Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SEPULUH

Apabila Ahli Keluarga Jatuh Sakit

Apabila Ahli Keluarga Jatuh Sakit

1, 2. Bagaimanakah Syaitan menggunakan bencana dan penyakit untuk menghancurkan kesetiaan Ayub?

AYUB, seorang lelaki yang “paling kaya antara penduduk di daerah Timur,” menikmati kebahagiaan keluarga. Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Dia juga mampu memenuhi segala kemahuan keluarganya. Yang terpenting, dia mengetuai kegiatan rohani keluarganya dan prihatin terhadap hubungan anak-anaknya dengan Yehuwa. Hasilnya, keluarga Ayub erat dan bahagia.​—Ayub 1:1-5.

2 Kebahagiaan Ayub telah menarik perhatian musuh utama Tuhan Yehuwa, iaitu Syaitan. Syaitan selalu mencari peluang untuk menghancurkan kesetiaan umat Tuhan. Jadi, dia menyerang Ayub dengan merosakkan keluarganya yang bahagia. Selepas itu, dia “mendatangkan kudis kepada Ayub dari telapak kaki sampai mercu kepalanya.” Syaitan berharap bahawa bencana dan penyakit dapat menghancurkan kesetiaan Ayub terhadap Tuhan.​—Ayub 2:6, 7.

3. Nyatakan tanda-tanda penyakit Ayub.

3 Bible tidak menamakan penyakit yang dihidapi Ayub. Tetapi kita diberitahu tanda-tandanya. Tubuhnya penuh dengan cacing; kulitnya luka dan bernanah. Nafas dan badan Ayub begitu berbau sehingga orang menjauhinya. Kesakitan menusuknya tanpa henti. (Ayub 7:5; 19:17; 30:17, 30) Ayub amat menderita. Dia duduk di sebelah timbunan sampah sambil mengikis kudisnya dengan sekeping pecahan tembikar. (Ayub 2:8) Kasihannya Ayub!

4. Apakah lumrah hidup yang perlu dihadapi oleh setiap keluarga dari masa ke masa?

4 Apakah yang akan anda lakukan jika anda menghidap penyakit teruk seperti Ayub? Biarpun Syaitan tidak lagi mendatangkan penyakit kepada umat Tuhan, kita perlu berdepan dengan ketidaksempurnaan manusia, tekanan hidup, dan persekitaran yang bertambah buruk. Jadi, tidak hairanlah jika ada masanya ahli keluarga kita jatuh sakit. Meskipun kita berusaha menjaga kesihatan, kita semua masih jatuh sakit, dan ada juga yang menderita seperti Ayub. Sungguh mencabar jika salah seorang ahli keluarga kita sakit. Oleh itu, marilah kita lihat bagaimana Bible membantu kita berhadapan dengan lumrah hidup ini.​—Pengkhutbah 9:12; 2 Timotius 3:16.

APAKAH PERASAAN ANDA?

5. Biasanya, apakah perasaan keluarga apabila seorang ahli keluarga jatuh sakit buat seketika?

5 Penyakit yang berlarutan boleh mengganggu kegiatan harian dan menyusahkan seisi keluarga. Biarpun penyakit tersebut tidak berlarutan, ahli keluarga lain masih perlu bertolak ansur serta membuat perubahan dan pengorbanan. Mereka mungkin tidak boleh berbuat bising agar pesakit dapat berehat. Mereka mungkin perlu membatalkan sesetengah aktiviti. Sudah tentu, kebanyakan ahli keluarga, dan bahkan anak kecil akan mengasihani pesakit. Tetapi, kadangkala mereka juga memerlukan peringatan agar bertimbang rasa. (Kolose 3:12) Jika penyakitnya tidak berlarutan, biasanya ahli keluarga yang lain sedia membantu. Tambahan lagi, setiap ahli keluarga mahu orang lain bertimbang rasa jika dia jatuh sakit.​—Matius 7:12.

6. Apakah perasaan keluarga apabila seorang ahli keluarga menghidap penyakit serius yang berlarutan?

6 Bagaimana pula jika penyakitnya sangat serius dan berlarutan? Misalnya, dia mungkin lumpuh kerana strok, lemah akibat penyakit barah, atau mengalami sakit jiwa, seperti skizofrenia. Biasanya, ahli keluarga lain berasa kasihan dan sedih apabila melihat orang tersayang menderita. Tetapi, perasaan lain juga boleh timbul apabila mereka mendapati bahawa penyakitnya sedang menyekat kebebasan mereka. Mereka mungkin mula menyalahkannya, dan tertanya-tanya, “Mengapakah hal ini terjadi kepada saya?”

7. Apakah perasaan isteri Ayub terhadap penyakit suaminya? Apakah yang dilupakannya?

7 Nampaknya isteri Ayub mengalami perasaan yang serupa. Ingatlah, dia telah kehilangan anak-anaknya. Apabila keadaan bertambah buruk, dia pasti bertambah runsing. Akhirnya, dia melihat suaminya yang dahulu cergas dan kuat, kini menderita penyakit yang menjijikkan. Pengalaman pahit ini telah menyebabkannya melupakan sesuatu yang sangat penting​—hubungan dia dan suaminya dengan Tuhan. Menurut Bible, dia berkata kepada suaminya, ‘Masihkah engkau tetap setia kepada Tuhan? Kutuklah Tuhan, dan matilah!’​—Ayub 2:9.

8. Apabila seorang ahli keluarga sakit teruk, apakah ayat Bible yang dapat membantu keluarganya berfikiran seimbang?

8 Apabila salah seorang ahli keluarga jatuh sakit, kita mungkin berasa kecewa, dan bahkan marah kerana hidup kita mengalami perubahan yang besar. Tetapi seorang Kristian yang berfikiran seimbang sedar bahawa situasi sebegini memberinya peluang untuk membuktikan kasihnya. Orang yang mempunyai kasih sejati ‘sabar dan baik hati; tidak mementingkan diri; tahan menghadapi segala sesuatu; mempercayai orang lain, tidak hilang harapan, dan sentiasa bersabar.’ (1 Korintus 13:4-7) Maka, jangan benarkan perasaan negatif menguasai diri anda; sebaliknya cubalah sedaya upaya untuk mengawalnya.​—Amsal 3:21.

9. Apabila seseorang sakit tenat, apakah yang boleh menggalakkan dan memperkuat ahli keluarga lain dari segi emosi dan rohani?

9 Apabila seseorang sakit tenat, bagaimanakah ahli keluarga yang lain memastikan bahawa mereka tetap kuat dari segi emosi dan rohani? Sudah tentu, setiap pesakit patut menerima jagaan dan rawatan yang sesuai. Biarpun buku ini tidak mengesyorkan apa-apa jenis rawatan, namun Yehuwa memberikan bantuan rohani dengan “menguatkan orang yang putus harapan.” (Mazmur 145:14) Raja Daud menulis, ‘Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya; Yehuwa akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan. Yehuwa akan melindungi dan memelihara mereka. Yehuwa akan menolong mereka ketika mereka sakit.’ (Mazmur 41:2-4, ABB) Yehuwa tetap melindungi umat-Nya dari segi rohani walaupun mereka mengalami tekanan emosi. (2 Korintus 4:7) Ramai orang yang perlu menjaga ahli keluarga yang sakit tenat bersetuju dengan kata-kata pemazmur, ‘Penderitaanku sungguh berat, ya Yehuwa; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu.’​—Mazmur 119:107, ABB.

SEMANGAT YANG BAIK

10, 11. (a) Apakah yang dapat membantu seisi keluarga menanggung derita penyakit dengan jayanya? (b) Apakah yang membolehkan seorang wanita menjaga suaminya yang sakit?

10 Bible berkata, “Kemahuan untuk hidup dapat menanggung derita penyakit tetapi jika lenyap kemahuan itu, hilanglah segala harapan.” (Amsal 18:14, ABB) Pengalaman yang dahsyat boleh mematahkan semangat atau “kemahuan untuk hidup.” Sebaliknya, “hati yang tenang menyihatkan badan.” (Amsal 14:30) Ya, sikap, atau semangat, setiap ahli keluarga sangat penting untuk membantu seisi keluarga menanggung derita penyakit dengan jayanya.​—Bandingkan Amsal 17:22.

11 Seorang wanita Kristian terpaksa menjaga suaminya yang diserang strok selepas enam tahun berkahwin. Dia berkata, “Suami saya tak dapat bertutur dengan jelas, dan saya tak dapat berbual dengannya. . . . Saya begitu tertekan kerana berusaha untuk memahami apa yang dikatakannya.” Suaminya pasti menderita dan berasa geram juga. Apakah yang dilakukan oleh pasangan ini? Meskipun mereka tinggal jauh dari sidang Kristian, wanita ini berusaha menjaga kerohaniannya dengan mengikuti perkembangan terkini organisasi Tuhan. Dia juga terus mendapatkan makanan rohani daripada majalah Watchtower dan Awake! Semua ini memberi dia kekuatan rohani untuk menjaga suaminya sehingga suaminya meninggal empat tahun kemudian.

12. Seperti Ayub, bagaimanakah seorang pesakit boleh membantu keluarganya?

12 Meskipun Ayub sakit teruk, dia tetap bertabah. Dia berkata kepada isterinya, ‘Apabila Tuhan memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik.’ (Ayub 2:10) Jadi, tidak hairanlah Ayub dipuji atas kesabaran dan ketabahannya! Kita membaca di Yakobus 5:11: “Kamu telah mendengar kisah tentang kesabaran Ayub, dan kamu tahu bagaimana Tuhan memberkati dia pada akhirnya. Hal itu berlaku kerana Tuhan berbelas kasihan dan baik hati.” Begitu juga, banyak pesakit yang berani telah membantu keluarga mereka untuk terus berpandangan positif.

13. Apakah yang tidak seharusnya dilakukan oleh mereka yang perlu menjaga ahli keluarga yang sakit tenat?

13 Kebanyakan orang yang perlu menjaga ahli keluarga yang sakit bersetuju bahawa memang sukar untuk menerima hakikat ini pada mulanya. Mereka juga berkata bahawa pandangan seseorang amatlah penting. Mula-mula mungkin sukar untuk membuat perubahan dan penyesuaian pada jadual harian keluarga. Tetapi jika anda berusaha, anda dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Di samping itu, janganlah membandingkan keadaan keluarga anda dengan keluarga lain yang tidak perlu menanggung derita penyakit. Jangan fikir bahawa semua ini tidak adil. Sebenarnya, kita tidak memahami sepenuhnya beban yang perlu dipikul oleh orang lain. Semua orang Kristian mendapat kelegaan daripada kata-kata Yesus, ‘Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.’​—Matius 11:28, ABB.

TETAPKAN KEUTAMAAN

14. Bagaimanakah seisi keluarga boleh menetapkan keutamaan mereka?

14 Bible berkata, “Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat.” (Amsal 15:22) Ayat ini amat bermanfaat bagi mereka yang perlu menjaga ahli keluarga yang sakit tenat. Maka, seisi keluarga boleh membincangkan cara menangani masalah ini bersama. Semasa perbincangan, berdoalah kepada Tuhan dan dapatkan bimbingan daripada Firman-Nya. (Mazmur 25:4) Apakah yang perlu dibincangkan? Hal-hal yang berkaitan dengan perubatan, kewangan, dan hal ehwal keluarga. Siapakah yang mempunyai tanggungjawab utama untuk menjaga pesakit? Bagaimanakah seisi keluarga dapat bekerjasama dengannya? Bagaimanakah seisi keluarga boleh membantu menjaga keperluannya, termasuk keperluan rohani? Bagaimanakah keputusan yang dibuat mempengaruhi setiap ahli keluarga?

15. Bagaimanakah Yehuwa menyokong keluarga yang perlu menanggung derita penyakit?

15 Jika anda berdoa bersungguh-sungguh meminta bimbingan Yehuwa, merenungkan Firman-Nya, dan mematuhi nasihat Bible, anda akan mendapat berkat yang berlimpah. Ahli keluarga yang sakit mungkin tidak akan pulih, tetapi anda akan memperoleh hasil yang terbaik jika anda bergantung pada Yehuwa. (Mazmur 55:23) Pemazmur menulis, ‘Kasih-Mu, ya Yehuwa, menopang aku. Ketika aku bimbang dan khuatir, Engkau menghiburkan dan menggembirakan hatiku.’​—Mazmur 94:18, 19, ABB; lihat juga Mazmur 63:7-9.

MEMBANTU ANAK-ANAK

Keluarga yang bekerjasama dapat menangani masalah

16, 17. Apabila salah seorang anak jatuh sakit, bagaimanakah ibu bapa boleh membantu anak-anak yang sihat menangani keadaan ini?

16 Anak-anak juga menderita apabila ahli keluarga sakit tenat. Maka, ibu bapa perlu menjelaskan kepada mereka apa yang berlaku dan bagaimana mereka boleh membantu. Jika pesakit ialah seorang anak, adik-beradiknya harus faham bahawa dia memerlukan lebih banyak perhatian dan jagaan, tetapi hal ini tidak bererti ibu bapa tidak lagi menyayangi mereka. Janganlah biarkan rasa cemburu dan semangat bersaing wujud antara anak-anak. Sebaliknya, bantulah mereka memupuk hubungan yang lebih erat dan menunjukkan kasih sejati seraya mereka bekerjasama menangani kesusahan ini.

17 Penjelasan yang panjang lebar tentang sesuatu penyakit mungkin kurang berkesan. Biasanya anak muda lebih rela bekerjasama jika perasaan mereka terlibat. Maka, ibu bapa boleh menggambarkan keadaan yang dialami oleh pesakit. Apabila anak yang sihat melihat ahli keluarganya menderita akibat penyakit dan tidak dapat melakukan aktiviti seharian, dia pasti lebih “berbelas kasihan” dan menunjukkan kasih sayang.​—1 Petrus 3:8.

18. Bagaimanakah anak yang lebih tua boleh memahami kesusahan yang dihadapi keluarganya? Bagaimanakah hal ini membantunya?

18 Anak yang lebih tua boleh dibantu untuk memahami bahawa keluarganya menghadapi kesusahan, jadi setiap orang perlu membuat pengorbanan. Memandangkan ibu bapanya perlu membayar bil perubatan, mereka mungkin tidak dapat memenuhi setiap kemahuannya. Adakah dia akan berasa geram dan tidak puas hati? Atau dia akan memahami keadaan dan rela membuat pengorbanan? Sikapnya banyak bergantung pada cara perkara ini dibincangkan dan semangat yang ditunjukkan oleh seisi keluarga. Sememangnya, ramai anak daripada keluarga sebegini telah dibantu untuk mengikut nasihat Paulus, “Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri.”​—Filipi 2:3, 4, ABB.

PANDANGAN KITA TERHADAP RAWATAN

19, 20. (a) Apabila salah seorang ahli keluarga jatuh sakit, ketua keluarga bertanggungjawab membuat apa? (b) Meskipun Bible bukan buku teks perubatan, bagaimanakah Bible memberikan bimbingan semasa kita menghadapi masalah kesihatan?

19 Orang Kristian yang berpandangan seimbang akan menerima rawatan yang tidak bertentangan dengan hukum Tuhan. Apabila ahli keluarga jatuh sakit, mereka ingin membantunya. Tetapi, para doktor mungkin memberikan pelbagai pendapat yang bercanggahan yang harus dipertimbangkan. Tambahan lagi, kebelakangan ini timbul pelbagai penyakit, dan doktor belum dapat menentukan rawatan yang sesuai bagi kebanyakan penyakit ini. Malah, kadangkala doktor pun tidak dapat mengenal pasti penyakit yang sebenar. Oleh itu, apakah yang harus dilakukan oleh seorang Kristian?

20 Bible bukanlah buku teks perubatan meskipun salah seorang penulisnya ialah doktor, dan rasul Paulus pernah menasihati Timotius tentang kesihatannya. Bible ialah buku yang memberikan panduan moral dan rohani. (Kolose 4:14; 1 Timotius 5:23) Maka, ketua keluarga Kristian bertanggungjawab membuat keputusan yang seimbang berkenaan rawatan perubatan. Barangkali, mereka perlu mendengar pandangan beberapa doktor. (Bandingkan Amsal 18:17.) Sudah tentu, mereka menginginkan rawatan yang terbaik untuk ahli keluarga yang sakit. Ramai mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan. Namun, ada yang lebih suka mendapatkan rawatan alternatif. Hal ini ialah keputusan peribadi. Tetapi, semasa menghadapi masalah kesihatan, orang Kristian perlu ingat bahawa ‘Firman Tuhan itu pelita yang memimpin mereka, dan cahaya yang menerangi jalan mereka.’ (Mazmur 119:105, ABB) Mereka tetap mengikut garis panduan dalam Bible. (Yesaya 55:8, 9) Oleh itu, mereka tidak akan mencari bomoh atau mengambil ubat yang melibatkan spiritisme. Mereka juga menolak rawatan yang bertentangan dengan prinsip Bible.​—Mazmur 36:10; Kisah 15:28, 29; Wahyu 21:8.

21, 22. Bagaimanakah seorang wanita membuat pilihan yang betul setelah merenungkan prinsip Bible? Apakah berkat yang diperolehnya?

21 Fikirkan kisah seorang wanita Asia yang muda. Dia baru sahaja mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa apabila dia melahirkan seorang bayi perempuan yang tidak cukup bulan. Anaknya hanya seberat 1.47 kg. Dia amat sedih kerana doktor berkata bahawa anaknya akan terencat akal dan tidak dapat berjalan seumur hidup. Doktor itu menasihatinya agar meninggalkan anaknya di sebuah rumah sakit jiwa. Suaminya tidak pasti akan hal ini. Siapakah yang dapat membantunya?

22 Dia berkata, “Saya teringat Bible mengatakan ‘anak-anak adalah anugerah Yehuwa; mereka adalah berkat-Nya.’” (Mazmur 127:3, ABB) Jadi, dia memilih untuk membawa pulang “anugerah” ini dan menjaganya. Pada mulanya memang tidak mudah, tetapi sahabat Kristian dalam sidang Saksi-Saksi Yehuwa telah membantunya. Maka, dia mampu memberikan penjagaan khas kepada anaknya. Dua belas tahun kemudian, anaknya menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dan bergaul mesra dengan orang muda di situ. Wanita itu berkata, “Saya begitu bersyukur kerana prinsip Bible telah menggerakkan saya untuk membuat pilihan yang betul. Bible membantu saya memelihara hati nurani yang murni dan saya tidak dihantui rasa bersalah.”

23. Apakah galakan yang diberikan Bible kepada pesakit dan ahli keluarga yang menjaga mereka?

23 Penyakit tidak akan wujud di dunia ini buat selama-lamanya. Nabi Yesaya menggambarkan masanya apabila ‘tiada sesiapa yang akan mengeluh kerana sakit.’ (Yesaya 33:24) Tidak lama lagi, janji ini akan menjadi kenyataan di dunia baru. Tetapi sekarang kita perlu bergelut dengan penyakit dan kematian. Alangkah gembiranya kita kerana mendapat bimbingan dan bantuan daripada Firman Tuhan! Nasihat dalam Bible tidak luput ditelan zaman dan lebih unggul daripada pendapat manusia berdosa yang sering berubah. Maka, orang yang bijaksana akan bersetuju dengan kata-kata pemazmur, ‘Taurat Yehuwa itu sempurna, menyegarkan jiwa. Perintah Yehuwa dapat dipercayai, memberikan kebijaksanaan kepada orang yang memerlukannya. Ketetapan Yehuwa itu adil, tidak berat sebelah. Pahala tersedia untuk orang yang mentaatinya.’​—Mazmur 19:8, 10, 12, ABB.