Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SEMBILAN

Keluarga Tunggal Boleh Berjaya!

Keluarga Tunggal Boleh Berjaya!

1-3. Mengapakah bilangan keluarga tunggal semakin bertambah? Apakah kesannya terhadap mereka yang terlibat?

KELUARGA ibu bapa tunggal semakin bertambah di seluas dunia. Semakin banyak orang bercerai, meninggalkan keluarga mereka, berpisah, atau melahirkan anak luar nikah. Hal ini menyebabkan jutaan ibu bapa dan anak-anak menderita.

2 “Saya seorang balu yang berumur 28 tahun dan mempunyai dua orang anak,” tulis seorang ibu tunggal. “Saya murung dan tak ingin membesarkan anak-anak tanpa bapa mereka. Rasanya tiada orang yang prihatin terhadap saya. Anak-anak selalu nampak saya menangis dan mereka juga sedih.” Selain daripada bergelut dengan perasaan marah, rasa bersalah, dan kesunyian, kebanyakan ibu atau bapa tunggal juga perlu berhadapan dengan cabaran lain, iaitu mencari nafkah di luar di samping menguruskan kerja rumah. Seorang ibu tunggal berkata, “Bukan mudah menjadi ibu atau bapa tunggal. Anda berusaha sekuat hati untuk melakukan pelbagai tugas. Tapi sebaik saja anda berjaya, tugas yang baru muncul pula!”

3 Orang muda yang membesar dalam keluarga tunggal juga menghadapi masalah. Mereka mungkin mengalami tamparan yang hebat apabila ibu atau bapa tiba-tiba meninggalkan mereka atau mati. Hal ini memberi kesan buruk yang mendalam kepada ramai remaja.

4. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa prihatin terhadap keluarga tunggal?

4 Keluarga tunggal wujud sejak zaman Bible. Bible selalu menyebut tentang “anak yatim piatu” dan “balu.” (Keluaran 22:22; Ulangan 24:19-21; Ayub 31:16-22) Tuhan Yehuwa prihatin terhadap kesusahan mereka. Penulis mazmur mengatakan bahawa Tuhan “memelihara anak yatim dan melindungi balu.” (Mazmur 68:6) Hari ini, Yehuwa masih prihatin terhadap keluarga tunggal! Ya, Firman-Nya memberikan prinsip-prinsip yang dapat membantu mereka untuk berjaya dalam hidup.

URUSKAN RUMAH TANGGA DENGAN CEKAP

5. Apakah masalah yang perlu dihadapi oleh mereka yang baru menjadi ibu atau bapa tunggal?

5 Fikirkan kerja menguruskan rumah tangga. “Ada masanya anda mengharapkan bantuan seorang lelaki,” akui seorang wanita yang telah bercerai, “contohnya semasa kereta anda mula mengeluarkan bunyi dan anda tak tahu masalahnya.” Begitu juga, lelaki yang baru bercerai atau kehilangan isteri tergamam kerana perlu menguruskan begitu banyak kerja rumah. Anak-anak pula berasa tidak selamat dan keliru dengan keadaan rumah yang berselerak.

Anak-anak, bekerjasamalah dengan ibu atau bapa tunggal

6, 7. (a) Bagaimanakah kita dapat mencontohi “isteri yang cekap” di Amsal? (b) Apakah manfaatnya jika ibu atau bapa tunggal rajin menunaikan tanggungjawab di rumah?

6 Apakah yang dapat membantu? Perhatikan teladan “isteri yang cekap” yang tercatat di Amsal 31:10-31. Kemahirannya memang menakjubkan​—menjahit, memasak, melabur dalam hartanah, mengusahakan ladang, menjalankan perniagaan, dan berjual beli. Apakah rahsianya? Dia rajin; dia bekerja sehingga jauh malam, dan bangun pagi-pagi buta untuk memulakan kegiatannya. Dia juga teratur; dia mengagihkan sesetengah tugas, dan melakukan selebihnya sendiri. Tidak hairanlah dia menerima pujian!

7 Jika anda seorang ibu atau bapa tunggal, jangan abaikan tanggungjawab anda di rumah. Dengan ini, anda bukan sahaja berasa puas, malah anak-anak anda juga akan gembira. Tetapi, perancangan yang baik amat penting. Bible berkata, “Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah.” (Amsal 21:5) Seorang bapa tunggal mengaku, “Selalunya bila perut saya lapar, barulah saya pergi cari makanan.” Tetapi hidangan yang dirancang terlebih dahulu lebih berkhasiat dan enak berbanding hidangan yang disediakan dengan tergesa-gesa. Selain itu, anda mungkin perlu belajar kemahiran yang baru. Dengan bantuan kawan yang arif, buku panduan, dan pekerja yang mahir, sesetengah ibu tunggal dapat mengecat rumah serta membaiki paip dan kerosakan kecil pada kereta.

8. Bagaimanakah anak-anak dalam keluarga tunggal boleh membantu di rumah?

8 Patutkah anda meminta anak-anak membantu? Seorang ibu tunggal berkata, “Anak-anak saya kehilangan bapa mereka, jadi saya cuba menggantikan kehilangan ini dengan memberi mereka hidup yang selesa.” Perbuatan ibu ini nampaknya munasabah tetapi tidak semestinya baik untuk anak-anak. Orang muda pada zaman Bible perlu melakukan kerja rumah yang sesuai dengan kemampuan mereka. (Kejadian 37:2; Kidung Agung 1:6) Jadi, adalah wajar untuk memberikan tugas kepada anak, seperti mencuci pinggan mangkuk dan menjaga kebersihan bilik sendiri. Tetapi, berhati-hatilah agar tidak membebankan mereka. Anda juga boleh membuat kerja rumah bersama mereka. Pengalaman ini pastinya menggembirakan.

CABARAN MENCARI NAFKAH

9. Mengapakah ibu tunggal selalunya tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga?

9 Kebanyakan ibu atau bapa tunggal, terutamanya ibu muda yang belum berkahwin, tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga. * Di sesetengah negara, mereka boleh menerima bantuan kebajikan daripada kerajaan sehingga mereka mendapat kerja. Bible membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kemudahan sebegini apabila mereka memerlukannya. (Roma 13:1, 6) Balu dan wanita yang bercerai menghadapi cabaran yang serupa. Ramai terpaksa mencari kerja setelah sekian lama menjadi suri rumah, dan selalunya mereka hanya mendapat kerja yang bergaji rendah. Ada yang berjaya mendapat gaji yang lebih tinggi setelah menyertai latihan atau kursus jangka masa pendek.

10. Bagaimanakah ibu tunggal boleh menjelaskan kepada anaknya sebab-sebab dia harus bekerja?

10 Jangan terkejut atau berasa serba salah jika anak-anak tidak gembira apabila anda terpaksa bekerja. Sebaliknya, nyatakan sebab-sebab anda harus bekerja, dan jelaskan bahawa Yehuwa menghendaki anda menjaga keperluan keluarga. (1 Timotius 5:8) Biasanya, kebanyakan anak akan menyesuaikan diri. Tetapi, cuba luangkan seberapa banyak masa yang mungkin bersama anak. Keluarga anda mungkin kekurangan dari segi kewangan, tetapi kasih sayang dan perhatian anda dapat mengisi kekurangan itu.​—Amsal 15:16, 17.

SIAPA YANG MENJAGA SIAPA?

Sidang prihatin terhadap “balu” dan “anak yatim”

11, 12. Apakah batasan yang harus diingati ibu bapa tunggal? Bagaimanakah mereka dapat mengekalkan batasan ini?

11 Tidak hairanlah jika ibu atau bapa tunggal sangat rapat dengan anak mereka, tetapi mereka mesti berhati-hati agar tidak melupakan batasan yang ditetapkan oleh Tuhan. Contohnya, seorang ibu tunggal tidak patut mengharapkan anak lelakinya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, atau menjadikan anak perempuannya sebagai tempat mengadu dan membebaninya dengan masalah peribadi. Perbuatan ini akan menimbulkan masalah yang serius, dan anak akan berasa tertekan, bahkan keliru.

12 Yakinkan anak bahawa anda, selaku ibu atau bapanya, akan menjaga mereka​—bukan sebaliknya. (Bandingkan 2 Korintus 12:14.) Adakala, anda memerlukan nasihat atau sokongan. Mintalah bantuan penatua Kristian atau saudari Kristian yang matang, bukannya daripada anak yang masih mentah.​—Titus 2:3.

TERUSLAH MENDISIPLINKAN ANAK

13. Apakah masalah yang mungkin dihadapi oleh ibu tunggal semasa mendisiplinkan anak?

13 Berbanding dengan seorang bapa, ibu tunggal mungkin menghadapi masalah semasa mendisiplinkan anak. Seorang ibu tunggal berkata, “Anak-anak lelaki saya mempunyai badan dan suara seperti lelaki dewasa. Kadangkala saya berasa kecil dan lemah jika dibandingkan dengan mereka.” Tambahan lagi, anda mungkin masih bersedih atas kematian pasangan yang tercinta, atau anda mungkin berasa serba salah atau marah atas keruntuhan rumah tangga sendiri. Jika anda berkongsi hak penjagaan anak, anda mungkin bimbang kalau-kalau anak lebih suka tinggal dengan bekas pasangan anda. Dalam keadaan sebegini, anda mungkin tidak dapat bersikap seimbang semasa mendisiplinkan anak.

14. Bagaimanakah ibu atau bapa tunggal boleh bersikap seimbang semasa mendisiplinkan anak?

14 Bible berkata, “Anak yang dibiarkan menurut sesuka hatinya akan memalukan ibunya.” (Amsal 29:15) Tuhan Yehuwa menyokong usaha anda untuk mendisiplinkan anak-anak. Jadi, jangan berasa bersalah, sesal, atau takut. (Amsal 1:8) Jangan sekali-kali melanggar prinsip Bible. (Amsal 13:24) Cuba bersikap munasabah, tegas, dan jangan ubah peraturan sesuka hati. Lama-kelamaan, kebanyakan anak akan menerima disiplin. Tetapi anda masih perlu mengambil kira perasaannya. Seorang bapa tunggal berkata, “Semasa mendisiplinkan anak, saya harus bertimbang rasa kerana mereka masih terkejut dengan pemergian ibu mereka. Saya mengambil setiap peluang untuk berbual dengan mereka. Kami menyediakan makan malam bersama, dan pada masa itulah mereka meluahkan isi hati.”

15. Apabila seorang ibu atau bapa yang sudah bercerai bercakap tentang bekas pasangannya, apakah yang harus dihindarinya?

15 Jika anda sudah bercerai, jangan merendah-rendahkan bekas pasangan anda di depan anak. Kelakuan sebegini tidak bermanfaat, sebaliknya akan melukai hati anak dan menghilangkan rasa hormatnya terhadap anda berdua. Oleh itu, hindarilah kata-kata pedas seperti, “Kamu macam bapa kamu!” Tidak kira apa jua kesalahan bekas pasangan anda, dia masih ibu atau bapa kepada anak anda. Anak memerlukan kasih sayang, perhatian, dan tunjuk ajar daripada kedua-dua ibu bapanya. *

16. Apakah kegiatan rohani yang patut diadakan secara tetap dalam keluarga tunggal?

16 Seperti yang dibincangkan dalam bab-bab sebelum ini, disiplin merangkumi latihan dan ajaran, bukan hanya hukuman. Program rohani yang baik boleh membantu menghindari banyak masalah. (Filipi 3:16) Maka, amatlah penting untuk menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap. (Ibrani 10:24, 25) Anda juga perlu mengadakan pembelajaran keluarga tiap-tiap minggu. Memang tidak mudah untuk melakukannya. “Saya ingin rehat selepas bekerja seharian,” ujar seorang ibu yang bertanggungjawab. “Tapi pembelajaran keluarga amatlah penting, jadi saya membuat keputusan untuk meneruskannya. Anak saya betul-betul menyukai pembelajaran keluarga kami!”

17. Apakah pengajaran yang dapat diperoleh daripada kisah Timotius?

17 Timotius ialah rakan rasul Paulus. Ibu dan nenek Timotius telah mengajarnya prinsip-prinsip Bible, tetapi ayahnya tidak. Namun begitu, dia menjadi orang Kristian yang terpuji! (Kisah 16:1, 2; 2 Timotius 1:5; 3:14, 15) Anda juga boleh menuai hasil yang baik jika anda berusaha untuk mendidik anak-anak dengan “ajaran dan nasihat Tuhan.”​—Efesus 6:4.

MENGATASI RASA SUNYI

18, 19. (a) Apakah yang membuat seorang ibu atau bapa tunggal berasa sunyi? (b) Apakah nasihat yang dapat membantu seseorang mengawal hawa nafsunya?

18 Seorang ibu tunggal mengeluh, “Saya rasa begitu sunyi apabila saya balik rumah, terutamanya selepas anak-anak sudah tidur.” Ya, biasanya kesunyian ialah masalah terbesar bagi ibu bapa tunggal. Tidak salah jika seseorang merindukan persahabatan dan hubungan mesra yang terjalin antara suami isteri. Tetapi, patutkah dia melakukan apa sahaja untuk mengubati kesunyiannya? Pada zaman Paulus, sesetengah balu yang muda tidak mengawal ‘perasaan berahi mereka lalu mereka meninggalkan Kristus.’ (1 Timotius 5:11, 12) Bahaya sekali jika seseorang membenarkan hawa nafsunya untuk mengambil alih hal-hal rohani.​—1 Timotius 5:6.

19 Seorang lelaki Kristian berkata, “Meskipun nafsu seks sangat kuat, anda boleh mengawalnya. Apabila keinginan ini timbul, jangan asyik memikirkannya. Matikan keinginan ini. Anda juga boleh berfikir tentang anak anda.” Firman Tuhan menasihati kita, ‘Matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti hawa nafsu.’ (Kolose 3:5) Jika anda ingin mengawal nafsu makan, adakah anda akan membaca majalah yang memaparkan gambar makanan yang lazat? Atau adakah anda akan bergaul dengan orang yang asyik bercakap tentang makanan? Tentu tidak! Begitu juga dengan hawa nafsu.

20. (a) Mengapakah bahaya untuk berpacaran dengan orang yang tidak seiman? (b) Bagaimanakah orang yang hidup bersendirian pada abad pertama dan hari ini mengatasi rasa sunyi?

20 Sesetengah orang Kristian berpacaran dengan orang yang tidak seiman. (1 Korintus 7:39) Dapatkah hubungan ini mengubati kesunyian mereka? Tidak. “Berkahwin dengan orang yang salah lebih teruk daripada hidup bersendirian!” kata seorang wanita Kristian yang bercerai. Balu-balu Kristian pada abad pertama juga berasa sunyi, tetapi ada di antara mereka yang bertindak dengan bijak; mereka sibuk ‘menyambut orang ke dalam rumah, melayani orang seiman, dan menolong orang susah.’ (1 Timotius 5:10) Hari ini, orang Kristian yang setia juga menggunakan masa dengan bijak sementara menunggu bertahun-tahun untuk menemui pasangan yang menyembah Tuhan. Seorang balu Kristian yang berusia 68 tahun mula mengunjungi balu-balu lain apabila dia berasa sunyi. Katanya, “Saya sibuk melawat orang, menguruskan kerja rumah, dan menjaga kerohanian sendiri. Saya langsung tiada masa untuk berasa sunyi.” Satu lagi kerja yang bermanfaat ialah kerja mengajar orang lain tentang Kerajaan Tuhan.​—Matius 28:19, 20.

21. Bagaimanakah doa dan pergaulan yang baik membantu seseorang mengatasi rasa sunyi?

21 Sebenarnya, tiada ubat yang dapat menghilangkan rasa sunyi dalam sekelip mata. Tetapi anda boleh menanggungnya dengan kekuatan daripada Yehuwa. Kekuatan ini diberikan kepada orang Kristian yang berdoa ‘siang malam kepada Tuhan meminta pertolongan-Nya.’ (1 Timotius 5:5) Hal ini bererti anda perlu merayu Tuhan, mungkin dengan seruan dan tangisan. (Bandingkan Ibrani 5:7.) Anda dapat mengatasi rasa sunyi dengan mencurahkan isi hati kepada Yehuwa “siang malam.” Selain itu, pergaulan yang sihat boleh mengisi kesunyian di hati. Dengan adanya pergaulan yang baik, anda boleh digalakkan menerusi “kata-kata yang baik” seperti yang digambarkan di Amsal 12:25.

22. Apakah yang perlu diingati apabila anda berasa sunyi?

22 Ada masanya, anda pasti akan berasa sunyi. Tetapi ingatlah bahawa tiada orang yang hidup bebas tanpa masalah. Pada hakikatnya, “saudara-saudara sesama Kristian lainnya di seluruh dunia, juga mengalami penderitaan.” (1 Petrus 5:9) Jangan asyik memikirkan masa lampau. (Pengkhutbah 7:10) Fikirkan berkat yang dikurniakan kepada anda. Yang terpenting, bertekadlah untuk tetap setia kepada Yehuwa agar hati-Nya gembira.​—Amsal 27:11.

CARA ORANG LAIN DAPAT MEMBANTU

23. Apakah kewajipan orang Kristian jika terdapat keluarga ibu bapa tunggal dalam sidang?

23 Sokongan dan bantuan rakan Kristian tidak ternilai. Yakobus 1:27 berkata, ‘Menurut Tuhan Bapa, inilah ibadat yang murni dan sejati: Menolong anak yatim piatu dan balu yang mengalami penderitaan.’ Ya, orang Kristian wajib membantu keluarga tunggal. Bagaimanakah mereka dapat menghulurkan bantuan yang sesuai?

24. Bagaimanakah kita boleh membantu keluarga ibu bapa tunggal?

24 Anda boleh membantu memenuhi keperluan fizikal. Bible berkata, ‘Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Tuhan?’ (1 Yohanes 3:17, ABB) Perkataan Yunani asal bagi “melihat” bererti memandang dengan teliti. Hal ini menunjukkan bahawa seorang Kristian yang baik hati perlu memahami keadaan dan keperluan sesebuah keluarga terlebih dahulu. Barangkali, mereka memerlukan wang. Rumah mereka mungkin perlu dibaiki. Mungkin juga mereka ingin orang lain menjemput mereka ke rumah untuk makan bersama atau menikmati jamuan.

25. Bagaimanakah orang Kristian menunjukkan rasa belas kasihan kepada ibu atau bapa tunggal?

25 Tambahan lagi, 1 Petrus 3:8 berkata, “Hendaklah kamu semua seia sekata dan seperasaan. Hendaklah kamu saling mengasihi seperti orang yang bersaudara, dan hendaklah kamu saling berbelas kasihan.” Seorang ibu tunggal kepada enam orang anak berkata, “Ada masanya saya tak terdaya. Tapi, kadangkala ada saudara atau saudari yang akan berkata kepada saya, ‘Syabas, Joan. Usaha kamu pasti berbaloi.’ Saya mendapat galakan kerana mengetahui bahawa orang lain prihatin terhadap saya.” Ibu tunggal yang muda mungkin segan membincangkan sesetengah masalah peribadi dengan seorang lelaki, jadi wanita Kristian yang lebih tua boleh membantu dengan mendengar masalah mereka.

26. Bagaimanakah lelaki Kristian yang matang dapat membantu anak yatim piatu?

26 Lelaki Kristian dapat membantu dalam cara lain. Ayub, lelaki yang adil benar, berkata, “Kepada anak yatim piatu yang tiada tempat bergantung, aku memberikan pertolongan.” (Ayub 29:12) Begitu juga dengan sesetengah lelaki Kristian dewasa ini. Mereka prihatin terhadap anak yatim piatu bukan kerana ingin mengambil kesempatan; sebaliknya mereka menunjukkan “kasih yang berasal daripada hati yang murni.” (1 Timotius 1:5) Tanpa mengetepikan keluarga sendiri, mereka kadangkala menginjil bersama orang muda ini, dan mungkin menjemputnya untuk menyertai pembelajaran keluarga atau aktiviti riadah. Kebaikan hati mereka mungkin dapat menyelamatkan anak yatim piatu daripada haluan yang salah.

27. Ibu atau bapa tunggal pasti mendapat sokongan daripada siapa?

27 Sudah tentu, ibu atau bapa tunggal wajib “memikul tanggungjawab masing-masing.” (Galatia 6:5) Namun begitu, mereka masih mendapat sokongan dan kasih sayang daripada saudara saudari Kristian dan Tuhan Yehuwa. Bible berkata, “[Yehuwa] menolong para balu dan anak yatim.” (Mazmur 146:9) Dengan adanya sokongan daripada Tuhan yang pengasih, keluarga ibu bapa tunggal boleh berjaya!

^ per. 9 Jika seorang Kristian hamil kerana melakukan perbuatan yang tidak bermoral, sidang Kristian tidak sekali-kali menyetujui perbuatannya. Tetapi jika dia bertaubat, para penatua dan ahli sidang boleh membantunya.

^ per. 15 Kami tidak memaksudkan keadaan yang mana anak perlu dilindungi daripada ibu atau bapa yang menderanya. Selain itu, jika bekas pasangan mencuba melemahkan kekuasaan anda, mungkin dengan tujuan untuk memujuk anak-anak supaya meninggalkan anda, mintalah nasihat daripada sahabat yang berpengalaman, seperti penatua dalam sidang.