Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 2

Dapatkah Anda Benar-Benar ‘Menghampiri Tuhan’?

Dapatkah Anda Benar-Benar ‘Menghampiri Tuhan’?

1, 2. (a) Apakah yang nampaknya mustahil bagi banyak orang? Tetapi Bible meyakinkan kita tentang apa? (b) Apakah hubungan istimewa yang dinikmati oleh Abraham? Mengapa?

 BAYANGKAN bagaimana rasanya jika Pencipta syurga memanggil anda sahabat-Nya. Banyak orang berasa bahawa mustahil manusia dapat menjadi sahabat Tuhan. Tetapi Bible meyakinkan kita bahawa kita dapat menghampiri Tuhan.

2 Sebagai contoh, Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa menganggap Abraham sebagai sahabat-Nya. (Yesaya 41:8) Abraham menikmati hubungan yang istimewa itu kerana dia “beriman kepada Yehuwa.” (Yakobus 2:23) Dewasa ini, Yehuwa juga mahu memupuk persahabatan akrab dengan orang yang menyembah-Nya dan ingin “menunjukkan kasih-Nya” kepada mereka. (Ulangan 10:15) Bible menggalakkan kita, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yakobus 4:8) Kata-kata dalam ayat ini mengandungi satu undangan dan satu janji.

3. Apakah undangan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita? Apakah janji-Nya kepada kita?

3 Ya, Yehuwa mengundang kita untuk menghampiri-Nya. Dia berjanji bahawa jika kita berusaha untuk menghampiri-Nya, Dia juga akan menghampiri kita. Maka kita dapat menjadi “sahabat akrab” Tuhan. (Mazmur 25:14) Biasanya seseorang akan memberitahu rahsianya kepada sahabat karibnya.

4. Apakah ciri-ciri seorang sahabat akrab? Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa jika Dia ialah sahabat akrab anda?

4 Adakah anda mempunyai seorang sahabat karib yang sentiasa sudi mendengar luahan hati anda? Jika ada, dia pasti prihatin terhadap anda. Dia memahami anda dan setia kepada anda. Anda mempercayainya dan berkongsi suka duka kehidupan dengannya, dan rasa simpatinya meringankan beban penderitaan anda. Begitu juga, jika anda menghampiri Tuhan, anda mempunyai Sahabat istimewa yang betul-betul menghargai anda, mengambil berat terhadap anda, dan memahami anda dengan sepenuhnya. (Mazmur 103:14; 1 Petrus 5:7) Anda dapat meluahkan isi hati kepada-Nya kerana Dia setia kepada orang yang setia kepada-Nya. (Mazmur 18:25) Namun, apakah yang telah dilakukan oleh Tuhan agar kita dapat menjadi sahabat-Nya?

Yehuwa Telah Membuka Jalan

5. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa agar kita dapat menghampiri-Nya?

5 Sebagai pendosa, kita tidak dapat menghampiri Tuhan tanpa bantuan-Nya. (Mazmur 5:4) “Namun, beginilah caranya Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa,” tulis Paulus. (Roma 5:8) Ya, Yehuwa membuat aturan agar Yesus “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Matius 20:28) Jika kita beriman terhadap korban tebusan itu, kita dapat menghampiri Tuhan. Memandangkan Tuhan “menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu,” Dia telah membuka jalan bagi kita untuk menjalinkan persahabatan dengan-Nya.​—1 Yohanes 4:19.

6, 7. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa ingin kita mengenali-Nya? (b) Bagaimanakah Yehuwa menyingkapkan diri-Nya kepada kita?

6 Selain itu, Yehuwa tidak menyembunyikan diri-Nya daripada kita. Untuk menjadi kawan rapat seseorang, kita perlu mengenalinya dengan lebih mendalam. Jadi, jika Yehuwa ialah Tuhan yang penuh misteri, kita tidak dapat menghampiri-Nya. Tetapi, Tuhan menyingkapkan diri-Nya kepada kita kerana Dia ingin kita mengenali-Nya. (Yesaya 45:19) Dia bahkan menyingkapkan diri-Nya kepada orang yang dianggap tidak penting dalam pandangan dunia.​—Matius 11:25.

Yehuwa menyingkapkan diri-Nya melalui ciptaan-Nya dan Firman-Nya

7 Satu cara Yehuwa menyingkapkan diri-Nya kepada kita ialah melalui ciptaan-Nya. Ciptaan-Nya mengajar kita tentang sifat-sifat-Nya, seperti kuasa, kebijaksanaan, dan kasih. (Roma 1:20) Satu lagi cara Yehuwa menyingkapkan diri-Nya kepada kita ialah melalui Bible.

Bagaimana Yehuwa Menyingkapkan Diri-Nya dalam Firman-Nya

8. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa Bible ialah bukti kasih Yehuwa kepada kita?

8 Bible ialah bukti kasih Yehuwa kepada kita. Melalui Bible, Dia menyingkapkan diri-Nya dalam cara yang dapat kita fahami. Hal ini menunjukkan bahawa Dia mengasihi kita dan ingin kita mengenali-Nya dan mengasihi-Nya. Dengan bantuan Bible, kita dapat menghampiri-Nya.​—Mazmur 1:1-3.

9. Apakah beberapa sifat Tuhan yang dinyatakan dalam Bible?

9 Bible mengandungi banyak ayat yang menyebut tentang sifat-sifat Tuhan. Perhatikan beberapa contoh. “Yehuwa mencintai keadilan.” (Mazmur 37:28) Dia ialah ‘Tuhan Yang Maha Kuasa.’ (Ayub 37:23) ‘Dia setia.’ (Yeremia 3:12) Dia “amat bijaksana.” (Ayub 9:4) Dia ‘penuh rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, berpegang pada kebenaran, dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.’ (Keluaran 34:6) Dia “baik dan suka mengampuni.” (Mazmur 86:5) Selain itu, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Apabila anda merenungkan sifat-sifat Tuhan, bukankah anda tertarik untuk lebih menghampiri-Nya?

10, 11. (a) Bagaimanakah Bible membantu kita untuk lebih memahami sifat-sifat Yehuwa? (b) Ceritakan satu kisah Bible yang membantu kita melihat kehebatan kuasa Tuhan.

10 Selain itu, Bible juga menyatakan bagaimana Yehuwa menunjukkan sifat-sifat itu. Catatan sedemikian memberikan gambaran mental yang dapat membantu kita melihat pelbagai aspek keperibadian Tuhan dengan lebih jelas. Hal ini membantu kita untuk menghampiri-Nya. Marilah kita melihat satu contoh.

Bible dapat membantu kita menghampiri Yehuwa

11 Kita tahu bahawa Tuhan “sangat berkuasa.” (Yesaya 40:26) Tetapi kita dibantu untuk memahami betapa hebatnya kuasa Tuhan sewaktu kita membaca bagaimana Dia menyelamatkan orang Israel semasa mereka berada di pinggir Laut Merah. Bayangkanlah bagaimana Dia membuat air laut yang bergelora itu terbelah agar kira-kira 3 juta orang Israel dapat berjalan di atas dasar laut yang kering. (Keluaran 14:21; 15:8) Kemudian, Yehuwa melindungi dan menjaga mereka selama 40 tahun di padang belantara. Dia membuat air mengalir keluar dari batu dan menurunkan makanan dari langit. (Keluaran 16:31; Bilangan 20:11) Yehuwa menunjukkan bahawa Dia bukan sahaja berkuasa, Dia bahkan juga dapat menggunakan kuasa-Nya untuk membantu umat-Nya. Tidakkah anda berasa lega kerana mengetahui bahawa Tuhan yang maha kuasa bersedia mendengar doa-doa anda? Yehuwa sememangnya ‘tempat naungan dan kekuatan kita, dan Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.’​—Mazmur 46:1.

12. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita untuk “melihat” Dia?

12 Memandangkan Yehuwa ialah Roh, kita tidak dapat melihat-Nya. Jika Tuhan mencuba menggambarkan diri-Nya dengan istilah-istilah roh, hal itu seperti kita mencuba menggambarkan rupa kita, seperti warna mata dan bintik-bintik pada wajah, kepada seseorang yang buta sejak lahir. Tetapi Yehuwa membantu kita untuk “melihat” Dia dengan istilah-istilah yang dapat kita fahami. Ada kalanya, Dia menggunakan gaya bahasa kiasan untuk menyamakan diri-Nya dengan hal-hal yang sudah kita ketahui. Dia bahkan menggambarkan diri-Nya dengan menggunakan ciri-ciri manusia. a

13. Bagaimanakah Yehuwa digambarkan di Yesaya 40:11? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi anda?

13 Perhatikan bagaimana Yehuwa digambarkan di Yesaya 40:11: “Dia akan menjaga kawanan-Nya seperti seorang gembala. Dia akan menghulurkan tangan-Nya untuk mengumpulkan anak-anak bebiri, dan Dia akan mendukung anak-anak bebiri itu.” Dalam ayat ini, Yehuwa digambarkan sebagai seorang gembala yang mengumpulkan anak-anak bebiri-Nya dengan “tangan-Nya.” Hal ini menunjukkan bahawa Dia dapat melindungi dan menyokong umat-Nya, terutamanya mereka yang lemah. Kita dapat berasa selamat di pangkuan-Nya, dan jika kita setia kepada-Nya, Dia tidak sekali-kali akan meninggalkan kita. (Roma 8:38, 39) Sepertimana seorang gembala mendukung seekor anak bebiri yang baru lahir dalam lipatan jubahnya, Yehuwa meyakinkan kita bahawa Dia juga prihatin terhadap kita dan akan menjaga kita. Tidakkah hal ini mendorong kita untuk menghampiri-Nya?

“Anak Rela Mengajar Mereka tentang Bapa”

14. Apakah cara terpenting kita dapat belajar tentang Yehuwa? Jelaskan.

14 Cara terpenting Yehuwa menyingkapkan diri-Nya adalah melalui Yesus. Yesus telah hidup bersama-sama Bapanya sebelum makhluk-makhluk roh yang lain dan alam semesta diciptakan. (Kolose 1:15) Maka dia amat mengenali Bapanya. Selain Yesus, tiada orang yang dapat mengajar kita tentang Yehuwa dengan begitu baik atau mencerminkan fikiran dan perasaan Yehuwa dengan begitu sempurna. Itulah sebabnya dia dapat berkata, “Tiada orang yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada orang yang mengenal Bapa kecuali Anak. Orang hanya dapat mengenal Bapa jika Anak rela mengajar mereka tentang Bapa.” (Lukas 10:22) Semasa Yesus di bumi, dia menyingkapkan keperibadian Bapanya dalam dua cara.

15, 16. Apakah dua cara yang digunakan oleh Yesus untuk menyingkapkan keperibadian Bapanya?

15 Pertama, Yesus mengajar kita tentang Bapanya menerusi ajarannya. Contohnya, untuk menunjukkan bahawa Tuhan suka mengampuni dan akan mengalu-alukan pendosa yang bertaubat, dia menyamakan Yehuwa dengan seorang bapa yang menyambut kembali anaknya yang sesat dengan pelukan dan ciuman. (Lukas 15:11-24) Yesus juga menggambarkan Yehuwa sebagai Tuhan pengasih yang memimpin orang yang berhati jujur. (Yohanes 6:44) Yesus memberitahu kita bahawa tiada seekor burung pipit pun yang jatuh ke tanah tanpa pengetahuan Bapanya. Dia juga memberitahu kita, “Janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” (Matius 10:29, 31) Tidakkah anda tertarik kepada Tuhan yang begitu pengasih?

16 Kedua, Yesus mengajar kita tentang Bapanya menerusi teladannya. Yesus mencerminkan Bapanya dengan begitu sempurna sehingga dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yohanes 14:9) Maka, apabila kita membaca tentang perasaan yang ditunjukkan oleh Yesus dan cara dia memperlakukan orang lain, kita sedang belajar tentang sifat-sifat Bapanya. Sebenarnya, inilah cara terbaik kita dapat mempelajari tentang sifat-sifat Yehuwa. Mengapa?

17. Jelaskan bagaimana Yehuwa membantu kita untuk memahami sifat-sifat-Nya.

17 Contohnya, bayangkan bagaimana anda dapat menjelaskan erti kebaikan hati kepada seseorang. Anda dapat menjelaskannya dengan kata-kata. Tetapi jika anda dapat menunjukkan seseorang yang sedang berbuat baik dan berkata, “Inilah contoh kebaikan hati,” perkataan “kebaikan hati” akan menjadi lebih mudah difahami. Yehuwa telah melakukan hal yang sama untuk membantu kita memahami sifat-sifat-Nya. Selain menggambarkan diri-Nya dengan kata-kata, Dia juga memberi kita teladan Anak-Nya. Melalui kisah hidup Yesus yang dicatatkan dalam Bible, Yehuwa seolah-olah sedang berkata, “Itulah keperibadian saya.”

18. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kuasa, keadilan, dan kebijaksanaannya?

18 Yesus mencerminkan sifat-sifat utama Tuhan dengan baik sekali. Dia memiliki kuasa atas penyakit, kebuluran, dan bahkan kematian. Tetapi, tidak seperti manusia yang cenderung menyalahgunakan kuasa, Yesus tidak pernah menggunakan kuasanya demi kepentingan diri atau untuk menindas orang lain. (Matius 4:2-4) Dia mencintai keadilan. Itulah sebabnya dia marah apabila dia melihat para penjual mengambil kesempatan atas orang lain. (Matius 21:12, 13) Dia tidak memandang rendah terhadap orang miskin dan hina. Sebaliknya dia membantu mereka untuk “pulih segar.” (Matius 11:4, 5, 28-30) Salomo terkenal dengan kebijaksanaannya, tetapi Yesus jauh lebih bijaksana daripadanya. (Matius 12:42) Namun Yesus tidak pernah menunjuk-nunjuk. Kata-katanya mencapai hati orang kerana ajarannya jelas, mudah difahami, dan praktikal.

19, 20. (a) Mengapakah Yesus merupakan teladan yang baik dalam menunjukkan kasih? (b) Seraya kita membaca dan merenungkan kisah hidup Yesus, apakah yang sepatutnya kita ingat?

19 Yesus merupakan teladan yang baik dalam menunjukkan kasih. Semasa di bumi, dia menunjukkan pelbagai aspek kasih, termasuk empati dan belas kasihan. Dia peka terhadap keperluan orang lain. Apabila dia melihat orang lain menderita, dia tergerak untuk membantu mereka. (Matius 14:14) Selain menyembuhkan orang sakit dan memberikan makanan kepada orang yang lapar, Yesus juga membantu orang untuk mempelajari, menerima, dan mencintai kebenaran tentang Kerajaan Tuhan. (Markus 6:34; Lukas 4:43) Yang terpenting, Yesus menunjukkan kasih dan sikap rela berkorban dengan menyerahkan nyawanya demi manusia.—Yohanes 15:13.

20 Itulah sebabnya orang daripada pelbagai lapisan masyarakat tertarik kepadanya. (Markus 10:13-16) Seraya kita membaca dan merenungkan kisah hidup Yesus, marilah kita selalu ingat bahawa kita dapat belajar tentang sifat-sifat Yehuwa dengan meneliti teladan Yesus.​—Ibrani 1:3.

Alat Bantu Belajar untuk Kita

21, 22. Bagaimanakah kita dapat mencari Yehuwa? Bagaimanakah buku ini dapat membantu kita berbuat demikian?

21 Melalui Bible, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ingin kita menghampiri-Nya. Dia menggalakkan kita untuk mencari-Nya “semasa Dia masih dapat ditemukan.” (Yesaya 55:6) Tetapi, Dia tidak pernah memaksa kita untuk menjadi sahabat-Nya. Maka terpulanglah kepada kita sama ada kita mahu mencari-Nya atau tidak. Untuk mencari Yehuwa, kita perlu mempelajari sifat-sifat dan perbuatan-Nya yang tercatat dalam Bible. Buku yang sedang anda baca ini juga dapat membantu anda berbuat demikian.

22 Buku ini terbahagi kepada empat bahagian, dan setiap bahagian membincangkan satu daripada empat sifat utama Yehuwa. Pada permulaan setiap bahagian, ada sebuah rencana pendek yang menghuraikan sifat yang akan dibincangkan. Beberapa bab yang seterusnya pula akan membincangkan bagaimana Yehuwa menunjukkan aspek-aspek sifat itu. Setiap bahagian juga mengandungi satu bab yang menunjukkan bagaimana Yesus mencerminkan sifat itu, dan satu lagi bab yang mengulas bagaimana kita dapat menunjukkannya dalam kehidupan kita.

23, 24. (a) Jelaskan tujuan kotak “Soalan untuk Direnungkan.” (b) Bagaimanakah perenungan dapat membantu kita lebih menghampiri Tuhan?

23 Bermula dengan bab ini, akan ada bahagian khas yang bertajuk “Soalan untuk Direnungkan.” Misalnya, lihatlah  kotak pada muka surat 24. Tujuan kotak itu adalah untuk membantu anda merenungkan aspek-aspek penting sifat Tuhan, dan bukannya untuk ulang kaji. Bagaimanakah anda dapat memanfaatkan kotak itu? Selepas membaca setiap ayat Bible, fikirkan soalan yang tertera di situ dan renungkan jawapannya. Buatlah penyelidikan tambahan jika perlu. Kemudian tanyalah diri sendiri soalan-soalan tambahan, seperti “Apakah yang dapat saya pelajari tentang Yehuwa daripada maklumat ini? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi hidup saya? Bagaimanakah saya dapat menggunakannya untuk membantu orang lain?”

24 Perenungan sedemikian dapat membantu kita untuk lebih menghampiri Yehuwa. Mengapa? Bible menyatakan bahawa perenungan dapat mempengaruhi hati kita. (Mazmur 19:14) Apabila kita merenungkan apa yang kita pelajari tentang Tuhan, maklumat itu akan meresap ke dalam hati kita, dan kemudiannya mempengaruhi fikiran kita, menyentuh perasaan kita, dan akhirnya menggerakkan kita untuk bertindak. Kasih kita kepada Tuhan akan menjadi semakin mendalam, dan hal ini akan mendorong kita untuk berusaha menyenangkan hati-Nya dan memandang-Nya sebagai Sahabat akrab kita. (1 Yohanes 5:3) Untuk menjalinkan persahabatan sedemikian, kita haruslah mempelajari sifat-sifat Yehuwa dan perbuatan-Nya. Tetapi sebelum itu, marilah kita membincangkan satu aspek keperibadian Tuhan, iaitu kesucian-Nya.

a Misalnya, Bible menyatakan bahawa Tuhan mempunyai wajah, mata, telinga, hidung, mulut, tangan, dan kaki. (Mazmur 18:15; 44:3, nota kaki; Yesaya 60:13; Matius 4:4; 1 Petrus 3:12) Yehuwa juga digambarkan sebagai “gunung batu” atau “perisai.” (Ulangan 32:4; Mazmur 84:11) Semua ini merupakan gaya bahasa kiasan dan kita tidak patut memandang ayat-ayat ini secara harfiah.