Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 19

‘Kebijaksanaan Tuhan dalam Suatu Rahsia Suci’

‘Kebijaksanaan Tuhan dalam Suatu Rahsia Suci’

1, 2. Apakah “rahsia suci” yang patut kita ketahui? Mengapa?

 RAHSIA membangkitkan rasa ingin tahu dan menarik perhatian kita. Itulah sebabnya manusia biasanya tidak pandai menyimpan rahsia. Namun Bible menyatakan, “Tuhan dimuliakan kerana merahsiakan suatu perkara.” (Amsal 25:2) Ya, selaku Pencipta dan Pemerintah Yang Berdaulat, Yehuwa berhak merahsiakan suatu perkara sehingga masa yang ditentukan-Nya untuk menyingkapkan rahsia itu tiba.

2 Yehuwa telah menyingkapkan satu rahsia kepada kita, iaitu “rahsia suci tentang kehendak-Nya.” (Efesus 1:9) Pengetahuan tentang rahsia ini akan membantu kita memperoleh penyelamatan dan memahami kebijaksanaan Yehuwa yang tidak terbatas.

Disingkapkan Secara Beransur-Ansur

3, 4. Bagaimanakah nubuat di Kejadian 3:15 memberikan harapan kepada kita? Apakah misteri, atau “rahsia suci,” yang terkandung dalam nubuat ini?

3 Apabila Adam dan Hawa berdosa, kehendak Yehuwa agar manusia yang sempurna mendiami bumi firdaus seolah-olah telah gagal. Tetapi Yehuwa segera menyatakan penyelesaian bagi masalah ini. Dia berfirman, “Aku akan membuat engkau [ular] dan wanita itu bermusuhan, dan Aku akan membuat keturunanmu dan keturunannya bermusuhan. Dia akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan mencederakan tumitnya.”​—Kejadian 3:15.

4 Kata-kata Tuhan menimbulkan seribu satu pertanyaan. Siapakah wanita itu? Siapakah ular itu? Siapakah “keturunan” yang akan meremukkan kepala ular itu? Adam dan Hawa tidak tahu. Tetapi kata-kata ini telah memberikan sinar harapan kepada keturunan mereka yang setia. Ya, Yehuwa akan menegakkan keadilan, dan kehendak-Nya pasti terlaksana. Bagaimanakah Dia akan berbuat demikian? Itulah misterinya! Bible menyebutnya sebagai “kebijaksanaan Tuhan yang tersembunyi dalam suatu rahsia suci.”​—1 Korintus 2:7.

5. Jelaskan mengapa Yehuwa menyingkapkan rahsia-Nya secara beransur-ansur.

5 Selaku Tuhan yang “dapat menyingkapkan segala rahsia,” Yehuwa akan menyingkapkan butiran tentang rahsia suci-Nya kepada kita. (Daniel 2:28) Tetapi Dia akan berbuat demikian secara beransur-ansur. Bayangkanlah seorang budak menanya bapanya, “Ayah, saya datang dari mana?” Seorang bapa yang bijaksana akan memberikan jawapan berdasarkan tahap pemahaman anaknya. Seraya usia anaknya meningkat, bapa itu akan memberikan penjelasan yang lebih mendalam. Begitu juga, Yehuwa akan menyingkapkan kehendak-Nya kepada umat-Nya pada masa yang sesuai.​—Amsal 4:18; Daniel 12:4.

6. (a) Apakah tujuan sebuah perjanjian, atau kontrak? (b) Mengapakah Yehuwa sudi membuat perjanjian dengan manusia?

6 Yehuwa menyingkapkan butiran tentang rahsia suci-Nya menerusi beberapa perjanjian, atau kontrak. Barangkali anda pernah menandatangani kontrak untuk menyewa rumah atau membuat pinjaman. Kontrak sedemikian memastikan agar pihak-pihak yang terlibat akan memenuhi syarat yang ditetapkan. Tetapi memandangkan Yehuwa tidak pernah memungkiri janji, mengapakah Dia perlu membuat perjanjian, atau kontrak, dengan manusia? Dia berbuat demikian kerana Dia ingin memberi kita dasar yang lebih kukuh untuk mempercayai janji-janji-Nya.​—Ibrani 6:16-18.

Perjanjian dengan Abraham

7, 8. (a) Apakah perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan Abraham? Melalui perjanjian ini, apakah yang dapat kita ketahui tentang rahsia suci Tuhan? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberikan maklumat tentang keturunan yang dijanjikan secara beransur-ansur?

7 Yehuwa memberitahu Abraham, ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak seperti bintang-bintang di langit. Melalui keturunanmu, semua bangsa di bumi akan meraih berkat, kerana engkau telah mendengar kata-kata-Ku.’ (Kejadian 22:17, 18) Yehuwa telah membuat satu perjanjian dan bersumpah bahawa Dia pasti akan menunaikannya. (Kejadian 17:1, 2; Ibrani 6:13-15) Ya, Yehuwa telah membuat perjanjian untuk memberkati manusia.

‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak seperti bintang di langit’

8 Perjanjian Abraham menunjukkan bahawa keturunan yang dijanjikan akan datang daripada jurai keturunan Abraham. Pada kemudian hari, Yehuwa menyingkapkan bahawa Ishak akan menjadi nenek moyang keturunan itu. Antara dua orang anak Ishak, Yehuwa telah memilih Yakub. (Kejadian 21:12; 28:13, 14) Kemudian Yakub menyatakan nubuat berikut kepada salah seorang anak lelakinya: “Yehuda akan sentiasa memegang tongkat kerajaan, dan tongkat pemerintah akan sentiasa ada di antara kakinya sehingga Silo [atau, “Dia yang Memilikinya,” nota kaki] datang, dan semua orang harus mematuhi dia.” (Kejadian 49:10) Maka, kita tahu bahawa keturunan itu akan menjadi seorang raja yang berasal daripada keturunan Yehuda.

Perjanjian dengan Bangsa Israel

9, 10. (a) Apakah perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan bangsa Israel? Bagaimanakah perjanjian itu melindungi mereka? (b) Bagaimanakah Hukum Musa menunjukkan bahawa manusia memerlukan tebusan?

9 Pada tahun 1513 Sebelum Masihi, Yehuwa membuat perjanjian dengan keturunan Abraham, iaitu bangsa Israel. Perjanjian ini, yang dikenali sebagai Perjanjian Hukum Musa, memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kehendak Tuhan berkenaan keturunan yang dijanjikan itu. Bagaimana? Pertimbangkan tiga cara. Pertama, Hukum Musa adalah seperti tembok yang memisahkan orang Yahudi daripada orang bukan Yahudi. (Efesus 2:14) Maka salasilah keluarga keturunan yang dijanjikan dapat dipelihara, dan Mesias dapat dilahirkan melalui suku Yehuda.

10 Kedua, Hukum Musa menunjukkan bahawa manusia memerlukan tebusan. Memandangkan hukum itu sempurna, manusia yang berdosa tidak dapat mematuhinya dengan sepenuhnya. Maka hukum itu “mendedahkan perbuatan yang salah, sehingga ketibaan keturunan yang menerima janji Tuhan.” (Galatia 3:19) Meskipun bangsa Israel dapat mempersembahkan korban binatang untuk mendapatkan pengampunan dosa, korban-korban itu hanyalah bayangan kepada korban tebusan Kristus kerana korban binatang “tidak mungkin dapat menghapuskan dosa.” (Ibrani 10:1-4) Maka Hukum Musa seperti ‘penjaga yang memimpin orang Yahudi yang setia kepada Kristus.’​—Galatia 3:24.

11. Perjanjian Hukum Musa memberikan harapan apa kepada bangsa Israel? Tetapi mengapakah mereka kehilangan harapan itu?

11 Ketiga, perjanjian itu memberikan harapan kepada bangsa Israel. Yehuwa berjanji bahawa jika mereka tetap setia kepada perjanjian itu, mereka akan menjadi “sebuah kerajaan imam dan bangsa yang suci.” (Keluaran 19:5, 6) Pada kemudian hari, beberapa orang daripada keturunan bangsa Israel menjadi ahli-ahli pertama kerajaan imam itu. Tetapi kebanyakan orang Israel enggan setia kepada perjanjian itu dan menolak keturunan yang dijanjikan. Akibatnya, mereka kehilangan harapan itu. Maka siapakah yang berpeluang untuk melengkapi bilangan ahli kerajaan imam itu? Apakah kaitan antara bangsa yang suci itu dengan keturunan yang dijanjikan? Semua persoalan ini akan dijawab pada waktu yang ditentukan oleh Tuhan.

Perjanjian Kerajaan Daud

12. Apakah perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan Daud? Apakah butiran tentang rahsia suci yang disingkapkan melalui perjanjian itu?

12 Pada abad ke-11 Sebelum Masihi, Yehuwa membuat perjanjian dengan Daud. Dia berfirman, ‘Aku akan melantik keturunanmu sebagai raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya buat selama-lamanya.’ (2 Samuel 7:12, 13; Mazmur 89:3) Kata-kata Yehuwa menunjukkan bahawa keturunan yang dijanjikan akan datang daripada keluarga Daud. Tetapi dapatkah seorang raja manusia memerintah buat selama-lamanya? (Mazmur 89:20, 29, 34-36) Dapatkah raja itu menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian?

13, 14. (a) Menurut Mazmur 110, apakah janji yang dibuat oleh Yehuwa berkenaan raja yang diurapi-Nya? (b) Apakah butiran lain tentang rahsia suci yang disingkapkan oleh nabi-nabi Yehuwa?

13 Daud menulis, “Yehuwa berfirman kepada Tuanku, ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.’ Yehuwa telah bersumpah, dan Dia tidak akan mengubah fikiran-Nya. Dia berfirman, ‘Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek, dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya!’” (Mazmur 110:1, 4) Daud sedang merujuk kepada keturunan yang dijanjikan, atau Mesias. (Kisah 2:35, 36) Raja itu akan memerintah di syurga, di ‘sebelah kanan Yehuwa,’ dan berkuasa atas seluruh bumi. (Mazmur 2:6-8) Selain itu, catatan Daud menyingkapkan satu lagi butiran. Yehuwa bersumpah bahawa Mesias akan menjadi “seorang imam seperti Melkisedek.” Seperti Melkisedek, keturunan yang dijanjikan itu akan menjadi raja dan imam yang dilantik oleh Tuhan.​—Kejadian 14:17-20.

14 Pada kemudian hari, Yehuwa menggunakan para nabi untuk menyingkapkan lebih banyak butiran tentang rahsia suci-Nya. Contohnya, Yesaya menyatakan bahawa keturunan itu akan mengorbankan nyawanya. (Yesaya 53:3-12) Mikha menubuatkan tempat kelahiran Mesias. (Mikha 5:2) Daniel bahkan menubuatkan bila keturunan itu akan muncul dan mati.​—Daniel 9:24-27.

Rahsia Suci Sudah Disingkapkan!

15, 16. (a) Bagaimanakah Anak Yehuwa dapat “dilahirkan oleh seorang wanita”? (b) Mengapakah Yesus ialah pewaris takhta Daud yang sah? Bilakah dia menjadi keturunan yang dijanjikan?

15 Bagaimanakah nubuat-nubuat itu akan menjadi kenyataan? Jawapannya tersingkap apabila keturunan itu muncul. Galatia 4:4 menyatakan, “Tuhan mengutus Anak-Nya pada akhir jangka masa yang ditetapkan. Anak itu dilahirkan oleh seorang wanita.” Pada tahun 2 Sebelum Masihi, satu malaikat memberitahu Maria, ‘Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kamu harus menamakannya Yesus. Dia akan menjadi agung dan digelar Anak Tuhan Yang Maha Tinggi. Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta Daud, nenek moyangnya. Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu, dan kekuatan daripada Tuhan akan menaungimu. Itulah sebabnya anak yang bakal dilahirkan itu akan disebut suci, Anak Tuhan.’​—Lukas 1:31, 32, 35.

16 Kemudian, Yehuwa memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim Maria agar Anak itu dapat “dilahirkan oleh seorang wanita.” Ketidaksempurnaan Maria tidak diwariskan kepada Yesus kerana Yesus ialah “Anak Tuhan.” Selain itu, ibu bapa Yesus ialah keturunan Daud. Maka dia ialah pewaris takhta Daud secara sah. (Kisah 13:22, 23) Sewaktu Yesus dibaptis pada tahun 29 Masihi, dia telah diurapi kuasa suci Tuhan, dan Tuhan berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Matius 3:16, 17) Akhirnya keturunan itu telah muncul! Sekarang lebih banyak butiran tentang rahsia suci Tuhan akan disingkapkan.​—Galatia 3:16; 2 Timotius 1:10.

17. Bagaimanakah erti Kejadian 3:15 disingkapkan?

17 Sewaktu Yesus menginjil di bumi, dia menunjukkan secara tidak langsung bahawa ular yang disebutkan di Kejadian 3:15 ialah Syaitan, dan keturunan ular ialah pengikut Syaitan. (Matius 23:33; Yohanes 8:44) Bible menyatakan bahawa Syaitan dan pengikutnya akan dilenyapkan buat selama-lamanya. (Wahyu 20:1-3, 10, 15) Wanita itu pula ialah “Yerusalem di syurga” atau isteri Tuhan, iaitu bahagian organisasi Yehuwa di syurga yang terdiri daripada makhluk-makhluk roh. a​—Galatia 4:26; Wahyu 12:1-6.

Perjanjian Baharu

18. Apakah tujuan “perjanjian baharu”?

18 Sebelum Yesus mati, dia menyingkapkan butiran yang penting tentang rahsia suci Tuhan. Dia memberitahu para pengikutnya tentang “perjanjian baharu.” (Lukas 22:20) Seperti Perjanjian Hukum Musa, orang yang terlibat dalam perjanjian ini akan membentuk “sebuah kerajaan imam.” (Keluaran 19:6; 1 Petrus 2:9) Perjanjian baharu akan menubuhkan sebuah bangsa rohani, yang dipanggil “Israel milik Tuhan,” yang terdiri daripada pengikut Kristus yang terurap. (Galatia 6:16) Mereka akan membawa berkat kepada umat manusia bersama Kristus.

19. (a) Mengapakah perjanjian baharu dapat menghasilkan “sebuah kerajaan imam”? (b) Mengapakah orang Kristian yang terurap dikenali sebagai “ciptaan yang baharu”? Berapa ramaikah orang yang akan memerintah di syurga bersama Kristus?

19 Mengapakah perjanjian baharu dapat menghasilkan “sebuah kerajaan imam” yang akan membawa berkat kepada manusia? Hal ini demikian kerana melalui perjanjian ini, dosa pengikut Kristus dapat diampunkan menerusi tebusan Yesus. (Yeremia 31:31-34) Setelah mereka menjadi suci, Yehuwa akan menjadikan mereka sebagai anak-anak rohani-Nya dan mengurapi mereka dengan kuasa suci-Nya. (Roma 8:15-17; 2 Korintus 1:21) Maka mereka “dilahirkan semula” dan “menerima harapan yang berkekalan” di syurga. (1 Petrus 1:3, 4) Penghormatan sedemikian tidak pernah diberikan kepada mana-mana manusia. Itulah sebabnya mereka dikenali sebagai “ciptaan yang baharu.” (2 Korintus 5:17) Bible menyatakan bahawa 144,000 orang Kristian yang terurap ini akan memerintah bersama Kristus.​—Wahyu 5:9, 10; 14:1-4.

20. (a) Apakah butiran tentang rahsia suci yang disingkapkan pada tahun 36 Masihi? (b) Siapakah yang akan mendapat berkat yang dijanjikan kepada Abraham?

20 Yesus dan orang Kristian yang terurap akan membentuk “keturunan Abraham.” b (Galatia 3:29) Pada mulanya, orang Kristian yang terurap hanya terdiri daripada orang Yahudi. Tetapi pada tahun 36 Masihi, Yehuwa menyingkapkan bahawa orang bukan Yahudi juga berpeluang untuk memerintah di syurga. (Roma 9:6-8; 11:25, 26; Efesus 3:5, 6) Adakah hanya orang Kristian terurap yang akan mendapat berkat yang dijanjikan kepada Abraham? Tidak. Tebusan Yesus akan membawa berkat kepada seluruh dunia. (1 Yohanes 2:2) Pada kemudian hari, Yehuwa menyingkapkan bahawa “kumpulan besar manusia” akan selamat mengharungi sistem dunia Syaitan. (Wahyu 7:9, 14) Selain itu, banyak orang mati akan dibangkitkan dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di firdaus.​—Lukas 23:43; Yohanes 5:28, 29; Wahyu 20:11-15; 21:3, 4.

Kebijaksanaan Tuhan dan Rahsia Suci

21, 22. Bagaimanakah rahsia suci Yehuwa menyingkapkan kebijaksanaan-Nya?

21 Rahsia suci Tuhan membuktikan bahawa Tuhan dapat menyatakan kebijaksanaan-Nya “dalam pelbagai cara.” (Efesus 3:8-10) Dengan bijak, Dia telah menyingkapkan rahsia suci-Nya secara beransur-ansur. Dia mempertimbangkan keterbatasan manusia dan membiarkan mereka untuk menunjukkan isi hati mereka yang sebenar.​—Mazmur 103:14.

22 Yehuwa juga menunjukkan kebijaksanaan-Nya dengan memilih Yesus sebagai raja. Yesus ialah ciptaan yang paling dapat dipercayai di seluruh alam semesta. Dia juga menghadapi pelbagai cubaan di bumi, maka dia memahami masalah yang kita hadapi dengan sepenuhnya. (Ibrani 5:7-9) Selain itu, lelaki dan wanita yang memerintah bersama Yesus berasal dari bumi. Mereka telah dipilih daripada pelbagai bangsa, bahasa, dan latar belakang. Tiada masalah yang belum dihadapi dan diatasi oleh mereka, maka mereka pasti dapat membantu kita.​—Efesus 4:22-24.

23. Apakah penghormatan yang diberikan kepada orang Kristian berkenaan rahsia suci Yehuwa?

23 Paulus menulis, ‘Rahsia suci telah disembunyikan semenjak sistem-sistem dunia yang lampau dan semenjak generasi-generasi yang lalu. Tetapi kini rahsia suci itu telah disingkapkan kepada umat suci Tuhan.’ (Kolose 1:26) Ya, umat suci Yehuwa dapat memahami rahsia suci ini dengan mendalam, dan mereka mengajarkannya kepada jutaan orang. Kita diberi penghormatan yang besar kerana Yehuwa telah “menyingkapkan rahsia suci tentang kehendak-Nya kepada kita.” (Efesus 1:9) Jadi marilah kita membantu orang lain untuk belajar tentang rahsia suci ini dan melihat betapa dalamnya kebijaksanaan Yehuwa!

a Yesus juga telah menyingkapkan “rahsia suci tentang pengabdian kepada Tuhan.” (1 Timotius 3:16) Dari dahulu lagi, persoalan tentang siapa yang dapat mengekalkan kesetiaan kepada Yehuwa secara sempurna merupakan suatu misteri. Tetapi persoalan ini telah dijawab oleh Yesus. Dia tetap setia kepada Yehuwa meskipun Syaitan berusaha sedaya upaya untuk menggodanya.​—Matius 4:1-11; 27:26-50.

b Yesus juga ‘membuat perjanjian untuk sebuah kerajaan’ dengan orang Kristian terurap agar mereka dapat memerintah di syurga bersamanya sebagai bahagian sekunder keturunan Abraham.​—Lukas 12:32; 22:29, 30.