Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 3

“Suci, Suci, Sucilah Yehuwa”

“Suci, Suci, Sucilah Yehuwa”

1, 2. Apakah penglihatan yang diterima oleh Nabi Yesaya? Apakah yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada penglihatan itu?

 YESAYA dipenuhi rasa takjub sewaktu melihat apa yang berlaku di hadapannya. Penglihatan Yesaya begitu nyata sehingga dia menulis bahawa dia seolah-olah ‘nampak Yehuwa duduk di atas takhta-Nya dan hujung jubah Yehuwa memenuhi seluruh Rumah-Nya di Yerusalem.’​—Yesaya 6:1, 2.

2 Yesaya juga begitu takjub dengan apa yang didengarinya. Dia mendengar nyanyian yang begitu lantang sehingga seluruh asas Rumah Tuhan bergegar. Lagu itu dinyanyikan oleh para serafim, iaitu makhluk roh yang mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Mereka bernyanyi, “Suci, suci, sucilah Yehuwa, ketua angkatan syurga! Seluruh bumi penuh dengan kemuliaan-Nya.” (Yesaya 6:3, 4) Dengan mengucapkan kata “suci” sebanyak tiga kali, mereka sedang menekankan bahawa Yehuwa sangat suci. (Wahyu 4:8) Sebenarnya Bible sering menyebut tentang kesucian Yehuwa. Terdapat ratusan ayat yang mengaitkan nama-Nya dengan perkataan “suci” dan “kesucian.”

3. Apakah pandangan salah yang dimiliki oleh banyak orang tentang kesucian Yehuwa?

3 Jadi jelaslah bahawa Yehuwa mahu kita tahu bahawa Dia sangat suci. Namun dewasa ini, banyak orang mengaitkan kesucian dengan sikap terlalu alim atau sikap bermuka dua. Bagi orang yang memandang rendah terhadap diri sendiri pula, mereka berasa bahawa mereka tidak layak menghampiri Tuhan kerana Dia suci. Sebenarnya kesucian Tuhan merupakan alasan yang sangat kuat bagi kita untuk menghampiri-Nya. Mengapa? Sebelum menjawab pertanyaan itu, mari kita melihat apa sebenarnya maksud kesucian.

Apakah Itu Kesucian?

4, 5. (a) Apakah erti “kesucian”? (b) Bagaimanakah Yehuwa “terpisah” daripada kita?

4 Meskipun Yehuwa Tuhan yang suci, hal itu tidak bermaksud bahawa Dia sombong, angkuh, atau memandang hina terhadap orang lain. Bible memberitahu kita bahawa Tuhan membenci sifat-sifat sebegitu. (Amsal 16:5; Yakobus 4:6) Maka apakah itu kesucian? Dalam bahasa Ibrani kuno, kata yang diterjemahkan sebagai “suci” berasal daripada istilah yang bererti “terpisah.” Dalam soal ibadat, perkataan suci merujuk kepada sesuatu yang kudus dan yang dikhaskan. Perkataan suci juga bererti kemurnian dan kebersihan. Tetapi apakah kaitan kesucian dengan Yehuwa? Memandangkan Yehuwa suci atau “terpisah” daripada manusia yang tidak sempurna, adakah hal itu bermaksud bahawa Dia sangat jauh daripada kita?

5 Tidak. Sebagai “Tuhan Israel Yang Suci,” Yehuwa meyakinkan umat-Nya bahawa Dia berada dalam kalangan mereka walaupun mereka berdosa. (Yesaya 12:6; Hosea 11:9) Maka Yehuwa tidak jauh daripada kita. Jika begitu, bagaimanakah Yehuwa “terpisah” daripada kita? Pertama, Dia “terpisah” daripada semua ciptaan-Nya kerana Dia sahaja Yang Maha Tinggi. Kemurnian dan kekudusan-Nya mutlak dan abadi. (Mazmur 40:5; 83:18) Kedua, Yehuwa “terpisah” sepenuhnya daripada dosa.

6. Mengapakah kesucian Yehuwa melegakan hati kita?

6 Kesucian jarang ditemui dalam dunia ini. Manusia terasing daripada Tuhan dan dinodai dosa dan ketidaksempurnaan. Kita semua harus berjuang melawan dosa dalam diri kita agar tidak dikuasai dosa. (Roma 7:15-25; 1 Korintus 10:12) Tetapi Yehuwa bebas daripada dosa dan sentiasa dapat dipercayai. Itulah sebabnya Yehuwa merupakan Bapa yang terbaik. Tidak seperti bapa manusia yang berdosa, Yehuwa tidak mungkin menjadi jahat, kejam, atau zalim, kerana Dia suci. Yehuwa bahkan pernah bersumpah atas kesucian-Nya kerana hal itu membuat sumpah-Nya benar-benar dapat dipercayai. (Mazmur 89:35) Tidakkah hal itu melegakan hati kita?

7. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa kesucian tidak dapat dipisahkan daripada keperibadian Yehuwa?

7 Kesucian tidak dapat dipisahkan daripada keperibadian Yehuwa. Apakah maksudnya? Sebagai contoh, fikirkan perkataan “manusia” dan “ketidaksempurnaan.” Manusia selalunya dikaitkan dengan ketidaksempurnaan kerana kita memang tidak sempurna. Sekarang fikirkan dua perkataan yang sangat berbeza, iaitu “Yehuwa” dan “kesucian.” Yehuwa selalunya dikaitkan dengan kesucian kerana kesucian sebati dengan keperibadian-Nya. Segala sesuatu tentang Yehuwa murni, kudus, dan benar. Kita tidak dapat mengenali Yehuwa jika kita tidak memahami maksud kesucian.

“Kesucian Milik Yehuwa”

8, 9. Bagaimanakah Yehuwa membantu orang Israel untuk menjadi suci secara relatif?

8 Yehuwa ialah sumber segala kesucian, namun Dia tidak mementingkan diri. Dia murah hati dan rela memberikan kesucian-Nya kepada orang lain. Contohnya, semasa Yehuwa bercakap kepada Musa melalui satu malaikat di atas Gunung Horeb, tanah di sekeliling tempat Musa berdiri pun menjadi tanah yang suci kerana kehadiran Yehuwa.​—Keluaran 3:5.

9 Dapatkah manusia menjadi suci dengan bantuan Yehuwa? Ya, secara relatif, atau sehingga tahap tertentu. Yehuwa mahu umat Israel menjadi sebuah “bangsa yang suci.” (Keluaran 19:6) Dia memberkati mereka dan memberi mereka ibadat yang kudus, bersih, dan murni. Itulah sebabnya kesucian disebut berulang kali dalam Hukum Musa. Di atas dahi imam agung bahkan terdapat satu kepingan emas tulen dengan ukiran, “Kesucian milik Yehuwa.” (Keluaran 28:36) Dengan demikian, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mahu haluan hidup dan ibadat umat-Nya memenuhi piawaian kemurnian dan kebersihan yang sangat tinggi. Yehuwa memberitahu mereka, “Kamu mesti suci kerana Aku suci. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.” (Imamat 19:2) Asalkan orang Israel hidup selaras dengan nasihat Yehuwa dan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi piawaian-Nya, mereka dapat menjadi suci secara relatif.

10. Apakah perbezaan antara ibadat orang Israel dengan ibadat bangsa-bangsa di sekeliling mereka?

10 Ibadat orang Israel sangat berbeza daripada ibadat bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Bangsa-bangsa kafir itu menyembah tuhan palsu yang tidak wujud. Tuhan mereka selalu digambarkan bersifat bengis, tamak, dan tidak bermoral. Tuhan-tuhan itu tidak suci dari semua segi. Maka, jika orang menyembah tuhan-tuhan palsu itu, mereka juga menjadi tidak suci. Itulah sebabnya Yehuwa tidak mahu penyembah-Nya mempunyai apa-apa kaitan dengan penyembah agama palsu dan amalan mereka.​—Imamat 18:24-28; 1 Raja-Raja 11:1, 2.

11. Bagaimanakah kesucian bahagian organisasi Yehuwa di syurga dicerminkan oleh (a) para malaikat? (b) serafim? (c) Yesus?

11 Bangsa Israel kuno hanya dapat memberikan gambaran yang samar-samar tentang kesucian bahagian organisasi Yehuwa di syurga. Bible menyatakan bahawa ‘puluhan ribu malaikat yang suci’ berada di sisi Yehuwa di syurga untuk menjalankan kehendak-Nya. (Ulangan 33:2; Yudas 14) Para malaikat ini dapat mencerminkan keindahan, kemurnian, dan kesucian-Nya dengan sempurna. Lagu yang dinyanyikan oleh serafim dalam penglihatan Yesaya menunjukkan bahawa mereka memainkan peranan penting dalam mengumumkan kesucian Yehuwa. Tetapi antara semua makhluk di syurga, hanya Yesus yang dapat mencerminkan kesucian Bapanya dalam cara yang terbaik. Maka dia dikenali sebagai “Hamba Suci Tuhan.”​—Yohanes 6:68, 69.

Nama yang Suci dan Kuasa Suci

12, 13. (a) Mengapakah nama Tuhan itu suci? (b) Mengapakah nama Tuhan perlu disucikan daripada semua celaan?

12 Seperti yang dinyatakan dalam Bab 1, nama Tuhan bukan sekadar gelaran atau label. Nama Tuhan mewakili keperibadian-Nya dan mencerminkan semua sifat-Nya. Maka Bible memberitahu kita bahawa nama Tuhan itu suci. (Yesaya 57:15) Hukum Musa menyatakan bahawa orang yang menghina nama Tuhan mesti dihukum mati. (Imamat 24:16) Yesus juga menunjukkan pentingnya kesucian nama Tuhan dengan berdoa, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Menyucikan bererti mengekhaskan sesuatu dan menyanjungnya. Tetapi mengapakah nama Tuhan yang suci masih perlu disucikan?

13 Nama suci Tuhan telah dihina dan dicemari dengan dusta dan fitnah. Di Taman Eden, Syaitan berbohong tentang Yehuwa dan mendakwa bahawa Tuhan ialah pemerintah yang tidak adil. (Kejadian 3:1-5) Sejak itu, Syaitan, yang merupakan pemerintah dunia ini, telah memastikan bahawa dusta tentang Yehuwa tersebar secara meluas. (Yohanes 8:44; 12:31; Wahyu 12:9) Para pemimpin agama menggambarkan Yehuwa sebagai Tuhan yang dingin dan kejam. Mereka mendakwa bahawa Dia menyokong peperangan mereka. Selain itu, banyak orang tidak mengakui Tuhan sebagai Pencipta dan mengatakan bahawa alam semesta wujud secara kebetulan atau melalui proses evolusi. Ya, nama Tuhan telah dinodai. Maka nama-Nya harus disucikan dan dimuliakan. Kita menanti-nantikan masanya apabila Yehuwa akan menyucikan nama-Nya daripada semua celaan buat selama-lamanya. Dia akan berbuat demikian melalui Kerajaan Tuhan yang akan diperintah oleh Anak-Nya. Kita sudi melakukan apa sahaja untuk membantu menyucikan nama Tuhan.

14. Mengapakah kuasa Tuhan dipanggil kuasa suci? Mengapakah seseorang yang menghina kuasa suci Tuhan dianggap telah melakukan dosa yang amat serius?

14 Satu lagi perkara yang berkait rapat dengan Yehuwa ialah kuasa-Nya. (Kejadian 1:2) Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Memandangkan semua perbuatan Tuhan adalah suci, kudus, dan murni, kuasa-Nya dipanggil kuasa suci Tuhan. (Lukas 11:13; Roma 1:4) Seseorang yang menghina kuasa suci Tuhan dengan bertindak menentang kehendak Yehuwa dianggap telah melakukan dosa yang tidak akan diampunkan.​—Markus 3:29.

Kesucian Tuhan Membuat Kita Ingin Menghampiri-Nya

15. Apakah erti takut akan Tuhan? Mengapakah kita patut memupuk perasaan sedemikian?

15 Bible mengaitkan kesucian Tuhan dengan rasa takut kepada-Nya. Misalnya, 2 Korintus 7:1 menyatakan, “Hendaklah kita takut akan Tuhan supaya kita menjadi suci dengan sepenuhnya.” Ungkapan “takut akan Tuhan” bererti bahawa seseorang amat menghormati Tuhan dan tidak mahu kehilangan perkenan-Nya. Kita patut memupuk perasaan sedemikian kerana Tuhan amat suci, murni, dan mulia. Kesucian-Nya membuat kita lebih ingin untuk menghampiri-Nya. Mengapa?

16. (a) Bagaimanakah kesucian dikaitkan dengan kemuliaan atau keindahan? Berikan satu contoh. (b) Bagaimanakah Yehuwa biasanya digambarkan dalam penglihatan?

16 Salah satu sebabnya adalah kerana kesucian berkait rapat dengan keindahan. Contohnya, syurga digambarkan sebagai ‘tempat kediaman Tuhan yang suci dan mulia [atau, “indah,” nota kaki].’ (Yesaya 63:15) Sekarang, marilah kita melihat gambar pada muka surat 33. Tidakkah anda tertarik kepada gambar itu? Mengapakah gambar itu begitu menarik? Hal itu demikian kerana kita tertarik kepada keindahan. Perhatikan betapa bersih dan jernihnya air itu. Udara di situ pasti segar kerana langitnya cerah dan berwarna biru. Tetapi sekarang bayangkanlah jika kawasan itu sarat dengan sampah sarap, pokok dan batu-batunya diconteng, dan udaranya dicemari asap. Adakah anda masih tertarik kepada gambar itu? Tentulah tidak! Hal ini menunjukkan bahawa kita biasanya mengaitkan keindahan atau kemuliaan dengan kebersihan, kemurnian, dan cahaya. Ketiga-tiga perkataan ini juga boleh digunakan untuk menggambarkan kesucian Yehuwa. Maka tidak hairanlah jika kita tertarik kepada penglihatan yang menggambarkan kesucian atau kemuliaan Yehuwa, kerana kehadiran Yehuwa biasanya dikaitkan dengan cahaya yang terang-benderang, batu permata yang berkilau-kilauan, dan api atau logam berharga yang bersinar-sinar.​—Yehezkiel 1:25-28; Wahyu 4:2, 3.

Sebagaimana kita tertarik kepada keindahan, kita juga tertarik kepada kesucian

17, 18. (a) Apakah reaksi Yesaya terhadap penglihatannya? (b) Bagaimanakah Yehuwa menggunakan serafim untuk menenangkan hati Yesaya? Apakah yang ditunjukkan oleh perbuatan serafim itu?

17 Jadi patutkah kesucian Tuhan membuat kita berasa lebih rendah daripada-Nya? Ya, kerana kita memang jauh lebih rendah daripada Yehuwa. Tetapi patutkah hal ini membuat kita menjauhi-Nya? Untuk mengetahui jawapannya, marilah kita melihat reaksi Yesaya apabila dia mendengar para serafim mengumumkan kesucian Yehuwa. Dia menulis, “Malanglah aku! Aku pasti akan mati. Aku ini berdosa dan kata-kataku tidak suci. Lagipun, aku hidup dalam kalangan bangsa yang tidak mengucapkan kata-kata yang suci. Tetapi dengan mataku sendiri, aku telah melihat Yehuwa, Raja yang merupakan ketua angkatan syurga!” (Yesaya 6:5) Ya, kesucian Yehuwa mengingatkan Yesaya bahawa dia berdosa dan tidak sempurna. Jadi dia berasa sangat sedih. Tetapi Yehuwa tidak membiarkannya terus berasa sedemikian.

18 Salah satu serafim itu mengambil bara dari mazbah lalu terbang kepada Yesaya dan menyentuh bibirnya dengan bara itu. a Perbuatan serafim itu telah menenangkan hati Yesaya, kerana sebagai orang Yahudi, Yesaya tahu bahawa korban binatang dipersembahkan di mazbah setiap hari untuk memohon pengampunan dosa. Maka perbuatan serafim itu menunjukkan bahawa meskipun Yesaya berdosa dan ‘kata-katanya tidak suci,’ dia masih boleh menjadi suci di mata Tuhan. Yehuwa membenarkan manusia yang berdosa untuk menghampiri-Nya, dan Dia menganggap mereka suci secara relatif.—Yesaya 6:6, 7.

19. Bagaimanakah manusia yang tidak sempurna dapat menjadi suci?

19 Semua korban yang dipersembahkan di mazbah di Yerusalem hanyalah bayangan kepada korban yang sempurna, yang dipersembahkan oleh Yesus Kristus pada tahun 33 Masihi. (Ibrani 9:11-14) Jika kita benar-benar bertaubat, mengubah haluan hidup yang salah, dan beriman kepada korban Yesus, dosa kita akan diampunkan. (1 Yohanes 2:2) Seperti Yesaya, kita dapat menjadi suci di mata Tuhan. Itulah sebabnya Petrus mengingatkan kita, “Ada tertulis, ‘Kamu mesti suci, kerana Aku suci.’” (1 Petrus 1:16) Perhatikanlah bahawa Yehuwa tidak berkata bahawa kita mesti mencapai tahap kesucian yang sama dengan-Nya. Dia tidak meminta kita melakukan sesuatu yang mustahil. (Mazmur 103:13, 14) Sebaliknya, Dia menyuruh kita untuk meniru kesucian-Nya. Maka kita haruslah berusaha ‘mengikut teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.’ (Efesus 5:1) Seraya kita bertumbuh secara rohani, kita akan “menjadi suci dengan sepenuhnya” secara beransur-ansur.​—2 Korintus 7:1.

20. (a) Mengapakah penting untuk memahami bahawa kita dapat menjadi suci di mata Tuhan? (b) Apakah reaksi Yesaya apabila dia tahu bahawa dosanya telah diampunkan?

20 Yehuwa mencintai apa yang benar dan suci, dan Dia membenci dosa. (Habakuk 1:13) Biarpun begitu, Dia tidak membenci kita. Dia akan mengampunkan dosa kita jika kita membenci apa yang jahat, mencintai apa yang benar, dan berusaha mengikut jejak Yesus Kristus. (Amos 5:15; 1 Petrus 2:21) Apabila kita memahami bahawa kita dapat menjadi suci di mata Tuhan, hal ini meninggalkan kesan yang mendalam bagi kita. Ingatlah bahawa apabila Yesaya mula-mula melihat kesucian Yehuwa, dia berasa susah hati dan berkata, “Malanglah aku!” Tetapi apabila dia tahu bahawa dosanya telah diampunkan, pandangannya berubah. Sewaktu Yehuwa mencari seseorang untuk melakukan suatu tugasan, Yesaya menjawab dengan segera, “Inilah aku! Utuslah aku!” biarpun dia tidak mengetahui apa tugasan itu.​—Yesaya 6:5-8.

21. Mengapakah kita yakin bahawa kita mempunyai potensi untuk memupuk kesucian?

21 Kita diciptakan menurut gambaran Tuhan yang suci. Kita dapat memupuk sifat-sifat moral dan mempunyai keperluan rohani. (Kejadian 1:26) Hal ini bererti bahawa kita mempunyai potensi untuk memupuk kesucian. Jika kita berusaha untuk memupuk kesucian, Yehuwa akan membantu kita. Dengan demikian, hubungan kita dengan-Nya akan menjadi semakin rapat. Selain itu, apabila kita mengkaji sifat-sifat Yehuwa dalam bab-bab yang seterusnya, kita juga akan lebih menghampiri-Nya.

a Perkataan “bibir” sering digunakan dalam Bible untuk melambangkan pertuturan atau bahasa. Sebahagian besar dosa yang dilakukan oleh manusia yang tidak sempurna disebabkan oleh cara mereka menggunakan pertuturan mereka.—Amsal 10:19; Yakobus 3:2, 6.