Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TIGA BELAS

Jika Rumah Tangga Hampir Runtuh

Jika Rumah Tangga Hampir Runtuh

1, 2. Apakah soalan yang patut ditanya jika perkahwinan anda dilanda masalah?

PADA tahun 1988, seorang wanita Itali yang bernama Lucia berasa hancur hati. * Selepas sepuluh tahun, hubungannya dengan suami menjadi renggang. Banyak kali dia cuba berbaik semula dengan suami tetapi usahanya tidak berhasil. Mereka berpisah kerana tidak serasi, dan kini dia harus membesarkan dua orang anak perempuan seorang diri. Pada masa itu, Lucia yakin bahawa tiada apa-apa yang dapat menyelamatkan perkahwinannya.

2 Anda mungkin memahami perasaan Lucia jika anda sendiri menghadapi masalah rumah tangga. Anda mungkin tertanya-tanya sama ada perkahwinan anda masih dapat diselamatkan. Jadi, anda boleh menanyakan soalan ini: Sudahkah saya mengikut semua nasihat yang diberikan Tuhan dalam Bible untuk menjayakan perkahwinan saya?​—Mazmur 119:105.

3. Apakah kesan perceraian ke atas pasangan yang bercerai dan keluarga mereka?

3 Apabila hubungan suami isteri semakin tegang, mereka mungkin berfikir bahawa perceraian ialah jalan penyelesaian yang paling mudah. Kini, bilangan orang yang bercerai meningkat secara mendadak di banyak negara. Tetapi menurut kajian, sebilangan besar daripada mereka menyesalinya. Ada yang mengalami lebih banyak masalah kesihatan fizikal dan mental, berbanding dengan mereka yang mengekalkan hubungan sebagai suami isteri. Anak-anak pula berasa keliru dan menderita selama bertahun-tahun. Ibu bapa dan kawan-kawan turut merasai kesan buruknya. Fikirkan juga perasaan Pengasas perkahwinan terhadap situasi ini.

4. Bagaimanakah masalah perkahwinan harus diselesaikan?

4 Seperti yang dipelajari dalam bab-bab sebelum ini, Tuhan menghendaki ikatan perkahwinan bertahan seumur hidup. (Kejadian 2:24) Jadi mengapakah begitu banyak perkahwinan menjadi retak? Hal ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Biasanya, ada tanda-tanda tertentu. Masalah kecil dalam perkahwinan boleh bertambah besar sehingga nampaknya tiada jalan keluar. Tetapi banyak perkahwinan tidak akan berakhir jika suami isteri segera menyelesaikan masalah mereka dengan bantuan Bible.

BERSIKAP REALISTIK

5. Apakah situasi sebenar yang harus dihadapi oleh mereka yang sudah berkahwin?

5 Kadangkala pandangan suami isteri yang tidak realistik boleh mencetuskan masalah. Novel cinta, majalah, rancangan televisyen, dan filem yang diminati ramai boleh mewujudkan harapan dan impian yang berasaskan alam fantasi. Apabila impian ini tidak menjadi kenyataan, seseorang mungkin berasa tertipu, tidak puas hati, bahkan marah dan kecewa. Jadi, bagaimanakah dua insan yang tidak sempurna dapat menikmati perkahwinan yang bahagia? Mereka perlu berusaha mencapai kejayaan.

6. (a) Bagaimanakah Bible memberikan pandangan yang seimbang tentang perkahwinan? (b) Mengapakah berlakunya perselisihan dalam perkahwinan?

6 Nasihat Bible sangat praktikal. Meskipun Bible menyatakan bahawa perkahwinan membawa sukacita, kita juga diberikan amaran bahawa mereka yang berkahwin akan “menghadapi banyak kesusahan.” (1 Korintus 7:28) Seperti yang sudah dipelajari, suami isteri tidak sempurna dan cenderung berdosa. Setiap individu berbeza dari segi mental, emosi, dan latar belakang. Ada kalanya suami isteri tidak bersetuju tentang wang, anak-anak, atau keluarga mentua. Perselisihan juga timbul apabila mereka tidak menghabiskan masa bersama atau berlakunya masalah dalam soal seks. * Masa diperlukan untuk mengatasi masalah sebegini, tetapi janganlah berputus asa! Kebanyakan pasangan berjaya menangani masalah dan mencapai persefahaman.

MEMBINCANGKAN PERSELISIHAN FAHAM

7, 8. Menurut Bible, apakah yang boleh dilakukan jika suami isteri berselisih faham atau berasa terluka?

7 Ramai tidak dapat bertenang semasa membincangkan perselisihan faham, perasaan yang terluka, atau kelemahan diri. Mereka tidak berterus terang dengan pasangan tetapi terlalu mengikut perasaan dan membesar-besarkan masalah. Ramai berkata, “Kamu pentingkan diri saja,” atau “Kamu tak sayang saya.” Pasangan yang seorang lagi mungkin membisu kerana enggan bertengkar.

8 Bukankah lebih baik untuk mengikut nasihat Bible? “Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari.” (Efesus 4:26, ABB) Semasa ulang tahun perkahwinan yang ke-60, sepasang suami isteri ditanya tentang rahsia kebahagiaan mereka. Suami menjawab, “Tidak kira sama ada perselisihan itu besar atau kecil, kami akan selesaikannya sebelum tidur.”

9. (a) Menurut Bible, suami isteri perlu melakukan apa semasa berbincang? (b) Suami isteri memerlukan kerendahan hati dan keberanian untuk melakukan apa?

9 Apabila berlakunya perselisihan faham, suami dan isteri perlu “cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.” (Yakobus 1:19) Selepas mendengar dengan teliti, kedua-dua suami isteri mungkin perlu meminta maaf. (Yakobus 5:16) Ya, kerendahan hati dan keberanian diperlukan untuk memohon maaf dengan ikhlas. Tetapi pasangan yang berbuat demikian bukan sahaja menyelesaikan masalah, malah dapat memupuk kemesraan dan keintiman. Hasilnya, mereka akan lebih suka menghabiskan masa bersama.

MEMENUHI ‘KEWAJIPAN SUAMI ISTERI’

10. Apakah nasihat Paulus yang boleh diterapkan oleh orang Kristian hari ini?

10 Semasa rasul Paulus menulis kepada orang Korintus, dia menasihati mereka supaya berkahwin. Mengapa? Kerana ‘godaan untuk melakukan perbuatan yang cabul’ terdapat di merata-rata. (1 Korintus 7:2) Dunia hari ini sama seperti Korintus kuno, malah lebih teruk lagi. Ramai orang membincangkan topik lucah secara terbuka dan memakai pakaian yang menjolok mata. Selain itu, majalah, buku, TV, dan filem memaparkan cerita ghairah. Semua ini membangkitkan nafsu seks yang haram. Paulus memberitahu orang Korintus, “Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar.”​—1 Korintus 7:9.

11, 12. (a) Apakah kewajipan suami dan isteri terhadap satu sama lain? Bagaimanakah mereka harus memenuhi kewajipan ini? (b) Apakah yang harus dilakukan jika suami atau isteri tidak dapat menunaikan kewajipan perkahwinan buat seketika?

11 Oleh itu, Bible memberikan perintah ini kepada pasangan Kristian: “Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya.” (1 Korintus 7:3) Perhatikan bahawa Bible menekankan perbuatan memberi, bukannya menuntut. Hubungan seks dalam perkahwinan benar-benar memuaskan hanya jika suami isteri masing-masing mendahulukan kepentingan pasangan. Misalnya, Bible memerintah suami agar memperlakukan isteri “dengan penuh pengertian.” (1 Petrus 3:7) Hal ini penting khasnya dalam hubungan seks. Jika isteri tidak diperlakukan dengan cara yang lembut, dia mungkin tidak dapat menikmati aspek perkahwinan ini.

12 Ada masanya, suami atau isteri tidak dapat menunaikan kewajipan ini. Contohnya, isteri datang bulan atau dia berasa sangat letih. (Bandingkan Imamat 18:19.) Mungkin suami menghadapi tekanan emosi kerana masalah besar di tempat kerja. Dalam keadaan sebegini, adalah baik jika suami isteri berbincang dan “kedua-dua belah pihak bersetuju” bahawa mereka tidak menunaikan kewajipan perkahwinan buat seketika. (1 Korintus 7:5) Dengan ini, mereka berdua tidak akan salah faham. Namun begitu, jika isteri sengaja mengelakkan kewajipan ini, atau jika suami sengaja tidak menunaikan kewajipannya dalam cara yang pengasih, pasangannya mungkin senang digoda. Akibatnya, masalah mungkin timbul dalam perkahwinan mereka.

13. Bagaimanakah orang Kristian boleh memastikan fikiran mereka bersih?

13 Semua orang Kristian, termasuk mereka yang sudah berkahwin, mesti menjauhi bahan lucah yang membangkitkan nafsu yang najis dan tidak normal. (Kolose 3:5) Mereka juga mesti mengawal fikiran dan tingkah laku semasa bergaul dengan orang yang berlawanan jantina. Yesus memberikan amaran: “Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.” (Matius 5:28) Dengan menerapkan nasihat Bible tentang seks, suami isteri dapat menghindari godaan dan perzinaan. Mereka harus menghargai dan terus menikmati hubungan seks antara satu sama lain, kerana hubungan intim ini ialah pemberian daripada Yehuwa, Pengasas perkahwinan kita.​—Amsal 5:15-19.

DASAR PERCERAIAN DALAM BIBLE

14. Apakah situasi sedih yang kadangkala berlaku? Apakah sebabnya?

14 Kita bergembira untuk mengetahui bahawa kebanyakan pasangan Kristian berjaya menangani apa jua masalah perkahwinan yang timbul. Sedihnya, ada juga yang gagal. Oleh sebab manusia tidak sempurna dan hidup dalam dunia Syaitan, sesetengah perkahwinan seperti telur di hujung tanduk. (1 Yohanes 5:19) Bagaimanakah orang Kristian dapat menangani cabaran ini?

15. (a) Apakah satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan seseorang bercerai dan berkahwin semula? (b) Mengapakah sesetengah orang memilih untuk tidak bercerai dengan pasangan yang curang?

15 Seperti yang disebut dalam Bab 2 buku ini, perbuatan cabul ialah satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan seseorang bercerai dan berkahwin semula. * (Matius 19:9) Jika anda mempunyai bukti kukuh bahawa pasangan anda berlaku curang, anda perlu membuat keputusan yang sukar. Adakah anda akan terus hidup bersamanya atau bercerai? Bible tidak menetapkan peraturan khusus. Sesetengah orang mengampuni pasangannya yang benar-benar bertaubat, dan perkahwinan mereka bukan sahaja bertahan tetapi juga bahagia. Yang lain pula memilih untuk tidak bercerai demi kepentingan anak-anak.

16. (a) Mengapakah sesetengah orang menceraikan pasangan yang curang? (b) Mengapakah tiada sesiapa yang patut mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh pasangan yang tidak bersalah?

16 Akan tetapi, kecurangan pasangan mungkin menyebabkan kehamilan atau penyakit kelamin. Barangkali anak perlu dilindungi daripada ibu atau bapa yang menderanya secara seksual. Jelaslah, banyak yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan. Tetapi jika anda mengadakan hubungan seks dengan pasangan anda meskipun mengetahui bahawa dia curang, anda menunjukkan bahawa anda mengampuninya dan ingin mengekalkan perkahwinan anda. Maka, menurut prinsip Bible, anda tidak lagi mempunyai dasar untuk bercerai dan berkahwin semula. Tiada sesiapa yang patut campur tangan dan mencuba mempengaruhi atau mempersoalkan keputusan anda. Anda harus menanggung akibat keputusan anda kerana “tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.”​—Galatia 6:5.

DASAR UNTUK BERPISAH

17. Apakah syarat Bible bagi seseorang yang berpisah atau bercerai dengan teman hidup yang tidak berbuat cabul?

17 Selain perbuatan cabul, wujudkah situasi lain yang membolehkan seseorang berpisah atau mungkin bercerai dengan teman hidupnya? Ya, tetapi dalam keadaan sebegini, seorang Kristian tidak bebas untuk berkahwin dengan orang lain. (Matius 5:32) Meskipun perpisahan dibenarkan, Bible mengarahkan individu itu supaya “tidak bersuami [atau beristeri],” atau dia harus “kembali kepada suaminya [atau isterinya].” (1 Korintus 7:11) Apakah beberapa situasi yang membolehkan seseorang untuk berpisah dengan teman hidupnya?

18, 19. Apakah beberapa situasi yang membolehkan seseorang bercerai atau berpisah secara sah, biarpun dia tidak boleh berkahwin semula?

18 Keluarga mungkin hidup melarat kerana suami sangat malas dan mengamalkan tabiat buruk. * Dia mungkin membazirkan pendapatan keluarga dengan berjudi, atau membeli dadah dan arak. Bible berkata, ‘Jika seseorang tidak memelihara anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman.’ (1 Timotius 5:8) Jika suami enggan berubah, dan bahkan menghabiskan pendapatan isteri untuk tabiat buruknya, isteri boleh memilih untuk melindungi diri dan anak dengan mendapatkan perpisahan yang sah dari segi undang-undang.

19 Seseorang juga boleh berpisah secara sah jika pasangannya terlampau ganas, dan mungkin memukulnya berkali-kali sehingga kesihatan dan nyawanya terancam. Selain itu, seseorang yang sering dipaksa oleh pasangannya untuk melanggar hukum Tuhan boleh memilih untuk berpisah, terutamanya jika kerohaniannya tergugat. Dia boleh menyimpulkan bahawa dia perlu mendapatkan perpisahan yang sah supaya dia dapat ‘taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’​—Kisah 5:29.

20. (a) Apabila berlakunya masalah rumah tangga, apakah yang boleh dilakukan oleh sahabat yang matang dan para penatua? Apakah yang patut dihindari? (b) Suami isteri tidak patut menggunakan prinsip Bible berkenaan perpisahan dan perceraian sebagai dalih untuk melakukan apa?

20 Jika berlakunya keganasan rumah tangga yang melampau, tiada sesiapa yang patut memaksa mangsa untuk berpisah atau terus tinggal dengan pasangannya. Walaupun sahabat yang matang dan para penatua boleh menawarkan bantuan dan nasihat Bible, mereka tidak mengetahui segala-gala yang berlaku antara suami isteri. Hanya Yehuwa yang mengetahui situasi yang sebenar. Sudah tentu, suami atau isteri Kristian yang sengaja mencari dalih untuk melepaskan diri daripada perkahwinannya tidak menghormati aturan Tuhan. Tetapi jika situasi yang sangat teruk berterusan, seseorang boleh memilih untuk berpisah, dan orang lain tidak patut mengkritiknya. ‘Kita semua akan menghadap Tuhan untuk diadili.’​—Roma 14:10.

PERKAHWINAN YANG DISELAMATKAN

21. Ceritakan pengalaman yang menunjukkan bahawa nasihat Bible boleh menyelamatkan perkahwinan.

21 Ingatkah anda tentang Lucia yang disebutkan di awal bab? Tiga bulan selepas berpisah dengan suaminya, dia menemui Saksi-Saksi Yehuwa dan mula mempelajari Bible. Dia menjelaskan, “Saya kagum sebab Bible memberikan cadangan praktikal untuk masalah saya. Baru seminggu mempelajari Bible, saya ingin berbaik dengan suami. Hari ini saya boleh berkata bahawa Yehuwa tahu menyelamatkan perkahwinan yang dilanda masalah kerana ajaran-Nya membantu suami isteri untuk saling menghormati. Ada orang mendakwa bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memecahbelahkan keluarga, tapi hal ini tak benar. Perkara yang sebaliknya berlaku pada diri saya.” Lucia belajar untuk menerapkan prinsip Bible dalam hidupnya.

22. Suami isteri harus yakin sepenuhnya pada apa?

22 Selain Lucia, banyak lagi pengalaman menunjukkan bahawa perkahwinan ialah kurniaan, bukannya beban. Atas sebab itu, Yehuwa menyediakan Firman-Nya untuk membekalkan nasihat yang terbaik tentang perkahwinan. Bible “memberikan kebijaksanaan kepada orang yang memerlukannya.” (Mazmur 19:8-12) Bible telah menyelamatkan banyak rumah tangga yang hampir runtuh dan memperbaik banyak perkahwinan yang dirundung masalah besar. Semoga suami isteri yakin pada nasihat perkahwinan yang diberikan oleh Yehuwa. Nasihat-Nya memang berkesan!

^ per. 1 Nama telah diubah.

^ per. 6 Beberapa perkara telah pun dibincangkan dalam bab-bab sebelum ini.

^ per. 15 Dalam Bible, istilah “perbuatan cabul” merangkumi perzinaan, hubungan sejenis, seks dengan binatang, dan perbuatan haram lain yang melibatkan organ seks.

^ per. 18 Hal ini tidak melibatkan situasi yang mana suami tidak dapat menyara keluarga atas sebab-sebab di luar kawalannya. Contohnya, dia sakit atau tidak dapat mencari kerja.