Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 13

“Hukum Yehuwa Itu Sempurna”

“Hukum Yehuwa Itu Sempurna”

1, 2. Mengapakah banyak orang hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan manusia? Bagaimanakah kita dapat memupuk penghargaan terhadap hukum Tuhan?

 SEBUAH buku yang diterbitkan pada tahun 1712 menyatakan bahawa hukum atau undang-undang manusia adalah seperti lubang tidak berdasar yang akan melahap apa-apa sahaja. Pengarang buku itu mengutuk sistem perundangan yang membuat orang yang mencari keadilan menjadi miskin kerana mereka terpaksa menghabiskan banyak wang untuk membuat tuntutan mahkamah yang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk diselesaikan. Di banyak negara, sistem perundangan sangat rumit dan sarat dengan ketidakadilan dan prasangka, sehingga orang hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan.

2 Tetapi, perhatikan kata-kata pemazmur yang berikut: “Aku sangat mencintai hukum-Mu!” (Mazmur 119:97) Ya, dia amat mencintai hukum Tuhan kerana hukum itu berasal daripada Tuhan. Seraya anda mempelajari hukum Yehuwa, anda juga akan bersetuju dengan kata-kata pemazmur itu dan anda akan memahami fikiran pemberi hukum yang terunggul di alam semesta.

Pemberi Hukum yang Terunggul

3, 4. Bagaimanakah Yehuwa membuktikan diri-Nya sebagai Pemberi Hukum?

3 Bible menyatakan, “Hanya ada satu Pemberi Hukum dan Hakim.” (Yakobus 4:12) Ya, Yehuwa ialah satu-satunya Pemberi Hukum yang sejati. Pergerakan segala sesuatu di angkasa bergantung pada “hukum-hukum di cakerawala” yang ditetapkan oleh Yehuwa. (Ayub 38:33) Tuhan juga telah menetapkan kedudukan dan tugas setiap malaikat, dan semua malaikat yang setia mematuhi hukum-Nya.​—Mazmur 104:4; Ibrani 1:7, 14.

4 Selain itu, Yehuwa telah memberikan hukum-Nya kepada manusia. Contohnya, kita dikurniai hati nurani. Hati nurani seperti hukum yang dapat membantu kita membezakan apa yang benar daripada apa yang salah. (Roma 2:14) Adam dan Hawa sempurna, maka mereka tidak memerlukan banyak hukum. (Kejadian 2:15-17) Tetapi manusia yang tidak sempurna memerlukan banyak hukum. Nuh, Abraham, dan Yakub menerima hukum-hukum daripada Yehuwa dan menyampaikannya kepada ahli keluarga mereka. (Kejadian 6:22; 9:3-6; 18:19; 26:4, 5) Yehuwa juga memberikan hukum kepada bangsa Israel melalui Musa. Dengan berbuat demikian, Dia menjadi Pemberi Hukum yang agung. Apabila kita meneliti Hukum Musa, kita dapat belajar lebih banyak tentang keadilan Yehuwa.

Hukum Musa

5. Adakah Hukum Musa rumit dan membebankan? Jelaskan.

5 Banyak orang berfikir bahawa Hukum Musa sangat rumit dan membebankan. Tetapi hal itu tidak benar. Meskipun Hukum Musa mempunyai lebih daripada 600 hukum, jumlah undang-undang manusia jauh lebih banyak daripada Hukum Musa. Sebagai contoh, undang-undang persekutuan Amerika pada akhir abad ke-20 dapat memenuhi lebih daripada 150,000 muka surat. Selain itu, setiap dua tahun, kira-kira 600 undang-undang baharu ditambahkan. Namun, terdapat banyak aspek yang disentuh oleh hukum Tuhan yang langsung tidak disentuh oleh hukum manusia. Marilah kita belajar tentangnya.

6, 7. (a) Apakah perbezaan antara Hukum Musa dengan hukum lain? Apakah hukum yang paling penting dalam Hukum Musa? (b) Bagaimanakah umat Tuhan dapat menunjukkan bahawa mereka menerima kedaulatan Yehuwa?

6 Hukum Musa menjunjung kedaulatan Yehuwa. Maka Hukum Musa jauh lebih unggul daripada mana-mana hukum manusia. Dalam Hukum Musa, hukum yang paling penting ialah “Yehuwa ialah Tuhan kita dan Yehuwalah Tuhan yang esa. Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap kekuatan kamu.” Umat Tuhan dapat mengungkapkan kasih mereka kepada Tuhan dengan menyembah-Nya dan tunduk kepada kedaulatan-Nya.​—Ulangan 6:4, 5; 11:13.

7 Orang Israel dapat menunjukkan bahawa mereka menerima kedaulatan Yehuwa dengan tunduk kepada orang yang diberi kekuasaan oleh Yehuwa. Yehuwa memberikan kekuasaan kepada ibu bapa, pemimpin, hakim, imam, dan raja. Dia memandang pemberontakan terhadap orang yang mewakili-Nya sebagai pemberontakan terhadap diri-Nya. Orang yang diberi kekuasaan pula perlu bertanggungjawab kepada Tuhan atas cara mereka menggunakan kekuasaan mereka.​—Keluaran 20:12; 22:28; Ulangan 1:16, 17; 17:8-20; 19:16, 17.

8. Bagaimanakah Hukum Musa menjunjung kesucian Yehuwa?

8 Hukum Musa menjunjung kesucian Yehuwa. Perkataan “suci” dan “kesucian” muncul lebih daripada 280 kali dalam Hukum Musa. Hukum itu mencatatkan sekitar 70 hal yang mungkin menyebabkan orang Israel najis. Dengan demikian, mereka dibantu untuk membezakan apa yang bersih daripada apa yang najis. Hukum-hukum itu menyentuh tentang kebersihan fizikal, pemakanan, dan bahkan cara untuk mengelakkan jangkitan. a Namun hukum-hukum itu mempunyai tujuan yang lebih luhur, iaitu Yehuwa tidak mahu umat-Nya kehilangan perkenan-Nya kerana terikut-ikut dengan amalan jijik bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Mari kita lihat satu contoh.

9, 10. Apakah yang dinyatakan dalam Hukum Musa tentang keadaan orang yang melakukan hubungan seks dan orang yang bersalin? Apakah manfaat mematuhi hukum-hukum itu?

9 Hukum Musa menyatakan bahawa suami isteri yang melakukan hubungan seks dan wanita yang bersalin berada dalam keadaan yang najis buat suatu jangka waktu. (Imamat 12:2-4; 15:16-18) Hukum-hukum itu tidak merendahkan kurniaan Tuhan. (Kejadian 1:28; 2:18-25) Sebenarnya, hukum-hukum itu menjunjung kesucian Yehuwa dan memastikan umat-Nya bebas daripada hal-hal yang najis. Bangsa-bangsa di sekeliling orang Israel cenderung mencampuradukkan ibadat mereka dengan upacara seks dan kesuburan. Contohnya, pelacuran merupakan sebahagian daripada agama orang Kanaan. Tetapi Hukum Musa memastikan ibadat kepada Yehuwa terpisah daripada apa-apa perbuatan seksual. b

10 Hukum Musa mengajar kita satu kebenaran yang penting: Kita semua dilahirkan dalam dosa. c (Mazmur 51:5) Memandangkan dosa Adam diwariskan kepada keturunannya melalui hubungan seks dan anak yang dilahirkan, hukum Tuhan mengingatkan kita bahawa kita memerlukan pengampunan agar kita dapat menghampiri-Nya.​—Roma 5:12.

11, 12. (a) Hukum Musa mementingkan apa? (b) Bagaimanakah Hukum Musa mencegah ketidakadilan daripada berlaku?

11 Hukum Musa menjunjung keadilan Yehuwa. Hukum Musa mementingkan kesepadanan dalam hal-hal yang berkaitan dengan keadilan. Itulah sebabnya Hukum Musa menyatakan, “Hendaklah nyawa ganti nyawa, mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, dan kaki ganti kaki.” (Ulangan 19:21) Dalam kes-kes jenayah, hukuman yang dijatuhkan haruslah setimpal dengan kejahatan yang dilakukan. Kesepadanan merupakan tuntutan utama dalam Hukum Musa dan merupakan aspek penting untuk memahami korban tebusan Yesus, yang akan dibincangkan dalam Bab 14.​—1 Timotius 2:5, 6.

12 Hukum Musa juga dapat mencegah ketidakadilan. Contohnya, sekurang-kurangnya dua orang saksi diperlukan untuk mengesahkan kebenaran suatu tuduhan. Orang yang memberikan kesaksian yang palsu pula akan menerima hukuman yang sangat berat. (Ulangan 19:15, 18, 19) Amalan rasuah dilarang sama sekali. (Keluaran 23:8; Ulangan 27:25) Dalam soal perniagaan, umat Tuhan harus jujur dan adil.​—Imamat 19:35, 36; Ulangan 23:19, 20.

Hukum yang Menitikberatkan Belas Kasihan dan Keadilan

13, 14. Bagaimanakah Hukum Musa memastikan bahawa seseorang pencuri dan mangsanya mendapat layanan yang adil?

13 Raja Daud menulis, “Hukum Yehuwa itu sempurna.” (Mazmur 19:7) Daripada pengalamannya sendiri, dia tahu bahawa Hukum Musa mementingkan keadilan dan menyingkapkan belas kasihan Tuhan. Marilah kita melihat beberapa contoh.

14 Dewasa ini, undang-undang sesetengah negara nampaknya lebih menyebelahi penjenayah daripada mangsa jenayah. Contohnya, seorang pencuri mungkin dipenjarakan. Tetapi orang yang barangnya dicuri tidak mendapat apa-apa pampasan, dan bahkan perlu membayar cukai yang digunakan untuk membiayai kos penjara. Pada zaman Israel kuno pula, penjenayah akan dihukum tetapi tidak dipenjarakan. Namun Hukum Musa mengenakan batasan terhadap hukuman yang diberikan terhadap perbuatan jenayah. (Ulangan 25:1-3) Seorang pencuri perlu membayar ganti rugi kepada orang yang barangnya dicuri. Selain itu, dia juga perlu memberikan bayaran tambahan. Para hakim akan menentukan bayaran itu berdasarkan beberapa faktor, seperti sama ada pencuri itu bertaubat atau tidak. Itulah sebabnya bayaran yang dikenakan atas seorang pencuri seperti yang dinyatakan di Imamat 6:1-7 jauh berbeza dengan apa yang dinyatakan di Keluaran 22:7.

15. Bagaimanakah Hukum Musa mencerminkan keadilan dan belas kasihan Tuhan semasa seseorang melakukan kesalahan secara tidak sengaja?

15 Bagaimana pula dengan kesalahan yang dilakukan secara tidak sengaja? Contohnya, apabila seseorang membunuh orang lain secara tidak sengaja, orang itu dapat melarikan diri ke salah sebuah kota perlindungan di negeri Israel. Selepas para hakim mengadili kesnya, dia harus tinggal di kota perlindungan itu sehingga imam agung meninggal. Selepas itu, dia bebas untuk tinggal di mana-mana sahaja. Hukum Musa mencerminkan belas kasihan Tuhan, dan menekankan betapa bernilainya nyawa manusia.​—Bilangan 15:30, 31; 35:12-25.

16. Bagaimanakah Hukum Musa melindungi hak peribadi orang?

16 Selain itu, Hukum Musa melindungi hak peribadi orang. Contohnya, hukum itu melindungi hak penghutang. Pemiutang dilarang memasuki rumah penghutang untuk mengambil barangan sebagai jaminan pinjaman. Sebaliknya, pemiutang itu harus menunggu di luar dan membiarkan penghutang membawa keluar barang jaminan itu. Jika pemiutang mengambil jubah luar penghutang sebagai jaminan, dia harus mengembalikan jubah itu sebelum matahari terbenam kerana penghutang memerlukan jubah itu agar tidak kesejukan pada waktu malam.​—Ulangan 24:10-14.

17, 18. Apakah perbezaan antara bangsa Israel dengan bangsa-bangsa lain berkenaan hal-hal peperangan? Mengapa?

17 Hukum Musa bahkan mempunyai garis panduan tentang peperangan. Umat Tuhan berperang bukan kerana mereka menggilakan kuasa. Mereka bertindak sebagai wakil dalam “Peperangan Yehuwa.” (Bilangan 21:14) Biasanya orang Israel perlu memberikan peluang kepada pihak musuh untuk menyerah. Jika tawaran perdamaian mereka ditolak, barulah mereka boleh mengepung kota itu. Biarpun begitu, mereka tidak dibenarkan untuk merogol wanita atau membunuh orang dengan sesuka hati. Mereka bahkan tidak boleh menebang pokok buah-buahan musuh mereka. d​—Ulangan 20:10-15, 19, 20; 21:10-13.

18 Di sesetengah negara, kanak-kanak pun dilatih untuk menjadi askar. Tetapi di negeri Israel kuno, lelaki yang berusia 20 tahun ke bawah tidak dibenarkan untuk menjadi askar. (Bilangan 1:2, 3) Lelaki yang terlalu takut juga dikecualikan daripada khidmat tentera. Lelaki yang baru berkahwin pula dikecualikan daripada khidmat tentera selama satu tahun agar dia dapat melihat zuriatnya dilahirkan dan “supaya isterinya bersukacita.”​—Ulangan 20:5, 6, 8; 24:5.

19. Bagaimanakah Hukum Musa menjaga kebajikan wanita, anak-anak, keluarga, balu, dan anak yatim?

19 Hukum Musa juga melindungi dan menjaga kebajikan wanita, anak-anak, dan keluarga. Ibu bapa diperintahkan agar sentiasa memberikan perhatian kepada anak-anak dan mengajar mereka tentang hal-hal rohani. (Ulangan 6:6, 7) Hukum itu melarang semua bentuk hubungan seks dengan saudara-mara, dan sesiapa yang melanggar perintah ini akan dihukum mati. (Imamat, bab 18) Perbuatan zina juga dilarang kerana perzinaan merosakkan rumah tangga dan menghina aturan kekeluargaan. Selain itu, Hukum Musa menjaga kebajikan balu dan anak yatim, dan memberikan amaran yang tegas kepada orang yang menindas mereka.​—Keluaran 20:14; 22:22-24.

20, 21. (a) Mengapakah Hukum Musa membenarkan poligami? (b) Dalam soal perceraian, mengapakah Hukum Musa berbeza dengan perintah yang diberikan oleh Yesus?

20 Ada orang mungkin bertanya, “Mengapakah Hukum Musa membenarkan poligami?” (Ulangan 21:15-17) Untuk memahami sebabnya, kita perlu mengambil kira keadaan masyarakat pada zaman itu. (Amsal 18:13) Di Taman Eden, Yehuwa telah mengasaskan aturan perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita. (Kejadian 2:18, 20-24) Tetapi sewaktu Yehuwa memberikan Hukum Musa kepada orang Israel, poligami sudah pun diamalkan selama ratusan tahun. Yehuwa tahu bahawa umat Israel yang amat degil itu sering kali tidak dapat mematuhi hukum-hukum yang mudah, seperti tidak menyembah berhala. (Keluaran 32:9) Maka, Dia memilih untuk tidak membetulkan semua amalan perkahwinan mereka pada zaman itu. Namun, kita perlu ingat bahawa Yehuwa tidak mengasaskan perkahwinan poligami. Dia menggunakan Hukum Musa untuk mengenakan sekatan atas poligami agar umat-Nya tidak dapat bertindak sesuka hati.

21 Hukum Musa membenarkan seorang lelaki untuk menceraikan isterinya atas beberapa sebab yang serius. (Ulangan 24:1-4) Yesus menjelaskan bahawa Tuhan memberikan kelonggaran kepada orang Yahudi untuk bercerai ‘kerana hati mereka degil.’ Namun, Yehuwa tidak membenarkan perbuatan ini berterusan buat selama-lamanya. Yesus telah memulihkan aturan asal Yehuwa bagi perkahwinan, dan para pengikutnya haruslah mengikut aturan itu.​—Matius 19:8.

Hukum yang Menggalakkan Kasih

22. Bagaimanakah Hukum Musa menitikberatkan kasih? Umat Tuhan perlu menunjukkan kasih kepada siapa?

22 Hukum Musa menitikberatkan kasih. Dalam buku Ulangan sahaja, kata-kata yang berkaitan dengan “kasih” muncul lebih daripada 20 kali. Hukum kedua terpenting dalam Hukum Musa ialah “kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.” (Imamat 19:18; Matius 22:37-40) Umat Tuhan bukan sahaja perlu mengasihi satu sama lain, mereka bahkan juga perlu mengasihi orang asing yang tinggal dalam kalangan mereka kerana mereka sendiri pernah menjadi penduduk asing. Mereka perlu menunjukkan kasih kepada orang yang miskin dan ditindas, membantu mereka secara kewangan, dan tidak mengambil kesempatan atas mereka. Mereka bahkan perlu melayan ternakan mereka dengan baik dan bertimbang rasa.​—Keluaran 23:6; Imamat 19:14, 33, 34; Ulangan 22:4, 10; 24:17, 18.

23. Penulis Mazmur 119 tergerak untuk melakukan apa? Kita juga bertekad untuk melakukan apa?

23 Betapa agungnya hukum yang diberikan kepada bangsa Israel kuno! Itulah sebabnya pemazmur menulis, “Aku sangat mencintai hukum-Mu!” Kasih itu telah menggerakkan penulis mazmur untuk mematuhi hukum Tuhan dan hidup selaras dengannya. Ya, kasihnya bukan sekadar ucapan di bibir. Pemazmur itu juga menyambung, “Aku merenungkannya sepanjang hari.” (Mazmur 119:11, 97) Dia selalu mengkaji hukum Yehuwa, dan hal ini telah memperdalam kasihnya terhadap Yehuwa dan hukum-Nya. Seraya anda terus mempelajari hukum Tuhan, anda juga akan lebih menghampiri Yehuwa, Pemberi Hukum yang adil.

a Hukum Musa mengandungi maklumat yang mendahului zamannya. Sebagai contoh, terdapat hukum yang mewajibkan najis manusia ditimbus, orang sakit diasingkan, dan orang yang menyentuh mayat membasuh diri.​—Imamat 13:4-8; Bilangan 19:11-13, 17-19; Ulangan 23:13, 14.

b Kuil orang Kanaan mempunyai bilik-bilik yang dikhususkan untuk kegiatan seksual. Memandangkan hubungan seks menyebabkan orang menjadi najis buat suatu jangka waktu, dan orang yang berada dalam keadaan yang najis bahkan tidak boleh masuk ke dalam Rumah Tuhan, kegiatan seksual tidak menjadi sebahagian daripada ibadat di Rumah Yehuwa.

c Tujuan utama Hukum Musa adalah untuk mengajar. Encyclopaedia Judaica menyatakan bahawa perkataan Ibrani untuk “hukum,” iaitu toh·rahʹ, bermaksud “mengajar.”

d Hukum Musa menyatakan, ‘Jangan memusnahkan pokok-pokok sebagaimana kamu memusnahkan musuh kamu.’ (Ulangan 20:19) Philo, seorang cendekiawan Yahudi pada abad pertama, menjelaskan bahawa dalam pandangan Tuhan, “adalah salah jika manusia melampiaskan kemarahan mereka atas benda-benda yang tidak bersalah.”