Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 16

“Berlaku Adil” Di Hadapan Tuhan

“Berlaku Adil” Di Hadapan Tuhan

1-3. (a) Mengapakah kita terhutang budi kepada Yehuwa? (b) Apakah yang dikehendaki oleh Tuhan daripada kita?

 BAYANGKAN bahawa anda terperangkap di dalam sebuah kapal yang sedang karam. Apabila anda hampir putus harapan, tiba-tiba seseorang menyelamatkan anda. Tidakkah anda berasa sangat bersyukur kepada orang itu dan ingin membalas budi baiknya?

2 Demikian juga, Yehuwa telah menyelamatkan kita daripada cengkaman dosa dan kematian melalui tebusan Yesus. Maka kita dapat yakin bahawa jika kita beriman kepada tebusan itu, dosa kita akan diampunkan, dan kita dapat menikmati kehidupan yang abadi pada masa depan. (1 Yohanes 1:7; 4:9) Seperti yang telah kita pelajari di Bab 14, tebusan ialah ungkapan kasih dan keadilan Yehuwa yang terunggul. Oleh itu, bagaimanakah kita dapat membalas budi baik-Nya?

3 Tuhan memberitahu kita jawapannya melalui Mikha yang menulis, “Hai manusia, Tuhan telah memberitahu engkau apa yang baik. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripadamu? Dia ingin engkau berlaku adil, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Tuhan.” (Mikha 6:8) Perhatikan bahawa salah satu hal yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada kita adalah supaya kita “berlaku adil.” Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

Lakukanlah “Apa yang Benar”

4. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa menghendaki kita untuk hidup selaras dengan piawaian-Nya?

4 Yehuwa menghendaki kita untuk hidup selaras dengan piawaian-Nya yang adil dan benar. Yesaya 1:17 menyatakan, “Belajarlah berbuat baik dan lakukanlah apa yang adil.” Ya, kita digalakkan agar ‘berusaha untuk melakukan apa yang benar.’ (Zefanya 2:3) Kita juga digalakkan untuk “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar.” (Efesus 4:24) Jika kita mencintai keadilan dan kebaikan, kita akan menjauhi keganasan, perbuatan yang najis, dan kelakuan yang tidak bermoral.​—Mazmur 11:5; Efesus 5:3-5.

5, 6. (a) Mengapakah piawaian Yehuwa tidak membebankan? (b) Mengapakah kita perlu terus berusaha melakukan apa yang baik?

5 Adakah piawaian Yehuwa membebankan kita? Tidak. Jika kita mengasihi Yehuwa, kita akan mematuhi piawaian-Nya dan hidup dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. (1 Yohanes 5:3) Ingatlah bahawa Yehuwa “suka akan perbuatan yang baik.” (Mazmur 11:7) Jika kita ingin meniru keadilan Tuhan dan melakukan apa yang baik, kita haruslah mengasihi apa yang dikasihi Yehuwa dan membenci apa yang dibenci-Nya.​—Mazmur 97:10.

6 Manusia yang tidak sempurna perlu bergelut untuk melakukan apa yang baik. Bible menyatakan bahawa kita mesti menanggalkan keperibadian lama dan mengenakan keperibadian baharu. Perubahan ini dibuat berdasarkan pengetahuan yang tepat dan merupakan suatu proses yang berterusan. (Kolose 3:9, 10) Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita akan berdosa dari segi kata-kata, kelakuan, dan fikiran dari masa ke masa. (Roma 7:14-20; Yakobus 3:2) Maka untuk mengenakan keperibadian baharu, usaha yang berterusan diperlukan.

7. Apakah sepatutnya tindakan kita jika kita gagal mematuhi piawaian Tuhan?

7 Bagaimana pula jika kita gagal mematuhi piawaian Tuhan? Kita tidak seharusnya meremehkan dosa kita, tetapi pada masa yang sama, kita tidak patut berputus asa dan berasa bahawa kita tidak layak menyembah Tuhan. Yehuwa telah menyediakan aturan yang membolehkan orang yang benar-benar bertaubat untuk mendapatkan perkenan-Nya semula. Perhatikan kata-kata Yohanes, “Aku menulis kepada kamu tentang hal-hal ini supaya kamu tidak berbuat dosa.” Tetapi kemudian dia menyambung, “Namun jika seseorang berbuat dosa [kerana ketidaksempurnaan], kita mempunyai seorang penolong yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus, yang ada bersama Bapa.” (1 Yohanes 2:1) Ya, Yehuwa menyediakan korban tebusan Yesus agar kita dapat menyembah-Nya meskipun kita tidak sempurna. Tidakkah hal ini menggerakkan anda untuk berusaha menyenangkan hati Yehuwa?

Berita Baik dan Keadilan Tuhan

8, 9. Apakah kaitan antara keadilan Yehuwa dengan kerja menginjil?

8 Kita dapat meniru keadilan Tuhan dengan memberitahu orang lain tentang berita baik Kerajaan Tuhan. Apakah kaitan antara keadilan Yehuwa dengan kerja menginjil?

9 Yehuwa tidak akan menghapuskan sistem dunia yang jahat ini sebelum memberikan amaran kepada orang. Yesus berkata, “Berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.” (Markus 13:10; Matius 24:3) Ungkapan “terlebih dahulu” menunjukkan bahawa peristiwa-peristiwa yang lain akan berlaku selepas berita baik disebarkan ke seluruh dunia. Salah satu peristiwa yang bakal berlaku ialah kesengsaraan besar. Pada waktu itu, orang jahat akan dimusnahkan agar orang yang adil dan benar dapat hidup di dunia yang baharu. (Matius 24:14, 21, 22) Sememangnya tiada orang yang dapat mengatakan bahawa Yehuwa melayan orang jahat dengan tidak adil, kerana Dia telah memberikan amaran kepada mereka agar mereka dapat bertaubat dan diselamatkan.​—Yunus 3:1-10.

10, 11. Bagaimanakah kita mencerminkan keadilan Tuhan dengan menginjil?

10 Bagaimanakah kita mencerminkan keadilan Tuhan dengan menginjil? Pertama, kita membantu orang memperoleh penyelamatan. Ingatlah tentang perumpamaan pada awal bab ini. Memandangkan kita sudah berada dalam bot penyelamat, bukankah kita patut membantu menyelamatkan orang lain yang masih terkapai-kapai di dalam air? Ya, kita mempunyai kewajipan untuk menyelamatkan orang yang masih hanyut dalam lautan dunia yang jahat ini. Biarpun ramai orang menolak mesej yang kita khabarkan, kita tidak patut berputus asa kerana selagi Yehuwa bersabar dengan mereka, kita wajib memberi mereka ‘peluang untuk bertaubat’ dan memperoleh penyelamatan.​—2 Petrus 3:9.

11 Kedua, kita menginjil kepada semua orang tanpa berat sebelah. Bible menyatakan, “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kisah 10:34, 35) Jika kita meniru keadilan Tuhan, kita akan menginjil kepada semua orang tanpa mengira warna kulit mereka, atau kedudukan sosial mereka. Ya, kita akan memberikan peluang kepada semua orang untuk mendengar dan menerima berita baik.​—Roma 10:11-13.

Cara Kita Melayan Orang Lain

12, 13. (a) Mengapakah kita tidak patut menghakimi orang lain? (b) Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus apabila dia menasihati kita agar “jangan lagi menghakimi orang” dan “jangan lagi mengecam orang”? (Lihat juga nota kaki.)

12 Cara lain kita menunjukkan keadilan adalah dengan melayan orang lain sepertimana Yehuwa melayan kita. Kita cenderung untuk menghakimi orang lain, mengkritik kelemahan mereka, dan mempersoalkan motif mereka. Tetapi adakah Yehuwa berbuat demikian terhadap kita? Tidak. Perhatikan kata-kata pemazmur yang berikut: “Ya Tuhan Yah, jika Engkau hanya memperhatikan kesalahan, siapakah yang dapat terlepas daripada hukuman?” (Mazmur 130:3) Memandangkan Yehuwa adil, berbelas kasihan, dan tidak bertumpu kepada kesalahan kita, bagaimanakah kita patut melayan orang lain?​—Mazmur 103:8-10.

13 Jika kita menghargai belas kasihan Tuhan, kita tidak akan cenderung menghakimi orang lain atau membesar-besarkan hal-hal yang remeh. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus memberikan amaran berikut: “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi.” (Matius 7:1) Menurut buku Lukas, Yesus juga berkata, “Jangan lagi mengecam orang lain supaya kamu tidak dikecam.” a (Lukas 6:37) Yesus tahu bahawa manusia yang tidak sempurna cenderung untuk menghakimi orang lain. Maka dia menyuruh kita agar menghentikan tabiat yang buruk ini.

Kita meniru keadilan Tuhan apabila kita menginjil kepada semua orang tanpa berat sebelah

14. Mengapakah kita patut berhenti menghakimi orang lain?

14 Mengapakah kita patut berhenti menghakimi orang lain? Salah satu sebabnya adalah kerana kita tidak berhak untuk berbuat demikian. Yakobus mengingatkan kita, ‘Hanya ada satu Pemberi Hukum dan Hakim, [iaitu Yehuwa]. Jadi, siapakah kamu sehingga kamu mahu menghakimi orang lain?’ (Yakobus 4:12; Roma 14:1-4) Selain itu, kita tidak sempurna dan cenderung menghakimi orang dengan tidak adil. Sikap prasangka, cemburu, perasaan tersinggung, dan keangkuhan, dapat mempengaruhi pandangan kita terhadap orang lain. Lagipun, kita sendiri juga mempunyai kelemahan, maka kita tidak patut asyik mencari kesalahan orang lain. Kita tidak dapat membaca hati orang, atau mengetahui keadaan orang lain dengan sepenuhnya. Oleh itu, siapakah kita sehingga kita mempersoalkan niat hati rakan seiman kita atau mengkritik usaha mereka untuk menyembah Tuhan? Bukankah lebih baik untuk meniru sikap Yehuwa dengan bertumpu kepada kebaikan saudara saudari kita?

15. Bagaimanakah kita patut melayan ahli keluarga kita? Mengapa?

15 Bagaimana pula dengan ahli keluarga kita? Sedihnya, dewasa ini, banyak orang menghakimi ahli keluarga mereka tanpa belas kasihan. Kita selalu mendengar tentang suami, isteri, atau ibu bapa yang mendera atau bercakap kepada ahli keluarga mereka dengan kasar. Tetapi para penyembah Tuhan tidak boleh mendera orang atau mengucapkan kata-kata yang kesat dan menghina. (Efesus 4:29, 31; 5:33; 6:4) Biarpun di rumah, kita masih perlu mematuhi nasihat Yesus agar “jangan lagi menghakimi orang” dan “jangan lagi mengecam orang.” Ingatlah bahawa keadilan merangkumi melayan orang lain sepertimana Yehuwa melayan kita. Yehuwa tidak pernah melayan kita dengan buruk atau kejam. Sebaliknya, Dia “mempunyai kasih yang mendalam” kepada orang yang mengasihi-Nya. (Yakobus 5:11) Ya, kita patut meniru teladan Yehuwa!

Para Penatua yang Berkhidmat “dengan Saksama”

16, 17. (a) Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada para penatua? (b) Apakah yang harus dilakukan jika seorang pendosa enggan bertaubat? Mengapa?

16 Kita semua, terutamanya para penatua, wajib melayan orang dengan adil. Perhatikan bagaimana Yesaya menggambarkan “para pemimpin,” atau para penatua. Dia menulis, “Lihatlah! Seorang raja akan memerintah dengan adil, dan para pemimpin akan memerintah dengan saksama.” (Yesaya 32:1) Ya, Yehuwa menghendaki agar para penatua berkhidmat dengan saksama. Bagaimanakah mereka dapat berbuat demikian?

17 Para penatua sedar bahawa jika mereka ingin berkhidmat dengan saksama, mereka perlu menjaga kebersihan moral dan rohani sidang. Jika terdapat ahli sidang yang melakukan dosa yang serius, mereka wajib mengadili kes itu. Tetapi pada masa yang sama, mereka akan meniru keadilan Tuhan dan berusaha menunjukkan belas kasihan kepada pendosa itu. Maka, mereka akan berusaha membantu pendosa itu untuk bertaubat. Tetapi bagaimana pula jika pendosa itu enggan bertaubat meskipun mereka berusaha sedaya upaya untuk membantunya? Yehuwa berfirman, “Singkirkanlah orang jahat daripada kalangan kamu.” Hal ini bererti bahawa pendosa itu akan disingkirkan daripada sidang. (1 Korintus 5:11-13; 2 Yohanes 9-11) Hal ini membuat para penatua amat susah hati, tetapi mereka perlu berbuat demikian agar kesucian sidang dijaga. Biarpun begitu, mereka masih berharap agar suatu hari nanti, pendosa itu akan sedar dan kembali ke sidang.​—Lukas 15:17, 18.

18. Apakah yang harus diingati oleh para penatua apabila memberikan nasihat yang berdasarkan Bible kepada orang lain?

18 Berkhidmat dengan saksama juga merangkumi memberikan nasihat yang berdasarkan Bible. Sememangnya, para penatua tidak akan mencari kelemahan kita. Mereka juga tidak akan mengambil setiap kesempatan untuk menasihati kita. Tetapi jika seorang rakan seiman “mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya,” para penatua yang meniru keadilan Tuhan akan “mencuba untuk membetulkannya dengan lemah lembut.” (Galatia 6:1) Maka, para penatua tidak akan memarahi orang yang bersalah atau bercakap dengan kasar kepadanya. Biarpun mereka perlu memberikan teguran yang tegas, mereka perlu ingat bahawa rakan seiman itu juga merupakan bebiri Yehuwa. b (Lukas 15:7) Apabila para penatua memberikan nasihat atau teguran dengan penuh kasih, orang yang bersalah itu mungkin lebih cenderung untuk menerimanya.

19. Para penatua perlu membuat keputusan tentang apa? Mereka perlu berbuat demikian berdasarkan apa?

19 Para penatua perlu membuat keputusan yang mempengaruhi rakan seiman mereka. Misalnya, dari masa ke masa, mereka akan mengadakan mesyuarat untuk menilai sama ada seseorang saudara layak dicadangkan untuk menjadi penatua atau pembantu sidang. Mereka tahu bahawa amat penting untuk bersikap adil. Mereka harus membuat keputusan menurut piawaian Tuhan, bukannya mengikut perasaan sendiri. Dengan demikian, barulah mereka dapat bertindak “tanpa prasangka atau sikap berat sebelah.”​—1 Timotius 5:21.

20, 21. (a) Para penatua berusaha untuk melakukan apa? Mengapa? (b) Bagaimanakah para penatua dapat membantu “orang yang murung”?

20 Para penatua juga meniru keadilan Tuhan dalam cara yang lain. Yesaya menulis, “Setiap pemimpin itu bagaikan tempat perlindungan daripada angin kencang, dan bagaikan tempat persembunyian daripada hujan ribut; mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di tanah yang gersang, dan seperti naungan batu besar di negeri yang tandus.” (Yesaya 32:1, 2) Ya, para penatua perlu berusaha untuk menjadi sumber kelegaan hati dan kesegaran kepada rakan seiman mereka.

21 Dewasa ini, banyak orang memerlukan galakan kerana mereka menghadapi banyak masalah yang membuat mereka tawar hati. Maka para penatua, bagaimanakah anda dapat membantu “orang yang murung”? (1 Tesalonika 5:14) Tunjukkanlah sikap empati dan dengarlah luahan hati mereka. (Yakobus 1:19) Mereka mungkin perlu meluahkan kekhuatiran mereka kepada orang yang dapat dipercayai. (Amsal 12:25) Yakinkanlah mereka bahawa mereka dihargai dan dikasihi oleh Yehuwa dan saudara saudari yang lain. (1 Petrus 1:22; 5:6, 7) Selain itu, anda dapat berdoa bersama mereka. Doa yang diucapkan bagi pihak mereka dapat membawa kelegaan hati. (Yakobus 5:14, 15) Yehuwa amat menghargai bantuan yang anda berikan kepada mereka yang murung.

Para penatua mencerminkan keadilan Yehuwa apabila mereka menggalakkan orang yang tawar hati

22. Bagaimanakah kita dapat meniru keadilan Yehuwa? Apakah hasilnya?

22 Kita dapat menghampiri Yehuwa dengan meniru keadilan-Nya. Kita meniru keadilan Tuhan dengan mempertahankan piawaian-Nya yang adil dan benar, menyebarkan berita baik kepada orang lain, dan bertumpu kepada kebaikan orang dan bukannya kelemahan mereka. Para penatua pula mencerminkan keadilan Tuhan dengan menjaga kesucian sidang, memberikan nasihat yang berdasarkan Bible, membuat keputusan tanpa berat sebelah, dan menggalakkan orang yang tawar hati. Sememangnya, Yehuwa amat bersukacita apabila Dia melihat umat-Nya berusaha sebaik-baiknya untuk “berlaku adil”!

a Sesetengah terjemahan mengatakan “jangan menghakimi” dan “jangan mengecam.” Terjemahan sedemikian membawa erti “jangan mula menghakimi” dan “jangan mula mengecam.” Tetapi pada asalnya, kedua-dua ungkapan ini membawa erti bahawa seseorang yang sedang menghakimi atau mengecam orang lain patut menghentikan perbuatannya itu.

b Di 2 Timotius 4:2, Bible menyatakan bahawa kadangkala para penatua perlu memberikan “teguran, amaran tegas, dan nasihat.” Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “nasihat” (pa·ra·ka·leʹo) boleh membawa maksud “menggalakkan,” dan berkait rapat dengan satu lagi perkataan Yunani, pa·raʹkle·tos. Pa·raʹkle·tos boleh merujuk kepada seorang peguam bela yang mempertahankan seseorang di mahkamah. Maka, biarpun para penatua memberikan teguran yang tegas, mereka sebenarnya bertujuan untuk memberikan bantuan rohani kepada orang yang berdosa.