Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 20

“Tuhan Amat Bijaksana” tetapi Rendah Hati

“Tuhan Amat Bijaksana” tetapi Rendah Hati

1-3. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang rendah hati?

 SEORANG bapa ingin mendorong anaknya untuk berbuat baik. Bagaimanakah dia dapat berbuat demikian? Patutkah dia memarahi anaknya? Atau patutkah dia membongkok dan bercakap kepada anaknya dalam nada yang lembut? Pastinya seorang bapa yang bijaksana dan rendah hati tahu bahawa dia patut mengajar anaknya dengan cara yang lembut.

2 Adakah Yehuwa Bapa yang sombong dan kasar, atau Bapa yang rendah hati dan lemah lembut? Biasanya orang yang mempunyai banyak pengetahuan akan bersikap sombong. Bible menyatakan, “Pengetahuan menjadikan seseorang sombong.” (1 Korintus 3:19; 8:1) Tetapi meskipun Yehuwa “amat bijaksana” dan mengetahui segala sesuatu, Dia rendah hati. (Ayub 9:4) Mengapa?

3 Yehuwa ialah Tuhan yang suci. Maka Dia tidak sombong kerana kesombongan mencemari kesucian-Nya. (Markus 7:20-22) Selain itu, perhatikan kata-kata Yeremia, “Ya Tuhan, Engkau pasti akan ingat dan membongkokkan diri untuk membantu aku.” a (Ratapan 3:20) Bayangkanlah, Pemerintah Alam Semesta sudi “membongkokkan diri” untuk membantu Yeremia, seorang manusia yang berdosa. (Mazmur 113:7) Ya, Yehuwa memang rendah hati. Tetapi kerendahan hati-Nya merangkumi apa? Apakah kaitan sifat ini dengan kebijaksanaan-Nya? Mengapakah kita perlu bersikap rendah hati?

Cara Yehuwa Menunjukkan Kerendahan Hati

4, 5. (a) Apakah itu kerendahan hati? Mengapakah sikap rendah hati bukanlah suatu kelemahan? (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kerendahan hati semasa berurusan dengan Daud? Apakah manfaat yang kita raih daripada kerendahan hati Yehuwa?

4 Kerendahan hati bererti tidak sombong atau angkuh, dan berkait rapat dengan sikap lemah lembut, sabar, dan munasabah. (Galatia 5:22, 23) Sifat-sifat ini tidak patut dianggap sebagai suatu kelemahan, kerana meskipun Yehuwa rendah hati dan lemah lembut, Dia masih akan menggunakan kuasa-Nya untuk melenyapkan kejahatan. Sebenarnya Yehuwa menunjukkan kerendahan hati dengan mengawal kuasa-Nya dengan sepenuhnya. (Yesaya 42:14) Apakah kaitan antara kerendahan hati dengan kebijaksanaan? Sebuah buku rujukan menyatakan, “Kerendahan hati bererti . . . tidak mementingkan diri, dan sifat ini ialah sumber segala kebijaksanaan.” Maka kebijaksanaan sejati tidak dapat dipisahkan daripada kerendahan hati. Apakah manfaat yang kita raih daripada kerendahan hati Yehuwa?

Seorang bapa yang bijaksana melayan anaknya dengan rendah hati dan lemah lembut

5 Daud bernyanyi, “Ya Tuhan, Engkau memberi aku perisai penyelamatan-Mu, dan Engkau menyokong aku dengan tangan kanan-Mu. Kerendahan hati-Mu menjadikan aku agung.” (Mazmur 18:35) Ya, Daud sedar bahawa dia dapat memperoleh penyelamatan dan menjadi seorang raja kerana Yehuwa sudi merendahkan diri dan membantu dan melindunginya setiap hari. Sememangnya jika Yehuwa tidak rendah hati dan sudi menjadi Bapa kita yang pengasih, siapakah antara kita yang dapat memperoleh penyelamatan?

6, 7. (a) Apakah perbezaan antara kerendahan hati Yehuwa dengan kerendahan hati manusia? (b) Apakah kaitan antara kelemahlembutan dengan kebijaksanaan? Siapakah yang menetapkan teladan terbaik dalam hal ini?

6 Kerendahan hati ialah sifat yang patut dipupuk oleh umat Tuhan. Sifat ini berkait rapat dengan kebijaksanaan. Contohnya, Amsal 11:2 menyatakan, “Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.” Tetapi Bible tidak pernah menyamakan kerendahan hati Yehuwa dengan kerendahan hati manusia. Mengapa? Manusia mempunyai keterbatasan, tetapi Yehuwa tidak mempunyai apa-apa keterbatasan kecuali keterbatasan yang dikenakan-Nya atas diri-Nya sendiri demi piawaian-Nya. (Markus 10:27; Titus 1:2) Selain itu, selaku Tuhan Yang Maha Tinggi, Dia tidak perlu tunduk kepada sesiapa pun.

7 Sebenarnya Yehuwa dikatakan rendah hati kerana Dia sudi berurusan dengan manusia fana. Yehuwa juga lemah lembut. Dia mengajar kita bahawa orang yang ingin memperoleh kebijaksanaan haruslah bersikap lemah lembut. Bible menyebut tentang ‘kebijaksanaan yang mendorong seseorang untuk melakukan segalanya dengan lemah lembut.’ b (Yakobus 3:13) Yehuwa menetapkan teladan yang terbaik dalam hal ini.

Yehuwa Sudi Mendengar dan Memberikan Tugasan

8-10. (a) Mengapakah kita kagum bahawa Yehuwa sudi mendengar pendapat makhluk ciptaan-Nya dan memberikan tugasan kepada mereka? (b) Bagaimanakah Dia menunjukkan kerendahan hati semasa berurusan dengan para malaikat?

8 Salah satu cara Yehuwa menunjukkan kerendahan hati ialah menerusi kesudian-Nya untuk mendengar pendapat makhluk ciptaan-Nya dan memberikan tugasan kepada mereka. Hal ini amat menakjubkan kerana Dia sebenarnya tidak memerlukan nasihat atau bantuan sesiapa pun. (Yesaya 40:13, 14; Roma 11:34, 35) Biarpun begitu, Bible menunjukkan bahawa Yehuwa selalu berbuat demikian.

9 Misalnya, fikirkan apa yang berlaku kepada Abraham. Pada suatu hari, tiga orang pelawat datang kepada Abraham. Sebenarnya para pelawat itu ialah malaikat Yehuwa, dan salah seorang daripada mereka ialah wakil Yehuwa. Apabila malaikat itu bercakap dan bertindak, hal itu seolah-olah Yehuwa sedang bercakap dan bertindak. Melalui malaikat itu, Yehuwa memberitahu Abraham bahawa Dia telah mendengar “tuduhan berat yang dilontarkan terhadap penduduk Sodom dan Gomora.” Dia berfirman, “Aku akan turun untuk menyiasat sama ada tuduhan yang Aku dengar itu benar atau tidak. Jika tuduhan itu tidak benar, Aku masih hendak mengetahuinya.” (Kejadian 18:3, 20, 21) Hal itu tidak bererti bahawa Yehuwa sendiri akan “turun” dari syurga. Sebenarnya, Dia akan mengutus malaikat ke situ sebagai wakil-Nya. (Kejadian 19:1) Mengapakah Yehuwa berbuat demikian? Adakah Dia tidak “mengetahui” apa yang sedang berlaku? Dia memang tahu. Biarpun begitu, Dia menunjukkan kerendahan hati dengan memberikan tugasan kepada malaikat-Nya untuk melihat apa yang sedang berlaku dan melawat Lot dan keluarganya di Sodom.

10 Tambahan lagi, Yehuwa mendengar pendapat makhluk ciptaan-Nya. Dia pernah meminta para malaikat-Nya untuk mencadangkan pelbagai cara untuk memperdaya Raja Ahab yang jahat. Sebenarnya Yehuwa tidak memerlukan nasihat mereka, tetapi Dia masih menerima cadangan satu malaikat dan menyuruh malaikat itu untuk melaksanakan cadangannya itu. (1 Raja-Raja 22:19-22) Ya, Yehuwa memang rendah hati.

11, 12. Bagaimanakah Abraham sedar bahawa Yehuwa rendah hati?

11 Yehuwa bahkan sudi mendengar pendapat manusia yang tidak sempurna. Contohnya, apabila Dia memberitahu Abraham bahawa Dia ingin membinasakan Sodom dan Gomora, Abraham berasa amat keliru dan berkata, ‘Mustahil Engkau berbuat demikian. Mungkinkah Hakim bagi seluruh bumi bertindak dengan tidak adil?’ Kemudian Abraham bertanya, “Jika terdapat 50 orang yang baik di dalam kota itu, adakah Engkau akan membinasakan seluruh kota itu?” Yehuwa menjawab bahawa Dia tidak akan membinasakan kota itu. Tetapi Abraham menanya lagi, ‘Adakah Engkau akan membinasakan seluruh kota itu jika terdapat 45 orang yang baik di situ?’ Dia terus bertanya sehingga bilangannya serendah 10 orang. Barangkali Abraham belum sedar betapa berbelas kasihannya Yehuwa. Dengan sabar dan rendah hati, Yehuwa membenarkan Abraham meluahkan kerisauannya.​—Kejadian 18:23-33.

12 Dapatkah kita menjumpai manusia yang pandai dan terpelajar, tetapi sudi mendengar pendapat orang yang kurang pandai daripadanya dengan begitu sabar? c Kerendahan hati Yehuwa memang tiada tandingannya. Semasa perbualan ini, Abraham sedar bahawa Yehuwa “tidak cepat murka.” (Keluaran 34:6) Barangkali dia juga sedar bahawa dia tidak layak untuk mempersoalkan tindakan Yehuwa. Itulah sebabnya dia merayu sebanyak dua kali, “Yehuwa, janganlah marah dengan aku.” (Kejadian 18:30, 32) Yehuwa memang tidak marah kerana Dia mempunyai ‘kebijaksanaan yang mendorong-Nya untuk melakukan segalanya dengan lemah lembut.’

Yehuwa, Tuhan yang Munasabah

13. Apakah erti perkataan “munasabah” dalam Bible? Mengapakah perkataan ini amat sesuai untuk menggambarkan Yehuwa?

13 Yehuwa menunjukkan kerendahan hati melalui sikap munasabah. Dia bukan sahaja sudi mendengar pendapat makhluk ciptaan-Nya, Dia bahkan juga sudi membuat penyesuaian jika hal itu tidak bertentangan dengan prinsip-Nya. Dalam Bible, perkataan “munasabah” secara harfiah bermaksud “mengalah,” atau sudi membuat penyesuaian. Sifat ini menunjukkan bahawa Dia bijaksana. Yakobus 3:17 menyatakan, “Kebijaksanaan yang datang dari syurga . . . munasabah.” Ingatlah bahawa nama-Nya, Yehuwa, bererti bahawa Dia akan menjadi apa pun yang diinginkan-Nya untuk memenuhi kehendak-Nya. (Keluaran 3:14) Maka tidakkah hal ini menunjukkan bahawa Dia munasabah dan rela membuat penyesuaian?

14, 15. Penglihatan Yehezkiel tentang kenderaan Yehuwa mengajar kita apa berkenaan bahagian organisasi-Nya di syurga? Bagaimanakah organisasi ini berbeza daripada organisasi manusia?

14 Sebagai contoh, dalam suatu penglihatan, Yehezkiel nampak bahagian organisasi Yehuwa di syurga yang terdiri daripada makhluk roh. Dia nampak kenderaan Yehuwa yang mempunyai lingkaran roda-roda yang amat besar. Roda-roda itu penuh dengan mata dan dapat bergerak ke empat arah tanpa perlu mengubah haluan. Binaannya seperti dua buah roda yang dipasang bersilang. Kenderaan itu dapat bergerak secepat kilat. Namun Yehuwa sentiasa dapat mengawalnya. (Yehezkiel 1:1, 14-28) Ya, seperti Yehuwa, organisasi Yehuwa dapat membuat penyesuaian dengan cepat mengikut keadaan yang berubah-ubah.

15 Memang susah bagi manusia untuk meniru Yehuwa yang cepat membuat penyesuaian. Biasanya manusia dan organisasi mereka kaku dan tidak munasabah. Sebagai perumpamaan, fikirkan tentang sebuah kapal atau kereta api yang besar dan berkuasa. Dapatkah kapal atau kereta api itu membuat perubahan secara mendadak? Pastinya tidak! Jika terdapat sesuatu yang menghalang landasan kereta api, pemandu tidak dapat mengubah haluan atau menghentikan kereta api itu secara tiba-tiba. Biarpun breknya ditekan, kereta api itu mungkin masih akan bergerak sejauh kira-kira dua kilometer sebelum berhenti sepenuhnya. Sebuah kapal pula mungkin masih akan bergerak ke hadapan sejauh lapan kilometer setelah enjinnya dimatikan. Biarpun enjinnya diselaraskan untuk mundur, kapal itu masih akan bergerak ke hadapan sejauh tiga kilometer. Begitu juga, keangkuhan, sikap tidak rela membuat penyesuaian, dan sikap tidak munasabah, menyebabkan manusia sering kali enggan berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa. Hal ini telah menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan syarikat yang besar. (Amsal 16:18) Betapa bersyukurnya kita kerana Yehuwa dan organisasi-Nya sangat munasabah!

Cara Yehuwa Menunjukkan Sikap Munasabah

16. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan sikap munasabah terhadap Lot?

16 Pertimbangkan sekali lagi pemusnahan Sodom dan Gomora. Malaikat Yehuwa menyuruh Lot dan keluarganya untuk melarikan diri ke kawasan pergunungan, tetapi Lot enggan berbuat demikian. Dia merayu, “Ya Yehuwa, janganlah suruh aku pergi ke sana!” Lot yakin bahawa dia akan mati jika dia melarikan diri ke sana. Maka dia merayu agar dibenarkan untuk melarikan diri ke Zoar, sebuah kota kecil yang berdekatan. Tetapi Yehuwa telah merancang untuk memusnahkan kota itu. Lagipun, Lot tiada alasan untuk berasa takut kerana Yehuwa pasti akan menjaga Lot. Biarpun begitu, Yehuwa sudi mendengar rayuan Lot. Malaikat itu memberitahu Lot, “Baiklah, aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku tidak akan membinasakan kota yang kamu sebut itu.” (Kejadian 19:17-22) Bukankah Yehuwa amat munasabah?

17, 18. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan sikap munasabah semasa berurusan dengan orang Niniwe?

17 Yehuwa berbelas kasihan dan adil. Dia suka mengampuni orang yang benar-benar bertaubat. Pertimbangkan kisah Yunus. Dia telah diutus ke kota Niniwe untuk menyampaikan mesej penghakiman daripada Tuhan. Penduduk kota itu jahat dan kejam, dan Yunus harus memberitahu mereka bahawa kota itu akan dimusnahkan dalam masa 40 hari. Tetapi sesuatu yang menakjubkan telah berlaku. Mereka bertaubat setelah mendengar mesej itu!​—Yunus, bab 3.

18 Apakah reaksi Yehuwa terhadap perkembangan ini? Dia segera mengubah keputusan-Nya. Daripada pahlawan yang mendatangkan hukuman, Dia berubah menjadi Tuhan yang suka mengampuni. d (Keluaran 15:3) Bagaimana pula dengan reaksi Yunus? Yunus tidak berbelas kasihan dan munasabah seperti Yehuwa. Dia seperti kapal atau kereta api yang disebutkan sebelum ini. Dia telah mengumumkan mesej penghakiman, maka baginya, kota itu mesti dimusnahkan. Tetapi Yehuwa mengajar Yunus untuk menunjukkan sikap munasabah dan belas kasihan.—Yunus, bab 4.

Yehuwa munasabah dan mengetahui keterbatasan kita

19. (a) Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa tidak akan menyuruh kita melakukan sesuatu yang berada di luar kemampuan kita? (b) Bagaimanakah Amsal 19:17 menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Tuan yang “baik dan munasabah” dan amat rendah hati?

19 Berkenaan Yehuwa, Daud berkata, “Dia tahu benar bagaimana kita dibentuk. Dia ingat bahawa kita ini debu.” (Mazmur 103:14) Yehuwa lebih mengetahui keterbatasan dan kelemahan kita berbanding diri kita sendiri. Dia tidak pernah menyuruh kita melakukan sesuatu yang berada di luar kemampuan kita. Bible menyebut tentang dua jenis tuan: “Tuan yang baik dan munasabah” dan “tuan yang susah untuk disenangkan.” (1 Petrus 2:18) Yehuwa ialah Tuan yang “baik dan munasabah.” Amsal 19:17 menyatakan bahawa jika seseorang menunjukkan kebaikan kepada orang yang lemah, hal itu sama seperti memberikan pinjaman kepada Yehuwa. Ya, hanya “tuan yang baik dan munasabah” yang akan memerhatikan setiap perbuatan baik hambanya yang dilakukan demi orang yang lemah. Selain itu, ayat ini juga menunjukkan bahawa Yehuwa terhutang budi kepada manusia yang menunjukkan kebaikan. Yehuwa sememangnya amat rendah hati!

20. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa mendengar doa kita?

20 Yehuwa juga sudi mendengar doa kita. Biarpun Dia tidak mengutus para malaikat untuk bercakap kepada kita, kita dapat yakin bahawa Dia mendengar doa kita. Perhatikan apa yang dikatakan oleh Paulus apabila dia meminta rakan seiman untuk berdoa agar dia dibebaskan daripada penjara. Dia berkata, “Aku ingin menggesa kamu untuk berdoa agar aku dapat kembali kepada kamu dengan lebih cepat.” (Ibrani 13:18, 19) Hal ini menunjukkan bahawa doa kita mungkin akan menggerakkan Yehuwa untuk melakukan sesuatu yang tidak dirancang-Nya.​—Yakobus 5:16.

21. Apakah pandangan salah tentang kerendahan hati Yehuwa yang patut kita hindari? Tetapi apakah yang harus kita hargai?

21 Yehuwa lemah lembut, sudi mendengar, sabar, dan munasabah. Semua ini menunjukkan bahawa Dia rendah hati. Tetapi pada masa yang sama, Dia tidak akan mengetepikan piawaian-Nya. Para pemimpin gereja Kristian mungkin berfikir bahawa mereka sedang bersikap munasabah jika mereka mengkompromikan piawaian moral Tuhan dan “menggeletek telinga” penganut mereka. (2 Timotius 4:3) Tetapi sangkaan mereka salah sama sekali. Yehuwa ialah Tuhan yang suci; Dia tidak sekali-kali akan merendahkan piawaian-Nya. (Imamat 11:44) Maka kita haruslah menghargai sikap rendah hati dan sikap munasabah Yehuwa. Tidakkah anda berasa gembira kerana dapat mengenali Tuhan yang bijaksana, rendah hati, lemah lembut, sabar, dan munasabah?

a Para jurutulis hukum, atau Soferim, mengubah ayat ini dan menyatakan bahawa Yeremialah yang membongkokkan diri, dan bukannya Yehuwa. Nampaknya mereka berpendapat bahawa kelakuan sedemikian merendahkan martabat Tuhan. Akibatnya, banyak terjemahan Bible tidak memasukkan isi yang penting ini. Tetapi The New English Bible menterjemahkan kata-kata Yeremia dalam ayat ini dengan tepat. Yeremia berkata, “Ingatlah, ya ingatlah padaku, dan bongkokkanlah diri-Mu kepadaku.”

b Terjemahan yang lain menyatakan “kerendahan hati yang berasal daripada kebijaksanaan” dan “kelemahlembutan yang menjadi tanda pengenal kebijaksanaan.”

c Yang menariknya, Bible membandingkan kesabaran dengan keangkuhan. (Pengkhutbah 7:8) Maka kesabaran Yehuwa membuktikan kerendahan hati-Nya.​—2 Petrus 3:9.

d Mazmur 86:5 menyatakan bahawa Yehuwa “baik dan suka mengampuni.” Apabila mazmur ini diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani, ungkapan “suka mengampuni” diterjemahkan sebagai e·pi·ei·kesʹ, atau “munasabah.”