Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 21

Yesus Menyingkapkan “Kebijaksanaan Tuhan”

Yesus Menyingkapkan “Kebijaksanaan Tuhan”

1-3. Apakah reaksi orang yang sekampung dengan Yesus terhadap ajarannya? Mereka tidak sedar akan apa?

 PARA hadirin di rumah ibadat terpegun. Seorang pemuda yang bernama Yesus sedang berdiri di hadapan mereka dan mengajar mereka. Yesus telah membesar di kota mereka dan bekerja sebagai tukang kayu. Barangkali rumah yang dihuni oleh mereka, dan bajak dan kuk yang digunakan oleh mereka dibuat oleh Yesus. a Sekarang adakah mereka akan menerima ajaran tukang kayu ini?

2 Sebilangan besar hadirin di situ terpegun dan berkata, “Dari manakah orang ini mendapat kebijaksanaan?” Tetapi mereka juga berkata, “Bukankah dia tukang kayu itu? Bukankah dia anak Maria?” (Matius 13:54-58; Markus 6:1-3) Sedihnya, meskipun kata-kata Yesus amat bijaksana, orang yang sekampung dengannya enggan percaya kepadanya. Mereka berfikir, “Tukang kayu ini orang biasa seperti kita yang berasal dari sini.” Ya, mereka tidak sedar bahawa kebijaksanaan Yesus bukanlah kebijaksanaannya sendiri.

3 Dari manakah Yesus mendapat kebijaksanaan? Yesus berkata, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku.” (Yohanes 7:16) Paulus juga menulis, “Yesus telah menyingkapkan kebijaksanaan Tuhan.” (1 Korintus 1:30) Ya, Yehuwa telah menyingkapkan kebijaksanaan-Nya melalui Yesus. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Aku dan Bapa satu.” (Yohanes 10:30) Marilah kita mengkaji tiga cara Yesus menyingkapkan “kebijaksanaan Tuhan.”

Ajaran Yesus

4. (a) Apakah tema utama mesej Yesus? Mengapa? (b) Mengapakah nasihat Yesus selalu praktikal dan bermanfaat?

4 Cara pertama Yesus menyingkapkan kebijaksanaan Tuhan ialah menerusi ajarannya. Tema utama mesej Yesus ialah “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” kerana kerajaan ini akan menyucikan nama Yehuwa yang merangkumi reputasi-Nya sebagai Pemerintah yang adil dan akan membawa berkat kepada manusia. (Lukas 4:43) Selain itu, selaku “Penasihat Bijaksana,” Yesus memberikan nasihat yang membantu kita dalam kehidupan seharian. (Yesaya 9:6) Nasihat Yesus selalu praktikal dan bermanfaat kerana dia mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Firman Tuhan dan kehendak Tuhan, memahami sifat manusia, dan amat mengasihi mereka. Ya, ‘kata-kata Yesus membawa kehidupan kekal’ kerana apabila kita mematuhinya, kita akan memperoleh penyelamatan.​—Yohanes 6:68.

5. Apakah beberapa topik yang disebutkan oleh Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung?

5 Ceramah Di Atas Gunung yang dicatatkan di Matius 5:3–7:27 membuktikan bahawa ajaran Yesus amat bijaksana. Yesus mungkin telah menyampaikannya dalam masa 20 minit sahaja. Biarpun begitu, nasihat-nasihat yang terkandung dalam ceramah itu masih praktikal sehingga dewasa ini. Yesus bercakap tentang pelbagai topik, termasuk cara memupuk hubungan yang baik dengan orang lain (5:23-26, 38-42; 7:1-5, 12), cara menjaga kebersihan moral (5:27-32), dan cara menjalani kehidupan yang bermakna (6:19-24; 7:24-27). Yesus bukan sekadar memberitahu para pendengarnya haluan yang bijaksana, dia juga menunjukkannya kepada mereka dengan memberikan penjelasan, penaakulan, dan bukti.

6-8. (a) Menurut ajaran Yesus, mengapakah kita tidak patut terlalu khuatir? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa nasihat Yesus berasal daripada Tuhan?

6 Contohnya, fikirkanlah nasihat Yesus berkenaan cara menangani kekhuatiran. Di Matius bab 6, Yesus menasihati kita, “Jangan khuatir lagi tentang hidupmu, iaitu tentang apa yang akan kamu makan dan minum. Jangan khuatir lagi tentang tubuhmu, iaitu tentang apa yang akan kamu pakai.” (Ayat 25) Makanan dan pakaian ialah keperluan asas, maka memang tidak salah untuk risau tentang hal-hal ini. Tetapi Yesus memberitahu kita agar “jangan khuatir lagi” tentang hal-hal ini. b Mengapa?

7 Memandangkan Yehuwa telah memberi kita tubuh dan nyawa, sudah pasti Dia dapat memberi kita makanan dan pakaian. (Ayat 25) Jika Tuhan memberikan makanan kepada burung dan pakaian kepada bunga, sudah pasti Dia akan menjaga keperluan umat-Nya. (Ayat 26, 28-30) Lagipun seseorang yang terlalu khuatir bukannya dapat memanjangkan hidupnya walau sedikit pun. c (Ayat 27) Jadi apakah yang dapat kita lakukan agar tidak terlalu khuatir? Yesus berkata, “Hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.” Jika kita berbuat demikian, kita dapat yakin bahawa Tuhan akan memenuhi semua keperluan hidup kita. (Ayat 33) Akhirnya, Yesus memberikan cadangan yang praktikal dengan berkata, “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.” (Ayat 34) Ya, tiada gunanya untuk risau akan hal-hal yang mungkin tidak akan berlaku.

8 Biarpun Yesus memberikan nasihat itu kira-kira 2,000 tahun yang lalu, nasihat itu masih amat praktikal dewasa ini. Tidakkah hal ini membuktikan bahawa kebijaksanaan Yesus berasal daripada Tuhan? Tidak seperti ajaran manusia, ajaran-ajaran Yesus tidak luput ditelan zaman dan tidak perlu diganti atau diubah. Hal ini tidak menghairankan kerana Yesus menyampaikan “perkhabaran daripada Tuhan.”​—Yohanes 3:34.

Cara Yesus Mengajar

9. Apakah reaksi beberapa orang askar terhadap cara Yesus mengajar? Adakah hal ini menghairankan?

9 Cara kedua Yesus mencerminkan kebijaksanaan Tuhan ialah melalui cara dia mengajar. Semasa Yesus di bumi, askar-askar yang diutus untuk menangkapnya telah pulang dengan tangan kosong, dan berkata, “Belum pernah seseorang bercakap seperti dia.” (Yohanes 7:45, 46) Hal ini tidak menghairankan kerana Yesus “berasal dari atas,” dan dia ialah orang yang paling berpengetahuan dan berpengalaman. (Yohanes 8:23) Tiada manusia yang dapat menandingi cara Yesus mengajar. Marilah kita pertimbangkan dua cara yang digunakannya.

“Orang ramai sangat kagum dengan cara dia mengajar”

10, 11. (a) Mengapakah kita kagum dengan cara Yesus menggunakan perumpamaan? (b) Apakah itu cerita ibarat? Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Yesus mahir menggunakan cerita ibarat.

10 Menggunakan perumpamaan dengan efektif. Bible menyatakan, ‘Yesus tidak akan bercakap kepada orang ramai tanpa menggunakan perumpamaan.’ (Matius 13:34) Semasa mengajar, Yesus menggunakan perumpamaan yang berkaitan dengan kehidupan seharian para pendengarnya, seperti petani yang menabur benih, wanita yang membuat roti, kanak-kanak yang bermain di pasar, nelayan yang menarik pukat, dan gembala yang mencari bebiri yang hilang. Apabila kebenaran yang mendalam dikaitkan dengan kegiatan seharian, kebenaran-kebenaran itu dapat diukir dalam hati dan minda orang.​—Matius 11:16-19; 13:3-8, 33, 47-50; 18:12-14.

11 Yesus juga selalu menggunakan cerita ibarat, atau cerita pendek, untuk menerangkan ajaran Bible dan memberikan pengajaran moral. Cerita-cerita itu dapat menjelaskan idea-idea yang abstrak agar pendengarnya dapat memahami dan mengingati ajarannya. Selain itu, Yesus menggambarkan Bapanya dengan terperinci menerusi cerita-cerita itu. Contohnya, cerita tentang anak yang sesat. Cerita ini mengajar kita bahawa jika seseorang benar-benar bertaubat, Yehuwa akan menunjukkan belas kasihan dan menyambutnya dengan tangan yang terbuka.​—Lukas 15:11-32.

12. (a) Bagaimanakah Yesus menggunakan soalan? (b) Bagaimanakah Yesus membungkam orang yang mencabar kekuasaannya?

12 Menggunakan soalan dengan mahir. Yesus menggunakan soalan-soalan untuk mendedahkan niat hati para pendengarnya dan membantu mereka mencapai kesimpulan sendiri atau membuat keputusan. (Matius 12:24-30; 17:24-27; 22:41-46) Apabila para pemimpin agama mencabar kekuasaan Yesus, dia menjawab, “Siapakah yang memberi Yohanes kuasa untuk membaptis orang? Tuhan atau manusia?” Soalannya membuat mereka terpegun dan mereka berbincang sesama sendiri, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ Atau patutkah kita berkata, ‘Manusia’?” Namun, mereka takut berkata demikian kerana orang ramai menganggap Yohanes sebagai seorang nabi. Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” (Markus 11:27-33; Matius 21:23-27) Ya, dengan menggunakan satu soalan yang ringkas sahaja, Yesus telah mendedahkan niat hati musuhnya dan membuat mereka terdiam.

13-15. Bagaimanakah cerita ibarat tentang seorang lelaki Samaria mencerminkan kebijaksanaan Yesus?

13 Kadangkala Yesus menggabungkan kedua-dua kaedah mengajar ini. Contohnya, apabila seorang lelaki yang arif dalam Hukum menanya Yesus apa yang harus dilakukannya untuk meraih kehidupan yang kekal, Yesus berkata bahawa dia harus mengasihi Tuhan dan manusia. Tetapi lelaki itu mahu membuktikan bahawa pandangannya betul. Jadi dia bertanya kepada Yesus, “Siapakah yang harus aku kasihi?” Yesus pun menyampaikan sebuah cerita: Seorang lelaki Yahudi sedang membuat perjalanan, dan dia diserang oleh penyamun lalu dipukul sampai setengah mati. Seorang imam dan seorang Lewi lalu di situ, tetapi mereka tidak mempedulikannya. Selepas itu, seorang lelaki Samaria lalu di situ, dan dia berasa kasihan lalu membalut luka lelaki itu dan membawanya ke sebuah tempat penginapan. Pada akhir cerita itu, Yesus menanya lelaki itu, “Pada pendapat kamu, siapakah antara tiga orang lelaki ini yang mengasihi lelaki yang dirompak itu?” Lelaki itu tergerak untuk menjawab, “Lelaki yang menunjukkan belas kasihan terhadapnya.”​—Lukas 10:25-37.

14 Bagaimanakah cerita ibarat tentang seorang lelaki Samaria mencerminkan kebijaksanaan Yesus? Pada zaman Yesus, orang Yahudi berfikir bahawa mereka tidak perlu mengasihi orang Samaria. (Yohanes 4:9) Fikirkanlah, jika Yesus bercerita tentang orang Yahudi yang membantu orang Samaria, dapatkah cerita itu membantu pendengarnya menyingkirkan rasa prasangka? Pastinya tidak. Itulah sebabnya Yesus bercerita tentang bagaimana seorang lelaki Samaria menolong seorang lelaki Yahudi. Pada akhir ceritanya, Yesus menanya, “Siapakah antara tiga orang lelaki ini yang mengasihi lelaki yang dirompak itu?” Soalan ini bertujuan untuk mengalihkan fokus pendengarnya kepada orang yang menunjukkan kasih, dan bukannya orang yang menerima kasih. Ya, pengajarannya ialah kita harus mengambil inisiatif untuk mengasihi semua orang, tidak kira bangsa atau bahasa mereka. Sesungguhnya, Yesus telah menyampaikan pengajaran ini dalam cara yang amat berkesan!

15 Maka memang tidak menghairankan bahawa orang kagum dengan ‘cara Yesus mengajar’ dan tertarik kepadanya. (Matius 7:28, 29) Pernah sekali, “ramai orang” mengikutnya selama tiga hari, dan mereka enggan meninggalkannya biarpun mereka kehabisan makanan!​—Markus 8:1, 2.

Haluan Hidup Yesus

16. Bagaimanakah Yesus membuktikan bahawa dia dibimbing oleh kebijaksanaan Tuhan?

16 Cara ketiga Yesus mencerminkan kebijaksanaan Yehuwa ialah menerusi haluan hidupnya. Kebijaksanaan haruslah dibuktikan oleh perbuatan. Yakobus menulis, “Siapakah antara kamu yang bijaksana dan berpengertian? Dia harus membuktikannya menerusi kelakuan yang baik.” (Yakobus 3:13) Sememangnya, kelakuan Yesus membuktikan bahawa dia dibimbing oleh kebijaksanaan Tuhan. Marilah kita melihat bagaimana dia menunjukkan kebijaksanaan menerusi haluan hidupnya dan cara dia berurusan dengan orang lain.

17. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus menjalani kehidupan yang seimbang?

17 Tidakkah anda bersetuju bahawa orang yang kurang bijaksana selalunya bertindak keterlaluan? Ya, kita memerlukan kebijaksanaan daripada Tuhan untuk bertindak dengan seimbang. Yesus dapat menjalani kehidupan yang seimbang kerana dia memiliki kebijaksanaan Tuhan. Dia mengutamakan hal-hal rohani dan hidup sederhana. Dia berkata, ‘Aku hendak menyebarkan berita baik, kerana itulah sebabnya aku datang.’ (Markus 1:38; Matius 8:20) Biarpun begitu, Yesus tidak menolak semua nikmat hidup. Sepertimana Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira,” Yesus ialah orang yang gembira dan dia juga membawa kegembiraan kepada orang lain. (1 Timotius 1:11; 6:15) Semasa dia menghadiri sebuah majlis perkahwinan, dia menukar air menjadi wain setelah wain di situ habis. (Mazmur 104:15; Yohanes 2:1-11) Yesus juga menerima banyak jemputan untuk makan di rumah orang, dan dia menggunakan kesempatan itu untuk mengajar mereka.​—Lukas 10:38-42; 14:1-6.

18. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus dapat menilai orang dengan baik?

18 Yesus dapat menilai orang dengan baik. Dia amat memahami manusia, maka dia dapat memahami para pengikutnya dengan sepenuhnya. Meskipun dia sedar bahawa mereka tidak sempurna, dia dapat melihat potensi dalam diri mereka, dan memahami mengapa Yehuwa memimpin mereka kepadanya. (Yohanes 6:44) Dia sudi mengamanahkan tanggungjawab yang besar kepada mereka. Dia mempercayai mereka dan menyuruh mereka untuk menyebarkan berita baik, dan dia yakin bahawa mereka dapat memenuhi tanggungjawab ini. (Matius 28:19, 20) Buku Kisah menyatakan bahawa mereka telah melaksanakan tugasan itu dengan baik. (Kisah 2:41, 42; 4:33; 5:27-32) Jelaslah bahawa Yesus telah bertindak dengan bijak kerana dia sudi mempercayai para pengikutnya.

19. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus “lemah lembut dan rendah hati”?

19 Seperti yang dinyatakan dalam Bab 20, Bible mengaitkan kerendahan hati dan kelemahlembutan dengan kebijaksanaan. Yehuwa sememangnya suri teladan dalam hal ini. Tetapi bagaimana pula dengan Yesus? Kita terharu dengan cara Yesus menunjukkan kerendahan hati kepada para pengikutnya. Yesus ialah manusia yang sempurna dan lebih baik daripada mereka. Biarpun begitu, dia tidak pernah merendah-rendahkan atau menghina pengikutnya. Sebaliknya, dia bertimbang rasa terhadap keterbatasan mereka dan sabar dengan kelemahan mereka. (Markus 14:34-38; Yohanes 16:12) Kanak-kanak pun suka menghampiri Yesus kerana mereka dapat merasakan bahawa Yesus ialah seorang yang “lemah lembut dan rendah hati.”​—Matius 11:29; Markus 10:13-16.

20. Bagaimanakah Yesus bersikap munasabah semasa berurusan dengan seorang wanita bukan Yahudi?

20 Yesus mencerminkan kerendahan hati Tuhan dalam satu lagi aspek. Dia munasabah, atau sudi membuat penyesuaian. Contohnya, seorang wanita bukan Yahudi merayu kepada Yesus untuk menyembuhkan anaknya yang dirasuk. Yesus menolak permintaan wanita itu sebanyak tiga kali: Kali pertama, dia tidak menghiraukannya; kali kedua, dia berterus terang dengan wanita itu dan mengatakan bahawa dia diutus kepada orang Yahudi, bukannya kepada orang bukan Yahudi; kali ketiga, dia menceritakan sebuah perumpamaan untuk menegaskan pendiriannya. Tetapi wanita itu tidak berputus asa. Maka memandangkan wanita itu mempunyai iman yang besar, Yesus sudi mengubah fikirannya dan menyembuhkan anak wanita itu. (Matius 15:21-28) Ya, tindakan Yesus menunjukkan bahawa kerendahan hati ialah asas kebijaksanaan sejati.

21. Mengapakah kita patut berusaha meniru sifat-sifat, percakapan, dan perbuatan Yesus?

21 Betapa bersyukurnya kita kerana Bible mencatatkan kata-kata dan tindakan Yesus! Yesus dapat mencerminkan kebijaksanaan Bapanya dengan sempurna. Maka dengan meniru sifat-sifat, percakapan, dan perbuatan Yesus, kita dapat memperoleh kebijaksanaan daripada Tuhan. Dalam bab yang seterusnya, kita akan melihat bagaimana kita dapat mencerminkan kebijaksanaan daripada Tuhan dalam kehidupan kita.

a Pada zaman Bible, tukang kayu diupah untuk membina rumah dan membuat perabot atau alat pertanian. Justin Martyr, yang hidup pada abad kedua Masihi, menulis tentang Yesus, “Semasa dia berada di bumi, dia bekerja sebagai tukang kayu. Dia membuat bajak dan kuk.”

b Kata kerja Yunani yang diterjemahkan sebagai “khuatir” bererti “mengganggu fikiran.” Di Matius 6:25, perkataan ini merujuk kepada sesuatu yang mengganggu fikiran seseorang dan membuatnya begitu takut dan risau sehingga dia tidak dapat menikmati hidup.

c Sebenarnya, kajian saintifik menunjukkan bahawa kekhuatiran dan stres yang berlebihan akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan penyakit lain yang akan memendekkan hayat seseorang.