Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 5

Kuasa untuk Menciptakan Langit dan Bumi

Kuasa untuk Menciptakan Langit dan Bumi

1, 2. Bagaimanakah matahari memperlihatkan kuasa Yehuwa?

 PERNAHKAH anda berdiri dekat unggun api pada malam yang sejuk? Jika anda berdiri terlalu jauh, anda akan kesejukan. Tetapi jika anda berdiri terlalu dekat, anda akan berasa terlalu panas.

2 Di langit, terdapat “api” yang bersinar terang pada siang hari. “Api” itu terletak kira-kira 150 juta kilometer dari bumi! a Namun bumi terletak pada jarak yang paling sesuai dari matahari untuk menampung kehidupan. Jika bumi terlalu dekat, semua air di bumi akan tersejat; jika bumi terlalu jauh, semua air di bumi akan membeku. Kedua-dua keadaan ini akan menyebabkan semua kehidupan di bumi mati. Selain penting untuk kehidupan, cahaya matahari ialah sumber tenaga yang paling cekap, tidak mencemari alam, dan menyenangkan hati kita.​—Pengkhutbah 11:7.

3. Apakah yang dapat kita pelajari daripada matahari?

3 Meskipun kehidupan manusia bergantung pada matahari, banyak orang tidak memuliakan Yehuwa yang telah ‘menciptakan cahaya dan matahari.’ (Mazmur 74:16) Tetapi matahari memuliakan Yehuwa sebagai “Pencipta langit dan bumi.” (Mazmur 19:1; 146:6) Matahari hanyalah salah satu daripada ciptaan Yehuwa yang mengajar kita tentang kuasa-Nya. Marilah kita mengkaji beberapa ciptaan Yehuwa di langit sebelum menghalakan perhatian kepada bumi dan kehidupan lain di bumi.

Yehuwa “telah menciptakan cahaya dan mentari”

“Pandanglah ke Langit dan Perhatikanlah”

4, 5. Seberapa besarkah tenaga dan saiz matahari? Bandingkan matahari dengan bintang-bintang yang lain.

4 Seperti yang anda tahu, matahari kita ialah sebuah bintang. Matahari kelihatan lebih besar daripada bintang-bintang lain kerana jaraknya lebih dekat dengan bumi. Seberapa besarkah tenaga yang dihasilkan matahari? Suhu pada teras matahari dapat mencapai 15 juta darjah Celsius. Seandainya anda dapat mengambil teras matahari yang saiznya hanya sebesar kepala jarum lalu meletakkannya di bumi, anda harus berdiri sejauh 140 kilometer daripadanya agar tidak hangus terbakar. Setiap saat, matahari mengeluarkan tenaga yang sama dengan tenaga yang dihasilkan oleh ledakan ratusan juta bom nuklear.

5 Matahari begitu besar sehingga dapat memuatkan 1.3 juta planet yang berukuran saiz bumi di dalamnya. Adakah hal ini bermaksud bahawa matahari ialah bintang yang sangat besar? Tidak. Ahli kaji bintang memanggil matahari bintang kerdil yang berwarna kuning. Paulus menulis bahawa setiap bintang juga mempunyai keindahan, atau kemuliaan, yang tersendiri. (1 Korintus 15:41) Paulus pasti tidak tahu betapa benarnya kata-kata tersebut. Terdapat bintang yang begitu besar sehingga jika bintang itu diletakkan pada kedudukan matahari, bintang itu akan sampai ke bumi kita. Ada juga bintang lain yang begitu besar sehingga jika bintang itu diletakkan pada kedudukan matahari, bintang itu akan sampai ke planet Zuhal. Sebenarnya Zuhal sangat jauh dari bumi. Kita memerlukan empat tahun untuk sampai ke Zuhal meskipun kita menaiki kapal angkasa yang mempunyai kelajuan 40 kali lebih cepat daripada kelajuan peluru.

6. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa jumlah bintang adalah sangat banyak?

6 Yang lebih menakjubkan daripada saiz bintang-bintang ialah jumlah bintang. Bible menyatakan bahawa usaha untuk menghitung bintang-bintang seperti menghitung “pasir di pantai.” (Yeremia 33:22) Maka kita tahu bahawa jumlah bintang jauh lebih banyak daripada apa yang dapat kita lihat dengan mata kasar. Jika Yeremia memandang ke langit yang tidak berawan dan mencuba menghitung bintang-bintang, dia mungkin dapat menghitung kira-kira 3,000 bintang sahaja. Jumlah itu mungkin sama bilangannya dengan segenggam pasir. Sebenarnya jumlah bintang jauh lebih banyak, sebanyak pasir di pantai. b Siapakah yang dapat menghitungnya?

‘Dia memanggil nama setiap bintang’

7. Menurut ahli sains, berapakah jumlah bintang dalam galaksi kita atau jumlah galaksi di alam semesta?

7 Yesaya 40:26 memberitahu kita, “Pandanglah ke langit dan perhatikanlah. Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Tuhan memimpin bintang seperti pasukan tentera; Dia menghitung bintang satu demi satu dan memanggil nama setiap bintang.” Mazmur 147:4 menyatakan, “Dia menghitung jumlah bintang.” Berapakah jumlah bintang? Soalan ini sukar dijawab. Ahli kaji bintang menganggarkan bahawa galaksi Bima Sakti sahaja mempunyai lebih daripada 100 bilion bintang. c Sesetengah pula menyatakan jumlahnya jauh lebih banyak daripada itu. Namun galaksi kita hanyalah salah satu daripada banyak galaksi yang wujud di angkasa lepas. Berapakah jumlah galaksi di alam semesta kita? Menurut ahli kaji bintang, alam semesta kita mempunyai ratusan bilion atau bahkan trilion galaksi. Jadi setakat ini, jumlah galaksi tidak dapat ditentukan, apatah lagi jumlah bintang yang terkandung di dalamnya. Namun Yehuwa mengetahui jumlahnya dan Dia bahkan mengetahui nama setiap bintang.

8. (a) Seberapa besarkah saiz galaksi Bima Sakti? (b) Bagaimanakah Yehuwa mengatur pergerakan segala sesuatu di angkasa lepas?

8 Rasa takjub kita akan bertambah apabila kita berfikir tentang saiz galaksi. Ada orang yang menganggarkan bahawa kita memerlukan 100,000 tahun cahaya untuk merentasi galaksi Bima Sakti. Hal ini bermaksud bahawa jika seseorang bergerak pada kelajuan cahaya, iaitu 300,000 kilometer sesaat, dia memerlukan 100,000 tahun untuk merentasi galaksi kita! Ingatlah bahawa terdapat sesetengah galaksi yang saiznya berkali-kali lebih besar daripada galaksi kita. Bible menyatakan bahawa Yehuwa membentangkan “langit” seperti membentangkan sehelai kain. (Mazmur 104:2) Dia juga mengatur pergerakan segala sesuatu di angkasa lepas. Daripada debu angkasa yang paling kecil sehingga galaksi yang paling besar, semuanya bergerak mengikut hukum-hukum alam yang telah ditentukan oleh Yehuwa. (Ayub 38:31-33) Itulah sebabnya ahli sains menyamakan pergerakan benda-benda di angkasa dengan sebuah tarian balet yang rumit.

Pencipta Bumi

9, 10. Bagaimanakah kuasa Yehuwa sebagai Pencipta jelas kelihatan melalui kedudukan sistem suria, Musytari, bumi, dan bulan?

9 Kuasa Yehuwa sebagai Pencipta jelas kelihatan melalui penciptaan bumi. Dia menempatkan bumi di tempat yang paling strategik di alam semesta. Sesetengah ahli sains berpendapat bahawa banyak galaksi tidak dapat menampung kehidupan dan bahkan sebahagian besar daripada galaksi Bima Sakti juga tidak dapat menampung kehidupan. Pusat galaksi penuh dengan bintang, tetapi di sana radiasinya tinggi dan banyak bintang sering bertembung. Bahagian paling luar galaksi pula kekurangan banyak unsur yang penting untuk kehidupan. Jadi jelaslah bahawa sistem suria kita telah diletakkan di tempat yang paling sesuai.

10 Bumi dilindungi oleh sebuah planet yang sangat besar, iaitu Musytari. Musytari mempunyai daya tarikan graviti yang sangat kuat, dan saiznya lebih daripada seribu kali ganda saiz bumi. Itulah sebabnya Musytari dapat menyerap atau memantulkan objek yang bergerak di angkasa lepas. Menurut ahli sains, jika Musytari tidak wujud, objek-objek dari angkasa lepas yang memasuki atmosfera bumi pasti 10,000 kali lebih banyak daripada jumlah yang ada sekarang. Selain itu, bumi mempunyai sebuah satelit semula jadi, iaitu bulan yang diciptakan untuk membantu menstabilkan bumi. Dengan demikian, kecondongan paksi bumi tidak berubah dan kita mempunyai musim-musim yang berbeza untuk menampung kehidupan.

11. Bagaimanakah atmosfera bumi melindungi kita?

11 Fikirkan juga tentang atmosfera bumi. Yehuwa menciptakan atmosfera sebagai perisai bagi bumi. Apabila sinaran yang berbahaya daripada matahari menembusi lapisan atas atmosfera bumi, sinaran-sinaran itu menyebabkan oksigen berubah menjadi ozon. Lapisan ozon itu akan menyerap kebanyakan daripada sinaran yang berbahaya itu. Sememangnya bumi kita diciptakan dengan perisai yang amat canggih!

12. Bagaimanakah kuasa Yehuwa jelas kelihatan melalui kitaran air di bumi?

12 Satu lagi aspek yang menakjubkan tentang atmosfera kita ialah atmosfera kita mempunyai campuran gas yang paling sesuai untuk menampung kehidupan. Selain itu, fikirkanlah tentang kitaran air di bumi. Setiap tahun, matahari menyejatkan lebih daripada 400,000 kilometer padu air daripada laut. Air yang sudah bersih itu kemudiannya membentuk awan yang akan turun semula sebagai hujan, salji, dan ais. Tepat seperti yang dinyatakan di Pengkhutbah 1:7, “Semua sungai mengalir ke laut, tetapi laut tidak pernah penuh. Dari mana sungai mengalir, ke situ juga airnya kembali dan mengalir semula.” Hanya Yehuwa yang dapat menciptakan kitaran air yang begitu menakjubkan!

13. Bagaimanakah kuasa Yehuwa jelas kelihatan melalui tumbuh-tumbuhan dan tanah?

13 Di mana sahaja kita melihat kehidupan, di situ kita melihat kuasa Yehuwa. Daripada pokok kayu merah yang tingginya lebih daripada 100 meter kepada tanaman mikroskopik di laut yang menghasilkan sebahagian besar daripada oksigen di bumi, kuasa Yehuwa jelas kelihatan. Tanah pun penuh dengan makhluk, seperti cacing, kulat, dan mikrob, yang bekerjasama membantu pertumbuhan tanaman.

14. Seberapa banyakkah kuasa yang terkandung dalam satu atom?

14 Sememangnya, Yehuwa amat berkuasa. (Yeremia 10:12) Ciptaan Tuhan yang terkecil pun menyingkapkan kuasa Tuhan yang besar. Sebagai contoh, jika satu juta atom disusun secara berderet, panjangnya tidak akan setebal sehelai rambut manusia pun. Andai kata satu atom diperbesar sehingga menjadi setinggi sebuah bangunan yang mempunyai 14 tingkat, nukleusnya hanya sebesar sebutir garam yang berada di tingkat tujuh. Meskipun demikian, nukleus yang sangat kecil itu merupakan sumber tenaga bagi kuasa yang terhasil semasa letupan bom nuklear.

“Semua Makhluk Hidup!”

15. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kepelbagaian binatang di bumi untuk mengajar Ayub?

15 Kepelbagaian binatang di bumi juga merupakan satu lagi bukti yang memperlihatkan kuasa Yehuwa. Mazmur 148 menyenaraikan ciptaan Yehuwa yang memuji-Nya, dan ayat 10 merangkumi “binatang liar dan semua binatang jinak.” Untuk menunjukkan mengapa Ayub harus menghormati-Nya, Yehuwa pernah bercakap kepada Ayub mengenai binatang-binatang, seperti singa, kuda belang, lembu jantan liar, Behemot (atau, badak air), dan Lewiatan (mungkin merujuk kepada buaya). Manusia berasa kagum apabila melihat binatang-binatang yang kuat, menakutkan, dan liar itu. Tidakkah mereka seharusnya lebih mengagumi Penciptanya?​—Ayub, bab 38-41.

16. Apakah yang membuat anda kagum tentang burung-burung yang diciptakan oleh Yehuwa?

16 Mazmur 148:10 juga menyebut tentang burung. Yehuwa memberitahu Ayub tentang burung unta yang “mengalahkan kuda dan penunggangnya.” Burung itu yang tingginya sekitar 2.5 meter tidak dapat terbang tetapi mampu berlari secepat 65 kilometer sejam, dan setiap langkah kakinya sepanjang 4.5 meter! (Ayub 39:13, 18) Burung albatros pula menghabiskan sebahagian besar hidupnya melayang-layang di atas lautan. Jika burung ini merentangkan sayapnya, panjangnya sekitar tiga meter. Burung ini dapat terbang selama berjam-jam tanpa mengepakkan sayapnya. Burung madu pula ialah burung yang terkecil di dunia. Burung ini berukuran lima sentimeter dan dapat mengepakkan sayapnya kira-kira 80 kali sesaat. Burung ini dapat terapung di udara dengan mengepak-ngepakkan sayapnya dan bahkan dapat terbang ke belakang.

17. Seberapa besarkah saiz seekor ikan paus biru? Apakah sepatutnya perasaan kita setelah memerhatikan ciptaan Yehuwa?

17 Mazmur 148:7 menyatakan bahawa “makhluk laut” pun memuji Yehuwa. Perhatikan haiwan terbesar yang diketahui pernah wujud di planet ini, iaitu ikan paus biru. Ikan ini dapat mencapai panjang kira-kira 30 meter, dan beratnya hampir sama dengan berat 30 ekor gajah dewasa. Lidah ikan ini sahaja hampir seberat seekor gajah, dan saiz jantungnya sebesar sebuah kereta kecil. Jantungnya hanya berdegup 9 kali seminit, tidak seperti jantung burung madu yang mungkin dapat berdegup sebanyak 1,200 kali seminit. Salah satu salur darah ikan ini juga begitu besar sehingga seorang budak dapat merangkak di dalamnya. Sesungguhnya, hal ini menggerakkan kita untuk berkata, “Pujilah Yah, hai semua makhluk hidup!”​—Mazmur 150:6.

Belajarlah daripada Ciptaan Yehuwa

18, 19. Seberapa banyakkah spesies yang diciptakan oleh Yehuwa di bumi? Apakah yang dapat kita pelajari tentang kedaulatan Yehuwa daripada ciptaan-Nya?

18 Apakah yang dapat kita pelajari daripada ciptaan Yehuwa? Kita kagum dengan kepelbagaian ciptaan-Nya. Seorang pemazmur berkata, ‘Betapa banyaknya perbuatan-Mu, ya Yehuwa! Bumi penuh dengan hasil karya-Mu.’ (Mazmur 104:24) Biarpun ahli biologi telah mengenal pasti lebih daripada satu juta spesies makhluk hidup di bumi ini, sesetengah antara mereka berfikir bahawa ada jutaan lagi spesies makhluk yang belum dijumpai. Seorang pelukis kadangkala mungkin akan kehabisan ilham, tetapi Yehuwa tidak pernah ketandusan idea. Sememangnya, kreativiti Yehuwa tiada penghujungnya.

19 Cara Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk menciptakan segala sesuatu mengajar kita tentang kedaulatan-Nya. Gelaran “Pencipta” hanya boleh diberikan kepada Yehuwa kerana segala-galanya di alam semesta ini ialah ciptaan-Nya. Meskipun Yesus digelar “jurubina yang mahir,” dia tidak pernah dipanggil sebagai Pencipta. (Amsal 8:30; Matius 19:4) Sebaliknya, dia dikenali sebagai “anak sulung antara semua ciptaan.” (Kolose 1:15) Kedudukan Yehuwa sebagai Pencipta memberi-Nya hak mutlak untuk memerintah seluruh alam semesta.​—Roma 1:20; Wahyu 4:11.

20. Adakah Yehuwa langsung tidak bekerja sekarang? Jelaskan.

20 Bible menyatakan bahawa menjelang hari ketujuh, “Dia mula berehat daripada semua kerja yang dilakukan-Nya.” (Kejadian 2:2) Paulus menjelaskan bahawa “hari” ketujuh ini masih berlangsung pada zamannya. (Ibrani 4:3-6) Jadi memandangkan Yehuwa sedang “berehat,” adakah hal ini bererti bahawa Dia langsung tidak bekerja? Tidak, Yehuwa tidak pernah berhenti bekerja. (Mazmur 92:4; Yohanes 5:17) Meskipun Dia telah menghentikan kerja penciptaan-Nya di bumi, Dia masih bekerja untuk melaksanakan kehendak-Nya. Contohnya, Dia mengilhami para penulis Bible untuk mencatatkan firman-Nya. Dia juga menghasilkan “ciptaan yang baharu,” yang akan dibincangkan dalam Bab 19.​—2 Korintus 5:17.

21. Bagaimanakah kuasa Yehuwa untuk mencipta akan mempengaruhi manusia buat selama-lamanya?

21 Apabila hari rehat Yehuwa tamat, Dia akan melihat kerja-Nya di bumi dan berasa “sangat berpuas hati.” (Kejadian 1:31) Bagaimanakah Dia akan menggunakan kuasa-Nya untuk mencipta pada masa depan? Kita tidak tahu. Tetapi tidak kira apa pun yang diciptakan Yehuwa, kita pasti akan berasa kagum dengannya. Pada waktu itu, kita akan dapat mengenali-Nya melalui ciptaan-Nya buat selama-lamanya. (Pengkhutbah 3:11) Semakin kita mengenali-Nya, semakin kagum kita terhadap-Nya, dan hal ini akan membantu kita untuk lebih menghampiri-Nya.

a Untuk membayangkan jarak matahari dari bumi, fikirkan hal ini: Anda perlu memandu pada kelajuan 160 kilometer sejam tanpa henti selama lebih daripada 100 tahun untuk mencapai jarak itu!

b Ada orang mendakwa bahawa pada zaman Bible orang sudah menggunakan teleskop kuno. Pada pandangan mereka, tanpa teleskop, mustahil manusia dapat mengetahui bahawa jumlah bintang adalah tidak terhitung. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa Yehuwa ialah Pengarang Bible.​—2 Timotius 3:16.

c Cuba fikirkan masa yang diperlukan untuk menghitung 100 bilion bintang. Jika anda dapat menghitung satu bintang setiap saat dan terus menghitungnya tanpa henti, anda memerlukan 3,171 tahun untuk selesai menghitungnya!