Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 11

‘Segala Haluan-Nya Saksama’

‘Segala Haluan-Nya Saksama’

1, 2. (a) Apakah ketidakadilan yang dialami oleh Yusuf? (b) Bagaimanakah Yehuwa menegakkan keadilan bagi Yusuf?

 YUSUF ialah seorang pemuda yang baik dan tampan. Dia tidak pernah melanggar undang-undang. Tetapi kini dia sedang meringkuk di dalam penjara gara-gara tuduhan palsu seorang wanita. Wanita itu mendakwa bahawa Yusuf mencuba memperkosanya. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Yusuf dilayan secara tidak adil. Beberapa tahun sebelum itu, sewaktu dia berusia 17 tahun, dia telah dikhianati oleh abang-abangnya sendiri dan hampir dibunuh oleh mereka. Kemudian dia dijual ke negeri asing untuk menjadi hamba. Di situ, isteri tuannya asyik menggodanya. Tetapi dia menolak godaan wanita itu. Akibatnya, wanita itu menjadi marah dan membuat tuduhan palsu terhadapnya. Itulah sebabnya sekarang dia meringkuk di dalam penjara. Nampaknya tiada orang yang dapat membantunya!

2 Tetapi Tuhan Yehuwa yang “mencintai keadilan dan kejujuran” sedang memerhatikan Yusuf. (Mazmur 33:5) Yehuwa bertindak untuk membetulkan ketidakadilan tersebut dan membebaskan Yusuf dari penjara. Akhirnya, Yusuf dibebaskan dari penjara lalu dia diberi kedudukan yang tinggi dan penghormatan yang besar. (Kejadian 40:15; 41:41-43; Mazmur 105:17, 18) Ya, Yusuf dibuktikan tidak bersalah, dan dia menggunakan kedudukannya untuk melaksanakan kehendak Tuhan.​—Kejadian 45:5-8.

Yusuf dilayan secara tidak adil dan dipenjarakan

3. Mengapakah kita semua berharap agar orang melayan kita dengan adil?

3 Kisah seperti itu menyentuh hati kita, bukan? Sebenarnya, siapakah antara kita yang tidak pernah melihat ketidakadilan atau diperlakukan secara tidak adil? Kita semua berharap agar orang melayan kita dengan adil. Hal ini tidak menghairankan kerana Yehuwa menciptakan kita menurut gambaran-Nya dan mengurniai kita dengan sifat-sifat yang baik, seperti keadilan. (Kejadian 1:27) Jika kita ingin mengenali Yehuwa, kita haruslah memahami pandangan-Nya tentang keadilan. Dengan demikian, kita dapat memahami cara Dia bertindak dan tergerak untuk lebih menghampiri-Nya.

Apakah Itu Keadilan?

4. Apakah erti keadilan dalam pandangan manusia?

4 Dalam pandangan manusia, keadilan bererti bertindak menurut undang-undang dan tidak berat sebelah. Sebuah buku tentang etika, yang berjudul Right and Reason—Ethics in Theory and Practice, menyatakan bahawa “keadilan berkaitan dengan hukum, tanggungjawab, hak, dan kewajipan. Seseorang yang adil akan memberikan ganjaran atas perbuatan yang baik dan menjatuhkan hukuman atas perbuatan yang salah.” Tetapi keadilan Yehuwa jauh lebih unggul daripada keadilan manusia.

5, 6. (a) Apakah maksud perkataan “keadilan”? (b) Apakah erti Tuhan bersikap adil?

5 Kita dapat memahami pandangan Tuhan tentang keadilan dengan mengkaji bahasa asal yang digunakan dalam Bible. Kitab-Kitab Ibrani biasanya menggunakan tiga perkataan bagi “keadilan.” Perkataan yang selalu diterjemahkan sebagai “keadilan” juga boleh diterjemahkan sebagai “apa yang benar.” Dua perkataan yang lain pula biasanya diterjemahkan sebagai “apa yang baik.” Kitab-Kitab Yunani Kristian menjelaskan erti “apa yang baik” sebagai “adil atau benar.” Maka kesimpulannya ialah apa yang baik sangat berkaitan dengan apa yang adil.

6 Oleh itu, apabila Bible menyatakan bahawa Tuhan bersikap adil, hal ini bererti bahawa Dia selalu melakukan apa yang baik dengan saksama dan tanpa berat sebelah. (Roma 2:11) Elihu berkata, “Tuhan sama sekali tidak akan berbuat jahat; Tuhan Yang Maha Kuasa tidak akan memutarbalikkan keadilan.” (Ayub 34:12) Ya, mustahil bagi Tuhan untuk melakukan ketidakadilan. Mengapa? Marilah kita melihat dua sebab utama.

7, 8. (a) Mengapakah mustahil bagi Yehuwa untuk melakukan perkara yang tidak adil? (b) Apakah yang menggerakkan-Nya untuk berbuat benar dan melayan orang dengan adil?

7 Pertama, Tuhan Yehuwa ialah Tuhan yang suci. Seperti yang telah kita pelajari dalam Bab 3, Yehuwa sentiasa suci dan benar. Maka Dia tidak akan melakukan hal yang salah atau tidak adil. Itulah sebabnya kita dapat yakin bahawa Dia tidak akan melayan para penyembah-Nya dalam cara yang tidak adil. Pada malam sebelum Yesus dibunuh, dia berdoa, “Ya Bapa yang suci, demi nama-Mu sendiri yang telah Engkau berikan kepadaku, jagalah mereka [murid-muridku].” (Yohanes 17:11) Dalam Bible, ungkapan “Bapa yang suci” hanya digunakan untuk merujuk kepada Yehuwa, kerana tiada manusia yang dapat menandingi kesucian-Nya. Ya, Yehuwa suci, tidak bercela, dan tidak akan berbuat salah. Maka Yesus yakin sepenuhnya bahawa murid-muridnya akan selamat di bawah jagaan Bapanya.​—Matius 23:9.

8 Kedua, Tuhan itu kasih dan Dia tidak mementingkan diri. Kasih Tuhan menggerakkan-Nya untuk melakukan apa yang benar dan melayan orang dengan adil. Tetapi semangat perkauman, rasa prasangka, dan sifat pilih kasih selalunya menimbulkan ketidakadilan. Sifat-sifat sebegini berpunca daripada ketamakan dan sikap mementingkan diri, iaitu sifat-sifat yang bertentangan dengan kasih. Berkenaan kasih Tuhan, Bible meyakinkan kita, “Yehuwa ialah Tuhan yang adil dan benar; Dia suka akan perbuatan yang baik.” (Mazmur 11:7) Yehuwa sendiri juga berfirman, “Aku, Yehuwa, mencintai keadilan.” (Yesaya 61:8) Tidakkah hal ini melegakan hati kita?—Yeremia 9:24.

Belas Kasihan dan Keadilan Yehuwa yang Sempurna

9-11. (a) Apakah kaitan antara keadilan Yehuwa dengan belas kasihan-Nya? (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan keadilan dan belas kasihan kepada manusia yang berdosa?

9 Keadilan Yehuwa adalah sempurna dan tidak bercacat cela. Musa memuji Tuhan dengan berkata, “Dia bagaikan gunung batu; segala haluan-Nya sempurna dan saksama. Dia Tuhan yang setia dan tidak berat sebelah; Dia Tuhan yang adil dan benar.” (Ulangan 32:3, 4) Ya, keadilan Yehuwa adalah sempurna kerana Dia tidak pernah bertindak terlalu tegas atau terlalu lembut.

10 Keadilan Yehuwa berkait rapat dengan sifat belas kasihan-Nya. Mazmur 116:5 menyatakan, “Yehuwa baik hati dan adil; Tuhan kita berbelas kasihan.” Ya, Yehuwa adil dan berbelas kasihan. Kedua-dua sifat ini tidak bertentangan. Tuhan menunjukkan belas kasihan bukan kerana Dia terlalu tegas dan perlu mengubah fikiran-Nya atau merendahkan piawaian-Nya. Sebenarnya, Dia dapat menunjukkan kedua-dua sifat ini pada waktu yang sama. Marilah kita melihat satu contoh.

11 Semua manusia mewarisi dosa dan akibatnya semua manusia akan mati. (Roma 5:12) Tetapi hal ini tidak bererti bahawa Yehuwa suka melihat kita mati. Bible memberitahu kita bahawa Dia ‘sedia mengampuni, penuh rahmat, dan berbelas kasihan.’ (Nehemia 9:17) Biarpun begitu, Dia suci dan tidak dapat menerima ketidakadilan. Jadi bagaimanakah Dia menunjukkan belas kasihan kepada manusia yang berdosa? Dia berbuat demikian dengan menyediakan korban tebusan. Kita akan belajar lebih banyak tentang aturan ini dalam Bab 14. Melalui aturan ini, Yehuwa dapat menunjukkan belas kasihan terhadap manusia yang bertaubat, dan pada masa yang sama, memelihara keadilan-Nya yang sempurna.​—Roma 3:21-26.

Keadilan Yehuwa Membuat Kita Tertarik kepada-Nya

12, 13. (a) Mengapakah keadilan Yehuwa membuat kita ingin menghampiri-Nya? (b) Apakah yang dikatakan oleh Daud tentang keadilan Yehuwa? Mengapakah kata-katanya melegakan hati kita?

12 Keadilan Yehuwa membuat kita tertarik kepada-Nya dan ingin menghampiri-Nya kerana Dia baik hati dan tidak menunjukkan keadilan-Nya dalam cara yang dingin dan kejam. Marilah kita melihat beberapa contoh yang menunjukkan bagaimana Yehuwa memperlihatkan keadilan.

13 Keadilan Yehuwa yang sempurna menggerakkan-Nya untuk menunjukkan kesetiaan kepada hamba-hamba-Nya. Melalui pengalamannya sendiri dan pengetahuannya tentang perbuatan Tuhan, Daud tahu bahawa Yehuwa sentiasa menunjukkan kesetiaan kepadanya. Dia berkata, “Yehuwa mencintai keadilan, dan Dia tidak akan meninggalkan umat-Nya yang setia. Mereka akan selalu dilindungi.” (Mazmur 37:28) Tidakkah kata-kata ini melegakan hati kita? Yehuwa tidak sekali-kali akan meninggalkan orang yang setia kepada-Nya. Oleh sebab Yehuwa ialah Tuhan yang adil, Dia pasti akan berada di sisi kita dan menjaga kita.​—Amsal 2:7, 8.

14. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa peka terhadap keperluan orang yang ditindas?

14 Oleh sebab Yehuwa bersikap adil, Dia peka terhadap keperluan orang yang ditindas. Kita dapat melihat bukti akan hal ini dalam hukum yang diberikan oleh Yehuwa kepada bangsa Israel. Contohnya, Hukum Musa mengandungi aturan khas untuk menjaga keperluan asas anak yatim dan balu. (Ulangan 24:17-21) Yehuwa tergerak untuk melindungi dan “menegakkan keadilan bagi anak-anak yatim dan balu” kerana Dia sedar akan kesusahan yang dialami oleh mereka. (Ulangan 10:18; Mazmur 68:5) Yehuwa menyatakan bahawa Dia akan mendengar seruan balu dan anak yatim, dan ‘kemurkaan-Nya akan berkobar’ jika Dia mendapati bahawa ada orang yang menindas mereka. (Keluaran 22:22-24) Yehuwa bukanlah Tuhan yang cepat marah, tetapi jika seseorang sengaja bertindak secara tidak adil, terutamanya terhadap mereka yang lemah dan tidak berdaya, Dia pasti akan menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap orang itu.​—Mazmur 103:6.

15, 16. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa betul-betul tidak berat sebelah?

15 Yehuwa juga meyakinkan kita bahawa “Dia tidak berat sebelah dan tidak menerima rasuah.” (Ulangan 10:17) Tidak seperti manusia yang berkuasa atau berpengaruh, Yehuwa tidak akan terpengaruh dengan kekayaan atau penampilan luaran. Dia tidak pilih kasih atau berat sebelah. Sebagai contoh, Dia memberikan peluang kepada semua orang untuk menjadi penyembah-Nya dan mendapat kehidupan abadi. Bible menyatakan, “Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kisah 10:34, 35) Ya, semua orang berpeluang untuk mendapat kehidupan kekal, tidak kira apa warna kulit, bangsa, atau kedudukan sosial mereka. Bukankah ini keadilan yang sejati?

16 Terdapat satu lagi aspek keadilan Yehuwa yang harus kita pertimbangkan, iaitu cara Dia memperlakukan orang yang melanggar piawaian-Nya yang adil.

Tidak Terkecuali daripada Hukuman

17. Jelaskan mengapa ketidakadilan di dunia ini tidak bererti bahawa Yehuwa tidak adil.

17 Ada orang mungkin tertanya-tanya, “Memandangkan Yehuwa membenci ketidakadilan, mengapakah dunia kita penuh dengan ketidakadilan dan penderitaan?” Sebenarnya, ketidakadilan di dunia ini tidak bererti bahawa Yehuwa tidak adil. Dunia ini penuh dengan ketidakadilan kerana manusia mewarisi dosa daripada Adam dan memilih haluan hidup yang salah. Tetapi keadaan buruk ini tidak akan berterusan.​—Ulangan 32:5.

18, 19. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa tidak akan membiarkan orang yang jahat terus melanggar hukum-Nya yang adil dan benar?

18 Meskipun Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada orang yang ingin menghampiri-Nya, Dia tidak akan membiarkan orang yang jahat terus menghina nama-Nya yang suci. (Mazmur 74:10, 22, 23) Tuhan kita yang adil tidak dapat diperbodoh. Dia tidak akan melindungi orang jahat daripada akibat buruk yang dibawa oleh perbuatan jahat mereka. Yehuwa ialah ‘Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah, tetapi Dia tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman.’ (Keluaran 34:6, 7) Yehuwa telah membuktikan kebenaran kata-kata ini dengan menghukum orang yang sengaja melanggar hukum-Nya yang adil dan benar.

19 Perhatikan cara Yehuwa memperlakukan orang Israel kuno. Selepas mereka menetap di Tanah yang Dijanjikan, mereka selalu tidak setia kepada Yehuwa. Perbuatan jahat mereka menyakiti hati Yehuwa, tetapi Dia masih menunjukkan belas kasihan dan memberi mereka peluang untuk bertaubat. (Mazmur 78:38-41) Dia merayu kepada mereka dengan berfirman, “Aku tidak suka melihat orang jahat mati. Sebaliknya Aku ingin agar orang jahat mengubah haluannya dan terus hidup. Hai orang Israel, bertaubatlah! Bertaubatlah dan tinggalkanlah haluan jahatmu. Mengapakah kamu mahu mengundang maut?” (Yehezkiel 33:11) Nyawa mereka berharga di mata-Nya, maka Dia berulang kali mengutus para nabi-Nya agar mereka meninggalkan perbuatan jahat mereka. Tetapi ramai antara mereka berdegil dan enggan berubah. Akhirnya, demi nama-Nya yang suci, Yehuwa menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh-musuh mereka.​—Nehemia 9:26-30.

20. (a) Apakah iktibar yang dapat kita raih daripada cara Yehuwa memperlakukan orang Israel? (b) Mengapakah singa sangat sesuai untuk melambangkan kehadiran dan takhta Yehuwa?

20 Kita dapat meraih banyak iktibar daripada cara Yehuwa memperlakukan orang Israel. Kita belajar bahawa Dia nampak segala ketidakadilan yang berlaku, dan hal itu membuat-Nya amat sakit hati. (Amsal 15:3) Kita juga belajar bahawa Dia sentiasa mencari peluang untuk menunjukkan belas kasihan. Selain itu, kita tahu bahawa Dia selalu bersabar. Oleh sebab Dia sabar, banyak orang menyangka bahawa Dia tidak akan menghukum orang jahat. Tetapi sangkaan mereka salah, kerana akhirnya Tuhan telah menghukum bangsa Israel, dan hal ini menunjukkan bahawa kesabaran Tuhan ada batasnya. Dia selalu menegakkan keadilan. Tidak seperti manusia yang sering kali tidak berani untuk menegakkan keadilan, Yehuwa selalu berani untuk mempertahankan apa yang betul. Itulah sebabnya Bible menggunakan singa untuk melambangkan keadilan dan keberanian, dan singa juga dikaitkan dengan kehadiran Tuhan dan takhta-Nya. a (Yehezkiel 1:10; Wahyu 4:7) Maka, kita yakin bahawa Dia akan melenyapkan ketidakadilan di dunia ini. Ya, cara Yehuwa melaksanakan penghakiman adalah seperti berikut: Tegas jika perlu, berbelas kasihan jika boleh.​—2 Petrus 3:9.

Menghampiri Tuhan yang Adil

21. Bagaimanakah kita patut memandang Yehuwa? Mengapa?

21 Semasa kita merenungkan cara Yehuwa melaksanakan keadilan, kita tidak patut membayangkan-Nya sebagai hakim yang dingin, yang hanya berminat untuk menjatuhkan hukuman atas orang yang bersalah. Sebaliknya kita patut membayangkan-Nya sebagai Bapa yang pengasih tetapi tegas, yang selalu melayan anak-anak-Nya dalam cara yang terbaik. Selaku Bapa yang adil, Yehuwa mempertahankan apa yang benar, dan pada masa yang sama, memperlihatkan belas kasihan kepada kita, yang memerlukan bantuan dan pengampunan-Nya.​—Mazmur 103:10, 13.

22. Keadilan Yehuwa menggerakkan-Nya untuk memberi kita apa? Mengapakah Dia berbuat demikian?

22 Betapa bersyukurnya kita kerana Yehuwa bukan hanya berminat untuk menjatuhkan hukuman atas orang yang bersalah! Keadilan Yehuwa menggerakkan-Nya untuk memberi kita harapan hidup abadi di bumi baharu. (2 Petrus 3:13) Dia berbuat demikian kerana keadilan-Nya menggerakkan-Nya untuk menyelamatkan orang, dan bukan hanya menghukum orang. Apabila kita memahami hal ini, kita akan tergerak untuk lebih menghampiri-Nya. Dalam bab-bab seterusnya, kita akan mempelajari dengan lebih mendalam tentang cara Yehuwa memperlihatkan keadilan.

a Yang menariknya, Yehuwa menyamakan diri-Nya dengan singa semasa Dia mengadili orang Israel yang tidak setia.​—Yeremia 25:38; Hosea 5:14.