Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 1

“Lihatlah! Dialah Tuhan Kita!”

“Lihatlah! Dialah Tuhan Kita!”

1, 2. (a) Apakah soalan yang ingin anda tanyakan kepada Tuhan? (b) Apakah soalan yang ditanyakan oleh Musa kepada Tuhan?

 DAPATKAH anda membayangkan bagaimana rasanya jika anda dapat berbual-bual dengan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat? Pada mulanya anda mungkin berasa ragu-ragu, tetapi akhirnya anda dapat bersuara. Anda pasti berasa sangat teruja kerana Dia sudi mendengar kata-kata anda, dan bahkan membuat anda berasa selesa untuk menanyakan apa sahaja soalan yang anda inginkan. Apakah yang akan anda tanya?

2 Berabad-abad dahulu, seorang lelaki berada dalam situasi sedemikian. Namanya ialah Musa. Soalan yang ditanyakan oleh Musa kepada Tuhan mungkin membuat anda hairan. Musa tidak bertanya tentang dirinya, masa depannya, atau masa depan umat manusia. Sebaliknya, dia menanyakan nama Tuhan. Musa sudah mengetahui nama Tuhan. Maka soalannya pasti mempunyai makna yang lebih mendalam. Jawapan kepada soalannya mempengaruhi kita semua dan dapat membantu anda untuk menjalinkan hubungan yang akrab dengan Tuhan. Mengapa? Marilah kita membincangkan perbualan yang menarik itu.

3, 4. Apakah yang berlaku sebelum Musa bercakap dengan Tuhan? Apakah inti percakapan mereka?

3 Pada waktu itu, Musa berusia 80 tahun. Selama 40 tahun, dia terpisah jauh daripada bangsanya, iaitu orang Israel, yang menjadi hamba di Mesir. Pada suatu hari, sewaktu dia sedang menjaga kawanan biri-biri bapa mentuanya, dia nampak suatu kejadian yang amat luar biasa. Dia nampak sebatang pokok kecil sedang bernyala, tetapi pokok itu tidak terbakar. Jadi Musa mendekati pokok itu untuk melihat apa yang berlaku. Dia pasti terkejut apabila suatu suara memanggilnya dari tengah-tengah pokok itu. Tuhan sedang bercakap kepadanya melalui satu malaikat! Kemudian Tuhan menyuruh Musa kembali ke Mesir untuk membebaskan orang Israel daripada perhambaan.​—Keluaran 3:1-12.

4 Sekarang Musa boleh menanyakan apa sahaja soalan yang diinginkannya. Tetapi perhatikanlah soalan yang ditanyakan olehnya: “Jika aku pergi kepada orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Tuhan nenek moyang kamu telah mengutus aku kepada kamu,’ dan mereka bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’ apakah yang harus aku katakan kepada mereka?”​—Keluaran 3:13.

5, 6. (a) Secara tidak langsung, apakah yang dapat kita pelajari daripada soalan Musa? (b) Apakah perbuatan terkutuk yang dilakukan terhadap nama Tuhan? (c) Mengapakah Tuhan memberitahu kita nama-Nya?

5 Secara tidak langsung, soalan itu menyingkapkan bahawa Tuhan mempunyai nama. Malangnya banyak orang memandang remeh kebenaran yang asas ini. Itulah sebabnya nama Tuhan telah dikeluarkan daripada banyak terjemahan Bible dan digantikan dengan gelaran seperti “Tuan” dan “Tuhan.” Sebenarnya perbuatan ini salah dan amat menyedihkan. Mengapa? Apabila anda berkenalan dengan seseorang, apakah perkara pertama yang akan anda tanyakan? Tidakkah anda akan menanyakan namanya? Demikian juga, jika anda ingin mengenal Tuhan, anda perlu mengetahui nama-Nya. Tuhan bukanlah makhluk penuh misteri yang tidak bernama. Biarpun kita tidak dapat melihat-Nya, Dia memang wujud dan mempunyai nama, iaitu Yehuwa.

6 Selain itu, apabila Tuhan memberitahu kita nama-Nya, Dia sedang mengundang kita untuk mengenal-Nya. Dia ingin kita membuat pilihan hidup yang terbaik, iaitu menghampiri-Nya. Tetapi Yehuwa bukan sahaja memberitahu kita nama-Nya, Dia bahkan juga mengajar kita tentang Individu di sebalik nama itu.

Erti Nama Tuhan

7. (a) Apakah erti nama Tuhan? (b) Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Musa apabila dia menanyakan nama Tuhan?

7 Yehuwa memilih nama-Nya sendiri, dan nama-Nya amat bermakna. “Yehuwa” bererti “Dia Menyebabkan Menjadi.” Tiada individu lain yang seperti Dia di seluruh alam semesta kerana Dia telah menciptakan segala sesuatu. Dia juga dapat menyebabkan semua tujuan-Nya menjadi kenyataan, dan Dia bahkan dapat menyebabkan hamba-hamba-Nya yang tidak sempurna untuk menjadi apa sahaja yang diingini-Nya. Bukankah nama-Nya amat mengagumkan? Sebenarnya Musa tahu bahawa Yehuwa ialah Pencipta, dan dia juga tahu nama Tuhan. Nama ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana manusia sudah menggunakan nama ini selama berabad-abad. Maka apabila Musa menanyakan nama Tuhan, dia sebenarnya sedang bertanya tentang Individu di sebalik nama ini. Musa seolah-olah sedang bertanya, “Apakah yang dapat saya katakan mengenai-Mu kepada orang Israel untuk membina iman mereka kepada-Mu, dan untuk meyakinkan mereka bahawa Engkau benar-benar akan menyelamatkan mereka?”

8, 9. (a) Bagaimanakah Yehuwa menjawab soalan Musa? Adakah jawapan Yehuwa menunjukkan bahawa Dia sekadar mengakui kewujudan-Nya? (b) Apakah makna ungkapan “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan”?

8 Sewaktu Yehuwa menjawab soalan Musa, Dia menyingkapkan satu sifat-Nya yang menonjol, yang berkait rapat dengan nama-Nya. Dia berfirman, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.” (Keluaran 3:14) Banyak Bible menterjemahkan ayat ini sebagai “Aku adalah AKU.” Tetapi sesetengah Bible yang diterjemahkan dengan baik menunjukkan bahawa Tuhan bukan sekadar mengakui bahawa Dia benar-benar wujud. Sebenarnya Yehuwa sedang mengajar Musa dan kita semua bahawa Dia “akan menjadi” apa pun yang diperlukan untuk mengotakan janji-janji-Nya. Seorang penterjemah Bible, J. B. Rotherham, menterjemahkan ayat ini sebagai “Aku Akan Menjadi apa sahaja yang Aku mahu.” Seorang pakar bahasa Ibrani menjelaskan maksud ungkapan ini: “Tidak kira apa situasi atau keperluan yang timbul . . . , Tuhan akan ‘menjadi’ penyelesaian kepadanya.”

9 Apakah makna hal ini bagi orang Israel? Tidak kira apa cabaran atau masalah yang menimpa mereka, Yehuwa akan menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk menyelamatkan mereka daripada perhambaan dan membawa mereka ke Tanah yang Dijanjikan. Sesungguhnya nama ini menguatkan kepercayaan mereka kepada Tuhan. Nama ini juga dapat menguatkan kepercayaan kita dewasa ini. (Mazmur 9:10) Mengapa?

10, 11. Bagaimanakah nama Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ialah Bapa yang terbaik? Berikan contoh.

10 Contohnya, ibu bapa tahu bahawa mereka harus pandai membuat penyesuaian untuk menjaga anak-anak mereka. Dalam satu hari, mereka perlu memainkan peranan sebagai jururawat, tukang masak, guru, pemberi disiplin, hakim, dan sebagainya. Mereka sedar bahawa anak-anak bergantung sepenuhnya pada mereka, dan selalu yakin bahawa mereka dapat menyelesaikan semua masalah, menghilangkan rasa sakit, membaiki mainan yang rosak, dan menjawab semua soalan. Tetapi sebilangan ibu bapa berasa tidak layak dan kadangkala patah semangat kerana keterbatasan sendiri.

11 Yehuwa juga ialah Bapa yang pengasih. Tanpa melampaui piawaian-Nya yang sempurna, Dia dapat melakukan segala sesuatu untuk menjaga kita. Maka nama-Nya, Yehuwa, mengundang kita untuk memandang-Nya sebagai Bapa yang terbaik. (Yakobus 1:17) Musa dan orang Israel yang setia telah melihat bukti akan hal ini. Mereka berpeluang menyaksikan bagaimana Yehuwa menjadi ketua angkatan tentera, penguasa alam semula jadi, pemberi hukum, hakim, jurutera, pemberi makanan dan minuman, penjaga pakaian dan kasut, dan sebagainya.

12. Bagaimanakah pandangan Firaun terhadap Yehuwa berbeza dengan pandangan Musa?

12 Tuhan telah menyingkapkan nama-Nya kepada kita, mengajar kita tentang Individu di sebalik nama itu, dan bahkan membuktikan bahawa apa yang dikatakan-Nya tentang diri-Nya memang benar. Semua ini menunjukkan bahawa Dia memang ingin kita mengenali-Nya dan menjadi sahabat-Nya. Maka apakah yang harus kita lakukan? Kita harus mencontohi teladan Musa, yang berusaha untuk menghampiri Yehuwa dan mengizinkan Yehuwa untuk membimbing haluan hidupnya. (Bilangan 12:6-8; Ibrani 11:27) Sedihnya, hanya segelintir orang yang hidup sezaman dengan Musa berbuat demikian. Contohnya, apabila Musa menyebut tentang nama Yehuwa, Firaun menjawab dengan angkuh, “Siapa Yehuwa itu?” (Keluaran 5:2) Firaun memandang rendah pada Tuhan orang Israel dan tidak mahu mengenali-Nya. Dewasa ini, banyak orang juga berpandangan sedemikian. Mereka tidak sedar akan hakikat bahawa Yehuwa ialah Tuhan Alam Semesta Yang Berdaulat.

Yehuwa—Tuhan Yang Berdaulat

13, 14. (a) Mengapakah Yehuwa mempunyai banyak gelaran? Nyatakan beberapa gelaran itu. (Lihat  kotak pada muka surat 14.) (b) Mengapakah hanya Yehuwa yang layak digelar sebagai “Tuhan Yang Berdaulat”?

13 Yehuwa dapat menjadi apa pun yang diinginkan-Nya, maka Dia layak mendapat pelbagai gelaran. Gelaran-gelaran ini membantu kita mengenali-Nya dengan lebih mendalam. Misalnya, Dia digelar sebagai “Tuhan Yang Berdaulat.” (2 Samuel 7:22) Gelaran ini, yang muncul ratusan kali dalam Bible, menyingkapkan bahawa hanya Dia yang berhak untuk menjadi Pemerintah seluruh alam semesta. Mengapa?

14 Yehuwa ialah Pencipta. Wahyu 4:11 menyatakan, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu, dan kerana kehendak-Mu segala sesuatu wujud dan diciptakan.” Kata-kata ini tidak dapat ditujukan kepada mana-mana individu yang lain kerana segala sesuatu di alam semesta diciptakan oleh Yehuwa. Ya, Dialah Tuhan Alam Semesta Yang Berdaulat dan Pencipta segala sesuatu.

15. Mengapakah Yehuwa digelar sebagai “Raja yang kekal”?

15 Satu lagi gelaran Yehuwa ialah “Raja yang kekal.” (1 Timotius 1:17; Wahyu 15:3) Hal ini bererti bahawa Yehuwa sentiasa wujud. Dia tidak ada permulaan dan tidak ada akhir. Mazmur 90:2 menyatakan, “Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya.” Yehuwa juga digelar sebagai “Dia Yang Lanjut Usia,” kerana Dia wujud sebelum sesiapa atau apa-apa pun di alam semesta ini wujud. (Daniel 7:9, 13, 22) Sesungguhnya, siapakah yang layak mencabar kedudukan-Nya sebagai Tuhan Alam Semesta Yang Berdaulat?

16, 17. (a) Mengapakah kita tidak dapat melihat Yehuwa? Mengapakah hal ini tidak sepatutnya menghairankan kita? (b) Mengapakah Yehuwa jauh lebih nyata daripada segala sesuatu yang dapat kita lihat atau sentuh?

16 Namun seperti Firaun, masih ada orang yang mencabar kedudukan Yehuwa. Mengapa? Hal ini demikian kerana manusia yang tidak sempurna cenderung mempercayai apa yang dapat dilihat oleh mata mereka. Tetapi kita tidak dapat melihat Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kerana Dia ialah makhluk roh. (Yohanes 4:24) Lagipun, jika manusia melihat Yehuwa, manusia akan mati. Kita tahu akan hal ini kerana Yehuwa sendiri memberitahu Musa, “Engkau tidak boleh melihat muka-Ku kerana tiada orang yang dapat hidup setelah melihat Aku.”​—Keluaran 33:20; Yohanes 1:18.

17 Hal itu tidak menghairankan kita. Musa berpeluang melihat hanya sebahagian kecil daripada kemuliaan Yehuwa menerusi satu malaikat. Apakah kesannya? Bible menyatakan bahawa “mukanya bercahaya” untuk suatu jangka waktu sehingga orang Israel takut untuk mendekatinya. (Keluaran 33:21-23; 34:5-7, 29, 30) Jadi, sememangnya tidak ada manusia yang dapat melihat Yehuwa. Tetapi dapatkah kita percaya akan kewujudan Tuhan jika kita tidak dapat melihat dan menyentuh-Nya? Ya. Kita mudah menerima dan mempercayai banyak hal yang tidak dapat dilihat, seperti angin, gelombang radio, fikiran, dan sebagainya. Tambahan lagi, Yehuwa kekal selama-lamanya dan tidak dipengaruhi oleh peredaran masa. Bukankah hal ini menunjukkan bahawa Dia jauh lebih nyata daripada segala sesuatu yang dapat kita lihat atau sentuh? (Matius 6:19) Tetapi patutkah kita memandang Yehuwa sebagai suatu kuasa abstrak yang telah menyebabkan kewujudan segala sesuatu? Marilah kita melihat jawapannya.

Keperibadian Tuhan

18. Apakah penglihatan Yehezkiel? Apakah yang digambarkan oleh keempat-empat muka makhluk itu?

18 Meskipun kita tidak dapat melihat Tuhan, Bible mempunyai catatan tentang keadaan di syurga. Contohnya, dalam penglihatan yang diberikan kepada Yehezkiel, dia melihat kenderaan Yehuwa yang mewakili bahagian organisasi-Nya di syurga. Dia melihat Yehuwa dikelilingi oleh makhluk-makhluk roh yang perkasa. (Yehezkiel 1:4-10) Makhluk-makhluk itu menyingkapkan butiran yang penting tentang Yehuwa. Setiap makhluk itu mempunyai empat muka: Muka lembu, muka singa, muka burung helang, dan muka manusia. Muka-muka itu menggambarkan empat sifat yang menjadi asas bagi keperibadian Yehuwa yang mengagumkan.​—Wahyu 4:6-8, 10.

19. Sifat apakah yang digambarkan oleh (a) muka lembu? (b) muka singa? (c) muka burung helang? (d) muka manusia?

19 Bible sering menggunakan lembu untuk melambangkan kuasa kerana lembu sangat kuat. Singa pula biasanya menggambarkan keadilan kerana seseorang memerlukan keberanian untuk menegakkan keadilan. Burung helang mempunyai penglihatan yang tajam dan dapat melihat benda yang kecil dari jarak yang jauh. Maka muka burung helang memang sesuai untuk menggambarkan kebijaksanaan Tuhan. Bagaimana pula dengan muka manusia? Manusia diciptakan menurut gambaran Tuhan dan dapat mencerminkan sifat utama-Nya, iaitu kasih. (Kejadian 1:26) Sifat-sifat ini, iaitu kuasa, keadilan, kebijaksanaan, dan kasih, selalu disebutkan dalam Bible dan merupakan sifat-sifat Yehuwa yang utama.

20. Adakah keperibadian Tuhan akan berubah seraya masa berlalu? Jelaskan.

20 Adakah keperibadian Tuhan akan berubah seraya masa berlalu? Tidak. Dia berfirman, “Akulah Yehuwa dan Aku tidak berubah.” (Maleakhi 3:6) Yehuwa tidak bertindak mengikut gerak hati. Dia membuktikan bahawa Dia merupakan Bapa yang terbaik melalui cara Dia menangani setiap situasi. Dia menunjukkan aspek-aspek keperibadian-Nya yang paling sesuai untuk situasi tertentu. Antara semua sifat Tuhan, kasih ialah sifat-Nya yang paling utama. Segala sesuatu yang dilakukan-Nya berdasarkan kasih. Dia menunjukkan kuasa, keadilan, dan kebijaksanaan-Nya dalam cara yang pengasih. Bible menyatakan, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Perhatikan bahawa ayat itu tidak menyatakan bahawa Tuhan mempunyai kasih. Ayat itu menyatakan bahawa Tuhan itu kasih. Ya, kasih ialah sifat utama yang mendorong segala perbuatan Yehuwa.

“Lihatlah! Dialah Tuhan Kita!”

21. Apakah perasaan kita setelah mengenali Yehuwa dengan lebih baik?

21 Pernahkah anda melihat seorang budak kecil menunjuk ke arah bapanya dan berkata dengan bangga, “Itulah ayah saya”? Para penyembah Tuhan memiliki alasan yang kuat untuk mempunyai perasaan yang sama mengenai Yehuwa. Bible menubuatkan waktunya apabila orang yang setia akan berseru, “Lihatlah! Dialah Tuhan kita!” (Yesaya 25:8, 9) Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, anda akan sedar bahawa Dia ialah Bapa yang terbaik.

22, 23. Bagaimanakah Bible menggambarkan Bapa kita yang di syurga? Bagaimanakah kita tahu bahawa Dia ingin kita menghampiri-Nya?

22 Sesetengah orang menggambarkan Tuhan sebagai Individu yang dingin, yang bersikap acuh tak acuh, dan yang jauh daripada kita. Tetapi Bible tidak menggambarkan Bapa kita dengan cara seperti itu. Bible menyatakan bahawa Dia ialah “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:11) Dia dapat bersikap tegas jika perlu, tetapi Dia juga dapat bersikap lembut. Sewaktu ciptaan-Nya melanggar piawaian-Nya, Bible berkata bahawa Dia berasa “sakit hati.” (Kejadian 6:6; Mazmur 78:41) Namun, jika kita bertindak selaras dengan Firman-Nya, kita menggembirakan hati-Nya.​—Amsal 27:11.

23 Bapa kita ingin agar kita menghampiri-Nya. Firman-Nya menggalakkan kita untuk ‘mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jika kita berbuat demikian, kita pasti akan menemui-Nya, kerana Dia sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.’ (Kisah 17:27) Tetapi bagaimanakah manusia yang fana dapat menghampiri Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat?