Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB EMPAT BELAS

Mengharungi Zaman Tua Bersama

Mengharungi Zaman Tua Bersama

1, 2. (a) Apakah perubahan yang berlaku seraya usia meningkat tua? (b) Bagaimanakah hamba Tuhan pada zaman Bible mengharungi zaman tua dengan puas?

BANYAK perubahan berlaku seraya usia kita meningkat tua. Kita semakin lemah dan mudah letih. Apabila kita memandang cermin, kita melihat muka yang mula berkedut. Rambut juga semakin beruban dan bahkan gugur. Daya ingatan semakin merosot. Selain itu, kita perlu menjalin hubungan baru apabila anak-anak berkahwin, dan juga apabila anak cucu lahir. Sesetengah orang yang bersara pula perlu mengubah rutin harian mereka.

2 Ya, usia tua membawa banyak cabaran. (Pengkhutbah 12:1-8) Namun, fikirkan hamba Tuhan pada zaman Bible seperti Abraham, Ishak, dan Ayub. Sepanjang hidup, mereka telah menimba hikmat dan pengertian. Hasilnya, mereka mengharungi zaman tua dengan puas meskipun mereka meninggal juga pada akhirnya. (Ayub 12:12, 13) Bagaimanakah mereka dapat mengharungi zaman tua dengan gembira? Sudah pasti mereka hidup selaras dengan prinsip yang boleh dijumpai dalam Bible.​—Mazmur 119:105; 2 Timotius 3:16, 17.

3. Apakah pedoman yang diberikan Paulus kepada lelaki dan wanita tua?

3 Semasa rasul Paulus menulis kepada Titus, dia menyampaikan pedoman kepada mereka yang semakin tua. Dia menulis, ‘Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, tahu mengawal diri, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan. Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik.’ (Titus 2:2, 3, ABB) Kata-kata ini boleh membantu anda menghadapi cabaran usia tua.

MENYESUAIKAN DIRI APABILA ANAK BERDIKARI

4, 5. Apakah reaksi kebanyakan ibu bapa apabila anak-anak mereka meninggalkan rumah? Bagaimanakah sesetengah ibu bapa menyesuaikan diri dengan keadaan ini?

4 Ibu bapa perlu menyesuaikan diri apabila anak-anak dewasa berpindah dan mendirikan rumah tangga sendiri. Pada masa ini, ibu bapa akan sedar bahawa mereka sudah berumur. Meskipun mereka gembira kerana anak sudah dewasa, mereka juga risau sama ada dia sudah bersedia untuk hidup berdikari. Rasa rindu mungkin menyelubungi mereka.

5 Biarpun anak sudah berpindah, ibu bapa masih mengambil berat tentang kesejahteraannya. “Kalaulah saya dapat mendengar khabar daripada mereka selalu, dan yakin bahawa mereka sihat sejahtera, barulah saya akan gembira,” kata seorang ibu. Seorang bapa berkata, “Kami sedih sekali apabila anak perempuan kami pindah keluar. Rumah kami sunyi saja kerana dulu kami melakukan semua aktiviti bersama.” Bagaimanakah ibu bapa dapat menyesuaikan diri apabila anak-anak tidak lagi berada di sisi mereka? Mereka boleh menunjukkan keprihatinan dan membantu orang lain.

6. Bagaimanakah ibu bapa boleh memupuk pandangan yang betul tentang hubungan mereka dengan anak-anak?

6 Peranan ibu bapa berubah apabila anak-anak berkahwin. Kejadian 2:24 berkata, “Seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.” Ibu bapa boleh memupuk pandangan yang betul jika mereka berpegang pada prinsip kekepalaan dan ketertiban yang diberikan Tuhan.​—1 Korintus 11:3; 14:33, 40.

7. Apakah sikap baik yang dipupuk oleh seorang bapa apabila anak-anaknya berkahwin dan berpindah?

7 Sepasang suami isteri merasakan kekosongan dalam hidup apabila dua orang anak perempuan mereka berkahwin dan berpindah. Pada mulanya, suami tidak menyukai menantunya. Tetapi seraya dia merenungkan prinsip kekepalaan, dia sedar bahawa menantunya bertanggungjawab terhadap keluarga mereka. Oleh itu, setiap kali anak-anak meminta nasihatnya, dia akan menanya sama ada mereka sudah mendengar pandangan suami sendiri. Kemudian, dia berusaha untuk menyokong pandangan menantunya. Kini menantunya menganggapnya sebagai kawan dan menyambut baik nasihatnya.

8, 9. Bagaimanakah sesetengah ibu bapa menyesuaikan diri dengan anak dewasa yang berdikari?

8 Apakah yang harus dilakukan jika anak anda yang baru berkahwin melakukan sesuatu yang selaras dengan prinsip Bible tetapi tidak sesuai dengan kehendak anda? “Kami sentiasa membantu mereka mengikut sudut pandangan Yehuwa,” kata sepasang suami isteri yang mempunyai anak-anak yang sudah berkahwin. “Meskipun kami tak suka keputusan mereka, kami tetap menyokong dan menggalakkan mereka.”

9 Di sesetengah negara Asia, ada ibu yang susah menerima hakikat bahawa anak lelaki mereka sudah berdikari. Walau bagaimanapun, mereka dapat mengurangkan perselisihan dengan menantu jika mereka menghormati prinsip kekepalaan dan ketertiban dalam Bible. Seorang wanita Kristian berkata bahawa dia “meraih banyak berkat” setelah anak-anak lelakinya berpindah. Dia gembira melihat mereka menguruskan rumah tangga dengan baik. Dia dan suaminya juga tidak perlu memikul begitu banyak beban dari segi fizikal dan mental, seraya mereka mengharungi zaman tua.

MEMPERKUKUH IKATAN PERKAHWINAN

10, 11. Apakah nasihat Bible yang dapat membantu orang menangani krisis pertengahan umur?

10 Setiap orang menangani krisis pertengahan umur dengan cara yang berbeza. Ada lelaki yang mengubah cara pemakaian supaya kelihatan lebih muda. Ramai wanita risau tentang perubahan yang dialami apabila mereka putus haid. Sedihnya, ada yang berfoya-foya dengan lelaki atau wanita yang lebih muda sehingga pasangan mereka marah dan iri hati. Tetapi lelaki rohani yang matang berfikiran sihat; mereka tahu “mengawal diri” dan keinginan yang salah. (1 Petrus 4:7) Wanita yang matang juga berusaha mengekalkan keutuhan rumah tangga kerana mereka mengasihi suami dan ingin menyenangkan hati Yehuwa.

11 Raja Lemuel diilhami untuk menulis kata-kata pujian bagi ‘isteri cekap’ yang ‘berbuat baik kepada suami seumur hidupnya.’ Seorang suami Kristian pasti menghargai isteri yang berusaha menangani pergolakan emosi yang melanda semasa dia mencapai pertengahan umur. Kasih akan mendorongnya untuk memuji isteri.​—Amsal 31:10, 12, 28.

12. Dengan berlalunya masa, bagaimanakah suami isteri dapat mengeratkan hubungan mereka?

12 Semasa anak-anak membesar, anda dan pasangan hidup mungkin mengetepikan hasrat peribadi agar dapat memenuhi keperluan anak. Kini selepas mereka berpindah, anda berdua berpeluang untuk berfokus semula pada perkahwinan anda. “Apabila anak-anak perempuan saya berpindah,” kata seorang suami, “saya mula berpacaran dengan isteri seperti dulu.” Seorang lagi suami berkata, “Kami saling menjaga kesihatan dan mengingatkan satu sama lain tentang pentingnya untuk bersenam.” Dia dan isterinya mengatasi rasa sunyi dengan menjemput ahli sidang ke rumah. Ya, kita akan menerima berkat dan menyenangkan hati Yehuwa jika kita prihatin terhadap orang lain.​—Filipi 2:4; Ibrani 13:2, 16.

13. Bagaimanakah sikap jujur dan terbuka membantu suami isteri mengharungi zaman tua bersama?

13 Jangan biarkan apa-apa pun menghalang anda daripada berkomunikasi dengan pasangan anda secara jujur dan terbuka. (Amsal 17:27) “Kami dapat lebih memahami satu sama lain dengan menunjukkan sikap prihatin dan bertimbang rasa,” kata seorang suami. Isterinya bersetuju dan berkata, “Seraya kami semakin tua, kami suka minum teh bersama, berbual-bual, dan saling membantu.” Sikap jujur dan terbuka dapat mengukuhkan ikatan perkahwinan agar anda berdua dapat mematahkan serangan si pemusnah perkahwinan, iaitu Syaitan.

ANAK CUCU MEMBAWA SUKACITA

14. Bagaimanakah nenek Timotius membantunya membesar sebagai seorang Kristian?

14 Anak cucu merupakan kebanggaan orang tua. (Amsal 17:6) Datuk dan nenek pasti teruja dan gembira menimang cucu. Bible menyebut tentang seorang nenek yang bernama Lois dengan anak perempuannya, Eunike. Lois telah berkongsi kepercayaan dengan cucu kecilnya, Timotius. Seraya Timotius membesar, dia dapat melihat bahawa ibu dan neneknya amat menghargai kebenaran dalam Bible.​—2 Timotius 1:5; 3:14, 15.

15. Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh datuk nenek kepada cucu? Apakah yang harus dihindari?

15 Seperti Lois, anda sebagai datuk dan nenek boleh memberikan sumbangan yang sangat bernilai. Anda sudah mengajar anak-anak anda tentang kehendak Yehuwa. Kini anda boleh mengajar generasi yang seterusnya! Ramai anak kecil suka mendengar datuk dan nenek menceritakan kisah Bible. Sudah tentu, anda tidak mahu mengambil alih peranan bapa yang bertanggungjawab menyemai kebenaran dalam hati anaknya. (Ulangan 6:7) Anda hanya memberikan sokongan. Semoga anda berdoa seperti pemazmur, ‘Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Tuhan. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.’​—Mazmur 71:18, ABB; 78:5, 6.

16. Bagaimanakah datuk nenek boleh memastikan bahawa mereka tidak menyebabkan hubungan keluarga menjadi tegang?

16 Sedihnya, ada datuk dan nenek yang memanjakan cucu sehingga hubungan datuk nenek dengan anak dewasa semakin tegang. Namun, tunjukkanlah kebaikan hati terhadap cucu anda. Dengan ini, dia mungkin lebih senang meluahkan isi hatinya kepada anda meskipun dia berat hati untuk memberitahu ibu bapanya. Kadangkala cucu mahu datuk nenek memihak kepadanya dan menentang ibu bapa. Apakah yang boleh anda buat? Bertindaklah dengan bijak dan galakkan cucu untuk berterus terang dengan ibu bapanya. Jelaskan bahawa Yehuwa gembira jika dia berbuat demikian. (Efesus 6:1-3) Jika perlu, anda boleh mencadangkan agar anda menceritakan masalah itu kepada ibu bapanya terlebih dahulu. Janganlah segan untuk berkongsi pengalaman hidup anda dengannya. Sikap anda yang jujur dan terbuka boleh membantunya.

BUAT PENYESUAIAN SERAYA USIA MENINGKAT

17. Apakah azam pemazmur yang harus ditiru oleh orang Kristian yang lanjut usia?

17 Seraya usia anda semakin meningkat, anda mungkin tidak dapat melakukan banyak perkara seperti dahulu, meskipun anda ingin melakukannya. Bagaimanakah anda dapat menangani cabaran ini? Anda mungkin rasa diri anda berumur 30 tahun, tetapi pada hakikatnya, anda melihat wajah yang lebih tua di dalam cermin. Janganlah tawar hati. Pemazmur merayu kepada Yehuwa, “Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.” Bertekadlah untuk meniru azam pemazmur yang berkata, “Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu, dan semakin memuji-Mu.”​—Mazmur 71:9, 14, ABB.

18. Bagaimanakah orang Kristian yang matang menggunakan masa persaraan dengan bijak?

18 Ramai orang merancang untuk memperluas khidmat kepada Yehuwa selepas mereka bersara. “Saya membuat perancangan awal tentang apa yang akan saya buat apabila anak perempuan kami tamat sekolah,” jelas seorang ayah yang sudah bersara. “Saya bertekad untuk menyertai kerja penyebaran sepenuh masa. Jadi saya menjual perniagaan saya agar mempunyai lebih banyak masa untuk kerja Yehuwa. Saya berdoa meminta bimbingan Tuhan.” Jika anda bakal bersara, anda boleh mendapat kelegaan hati daripada kata-kata Pencipta Agung kita: ‘Aku tetap Tuhan kamu sampai kamu tua; Aku akan memelihara kamu sampai kamu beruban.’​—Yesaya 46:4.

19. Apakah nasihat yang diberikan kepada mereka yang lanjut usia?

19 Seorang pesara mungkin berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru. Rasul Paulus menasihati lelaki yang tua supaya “bijaksana.” Mereka perlu bijak mengawal diri dan tidak mengejar kesenangan hidup. Jadi, anda mungkin memerlukan lebih banyak disiplin dan kawalan diri selepas bersara. Anda harus ‘rajin bekerja untuk Tuhan, kerana semua yang dilakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia.’ (1 Korintus 15:58) Bukalah hati anda dan bantu orang lain. (2 Korintus 6:13) Ramai orang Kristian berbuat demikian dengan menyebarkan berita baik mengikut kemampuan sendiri. Seraya usia anda meningkat tua, anda harus “sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan.”​—Titus 2:2.

APABILA PASANGAN HIDUP MENINGGAL

20, 21. (a) Apakah yang akan memisahkan suami isteri dalam sistem dunia ini? (b) Bagaimanakah mereka yang kehilangan pasangan hidup boleh mencontohi teladan baik Hana?

20 Sedihnya dalam sistem dunia ini, suami isteri harus menerima hakikat bahawa suatu hari nanti mereka akan dipisahkan oleh kematian. Orang Kristian tahu bahawa pasangan mereka yang sudah meninggal sebenarnya sedang tidur. Mereka yakin bahawa mereka akan berjumpa lagi dengan orang tersayang pada kelak hari. (Yohanes 11:11, 25) Tetapi mereka masih merasai keperitannya. Bagaimanakah mereka dapat menanggung penderitaan ini? *

21 Ingatlah apa yang dilakukan oleh Hana yang berumur 84 tahun. Menurut Bible, dia menjadi balu selepas berkahwin selama tujuh tahun sahaja. Dia pasti bersedih atas kehilangan suaminya. Bagaimanakah dia menanggung keperitannya? Siang malam dia beribadat kepada Yehuwa di Rumah Tuhan. (Lukas 2:36-38) Sudah tentu, khidmatnya kepada Yehuwa membantu mengubati kesedihan dan kesunyian yang dirasainya sebagai seorang balu.

22. Bagaimanakah sesetengah balu dan duda menanggung kesunyian?

22 “Cabaran terbesar ialah saya tak dapat berbual dengan seorang teman,” kata seorang balu berusia 72 tahun yang kehilangan suaminya sepuluh tahun yang lalu. “Suami saya mahir mendengar. Kami akan bercakap tentang sidang dan kerja menginjil.” Seorang lagi balu berkata, “Biarpun masa mengubati kesakitan, saya mendapati bahawa apa yang benar-benar membantu ialah cara seseorang menggunakan masanya. Anda berpeluang membantu lebih banyak orang.” Seorang duda berusia 67 tahun bersetuju. Dia berkata, “Cara yang baik untuk menanggung kesunyian adalah dengan melegakan hati orang lain.”

DIHARGAI OLEH TUHAN BIARPUN TUA

23, 24. Bagaimanakah Bible melegakan hati balu dan duda yang lanjut usia?

23 Biarpun kematian meragut nyawa pasangan yang dikasihi, Yehuwa tetap setia. Raja Daud menyanyi, “Aku telah memohon satu perkara kepada Tuhan; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah Tuhan sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.”​—Mazmur 27:4, ABB.

24 Rasul Paulus menggesa, “Hormatilah balu yang benar-benar hidup seorang diri.” (1 Timotius 5:3, ABB) Kata-kata Paulus yang seterusnya menunjukkan bahawa balu yang tidak mempunyai saudara dekat layak menerima bantuan kebendaan daripada sidang. Namun begitu, perkataan ‘menghormati’ juga bererti mereka harus dihargai. Balu dan duda yang takut akan Tuhan boleh berasa lega hati kerana Yehuwa menghargai dan akan memelihara mereka!​—Yakobus 1:27.

25. Apakah matlamat yang boleh ditetapkan oleh orang yang lanjut usia?

25 Firman Tuhan menyatakan bahawa “orang tua dihormati kerana uban,” dan “ubannya bagaikan mahkota yang mulia.” (Amsal 16:31; 20:29) Jadi, tidak kira sama ada anda sudah berkahwin atau kehilangan pasangan hidup, teruslah mendahulukan khidmat Yehuwa. Dengan ini, anda akan mendapat perkenan Tuhan sekarang dan berpeluang menikmati kehidupan kekal di dunia baru nanti. Pada masa itu, penderitaan yang dibawa oleh usia tua akan menjadi perkara silam.​—Mazmur 37:3-5; Yesaya 65:20.

^ per. 20 Untuk perbincangan lanjut tentang subjek ini, sila lihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?, bab 7, perenggan 4-6 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.