Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 10

“Ikutlah Teladan Tuhan” dalam Penggunaan Kuasa

“Ikutlah Teladan Tuhan” dalam Penggunaan Kuasa

1. Apakah kecenderungan manusia yang tidak sempurna?

 “DI SEBALIK kuasa, terdapat jerat yang tersembunyi,” kata seorang penyair pada abad ke-19. Penyair ini menghalakan perhatian kita kepada satu isu yang serius, iaitu penyalahgunaan kuasa. Sedihnya, manusia yang tidak sempurna cenderung menyalahgunakan kuasa. Sepanjang sejarah, kita melihat “manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pengkhutbah 8:9) Ya, penggunaan kuasa tanpa kasih telah membawa penderitaan yang tidak terhingga.

2, 3. (a) Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kuasa-Nya? (b) Kuasa yang kita miliki merangkumi apa? Bagaimanakah kita harus menggunakan kuasa kita?

2 Tetapi Yehuwa jauh berbeza daripada manusia. Meskipun kuasa-Nya tidak terbatas, Dia tidak pernah menyalahgunakan kuasa-Nya. Dia pengasih dan selalu menggunakan kuasa-Nya dalam cara yang baik. Apabila kita merenungkan cara Dia menggunakan kuasa-Nya, kita tergerak untuk menghampiri-Nya. Hasilnya, kita akan berusaha untuk mencontohi cara Tuhan menggunakan kuasa.​—Efesus 5:1.

3 Ingatlah bahawa manusia diciptakan menurut “gambaran Tuhan.” (Kejadian 1:26, 27) Maka kita juga memiliki kuasa, biarpun kuasa kita terbatas. Kuasa yang kita miliki merangkumi kemampuan untuk melakukan sesuatu, seperti bekerja; kekuasaan atas orang lain; kemampuan untuk mempengaruhi orang lain, terutamanya orang yang mengasihi kita; kekuatan fizikal; atau kekayaan harta benda. Berkenaan Yehuwa, pemazmur berkata, “Engkaulah sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:9) Oleh itu, kita ingin menggunakan kuasa kita dalam cara yang diperkenankan-Nya.

Kasih Amat Penting

4, 5. (a) Apakah sifat yang diperlukan jika kita ingin menggunakan kuasa dalam cara yang baik? Bagaimanakah sifat ini mempengaruhi cara Tuhan menggunakan kuasa-Nya? (b) Bagaimanakah kasih dapat membantu kita menggunakan kuasa kita dalam cara yang baik?

4 Jika kita ingin menggunakan kuasa dalam cara yang baik, kita perlu mempunyai kasih. Dalam Bab 1, kita telah mengkaji empat sifat utama Tuhan, iaitu kuasa, keadilan, kebijaksanaan, dan kasih. Antara keempat-empat sifat ini, sifat manakah yang paling menonjol? Satu Yohanes 4:8 menyatakan, “Tuhan itu kasih.” Ya, kasih mempengaruhi setiap perbuatan Yehuwa. Kasih menggerakkan-Nya untuk menggunakan kuasa-Nya demi kebaikan orang yang mengasihi-Nya.

5 Kasih juga membantu kita menggunakan kuasa kita dalam cara yang baik. Bible menyatakan bahawa kasih itu “baik hati” dan “tidak mementingkan diri sendiri.” (1 Korintus 13:4, 5) Oleh itu, jika kita mempunyai kasih, kita tidak akan melayan orang di bawah kekuasaan kita dengan buruk. Kita akan melayan semua orang dengan penuh hormat dan mengutamakan kepentingan mereka.—Filipi 2:3, 4.

6, 7. (a) Apakah erti takut akan Tuhan? Mengapakah sifat ini dapat membantu kita untuk menggunakan kuasa kita dalam cara yang baik? (b) Apakah kaitan antara takut untuk menyakiti hati Tuhan dengan kasih akan Tuhan? Berikan contoh.

6 Kasih berkaitan dengan satu lagi sifat yang penting, iaitu rasa takut akan Tuhan. Amsal 16:6 menyatakan, “Seseorang yang takut akan Yehuwa akan berpaling daripada kejahatan.” Penyalahgunaan kuasa merupakan satu bentuk kejahatan. Maka jika kita takut akan Tuhan, kita tidak akan menindas orang lain kerana kita sedar bahawa kita bertanggungjawab kepada Yehuwa atas cara kita melayan orang lain. (Nehemia 5:1-7, 15) Selain itu, dalam bahasa asal, perkataan “takut” selalunya merujuk kepada rasa takjub dan kagum. Maka Bible mengaitkan rasa takut akan Tuhan dengan kasih akan Tuhan. (Ulangan 10:12, 13) Jika kita berasa takjub akan Tuhan, kita akan melakukan hal-hal yang menyenangkan hati-Nya kerana kita mengasihi-Nya, dan bukan semata-mata kerana kita takut akan akibat buruk tindakan kita.

7 Sebagai contoh, bayangkan hubungan antara seorang anak dengan bapanya. Anak itu tahu bahawa bapanya amat menyayanginya, tetapi dia juga tahu bahawa jika dia berbuat salah, bapanya akan mendisiplinkannya. Dia amat mengasihi bapanya dan takut untuk menyakiti hati bapanya. Oleh itu, dia berusaha untuk melakukan apa yang menyenangkan hati bapanya. Demikian juga, oleh sebab kita mengasihi Yehuwa, kita ingin melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya dan kita takut untuk menyakiti hati-Nya. (Kejadian 6:6; Amsal 27:11) Itulah sebabnya kita ingin menggunakan kuasa kita dalam cara yang baik. Marilah kita melihat bagaimana kita dapat berbuat demikian.

Dalam Keluarga

8. (a) Apakah kekuasaan yang diberikan oleh Tuhan kepada suami? Bagaimanakah suami harus menggunakannya? (b) Bagaimanakah seorang suami menunjukkan bahawa dia menghormati isterinya?

8 Efesus 5:23 menyatakan, “Suami ialah kepala isteri.” Maka bagaimanakah suami harus menggunakan kekuasaan yang diberikan oleh Tuhan kepadanya? Bible menjelaskan, “Hai para suami, teruslah tinggal dengan isteri kamu dengan penuh pengetahuan. Hormatilah mereka, kerana mereka ialah kaum wanita yang merupakan bejana yang lebih lemah.” (1 Petrus 3:7) Kata “hormat” yang digunakan dalam ayat ini juga membawa erti “bernilai,” “hadiah,” dan “berharga.” (Kisah 28:10; 1 Petrus 2:7) Seorang suami yang menghormati isterinya tidak sekali-kali akan memukul, menghina, memalukan, atau membuat isterinya berasa tidak berguna. Sebaliknya, dia menghargai dan melayan isterinya dengan penuh hormat. Baik di rumah mahupun di hadapan umum, kata-kata dan tindakannya akan menunjukkan bahawa dia menghargai isterinya. (Amsal 31:28) Suami sedemikian bukan sahaja disayangi dan dihormati isterinya, dia bahkan juga diperkenankan oleh Tuhan.

Suami dan isteri menggunakan kuasa mereka dalam cara yang baik dengan saling menghormati dan mengasihi

9. (a) Apakah kekuasaan yang dimiliki oleh isteri? (b) Apakah yang dapat membantu isteri untuk menggunakan kebolehannya untuk menyokong suaminya? Apakah hasilnya?

9 Isteri juga mempunyai kekuasaan dalam keluarga. Bible menyebut tentang wanita yang menghormati aturan kekepalaan, tetapi pada masa yang sama, mengambil inisiatif untuk membantu suami mereka membuat keputusan yang bijak. (Kejadian 21:9-12; 27:46–28:2) Seorang isteri mungkin lebih bijak daripada suaminya, atau mempunyai kebolehan yang tidak dimiliki oleh suaminya. Biarpun begitu, dia masih perlu ‘taat kepada suaminya sebagaimana dia taat kepada Tuan,’ dan “menghormati suaminya dengan mendalam.” (Efesus 5:22, 33) Seorang isteri yang mematuhi Tuhan akan menggunakan kebolehannya untuk menyokong suaminya, dan bukannya merendah-rendahkan atau mengawal suaminya. Isteri-isteri sedemikian diperkenankan Tuhan dan “benar-benar bijak” kerana mereka bekerjasama dengan suami untuk membina keluarga.​—Amsal 14:1.

10. (a) Apakah kekuasaan yang dimiliki oleh ibu bapa? (b) Apakah maksud perkataan “disiplin”? Apakah cara yang betul untuk mendisiplinkan anak? (Lihat juga nota kaki.)

10 Tuhan juga memberikan kekuasaan kepada ibu bapa. Bible memberikan nasihat berikut: “Hai bapa-bapa, janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Efesus 6:4) Perkataan “disiplin” boleh membawa maksud “didikan, latihan, dan ajaran.” Anak-anak memerlukan disiplin. Mereka dapat dibentuk menjadi insan yang baik jika diberi arahan, peraturan, dan batasan yang jelas. Selain itu, Bible mengaitkan disiplin dengan kasih. (Amsal 13:24) Meskipun Bible menyebut tentang penggunaan rotan, hal ini tidak bererti bahawa ibu bapa boleh mendera anak-anak secara emosi atau fizikal. a (Amsal 22:15; 29:15) Ibu bapa yang mendisiplinkan anak dalam cara yang kejam sedang menyalahgunakan kekuasaan mereka dan akan menyebabkan anak mereka patah semangat. (Kolose 3:21) Sebaliknya, jika ibu bapa memberikan disiplin dengan sewajarnya, anak-anak akan sedar bahawa ibu bapa mengasihi mereka dan prihatin terhadap mereka.

11. Bagaimanakah anak-anak dapat menggunakan kekuatan mereka dalam cara yang baik?

11 Bagaimana pula dengan anak-anak? Amsal 20:29 menyatakan, “Kemuliaan orang muda ialah kekuatan mereka.” Cara terbaik mereka dapat menggunakan kekuatan mereka adalah dengan berkhidmat kepada Yehuwa. (Pengkhutbah 12:1) Mereka harus ingat bahawa tindakan mereka dapat mempengaruhi perasaan ibu bapa mereka. (Amsal 23:24, 25) Jika mereka mematuhi ibu bapa dan melakukan apa yang benar, mereka dapat menggembirakan hati ibu bapa dan “menyenangkan hati Tuan kita.”​—Kolose 3:20; Efesus 6:1.

Dalam Sidang

12, 13. (a) Apakah pandangan yang harus dimiliki oleh para penatua tentang kekuasaan mereka dalam sidang? (b) Mengapakah mereka harus melayan ahli sidang dengan penuh kasih? Berikan contoh.

12 Yehuwa telah melantik para penyelia untuk mengambil pimpinan dalam sidang Kristian. (Ibrani 13:17) Lelaki-lelaki ini bertanggungjawab untuk membantu dan menjaga sidang. Tetapi adakah hal ini bererti bahawa mereka boleh mengawal rakan seiman mereka? Tidak! Mereka perlu rendah hati. (1 Petrus 5:2, 3) Bible menggalakkan para penatua “untuk menggembala sidang Tuhan, yang telah dibeli-Nya dengan darah Anak-Nya sendiri.” (Kisah 20:28) Itulah sebabnya mereka harus melayan setiap ahli sidang dengan penuh kasih.

13 Sebagai contoh, kawan rapat anda meminta anda untuk menjaga sesuatu yang amat berharga. Tidakkah anda akan menjaga barang itu dengan berhati-hati? Begitu juga, Tuhan telah meminta para penatua untuk menjaga sesuatu yang amat berharga, iaitu sidang Kristian, yang diibaratkan sebagai biri-biri. (Yohanes 21:16, 17) Yehuwa amat menyayangi kawanan-Nya sehingga Dia sanggup menebus mereka dengan membayar harga yang paling tinggi, iaitu darah Anak-Nya, Yesus Kristus. Para penatua harus ingat akan hal ini dan menjaga kawanan Yehuwa dengan sebaik-baiknya.

Pertuturan Kita

14. Apakah kesan kata-kata kita atas orang lain?

14 Bible menyatakan, “Lidah boleh membawa kematian atau kehidupan.” (Amsal 18:21) Lidah kita memang dapat mencetuskan banyak masalah. Siapakah antara kita yang tidak pernah berasa sakit hati atau tersinggung dengan kata-kata orang lain? Namun, lidah kita juga dapat membawa banyak kebaikan. Amsal 12:18 menyatakan, “Kata-kata orang yang bijak dapat menyembuhkan orang lain.” Ya, kata-kata yang membina dapat mengubati hati yang terluka.

15, 16. Bagaimanakah kita dapat menggunakan pertuturan kita untuk menggalakkan orang?

15 Kita digalakkan untuk “mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung.” (1 Tesalonika 5:14) Ya, semua orang, bahkan hamba Tuhan yang setia pun, kadangkala berasa murung. Kita dapat membantu mereka dengan memberikan pujian yang ikhlas dan spesifik agar mereka sedar bahawa mereka berharga di mata Yehuwa. Kongsilah ayat Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi “orang yang remuk hati” dan “yang tawar hati.” (Mazmur 34:18) Jika kita berbuat demikian, kita sedang meniru Tuhan kita “yang melegakan hati orang yang patah semangat.”​—2 Korintus 7:6.

16 Kita boleh menggunakan kata-kata kita untuk menunjukkan keprihatinan dan kasih kepada seorang rakan seiman yang kehilangan orang tersayang. Apabila seorang saudara atau saudari yang tua berasa bahawa dirinya tidak berguna, kita boleh memberitahunya bahawa kita mengasihi dan menghargainya. Apabila seseorang sakit tenat, kita boleh menelefon, menulis surat, atau melawatnya. Yehuwa pasti senang hati apabila kita menggunakan pertuturan kita untuk “menguatkan orang.”​—Efesus 4:29.

17. Apakah cara yang terbaik untuk menggunakan pertuturan kita? Mengapakah kita patut berbuat demikian?

17 Cara yang terbaik untuk menggunakan pertuturan kita adalah dengan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Amsal 3:27 menyatakan, “Buatlah kebaikan kepada orang yang memerlukan bantuan, dan janganlah menahan diri jika kamu berupaya membantunya.” Kita mempunyai kewajipan untuk memberitahu orang tentang berita baik yang dapat menyelamatkan nyawa mereka.​—1 Korintus 9:16, 22.

Menginjil ialah cara terbaik untuk menggunakan kuasa kita

Berkhidmat kepada Yehuwa “dengan Segenap Kekuatan”

18. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada kita?

18 Kasih kepada Yehuwa menggerakkan kita untuk menjalankan kerja penyebaran dengan sedaya upaya. Tetapi sejauh manakah Yehuwa mengharapkan kita untuk mengambil bahagian dalam kerja ini? Tidak kira apa situasi kehidupan kita, kita dapat mengikut prinsip berikut: “Apa sahaja yang kamu lakukan, lakukannya dengan sepenuh jiwa, seolah-olah kamu melakukannya untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia.” (Kolose 3:23) Yesus juga menasihati kita, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” (Markus 12:30) Ya, Yehuwa menghendaki setiap orang mengasihi-Nya dan berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh jiwa.

19, 20. (a) Memandangkan jiwa merangkumi hati, akal, dan kekuatan, mengapakah hal-hal ini turut disenaraikan di Markus 12:30? (b) Apakah erti berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa?

19 Apakah erti berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa? Jiwa merujuk kepada seluruh individu, termasuk keupayaan fizikal dan mentalnya. Memandangkan jiwa merangkumi hati, akal, dan kekuatan, mengapakah hal-hal ini turut disenaraikan di Markus 12:30? Pada zaman Bible, seseorang mungkin menjual dirinya (jiwanya) untuk menjadi hamba. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa dia akan bekerja untuk tuannya dengan sepenuh hati, seluruh akal fikiran, dan semua kekuatannya. (Kolose 3:22) Oleh itu, Yesus bukan sekadar berkata bahawa kita mesti berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa, dia juga berkata bahawa kita mesti berbuat demikian dengan segenap hati, akal, dan kekuatan. Hal ini bererti bahawa kita perlu membaktikan diri kepada Tuhan dengan sepenuhnya untuk melaksanakan kehendak-Nya.

20 Adakah berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa bererti bahawa setiap orang harus meluangkan jumlah masa dan tenaga yang sama dalam kerja penyebaran? Tidak! Hal ini demikian kerana setiap orang mempunyai keadaan dan keupayaan yang berbeza. Misalnya, seorang saudara muda yang sihat mungkin dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil berbanding dengan seorang saudara yang sudah lanjut usia. Orang yang masih bujang dan tidak mempunyai tanggungjawab keluarga mungkin dapat berbuat lebih banyak berbanding orang yang berkeluarga. Jika kita dapat meluangkan banyak masa dalam kerja penyebaran, kita sepatutnya bersyukur dan tidak mengkritik orang lain atau membandingkan diri dengan mereka. (Roma 14:10-12) Sebaliknya, kita harus berusaha untuk menggalakkan mereka.

21. Bagaimanakah kita dapat menggunakan kuasa yang kita miliki dengan bijak?

21 Yehuwa mengajar kita cara untuk menggunakan kuasa dengan bijak melalui teladan-Nya. Biarpun kita tidak sempurna, kita dapat meniru teladan-Nya. Kita dapat menggunakan kuasa kita dalam cara yang baik dengan melayan orang di bawah kekuasaan kita dengan penuh hormat, dan menginjil dengan sepenuh jiwa. (Roma 10:13, 14) Yehuwa senang hati apabila anda memberikan apa yang terbaik kepada-Nya. Tidakkah anda tergerak untuk berkhidmat kepada Tuhan yang begitu bertimbang rasa dan penuh kasih? Inilah cara yang terbaik untuk menggunakan kuasa yang anda miliki.

a Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “rotan” merujuk kepada sebatang tongkat atau kayu, seperti yang digunakan oleh seorang gembala untuk membimbing kawanannya. (Mazmur 23:4) Maka penggunaan perkataan “rotan” dalam Bible merujuk kepada disiplin yang diberikan oleh ibu bapa untuk membimbing anak-anak dengan penuh kasih.