Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 14

Yehuwa Menyediakan “Tebusan bagi Banyak Orang”

Yehuwa Menyediakan “Tebusan bagi Banyak Orang”

1, 2. Apakah yang dinyatakan dalam Bible tentang keadaan manusia? Bagaimanakah Yehuwa membebaskan manusia daripada dosa dan kematian?

 “SEMUA ciptaan sama-sama mengerang dan menderita kesakitan.” (Roma 8:22) Melalui kata-kata itu, Paulus sedang menggambarkan keadaan manusia yang menyedihkan. Daripada sudut pandangan manusia, keadaan manusia tiada harapan. Tetapi Yehuwa tidak memiliki keterbatasan seperti manusia. (Bilangan 23:19) Yehuwa ialah Tuhan yang adil dan Dia telah memberi kita harapan melalui aturan tebusan.

2 Tebusan merupakan pemberian Yehuwa yang paling bernilai. Tebusan dapat membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. (Efesus 1:7) Melalui tebusan, kita mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya. (Lukas 23:43; Yohanes 3:16; 1 Petrus 1:4) Namun, apakah sebenarnya tebusan? Bagaimanakah tebusan mengajar kita tentang keadilan Yehuwa yang sempurna?

Mengapakah Kita Memerlukan Tebusan?

3. (a) Mengapakah kita memerlukan tebusan? (b) Mengapakah Yehuwa tidak dapat mengabaikan hukum-Nya sendiri?

3 Dengan mengingkari Tuhan dan berdosa, Adam mewariskan penyakit, dukacita, kesakitan, dan kematian kepada keturunannya. Maka kita memerlukan tebusan. (Kejadian 2:17; Roma 8:20) Yehuwa mesti menjatuhkan hukuman mati atas manusia kerana Dia tidak dapat mengabaikan hukum-Nya sendiri yang menyatakan bahawa “upah dosa ialah kematian.” (Roma 6:23) Jika Yehuwa mengabaikan piawaian keadilan-Nya, seluruh alam semesta akan menjadi huru-hara.

4, 5. (a) Apakah tuduhan yang dilontarkan oleh Syaitan terhadap Tuhan? Mengapakah Yehuwa perlu menjawab tuduhannya? (b) Apakah tuduhan yang dilontarkan oleh Syaitan terhadap hamba-hamba Yehuwa?

4 Seperti yang kita pelajari dalam Bab 12, pemberontakan di Taman Eden telah menimbulkan isu-isu yang lebih besar. Syaitan mengaibkan nama Tuhan dan menuduh bahawa Yehuwa ialah pendusta dan pemerintah yang kejam yang merampas kebebasan makhluk ciptaan-Nya. (Kejadian 3:1-5) Memandangkan kehendak Tuhan bagi bumi seolah-olah tidak tercapai, Syaitan juga menuduh bahawa Yehuwa telah gagal. (Kejadian 1:28; Yesaya 55:10, 11) Seandainya Yehuwa tidak menjawab tuduhan Syaitan, banyak makhluk ciptaan-Nya mungkin akan kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan-Nya.

5 Syaitan juga memfitnah hamba-hamba Yehuwa. Dia menuduh bahawa mereka mementingkan diri dan tidak akan setia kepada Yehuwa jika mereka mengalami kesusahan dan penderitaan. (Ayub 1:9-11) Isu-isu ini sangat penting dan Yehuwa perlu menjawab tuduhan yang dilontarkan oleh Syaitan. Tetapi bagaimanakah Yehuwa dapat menyelesaikan isu-isu ini dan pada masa yang sama menyelamatkan umat manusia?

Tebusan​—Pampasan yang Sama Nilai

6. Apakah perkataan-perkataan yang digunakan dalam Bible untuk menggambarkan penyelesaian Tuhan?

6 Penyelesaian Yehuwa menonjolkan belas kasihan dan keadilan-Nya. Dalam Bible, penyelesaian Tuhan dikaitkan dengan perkataan-perkataan seperti pengampunan dosa, pembelian semula, berbaik semula, dan korban pendamaian. (Daniel 9:24; Galatia 3:13; Kolose 1:20; Ibrani 2:17) Tetapi, Yesus menggambarkan penyelesaian Tuhan dengan baik sekali semasa dia berkata, “Anak Manusia tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan [Yunani, lyʹtron] bagi banyak orang.”​—Matius 20:28.

7, 8. (a) Apakah erti perkataan “tebusan” dalam Bible? (b) Apakah kaitan antara tebusan dengan sesuatu yang sama nilai atau sepadan?

7 Apakah itu tebusan? Kata Yunani yang digunakan di sini berasal daripada kata kerja Yunani yang bererti “melepaskan atau membebaskan.” Istilah ini digunakan untuk merujuk kepada wang yang dibayar untuk membebaskan tawanan perang. Secara ringkas, tebusan ialah sesuatu yang dibayarkan untuk membeli kembali sesuatu. Dalam Kitab-Kitab Ibrani, perkataan “tebusan” (koʹpher) berasal daripada kata kerja yang bererti “menutupi.” Hal ini membantu kita untuk memahami bahawa tebusan juga bererti menutupi atau mengampunkan dosa.​—Mazmur 78:38, nota kaki.

8 Yang menariknya, buku Theological Dictionary of the New Testament menyatakan bahawa perkataan koʹpher selalu membawa maksud sesuatu yang sama nilai atau sepadan. Maka, untuk menebus atau menutupi dosa, harga yang dibayar mestilah sama nilai atau dapat benar-benar menutupi kesan buruk yang dibawa oleh dosa. Oleh itu, Hukum Tuhan menyatakan, “Hendaklah nyawa ganti nyawa, mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, dan kaki ganti kaki.”​—Ulangan 19:21.

9. Mengapakah penyembah Yehuwa yang setia mempersembahkan korban binatang? Apakah pandangan Tuhan terhadap korban-korban sebegitu?

9 Penyembah Yehuwa sejak zaman Habel telah mempersembahkan korban binatang kepada-Nya. Dengan berbuat demikian, mereka menunjukkan bahawa mereka sedar akan keadaan mereka yang berdosa. Mereka juga menunjukkan bahawa mereka beriman kepada janji Tuhan untuk membebaskan manusia melalui ‘keturunan’ yang dijanjikan. (Kejadian 3:15; 4:1-4; Imamat 17:11; Ibrani 11:4) Yehuwa memperkenankan para penyembah-Nya yang mempersembahkan korban binatang. Namun, korban binatang tidak dapat menutupi dosa manusia dengan sepenuhnya. (Mazmur 8:4-8) Bible menyatakan, “Darah lembu jantan dan darah kambing tidak mungkin dapat menghapuskan dosa.” (Ibrani 10:1-4) Ya, korban binatang hanyalah bayangan kepada korban tebusan sebenar yang akan datang.

“Tebusan yang Sepadan”

10. (a) Apakah yang diperlukan untuk menebus manusia, dan mengapa? (b) Mengapakah nyawa satu orang sahaja diperlukan?

10 “Paulus menulis, “Semua orang mati kerana Adam.” (1 Korintus 15:22) Itulah sebabnya kita memerlukan seorang manusia yang sepadan dengan Adam untuk mengorbankan nyawanya bagi menebus manusia. (Roma 5:14) Manusia ini haruslah sempurna dan tidak dicemari dosa Adam. Dengan demikian, nyawa yang dikorbankannya dapat memenuhi piawaian keadilan Tuhan. (1 Timotius 2:6) Nyawa jutaan orang tidak perlu dikorbankan. Paulus berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian.” (Roma 5:12) Memandangkan “kematian datang melalui satu orang,” Tuhan menyediakan tebusan bagi manusia “melalui satu orang.” (1 Korintus 15:21) Bagaimanakah Tuhan melakukannya?

“Tebusan yang sepadan untuk semua orang”

11. (a) Bagaimanakah penebus itu akan “merasai kematian bagi setiap orang”? (b) Mengapakah Adam dan Hawa tidak boleh mendapat manfaat daripada aturan tebusan? (Lihat nota kaki.)

11 Yehuwa telah mengatur agar seorang manusia yang sempurna mengorbankan nyawanya. Menurut Roma 6:23, “upah dosa ialah kematian.” Dengan mengorbankan nyawanya, penebus itu akan “merasai kematian bagi setiap orang.” Dalam erti kata lain, dialah yang akan mati untuk menebus dosa Adam. (Ibrani 2:9; 2 Korintus 5:21; 1 Petrus 2:24) Korban ini merupakan aturan yang sah untuk menyelesaikan masalah dari akar umbinya supaya hukuman mati atas keturunan Adam dapat dibatalkan. a​—Roma 5:16.

12. Bagaimanakah pembatalan hutang satu orang dapat membawa manfaat kepada banyak orang? Jelaskan.

12 Bayangkan anda tinggal di sebuah kota yang mempunyai sebuah kilang yang besar. Kebanyakan penduduk di kota itu bekerja di kilang tersebut. Tetapi pada suatu hari, pengurus kilang itu mencuri wang syarikat. Akibatnya, syarikat memiliki banyak hutang sehingga perlu ditutup. Oleh sebab anda tiba-tiba kehilangan kerja, anda tidak mampu membayar bil. Rakan sekerja anda turut mengalami masalah yang serupa. Disebabkan ketidakjujuran satu orang, banyak orang menderita. Kemudian, seorang lelaki yang baik dan murah hati, berasa kasihan terhadap anda semua. Dia tahu bahawa syarikat itu mempunyai potensi yang besar. Maka dia tergerak untuk membayar hutang syarikat itu dan membukanya semula. Pembatalan hutang syarikat itu membawa kelegaan kepada semua pekerja dan keluarga mereka. Demikian juga, pembatalan hutang Adam membawa manfaat bagi jutaan orang.

Siapakah yang Dapat Menyediakan Tebusan?

13, 14. (a) Bagaimanakah Yehuwa menyediakan tebusan bagi umat manusia? (b) Harga tebusan dibayar kepada siapa? Jelaskan.

13 Hanya Yehuwa yang dapat menyediakan “Anak Bebiri” sebagai tebusan untuk menghapuskan dosa dunia. (Yohanes 1:29) Tetapi Dia tidak mengutus mana-mana malaikat-Nya secara rawak. Yehuwa membuat pengorbanan yang sangat besar dan mengutus Anak kesayangan-Nya untuk menjawab tuduhan Syaitan. (Amsal 8:30) Anak kesayangan-Nya itu sudi “melepaskan segala-gala yang dimilikinya” di syurga. (Filipi 2:7) Yehuwa memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim seorang anak dara yang bernama Maria. (Lukas 1:27, 35) Anak itu dinamakan Yesus dan dia dapat dipanggil “Adam yang terakhir” secara sah, kerana dia sepadan dengan Adam. (1 Korintus 15:45, 47) Itulah sebabnya Yesus dapat mempersembahkan nyawanya sebagai korban untuk menebus umat manusia.

14 Harga tebusan itu dibayarkan kepada siapa? Mazmur 49:7 memberitahu kita bahawa harga tebusan itu dibayarkan “kepada Tuhan.” Tetapi bukankah Yehuwa sendiri yang menyediakan tebusan? Jadi mengapakah Dia perlu membayar tebusan itu kepada diri-Nya sendiri? Bukankah hal ini seperti mengambil duit daripada akaun sendiri dan kemudian memasukkannya kembali ke dalam akaun yang sama? Kita harus ingat bahawa tebusan bukanlah satu urus niaga fizikal, tetapi satu aturan yang sah dari segi undang-undang. Dengan menyediakan tebusan, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia juga terikat kepada Hukum-Nya dan Dia sanggup membayar harga yang sangat tinggi untuk memenuhi piawaian keadilan-Nya yang sempurna.​—Kejadian 22:7, 8, 11-13; Ibrani 11:17; Yakobus 1:17.

15. Mengapakah Yesus perlu menderita dan mati?

15 Pada tahun 33 Masihi, Yesus dengan rela menghadapi cabaran dan penganiayaan yang besar untuk membayar harga tebusan. Dia membiarkan dirinya ditangkap atas tuduhan palsu dan akhirnya dipakukan pada tiang seksaan. Yesus perlu menderita kerana isu tentang kesetiaan hamba-hamba Tuhan harus diselesaikan. Semasa Yesus seorang bayi, Yehuwa menghalang Herodes daripada membunuhnya. (Matius 2:13-18) Namun setelah Yesus dewasa, dia memahami semua isu yang terlibat dan mampu menghadapi serangan Syaitan. Maka Yehuwa mengizinkannya menghadapi serangan Syaitan. b Meskipun Yesus dilayan dengan buruk, dia tetap ‘setia, tidak bersalah, tidak tercemar, dan terasing daripada pendosa.’ Dengan demikian, Yesus membuktikan bahawa hamba-hamba Yehuwa dapat mengekalkan kesetiaan mereka meskipun menghadapi cabaran yang besar. (Ibrani 7:26) Itulah sebabnya pada saat sebelum kematiannya, Yesus berseru, “Sudah selesai!”​—Yohanes 19:30.

Menyelesaikan Tugasnya sebagai Penebus

16, 17. (a) Bagaimanakah Yesus menyelesaikan tugasnya sebagai penebus? (b) Mengapakah Yesus perlu “menghadap Tuhan bagi pihak kita”?

16 Meskipun Yesus telah mengorbankan nyawanya, tugasnya sebagai penebus masih belum selesai. Pada hari ketiga selepas Yesus mati, Yehuwa membangkitkannya. (Kisah 3:15; 10:40) Dengan demikian, Yesus berpeluang untuk menyelesaikan tugasnya sebagai imam agung. (Roma 1:4; 1 Korintus 15:3-8) Paulus menjelaskan, ‘Kristus datang sebagai imam agung dan masuk ke dalam Bilik Maha Suci bukan dengan membawa darah kambing atau darah lembu jantan muda, tetapi dengan membawa darahnya sendiri. Dia masuk sekali untuk selama-lamanya dan memperoleh pembebasan yang kekal untuk kita. Kristus tidak masuk ke dalam Bilik Maha Suci yang dibuat dengan tangan manusia, yang hanyalah tiruan daripada Bilik Maha Suci yang sebenar. Tetapi dia masuk ke syurga; sekarang di sana, dia menghadap Tuhan bagi pihak kita.’​—Ibrani 9:11, 12, 24.

17 Yesus tidak membawa darahnya secara harfiah ke syurga. (1 Korintus 15:50) Sebaliknya, dia membawa apa yang dilambangkan oleh darahnya itu, iaitu nilai nyawanya yang sempurna dan sah menurut piawaian Tuhan. Di hadirat Tuhan, dia mempersembahkan nilai nyawanya secara rasmi untuk membeli manusia yang berdosa. Adakah Yehuwa menerima korbannya itu? Ya. Hal ini jelas kelihatan semasa Pentakosta tahun 33 Masihi, iaitu semasa Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas kira-kira 120 orang murid di Yerusalem. (Kisah 2:1-4) Namun, peristiwa itu cumalah permulaan daripada manfaat-manfaat yang bakal dibawa oleh korban Yesus.

Manfaat-Manfaat Tebusan

18, 19. (a) Nyatakan dua kumpulan orang yang meraih manfaat daripada tebusan Kristus. (b) Apakah manfaat yang diraih oleh “kumpulan besar manusia” sekarang dan pada masa depan?

18 Paulus menjelaskan bahawa melalui darah Yesus yang dicurahkan pada tiang seksaan, ‘Tuhan berbaik semula dengan segala sesuatu.’ Ya, Tuhan berdamai dengan dua kumpulan orang, iaitu mereka “yang di syurga” dan mereka “yang di bumi.” (Kolose 1:19, 20; Efesus 1:10) Kumpulan pertama terdiri daripada 144,000 orang Kristian yang diberi harapan untuk berkhidmat sebagai imam dan raja bersama Yesus di syurga. (Wahyu 5:9, 10; 7:4; 14:1-3) Melalui mereka, manfaat-manfaat tebusan akan diberikan kepada umat manusia secara bertahap-tahap semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.​—1 Korintus 15:24-26; Wahyu 20:6; 21:3, 4.

19 Mereka “yang di bumi” merujuk kepada orang yang akan menikmati kehidupan yang sempurna di bumi Firdaus. Wahyu 7:9-17 menggambarkan mereka sebagai “kumpulan besar manusia” yang selamat mengharungi “kesengsaraan besar.” Mereka sudah “mencuci dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Bebiri.” Memandangkan mereka beriman kepada korban tebusan Yesus, sekarang pun mereka menikmati banyak manfaat rohani. Mereka sudah diterima sebagai orang yang menyenangkan hati Tuhan. (Yakobus 2:23) Oleh itu, mereka dapat “menghadap takhta Tuhan, iaitu Dia yang mengurniakan kebaikan hati yang unggul, dan berdoa kepada-Nya dengan berani.” (Ibrani 4:14-16) Semasa mereka melakukan kesalahan, mereka menerima pengampunan yang sejati. (Efesus 1:7) Meskipun mereka tidak sempurna, mereka menikmati hati nurani yang murni. (Ibrani 9:9; 10:22; 1 Petrus 3:21) Ya, sekarang pun mereka sudah berbaik semula dengan Yehuwa! (2 Korintus 5:19, 20) Sepanjang Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, mereka akan “dibebaskan daripada menjadi hamba tubuh yang boleh musnah lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan” secara bertahap-tahap.​—Roma 8:21.

20. Apakah manfaat yang dapat diraih jika kita merenungkan kurniaan tebusan?

20 Tidakkah kita bersyukur kerana Tuhan telah menyelamatkan kita melalui tebusan Yesus? (Roma 7:25) Sudah tentu kita berasa takjub dengan kebijaksanaan Tuhan. (Roma 11:33) Jika kita meluangkan masa untuk merenungkan kurniaan Tuhan ini, kesyukuran kita akan bertambah. Hasilnya, kita akan tergerak untuk lebih menghampiri Yehuwa, Tuhan yang “mencintai keadilan dan kejujuran,” dan memuji-Nya.​—Mazmur 33:5.

a Adam dan Hawa tidak boleh mendapat manfaat daripada aturan tebusan. Hukum Musa menyatakan, “Kamu tidak boleh menerima tebusan untuk menyelamatkan nyawa orang yang sengaja membunuh.” (Bilangan 35:31) Daripada prinsip yang terkandung dalam ayat ini, kita mengetahui bahawa Adam dan Hawa harus dihukum mati kerana mereka sengaja mengingkari perintah Tuhan. Mereka juga tidak mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya.

b Yesus harus mati sebagai lelaki dewasa yang sempurna, dan bukan sebagai anak kecil yang sempurna. Hal ini demikian kerana Adam sudah dewasa semasa dia sengaja mengingkari Tuhan. Pada waktu itu, Adam sedar akan akibat perbuatannya. Maka untuk menjadi “Adam yang terakhir,” Yesus haruslah dewasa dan dapat membuat keputusan untuk tetap setia kepada Yehuwa. (1 Korintus 15:45, 47) Dengan demikian “perbuatan benar” Yesus, yang merangkumi seluruh kehidupannya di bumi, termasuk kematiannya, membolehkan semua orang mendapat perkenan Tuhan.​—Roma 5:18, 19.