendisiplinkan anak mereka, apakah yang harus disedarinya?

23 Sebelum Yehuwa berkata bahawa Dia akan mendisiplinkan umat-Nya, Dia memberitahu mereka, “Jangan takut, hai umat-Ku.” (Yeremia 46:27a) Demikian juga, ibu bapa bukan sahaja perlu mendisiplinkan anak dengan sewajarnya, mereka perlu memastikan bahawa dia tidak berasa takut atau tersisih. (Kolose 3:21) Anak itu harus sedar bahawa ibu bapa memberikan disiplin kerana mereka menyayanginya.

LINDUNGI ANAK ANDA DARIPADA BAHAYA

24, 25. Ibu bapa hari ini perlu melindungi anak-anak daripada ancaman apa?

24 Ramai orang suka mengenangkan zaman kanak-kanak mereka. Mereka berasa gembira dan selamat kerana yakin bahawa ibu bapa akan menjaga mereka tidak kira apa pun yang berlaku. Ibu bapa pun ingin anak-anak berasa sedemikian, tetapi keselamatan anak-anak semakin tergugat kerana dunia hari ini mengalami kemerosotan akhlak.

25 Salah satu ancaman yang semakin parah kebelakangan ini ialah gangguan seksual kanak-kanak. Di Malaysia, kes gangguan seksual kanak-kanak telah meningkat empat kali ganda dalam masa sepuluh tahun. Di Jerman, kira-kira 300,000 kanak-kanak mengalami penderaan seksual setiap tahun; manakala di sebuah negara Amerika Selatan, ada kajian yang menganggarkan bahawa jumlahnya ialah 9,000,000 setiap tahun! Malangnya, kebanyakan gangguan seksual kanak-kanak berlaku di rumah; mereka diganggu oleh orang yang dikenali dan dipercayai. Tetapi ibu bapa haruslah melindungi anak-anak dengan baik. Apakah caranya?

26. Bagaimanakah ibu bapa dapat melindungi anak mereka? Bagaimanakah ilmu pengetahuan boleh melindungi anak-anak?

26 Anak yang kurang pengetahuan tentang seks lebih mudah menjadi mangsa. Maka, ibu bapa mesti mendidik anak dari usia muda. Ilmu pengetahuan dapat melindungi anak daripada ‘perbuatan yang salah dan orang yang bercakap bohong.’ (Amsal 2:10-12) Anak-anak perlu tahu prinsip moral Bible tentang apa yang betul dan apa yang salah. Mereka juga perlu tahu bahawa terdapat orang dewasa yang jahat; jika diajak untuk melakukan sesuatu yang tidak senonoh, mereka patut menolaknya. (Bandingkan Daniel 1:4, 8; 3:16-18.) Ajarlah anak anda berulang kali. Kebanyakan anak kecil perlu mendengar beberapa kali, barulah mereka dapat mengingati ajaran yang disampaikan. Selain itu, anak yang semakin dewasa perlu bersendirian semasa melakukan sesetengah hal peribadi. Jadi, seorang bapa perlu menghormati hak peribadi anak perempuannya; seorang ibu juga perlu menghormati hak peribadi anak lelakinya. Dengan ini, anak-anak akan lebih memahami kelakuan yang elok dan sopan, yang sepatutnya ditunjukkan oleh orang dewasa. Selain daripada itu, ibu bapa harus ingat bahawa satu lagi cara yang baik untuk melindungi anak daripada penderaan seks adalah dengan mengawasi mereka.

MINTALAH BIMBINGAN TUHAN

27, 28. Siapakah yang dapat memberikan bimbingan yang terbaik kepada ibu bapa untuk membesarkan anak?

27 Sememangnya, melatih anak sejak kecil lagi amat mencabar, tetapi ibu bapa Kristian boleh mendapatkan bimbingan. Pada zaman dahulu, seorang lelaki yang bernama Manoah mendapat tahu bahawa dia bakal menjadi ayah. Dia meminta bantuan Yehuwa untuk membesarkan anaknya. Yehuwa telah menjawab doanya.​—Hakim-Hakim 13:8, 12, 24.

28 Hari ini, ibu bapa Kristian juga boleh berdoa dan memohon bimbingan Yehuwa untuk membesarkan anak mereka. Tanggungjawab ibu bapa memang berat, tetapi berkat yang diraih amat berbaloi. Ada sepasang suami isteri Kristian di Hawaii yang berkata, “Sebelum anak anda melangkah ke zaman remaja, anda mempunyai 12 tahun untuk mengajarnya. Tetapi, jika anda berusaha menerapkan prinsip Bible, anda pasti bergembira dan lega apabila mereka sendiri memilih untuk menyembah Yehuwa.” (Amsal 23:15, 16) Apabila anak anda membuat keputusan itu, anda juga akan berseru, “Anak-anak adalah anugerah Tuhan!”

^ per. 18 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.