Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 12

“Adakah Tuhan Tidak Adil?”

“Adakah Tuhan Tidak Adil?”

1. Apakah perasaan kita terhadap ketidakadilan?

 SEORANG balu yang tua kehilangan semua wang simpanannya kerana ditipu. Seorang bayi dibuang oleh ibu bapanya. Seorang lelaki dipenjarakan biarpun dia tidak bersalah. Barangkali anda berasa bahawa semua ini tidak adil. Hal ini tidak menghairankan kerana manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk membezakan apa yang baik daripada apa yang jahat. Maka apabila kita nampak ketidakadilan, kita berasa marah. Kita ingin mangsanya diselamatkan, dan pesalahnya dihukum. Jika keadilan tidak ditegakkan, kita mungkin tertanya-tanya, “Adakah Tuhan tidak nampak apa yang berlaku? Mengapakah Dia tidak bertindak?”

2. Apakah reaksi Habakuk terhadap ketidakadilan? Mengapakah Yehuwa tidak memarahinya?

2 Banyak hamba Yehuwa juga pernah menanyakan soalan yang serupa. Contohnya, Habakuk bertanya kepada Tuhan, “Mengapakah Engkau membiarkan aku menyaksikan kejahatan? Mengapakah Engkau membenarkan penindasan terjadi? Mengapakah kehancuran dan keganasan berlaku di hadapanku? Mengapakah pergaduhan dan pertengkaran berleluasa?” (Habakuk 1:3) Meskipun Habakuk menanyakan soalan-soalan itu, Yehuwa tidak memarahinya kerana Yehuwalah yang memberi manusia sifat keadilan.

Yehuwa Membenci Ketidakadilan

3. Mengapakah Yehuwa jauh lebih peka terhadap ketidakadilan daripada kita?

3 Yehuwa nampak semua ketidakadilan yang berlaku. Berkenaan zaman Nuh, Bible menyatakan, “Yehuwa nampak bahawa manusia di bumi sangat jahat. Hati dan fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.” (Kejadian 6:5) Biasanya pandangan kita tentang ketidakadilan hanya berdasarkan beberapa peristiwa yang kita dengar atau yang kita alami sendiri. Tetapi Yehuwa dapat melihat semua ketidakadilan yang berlaku di seluruh dunia! Lagipun, Dia dapat memeriksa hati manusia, maka Dia mengetahui motif di sebalik tindakan orang yang jahat.​—Yeremia 17:10.

4, 5. (a) Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yehuwa peka terhadap orang yang diperlakukan dengan tidak adil? (b) Bagaimanakah Yehuwa sendiri menjadi mangsa ketidakadilan?

4 Yehuwa bukan sekadar peka terhadap ketidakadilan, Dia juga prihatin terhadap mangsa ketidakadilan. Apabila umat-Nya “merintih kerana dianiaya dan ditindas” oleh musuh, Yehuwa berasa kasihan terhadap mereka. (Hakim-Hakim 2:18) Seseorang yang selalu nampak ketidakadilan mungkin menjadi kurang peka terhadapnya, tetapi Yehuwa tidak begitu. Dia telah melihat ketidakadilan yang berlaku di dunia ini selama kira-kira 6,000 tahun. Biarpun begitu, rasa benci-Nya terhadap ketidakadilan tidak pernah berkurang. Dia masih sangat membenci “lidah yang menipu, tangan yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah,” dan “saksi palsu yang sentiasa mengucapkan dusta.”​—Amsal 6:16-19.

5 Sebagai contoh, Yehuwa marah apabila pemimpin bangsa Israel melayan orang Israel dengan tidak adil. Maka Dia bertanya kepada mereka, “Bukankah kamu patut mengetahui apa itu keadilan?” Selepas memberitahu mereka bagaimana mereka menyalahgunakan kekuasaan mereka, Yehuwa berfirman, ‘Kamu akan berseru kepada-Ku dan meminta bantuan-Ku, tetapi Aku tidak akan menjawab. Pada masa itu, Aku akan memalingkan muka-Ku daripada kamu, kerana kamu telah melakukan apa yang jahat.’ (Mikha 3:1-4) Ya, Yehuwa amat membenci ketidakadilan! Sebenarnya, Yehuwa sendiri juga menjadi mangsa ketidakadilan. Selama ribuan tahun, Syaitan telah mencela nama baik-Nya. (Amsal 27:11) Selain itu, Anak-Nya yang “tidak melakukan dosa” dihukum sebagai seorang penjahat. (1 Petrus 2:22; Yesaya 53:9) Jelaslah, Yehuwa sangat peka dan prihatin terhadap orang yang menjadi mangsa ketidakadilan.

6. Apakah reaksi kita semasa kita melihat ketidakadilan atau menjadi mangsa ketidakadilan, dan mengapa?

6 Semasa kita melihat ketidakadilan atau menjadi mangsa ketidakadilan, kita akan menjadi sedih dan marah. Hal ini demikian kerana kita diciptakan menurut gambaran Tuhan, dan Tuhan membenci ketidakadilan. (Kejadian 1:27) Tetapi, mengapakah Tuhan mengizinkan ketidakadilan untuk terus berlaku?

Isu yang Penting

7. Bagaimanakah nama Yehuwa dicela dan pemerintahan-Nya dicabar?

7 Sebagai Pencipta, Tuhan berhak untuk memerintah atas semua makhluk ciptaan-Nya di bumi. (Mazmur 24:1; Wahyu 4:11) Tetapi nama Yehuwa telah dicela dan pemerintahan-Nya dicabar di Taman Eden. Yehuwa memerintahkan manusia yang pertama, iaitu Adam, agar tidak makan buah daripada sebatang pokok di taman itu. Jika Adam tidak mematuhi perintah itu, Tuhan berfirman bahawa dia “akan mati.” (Kejadian 2:17) Perintah Tuhan tidak susah untuk dipatuhi oleh Adam dan isterinya Hawa. Namun, Syaitan meyakinkan Hawa bahawa Tuhan sedang mengongkong kebebasannya. Syaitan memperdaya Hawa dengan berkata, “Kamu pasti tidak akan mati. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu memakan buah itu, pada hari itu juga mata kamu akan terbuka. Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.”​—Kejadian 3:1-5.

8. (a) Syaitan mahu Hawa membuat kesimpulan apa? (b) Apakah yang telah dipersoalkan oleh Syaitan?

8 Syaitan mahu Hawa membuat kesimpulan bahawa Yehuwa telah menipu Hawa dan menahan apa yang baik daripadanya. Si Penggoda ini membuat Hawa mempersoalkan sama ada Yehuwa benar-benar ialah Tuhan yang baik atau tidak. Maka, Syaitan telah mengaibkan nama Yehuwa. Dia juga mencabar kedaulatan Yehuwa atau cara pemerintahan-Nya. Perhatikan bahawa Syaitan tidak mempersoalkan kedudukan Yehuwa sebagai pemerintah yang berdaulat. Sebaliknya dia mempersoalkan hak dan cara Yehuwa memerintah serta keadilan-Nya. Dalam erti kata lain, Syaitan mendakwa bahawa Yehuwa tidak memerintah dengan adil dan tidak menjaga kepentingan ciptaan-Nya.

9. (a) Apakah yang berlaku kepada Adam dan Hawa selepas mereka mengingkari Tuhan? Apakah persoalan yang timbul? (b) Mengapakah Yehuwa tidak membinasakan para pemberontak itu dengan serta-merta?

9 Memandangkan Adam dan Hawa mengingkari Yehuwa dengan memakan buah daripada pokok yang dilarang oleh-Nya, mereka dihukum mati. Namun, dusta Syaitan telah menimbulkan beberapa persoalan yang penting: Adakah Yehuwa berhak untuk memerintah umat manusia, atau adakah manusia patut memerintah diri mereka sendiri? Adakah Yehuwa pemerintah yang baik dan adil? Sebenarnya Yehuwa dapat menggunakan kuasa-Nya untuk membinasakan para pemberontak itu dengan serta-merta. Tetapi persoalan yang timbul adalah mengenai nama Yehuwa, yang merangkumi cara Dia memerintah, dan bukan mengenai kuasa-Nya. Jadi, jika Yehuwa membinasakan Adam, Hawa, dan Syaitan, dengan serta-merta, persoalan yang timbul tidak akan terjawab. Sebaliknya, hal itu akan menimbulkan keraguan tentang cara Yehuwa memerintah. Maka satu-satunya cara untuk menentukan sama ada manusia dapat memerintah diri sendiri dengan baik atau tidak, adalah dengan membiarkan masa berlalu.

10. Apakah yang dapat kita nampak sepanjang pemerintahan manusia?

10 Sepanjang sejarah manusia, manusia telah mencuba pelbagai bentuk kerajaan, termasuk kerajaan autokrasi, demokrasi, sosialis, dan komunis. Apakah hasilnya? Bible memberitahu kita, “Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pengkhutbah 8:9) Nabi Yeremia menyatakan, “Ya Yehuwa, aku tahu benar bahawa manusia tidak berkuasa untuk menentukan jalan hidupnya, bahkan manusia yang sedang berjalan pun tidak dapat mengarahkan langkahnya.”​—Yeremia 10:23.

11. Mengapakah Yehuwa mengizinkan manusia untuk menderita?

11 Dari awal lagi, Yehuwa tahu bahawa keinginan manusia untuk memerintah diri sendiri akan membawa banyak penderitaan. Maka adakah Tuhan tidak adil kerana Dia mengizinkan manusia untuk memerintah diri sendiri? Tidak. Sebagai contoh, katakan anda mempunyai seorang anak yang perlu menjalani pembedahan untuk sembuh daripada suatu penyakit yang mengancam nyawanya. Anda tahu bahawa pembedahan itu akan membuat anak anda menderita, dan anda berasa susah hati. Tetapi pada masa yang sama, anda tahu bahawa pembedahan tersebut akan membolehkannya menikmati kesihatan yang lebih baik pada kemudian hari. Begitu juga, Tuhan tahu dan bahkan telah menubuatkan bahawa jika manusia memerintah diri sendiri, mereka akan menderita. (Kejadian 3:16-19) Tetapi Tuhan juga tahu bahawa satu-satunya cara untuk menjawab persoalan yang timbul buat selama-lamanya adalah dengan mengizinkan manusia melihat dengan mata sendiri kesan-kesan buruk daripada pemberontakan mereka.

Isu Kesetiaan Manusia

12. Apakah isu lain yang timbul?

12 Cabaran Syaitan telah menimbulkan satu isu yang lain. Semasa Syaitan mencabar hak Yehuwa untuk memerintah dan keadilan-Nya, dia bukan sahaja mencela nama Yehuwa dan kedaulatan-Nya, dia juga telah memfitnah hamba-hamba Yehuwa kerana dia mempersoalkan kesetiaan mereka. Sebagai contoh, perhatikan apa yang dikatakan oleh Syaitan kepada Yehuwa berkenaan Ayub, “Bukankah Engkau selalu melindunginya dan keluarganya serta segala miliknya? Engkau memberkati segala usahanya, dan ternakannya juga bertambah banyak di seluruh negeri. Tetapi jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan mengambil segala miliknya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”​—Ayub 1:10, 11.

13. Apakah dakwaan yang dilontarkan Syaitan terhadap Ayub? Apakah kaitan dakwaan ini dengan semua manusia yang lain?

13 Syaitan mendakwa bahawa Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk melindungi Ayub agar Dia dapat “membeli” kesetiaan Ayub. Secara tidak langsung, dia juga mendakwa bahawa Ayub ialah seorang yang munafik dan Ayub menyembah Yehuwa semata-mata demi kepentingan sendiri. Syaitan berkata bahawa jika Ayub tidak mendapat berkat Tuhan, dia akan mengutuk Tuhan. Syaitan tahu bahawa Ayub ‘setia dan tulus hati, takut kepada Tuhan, dan menjauhi kejahatan.’ a Jadi Syaitan mungkin berfikir bahawa jika dia dapat mematahkan kesetiaan Ayub, dia juga dapat mematahkan kesetiaan semua manusia lain. Maka Syaitan sedang mempersoalkan kesetiaan semua orang yang menyembah Tuhan. Itulah sebabnya dia berkata, “Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.”​—Ayub 1:8; 2:4.

14. Apakah yang ditunjukkan oleh sejarah manusia sehubungan dengan dakwaan Syaitan?

14 Sejarah manusia menunjukkan bahawa seperti Ayub, banyak orang tetap setia kepada Yehuwa meskipun menghadapi cabaran. Mereka telah menggembirakan hati Yehuwa dan membuktikan bahawa dakwaan Syaitan itu tidak benar. (Ibrani 11:4-38) Ya, mereka enggan meninggalkan Tuhan. Apabila mereka dilanda pelbagai cabaran dan masalah, mereka lebih bergantung pada Yehuwa, yang memberi mereka kekuatan untuk bertahan.​—2 Korintus 4:7-10.

15. Apakah soalan yang mungkin ditanyakan berkenaan penghakiman Yehuwa?

15 Yehuwa menunjukkan keadilan semasa mengendalikan isu tentang kedaulatan-Nya dan kesetiaan manusia. Bible mencatatkan bahawa Dia juga menghakimi orang dan bangsa-bangsa dengan adil. Selain itu, nubuat-nubuat Bible menyatakan bahawa Dia akan melaksanakan penghakiman pada masa depan. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa selalu adil sewaktu melaksanakan penghakiman?

Keadilan Tuhan Jauh Lebih Unggul

Yehuwa tidak akan “membinasakan orang yang baik bersama-sama orang yang jahat”

16, 17. Bagaimanakah sudut pandangan yang terhad mempengaruhi keadilan manusia? Berikan contoh.

16 Kita yakin bahawa ‘segala haluan Yehuwa sempurna dan saksama.’ (Ulangan 32:4) Tiada manusia yang dapat menandingi keadilan Tuhan kerana sudut pandangan kita yang terbatas selalu mengaburi daya penilaian kita. Sebagai contoh, perhatikan kisah Abraham. Dia merayu kepada Yehuwa agar tidak memusnahkan Sodom, sebuah kota yang sarat dengan kejahatan. Dia berkata, “Adakah Engkau benar-benar akan membinasakan orang yang baik bersama-sama orang yang jahat?” (Kejadian 18:23-33) Pastinya Tuhan tidak akan berbuat demikian. Selepas Lot dan anak-anak perempuannya tiba di Zoar dengan selamat, barulah Tuhan “menurunkan hujan belerang dan api ke atas kota Sodom.” (Kejadian 19:22-24) Sebaliknya, Yunus “menjadi sangat marah” apabila Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada penduduk Niniwe yang bertaubat.​—Yunus 3:10–4:1.

17 Yehuwa meyakinkan Abraham bahawa Dia melaksanakan keadilan bukan sekadar untuk menghukum orang jahat, tetapi juga untuk menyelamatkan orang baik. Yunus pula perlu belajar bahawa Yehuwa berbelas kasihan. Jika orang jahat meninggalkan haluan jahat mereka, Dia sudi mengampuni mereka. (Mazmur 86:5) Tidak seperti manusia, Yehuwa tidak akan menghukum orang semata-mata untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, dan Dia juga tidak menahan diri daripada menunjukkan belas kasihan-Nya semata-mata kerana takut dipandang lemah. Yehuwa selalu menunjukkan belas kasihan jika ada sebab untuk berbuat demikian.​—Yesaya 55:7; Yehezkiel 18:23.

18. Berikan contoh daripada Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa tidak bertindak mengikut perasaan.

18 Tetapi, Yehuwa tidak bertindak mengikut perasaan. Apabila umat-Nya terjebak dalam penyembahan berhala, Dia berfirman, “Aku akan menghakimimu sesuai dengan perbuatanmu. Engkau harus bertanggungjawab atas semua perbuatanmu yang menjijikkan itu. Aku tidak akan mengasihanimu ataupun memandangmu dengan belas kasihan. Aku akan menghukum engkau kerana perbuatanmu.” (Yehezkiel 7:3, 4) Maka apabila orang enggan bertaubat, Yehuwa akan menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Tetapi Dia selalu membuat penghakiman berdasarkan bukti yang kukuh. Contohnya, apabila Dia mendengar tuduhan berat yang dilontarkan terhadap penduduk Sodom dan Gomora, Dia berfirman, “Aku akan turun untuk menyiasat sama ada tuduhan yang Aku dengar itu benar atau tidak.” (Kejadian 18:20, 21) Ya, Yehuwa tidak seperti manusia yang biasanya membuat kesimpulan sebelum mendengar semua faktanya. Betapa bersyukurnya kita kerana dapat menyembah “Tuhan yang setia dan tidak berat sebelah”!​—Ulangan 32:4.

Yakin akan Keadilan Yehuwa

19. Apakah yang dapat kita lakukan jika kita tidak memahami cara Yehuwa melaksanakan penghakiman?

19 Bible tidak menjelaskan setiap tindakan Yehuwa pada masa lampau, dan Bible juga tidak memberikan setiap perincian tentang bagaimana Yehuwa akan menghakimi orang pada masa depan. Biarpun kita tidak memahami setiap catatan atau nubuat Bible secara sepenuhnya, kita dapat menunjukkan kesetiaan seperti Mikha, yang menulis, “Dengan sabar, aku akan menantikan Tuhan yang akan menyelamatkan aku.”​—Mikha 7:7.

20, 21. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa sentiasa bertindak dengan adil?

20 Kita dapat yakin bahawa Yehuwa sentiasa bertindak dengan adil. Biarpun manusia tidak menegakkan keadilan, Dia berjanji bahawa ‘Dia akan menuntut pembalasan dan akan membalas kejahatan.’ (Roma 12:19) Apabila kita bersabar dan menantikan Yehuwa, kita akan memiliki keyakinan yang teguh seperti Paulus, yang berkata, “Adakah Tuhan tidak adil? Sudah pasti tidak!”​—Roma 9:14.

21 Kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi” dan ketidakadilan menyebabkan banyak penderitaan. (2 Timotius 3:1; Pengkhutbah 4:1) Namun, Yehuwa tidak berubah. Dia masih membenci ketidakadilan, dan Dia amat prihatin terhadap orang yang menjadi mangsa ketidakadilan. Jika kita tetap setia kepada Yehuwa dan menyokong kedaulatan-Nya, Dia akan menguatkan kita untuk bertahan sehingga Kerajaan-Nya memerintah bumi dan melenyapkan semua ketidakadilan.​—1 Petrus 5:6, 7.

a Berkenaan Ayub, Yehuwa berfirman, “Tiada seorang pun yang seperti dia di bumi.” (Ayub 1:8) Kemungkinan besar, Ayub hidup pada zaman selepas kematian Yusuf dan sebelum Musa dilantik menjadi pemimpin orang Israel. Maka boleh dikatakan bahawa tiada sesiapa pun yang memiliki integriti seperti Ayub pada masa itu.