Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 18

Kebijaksanaan dalam ‘Perkhabaran Tuhan’

Kebijaksanaan dalam ‘Perkhabaran Tuhan’

1, 2. Apakah “surat” yang telah kita terima daripada Yehuwa? Mengapakah Dia menulis “surat” ini?

 PERNAHKAH anda menerima sepucuk surat daripada seorang kawan rapat? Anda pasti berasa sangat gembira untuk mengetahui keadaannya, pengalamannya, dan rancangannya. Meskipun tinggal berjauhan, surat itu dapat membantu mengeratkan hubungan anda berdua.

2 Begitu juga, menerusi Bible, Yehuwa seolah-olah telah menulis sepucuk surat kepada kita. Dia memberitahu kita tentang siapa diri-Nya, apa yang telah dilakukan-Nya, apa yang akan dilakukan-Nya, dan sebagainya. Dia memberi kita Firman-Nya kerana Dia ingin kita menghampiri-Nya. Dia telah memilih cara yang terbaik untuk berkomunikasi dengan kita. Cara Bible ditulis dan kandungannya membuktikan kebijaksanaan Yehuwa.

Mengapa Firman Tuhan Ditulis

3. Bagaimanakah Yehuwa menyampaikan hukum-Nya kepada Musa?

3 Ada orang mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah Yehuwa tidak bercakap kepada kita dari syurga?” Sebenarnya, Yehuwa pernah bercakap kepada manusia dari syurga menerusi malaikat, contohnya semasa Dia menyampaikan Hukum Musa kepada orang Israel. (Galatia 3:19) Tetapi orang Israel berasa sangat takut setelah mendengar suara-Nya sehingga mereka meminta agar Yehuwa bercakap kepada mereka menerusi Musa. (Keluaran 20:18-20) Maka Yehuwa menyampaikan kira-kira 600 hukum kepada Musa secara lisan dan Musa mencatatkannya kata demi kata.

4. Jelaskan mengapa cara lisan bukanlah cara yang terbaik untuk menyampaikan hukum Tuhan secara tepat.

4 Jika Musa tidak mencatatkan hukum itu, dapatkah dia mengingati setiap patah kata hukum itu dan menyampaikannya kepada orang Israel tanpa sebarang kesalahan? Adakah generasi orang Israel yang seterusnya harus bergantung pada hukum yang disampaikan secara lisan sahaja? Bayangkanlah apa yang akan berlaku jika anda menyampaikan sebuah cerita kepada sekumpulan orang. Anda menceritakannya kepada seseorang yang kemudiannya menyampaikan cerita itu kepada orang kedua, dan orang kedua itu menyampaikannya kepada orang ketiga. Cerita itu disebarkan dalam cara ini sehinggalah kepada orang terakhir dalam kumpulan itu. Pada akhirnya, cerita yang didengar oleh orang yang terakhir itu pasti jauh berbeza dengan cerita yang asal.

5, 6. Yehuwa menyuruh Musa untuk melakukan apa? Apakah manfaatnya bagi kita?

5 Yehuwa membuat keputusan yang bijak dengan menyuruh orang untuk mencatatkan firman-Nya. Dia menyuruh Musa, “Tulislah kata-kata ini kerana berdasarkan kata-kata ini, Aku membuat perjanjian denganmu dan dengan umat Israel.” (Keluaran 34:27) Maka pada tahun 1513 Sebelum Masihi, kerja penulisan Bible dimulakan. Selama 1,610 tahun yang seterusnya, Tuhan menyampaikan firman-Nya kepada kira-kira 40 orang. (Ibrani 1:1) Pada masa yang sama, para jurutulis juga menyalin Bible dengan teliti agar ketepatan kandungan Bible dapat dipelihara.​—Ezra 7:6; Mazmur 45:1.

6 Pernahkah anda menerima sepucuk surat yang begitu menggalakkan anda sehingga anda menyimpannya dan membacanya berulang kali? Bible adalah seperti surat itu. Yehuwa telah mencatatkan firman-Nya agar kita mendapat kelegaan hati dengan membacanya dan merenungkannya setiap hari.​—Mazmur 1:2; Roma 15:4.

Mengapa Tuhan Memilih Penulis Manusia

7. Mengapakah Yehuwa bertindak dengan bijaksana semasa Dia memilih manusia untuk menulis Bible?

7 Jika Yehuwa menggunakan para malaikat untuk menulis Bible, dapatkah Bible menyentuh hati manusia? Sememangnya, para malaikat dapat menggambarkan Yehuwa, meluahkan kesetiaan mereka kepada-Nya, dan mencatatkan kisah-kisah hamba Tuhan yang setia pada zaman dahulu. Tetapi mereka sempurna dan lebih berpengetahuan, lebih berpengalaman, dan lebih berkuasa daripada kita. Jadi dapatkah kita memahami pandangan mereka?​—Ibrani 2:6, 7.

8. Yehuwa mengizinkan para penulis Bible untuk melakukan apa? (Lihat juga nota kaki.)

8 Bible “diilhami oleh Tuhan.” (2 Timotius 3:16) Namun demikian, Yehuwa nampaknya mengizinkan penulis Bible untuk mencari “kata-kata indah” dan mencatatkan “ungkapan yang tepat dan benar.” (Pengkhutbah 12:10, 11) Itulah sebabnya gaya penulisan Bible berbeza-beza, dan setiap buku dalam Bible mencerminkan latar belakang, emosi, dan keperibadian penulisnya. a Biarpun begitu, para penulisnya “mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.” (2 Petrus 1:21) Maka Bible sememangnya “perkhabaran Tuhan.”​—1 Tesalonika 2:13.

“Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan”

9, 10. Mengapakah Bible yang ditulis oleh manusia dapat menyentuh hati kita?

9 Bible dapat menyentuh hati kita kerana para penulis Bible ialah manusia yang mempunyai perasaan seperti kita. Mereka juga tidak sempurna, dan menghadapi cabaran dan dugaan seperti kita. Kuasa suci Tuhan menggerakkan mereka untuk menulis tentang perasaan dan pergelutan yang dialami oleh mereka. (2 Korintus 12:7-10) Maka mereka dapat menulis sesuatu yang dialami oleh mereka sendiri. Hal itu tidak dapat dilakukan oleh mana-mana malaikat.

10 Contohnya, Daud menulis sebuah mazmur untuk mengungkapkan isi hatinya dan untuk merayu pengampunan Tuhan selepas dia melakukan dosa yang amat serius. Dia menulis, “Bersihkanlah aku daripada dosaku. Aku mengakui kesalahanku, dan aku sentiasa sedar akan dosa-dosaku. Aku telah dilahirkan dalam dosa, dan aku berdosa sejak aku dalam kandungan ibuku. Janganlah usir aku daripada hadirat-Mu, dan janganlah ambil kuasa suci-Mu daripadaku. Sebaliknya, korban yang Engkau terima ialah hati yang hancur; ya Tuhan, Engkau tidak akan menolak hati yang remuk dan sesal.” (Mazmur 51:2, 3, 5, 11, 17) Dapatkah anda merasai keperitan Daud? Ya, hanya manusia yang tidak sempurna dapat mengungkapkan perasaan sedemikian.

Mengapa Bible Berkisar tentang Manusia

11. Bagaimanakah kita tahu bahawa Bible “ditulis untuk mengajar kita”?

11 Hal lain yang membuat Bible menarik ialah sebahagian besar catatannya berkisar tentang orang yang pernah hidup. Kita dapat membaca tentang pahit manis kehidupan mereka, dan melihat baik buruk keputusan yang dibuat oleh mereka. Kisah-kisah mereka “ditulis untuk mengajar kita.” (Roma 15:4) Yehuwa menggunakan kisah-kisah benar ini untuk membimbing kita dan menggerakkan kita untuk berbuat baik. Marilah kita melihat beberapa contoh.

12. Apakah manfaat yang kita raih daripada kisah-kisah Bible tentang orang yang tidak setia?

12 Bible memberitahu kita tentang akibat buruk yang menimpa orang yang tidak setia dan jahat. Dengan demikian, kita dapat memahami perbuatan yang dibenci Tuhan. Misalnya, kisah tentang Yudas yang mengkhianati Yesus. Kisah benar ini meninggalkan kesan yang lebih mendalam daripada mana-mana perintah, bukan? (Matius 26:14-16, 46-50; 27:3-10) Kisah-kisah sedemikian membantu kita mengenal pasti dan menghindari perbuatan yang buruk.

13. Bagaimanakah Bible membantu kita untuk memperlihatkan sifat-sifat yang baik?

13 Bible juga menyatakan apa yang dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan yang setia. Kita dapat membaca tentang kesetiaan mereka dan sifat-sifat baik lain yang dipupuk oleh mereka, seperti iman. Bible menjelaskan erti iman dan menyatakan bahawa jika kita ingin menyenangkan hati Tuhan, kita harus mempunyai iman. (Ibrani 11:1, 6) Tetapi Bible juga mencatatkan kisah hidup orang yang beriman, seperti Abraham yang menunjukkan iman apabila dia rela mengorbankan Ishak. (Kejadian, bab 22; Ibrani 11:17-19) Contoh sedemikian membantu kita lebih memahami erti iman. Ya, Yehuwa memang amat bijaksana kerana Dia bukan sekadar menggalakkan kita untuk memupuk sifat-sifat baik, Dia juga menyediakan contoh orang yang memperlihatkan sifat-sifat itu agar kita dapat meniru teladan mereka.

14, 15. Apakah yang dinyatakan dalam Bible tentang seorang balu yang miskin? Apakah yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada kisah balu itu?

14 Kisah benar dalam Bible dapat mengajar kita tentang keperibadian Yehuwa. Pertimbangkan kisah tentang seorang balu di Rumah Tuhan. Yesus sedang memerhatikan orang memasukkan wang ke dalam peti-peti sumbangan. Banyak orang kaya datang dan “memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka.” Tetapi perhatian Yesus tertumpu kepada seorang balu miskin yang “memasukkan dua keping mata wang yang kecil, yang sangat rendah nilainya.” b Itulah segala nafkah hidup yang ada padanya. Yesus mencerminkan pandangan Tuhan dengan berkata, “Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan.” Ya, di mata Tuhan, wang yang dimasukkan oleh balu itu lebih banyak daripada jumlah sumbangan yang dimasukkan oleh semua orang.​—Markus 12:41-44; Lukas 21:1-4; Yohanes 8:28.

15 Banyak orang pergi ke Rumah Tuhan pada hari itu, tetapi Bible hanya menyebut tentang balu itu kerana Yehuwa ingin mengajar kita bahawa Dia menghargai segala sesuatu yang kita lakukan untuk-Nya. Dia senang hati menerima pemberian kita yang diberikan dengan sepenuh hati, dan Dia tidak akan membandingkan pemberian kita dengan pemberian orang lain. Bukankah ini cara yang terbaik untuk mengajar kita tentang kebenaran ini?

Perkara yang Tidak Dinyatakan dalam Bible

16, 17. Bagaimanakah kebijaksanaan Yehuwa disingkapkan melalui apa yang dipilih-Nya untuk dimuatkan dalam Bible?

16 Apabila anda menulis surat kepada kawan anda, anda perlu memilih apa yang ingin anda tulis dalam surat itu. Begitu juga, Yehuwa memilih untuk menyebut tentang orang atau kejadian tertentu dalam Firman-Nya. Biarpun begitu, Bible juga tidak mencatatkan segala perinciannya. (Yohanes 21:25) Misalnya, Bible menyebut tentang penghakiman Tuhan, tetapi tidak memberikan semua butiran tentang penghakiman itu. Kebijaksanaan Yehuwa disingkapkan melalui apa yang dipilih-Nya untuk dimuatkan dalam Bible.

17 Cara Bible ditulis dapat menguji niat hati kita. Ibrani 4:12 menyatakan, ‘Firman Tuhan itu hidup, berkuasa, dan lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua. Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya, dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.’ Contohnya, orang yang suka mengkritik akan berasa bahawa Bible tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menjawab semua pertanyaan mereka. Mereka bahkan mungkin akan ragu-ragu sama ada Yehuwa benar-benar pengasih, bijaksana, dan adil atau tidak.

18, 19. (a) Mengapakah kita tidak patut terganggu meskipun kita tidak memahami suatu catatan Bible dengan sepenuhnya? Berikan contoh. (b) Apakah yang diperlukan untuk memahami Firman Tuhan? Bagaimanakah hal ini membuktikan kebijaksanaan Yehuwa?

18 Jika kita mengkaji Bible dengan hati yang ikhlas, kita akan dapat mengenal Yehuwa. Maka kita tidak akan begitu terganggu meskipun kita tidak memahami suatu catatan Bible dengan sepenuhnya. Sebagai contoh, fikirkanlah perumpamaan berikut: Semasa bermain susun suai gambar, kita mungkin tidak dapat menjumpai kepingan gambar yang tertentu atau mengetahui kedudukan yang betul bagi suatu kepingan tertentu. Tetapi berdasarkan kepingan-kepingan yang telah kita susun, kita dapat menjangkakan rupa seluruh gambar itu. Begitu juga, apabila kita mengkaji Bible, kita memahami sedikit sebanyak tentang keperibadian Yehuwa. Meskipun kita tidak dapat memahami suatu kisah Bible secara terperinci atau melihat kaitannya dengan keperibadian Tuhan, berdasarkan pengetahuan yang telah kita ada tentang Yehuwa, kita dapat yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan adil.

19 Maka, untuk memahami Firman Tuhan, kita perlu membaca dan mengkajinya dengan hati yang tulus dan fikiran yang terbuka. Tidakkah hal ini membuktikan kebijaksanaan Yehuwa? Manusia yang bijak dapat menulis buku yang hanya dapat difahami oleh “orang yang bijak pandai.” Tetapi Yehuwa yang maha bijaksana telah mengarang buku yang hanya dapat difahami oleh orang yang berhati jujur.​—Matius 11:25.

Buku yang Mengandungi Kebijaksanaan

20. Mengapakah hanya Yehuwa yang dapat mengajar kita cara hidup yang terbaik? Bagaimanakah Bible dapat membantu kita?

20 Yehuwa mengajar kita cara hidup yang terbaik melalui Bible. Memandangkan Dia ialah Pencipta kita, Dia memahami keperluan kita lebih daripada diri kita sendiri. Sejak dahulu lagi, keperluan manusia tidak berubah. Kita ingin dikasihi, menikmati kehidupan yang bahagia, dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain. Bible sarat dengan kebijaksanaan yang dapat membantu kita untuk berbuat demikian. (Amsal 2:7) Sekarang marilah kita melihat satu cara Bible dapat membantu kita.

21-23. Apakah nasihat Bible yang dapat membantu kita menghindari sikap suka berdendam dan cepat naik marah?

21 Adakah anda sedar bahawa orang yang suka berdendam akhirnya akan menyakiti diri sendiri? Rasa dendam adalah seperti beban yang berat. Apabila kita menyimpan dendam, kita akan kehilangan sukacita dan ketenangan minda dan jiwa. Kajian saintifik menunjukkan bahawa orang yang cepat naik marah lebih berisiko untuk menghidap penyakit jantung dan penyakit kronik yang lain. Tetapi dari dahulu lagi, Bible sudah pun menyatakan, “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu.” (Mazmur 37:8) Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat ini?

22 Bible menyatakan, “Orang yang berpengertian lambat naik marah, dan dia dipuji kerana mengampunkan kesalahan.” (Amsal 19:11) Daya pengertian ialah keupayaan untuk memahami sesuatu dengan lebih mendalam. Dengan adanya pengertian, kita dapat memahami mengapa seseorang bercakap atau bertindak dalam cara yang tertentu. Apabila kita memahami motif, perasaan, dan keadaan seseorang, kita tidak akan berpandangan negatif terhadapnya.

23 Bible memberikan satu lagi nasihat: “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati.” (Kolose 3:13) Jika kita bersabar dengan sikap atau kelakuan orang yang menjengkelkan kita, kita tidak akan cepat tersinggung atau menaruh dendam atas hal-hal yang remeh. “Mengampuni” pula bererti bahawa kita perlu melupakan kesalahan orang lain. Yehuwa tahu bahawa kita perlu memaafkan orang jika kita mempunyai sebab untuk berbuat demikian. Hal ini bukan sekadar untuk kebaikan orang lain, tetapi juga agar kita mendapat ketenangan minda dan hati. (Lukas 17:3, 4) Ya, Bible memang mengandungi kata-kata yang amat bijaksana!

24. Apakah manfaatnya jika kita hidup selaras dengan kebijaksanaan Tuhan?

24 Yehuwa berkomunikasi dengan kita kerana Dia mengasihi kita. Dia memilih cara yang terbaik untuk berbuat demikian, iaitu melalui “surat” yang ditulis oleh manusia yang dibimbing oleh kuasa suci-Nya. “Surat” ini mencatatkan kebijaksanaan-Nya dan nasihat-Nya yang “dapat dipercayai.” (Mazmur 93:5) Jika kita hidup selaras dengan bimbingan Tuhan dan membantu orang lain untuk turut berbuat demikian, kita dapat menghampiri Tuhan kita yang maha bijaksana. Bab yang seterusnya akan membincangkan satu lagi cara Yehuwa menunjukkan kebijaksanaan-Nya: Kemampuan-Nya untuk mengetahui masa depan dan melaksanakan kehendak-Nya.

a Misalnya, Daud, seorang gembala, menggunakan contoh-contoh yang berkaitan dengan kehidupan seorang gembala. (Mazmur 23) Matius, seorang pemungut cukai, selalu mencatatkan angka dan nilai wang. (Matius 17:27; 26:15; 27:3) Lukas, seorang doktor, menggunakan kata-kata yang mencerminkan pengetahuannya tentang ilmu perubatan.​—Lukas 4:38; 14:2; 16:20.

b Mata wang kecil ini ialah lepton, iaitu duit syiling orang Yahudi yang paling rendah nilainya pada zaman itu. Seorang pekerja akan mendapat dua lepton jika dia bekerja selama 15 minit. Dua lepton tidak cukup untuk membeli seekor burung pipit pun, iaitu burung termurah yang dijadikan makanan oleh orang miskin.