Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 23

‘Tuhan Mengasihi Kita Terlebih Dahulu’

‘Tuhan Mengasihi Kita Terlebih Dahulu’

1-3. Mengapakah kematian Yesus berbeza daripada kematian orang yang lain?

 KIRA-KIRA 2,000 tahun dahulu, seorang lelaki yang tidak bersalah telah diadili, disabitkan bersalah, diseksa, dan dihukum mati. Lelaki itu bukanlah orang pertama dan bukan orang terakhir dalam sejarah yang dihukum mati dengan kejam dan tidak adil. Namun, kematiannya berbeza daripada kematian orang yang lain.

2 Sewaktu lelaki itu menderita dan hampir mati, suatu perkara yang menakjubkan telah berlaku. Kejadian itu menandakan bahawa peristiwa itu amat penting. Apakah kejadian itu? Meskipun masa itu kira-kira jam 12 tengah hari, seluruh bumi menjadi gelap. Seorang sejarawan mencatatkan bahawa “matahari tidak bersinar.” (Lukas 23:44, 45) Kemudian, sebelum lelaki itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia berkata, “Sudah selesai!” Ya, dia telah mengorbankan nyawanya untuk menyelesaikan tugasan yang penting. Pengorbanannya merupakan ungkapan kasih yang teragung yang pernah ditunjukkan oleh manusia.​—Yohanes 15:13; 19:30.

3 Lelaki itu ialah Yesus Kristus. Dia telah menderita dan meninggal pada 14 Nisan 33 Masihi. Tetapi terdapat satu lagi individu yang telah melakukan pengorbanan yang lebih besar. Pengorbanan individu itu ialah ungkapan kasih yang teragung di seluruh alam semesta. Apakah pengorbanan yang dimaksudkan? Jawapan kepada soalan ini membawa kita kepada satu topik yang amat penting, iaitu kasih Yehuwa.

Ungkapan Kasih yang Teragung

4. Bagaimanakah pegawai Roma itu sedar bahawa Yesus bukan manusia biasa? Apakah kesimpulannya?

4 Apabila bumi menjadi gelap dan gempa bumi berlaku, pegawai tentera Roma yang mengawasi Yesus berasa sangat takut lalu berkata, “Dia sememangnya Anak Tuhan.” (Matius 27:54) Jelaslah bahawa Yesus bukan manusia biasa. Sesungguhnya pegawai itu terlibat dalam pembunuhan Anak tunggal Tuhan Yang Maha Tinggi! Seberapa besarkah kasih Tuhan kepada Anak-Nya?

5. Bagaimanakah kita dapat membayangkan masa yang diluangkan oleh Yehuwa bersama Anak-Nya?

5 Bible memanggil Yesus “anak sulung antara semua ciptaan.” (Kolose 1:15) Dia sudah wujud lama sebelum alam semesta diciptakan. Maka berapa lamakah dia telah hidup bersama Bapanya? Sesetengah ahli sains menganggarkan bahawa alam semesta kita berusia 13 bilion tahun. Dapatkah anda membayangkan seberapa panjangkah masa ini? Untuk membantu manusia memahami hal ini, sebuah planetarium membuat garis masa yang berukuran 110 meter. Para pelawat dapat berjalan di tepi garis itu, dan setiap langkah yang diambil melambangkan sekitar 75 juta tahun. Di akhir garis masa itu, terdapat satu tanda kecil yang hanya setebal seutas rambut, dan tanda itu menunjukkan jangka masa sejarah manusia. Tetapi biarpun anggaran garis masa itu tepat, seluruh garis masa itu masih tidak dapat menggambarkan jangka hayat Yesus! Apakah yang dilakukan oleh Yesus sepanjang masa itu?

6. (a) Apakah yang dilakukan oleh Yesus sebelum dia datang ke bumi? (b) Gambarkan hubungan antara Yehuwa dengan Anak-Nya.

6 Yesus gembira kerana dapat berada di samping Bapanya sebagai “jurubina yang mahir.” (Amsal 8:30) Bible menyatakan, “Tanpa dia [iaitu, Anak], tiada sesuatu pun yang wujud.” (Yohanes 1:3) Maka Yehuwa dan Anak-Nya bekerja bersama-sama untuk membuat segala sesuatu. Mereka pasti amat menikmati saat-saat yang indah itu! Banyak orang pasti bersetuju bahawa kasih antara seorang ibu atau bapa dengan anaknya adalah amat kuat. Kasih ialah “ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kolose 3:14) Memandangkan Yehuwa telah meluangkan masa yang begitu lama bersama Anak-Nya, ikatan kasih mereka sememangnya ikatan yang terkuat di seluruh alam semesta.

7. Sewaktu Yesus dibaptis, bagaimanakah Yehuwa mengungkapkan perasaan-Nya terhadap Anak-Nya itu?

7 Biarpun begitu, Yehuwa mengutus Anak-Nya ke bumi untuk menjadi manusia. Hal ini bererti bahawa Dia perlu berpisah dengan Anak-Nya selama puluhan tahun. Dari syurga, Dia memerhatikan Yesus yang beransur-ansur membesar menjadi lelaki yang dewasa. Kemudian Yesus dibaptis sewaktu dia berusia sekitar 30 tahun. Apakah perasaan Yehuwa? Dia sendiri berfirman dari syurga, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Matius 3:17) Ya, Yehuwa pasti sangat bangga dan senang hati kerana Yesus melaksanakan kehendak-Nya dengan sempurna.​—Yohanes 5:36; 17:4.

8, 9. (a) Apakah yang dialami oleh Yesus pada 14 Nisan 33 Masihi? Apakah kesannya atas Bapanya? (b) Mengapakah Yehuwa membenarkan Anak-Nya menderita dan mati?

8 Apakah perasaan Yehuwa pada 14 Nisan 33 Masihi? Apakah perasaan-Nya apabila Yesus dikhianati, ditangkap, ditinggalkan oleh sahabat-sahabatnya, dan dibicarakan secara tidak sah? Apakah perasaan Yehuwa apabila Yesus dicemuh, diludahi, ditumbuk, dan dicambuk sehingga dagingnya menjadi hirisan yang berdarah? Apakah perasaan Yehuwa apabila kaki dan tangan Yesus dipakukan pada sebatang tiang kayu, dan dihina oleh orang yang lalu-lalang di situ? Apakah perasaan Yehuwa apabila Anak-Nya yang tersayang berseru kepada-Nya dalam kesakitan? Apakah perasaan Yehuwa apabila Yesus menghembuskan nafasnya yang terakhir dan tidak wujud lagi?​—Matius 26:14-16, 46, 47, 56, 59, 67; 27:38-44, 46; Yohanes 19:1.

9 Kita tidak dapat menggambarkan perasaan Yehuwa dengan kata-kata manusia. Tetapi kita dapat mengetahui mengapa Yehuwa membenarkan hal itu berlaku. Mengapakah Dia sudi melalui pengalaman yang begitu pahit? Dia memberitahu kita sebabnya dalam satu ayat yang sangat penting, iaitu Yohanes 3:16. Ayat itu menyatakan, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” Ya, Yehuwa sudi mengutus Anak-Nya untuk menderita dan mati demi kita kerana kasih. Inilah ungkapan kasih yang teragung di seluruh alam semesta.

“Tuhan . . . memberikan Anak tunggal-Nya”

Erti Kasih Tuhan

10. Apakah keperluan manusia yang terpenting? Mengapakah susah bagi kita untuk menjelaskan erti “kasih”?

10 Apakah erti “kasih”? Kasih ialah keperluan manusia yang terpenting. Sejak kita dilahirkan sehingga kita mati, kita mendahagakan kasih dan berusaha mendapatkannya. Ada orang yang bahkan mati kerana kekurangan kasih. Biarpun begitu, susah bagi kita untuk menjelaskan erti kasih. Sememangnya orang selalu bercakap tentang kasih, dan terdapat banyak buku, lagu, dan puisi yang berkisar tentang kasih. Tetapi semua ini tidak dapat menyingkapkan erti kasih malah membuat orang lebih sukar memahami erti kasih sejati.

11, 12. (a) Bagaimanakah kita dapat lebih memahami kasih? Mengapa? (b) Apakah perkataan-perkataan dalam bahasa Yunani kuno yang digunakan untuk “kasih”? Perkataan manakah yang paling kerap digunakan dalam Kitab Yunani Kristian? (Lihat juga nota kaki.) (c) Perkataan a·gaʹpe dalam Bible biasanya membawa maksud apa?

11 Namun Bible menjelaskan erti kasih sejati kepada kita. Sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Kasih dapat diketahui melalui perbuatan.” Yehuwa telah mencatatkan perbuatan-Nya dalam Bible, dan catatan-catatan ini mengajar kita tentang kasih-Nya terhadap ciptaan-Nya. Sebagai contoh, kita baru sahaja belajar tentang ungkapan kasih Tuhan yang teragung. Dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan melihat lebih banyak contoh tentang perbuatan Tuhan yang mengungkapkan kasih-Nya. Selain itu, kita dapat lebih memahami erti “kasih” dengan mengkaji cara perkataan ini digunakan dalam Bible. Dalam bahasa Yunani kuno, terdapat empat perkataan yang digunakan untuk “kasih.” a Salah satu daripadanya ialah a·gaʹpe. Inilah perkataan yang paling kerap digunakan dalam Kitab Yunani Kristian, dan sebuah kamus Bible menyatakan bahawa a·gaʹpe ialah “perkataan yang paling kuat untuk menggambarkan kasih.” Mengapa?

12 Dalam Bible, a·gaʹpe biasanya membawa maksud kasih yang berasaskan prinsip. Maka kasih ini bukan sekadar perasaan di hati dan tidak bergantung pada reaksi orang lain. Kasih Kristian ini akan mendorong seseorang untuk mengetepikan kepentingan diri dan bertindak demi kebaikan orang lain. Contohnya, mari kita melihat Yohanes 3:16 sekali lagi. Apakah “dunia” yang begitu dikasihi Tuhan sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya? Orang yang sedang hidup dalam dosa, tetapi masih dapat ditebus. Adakah Yehuwa mengasihi mereka sebagaimana Dia mengasihi sahabat-Nya, Abraham? (Yakobus 2:23) Tidak, tetapi Dia digerakkan oleh kasih a·gaʹpe untuk membuat pengorbanan yang sangat besar dan bertindak demi kebaikan manusia. Dia mahu semua orang bertaubat dan mengubah haluan hidup mereka. (2 Petrus 3:9) Banyak orang telah berbuat demikian, dan mereka berpeluang untuk menjadi sahabat Yehuwa.

13, 14. Bagaimanakah kita tahu bahawa kasih Kristian selalunya melibatkan perasaan yang mendalam?

13 Tetapi sesetengah orang berfikir bahawa perkataan a·gaʹpe dalam Bible merujuk kepada kasih yang bersifat dingin. Hakikatnya, kasih Kristian sering kali merangkumi perasaan sayang. Misalnya, apabila Yohanes menulis, “Bapa mengasihi Anak,” dia menggunakan salah satu bentuk perkataan a·gaʹpe. Adakah kasih itu bersifat dingin? Tidak, kerana apabila Yesus berkata, “Bapa menyayangi Anak,” dia menggunakan satu bentuk perkataan phi·leʹo. (Yohanes 3:35; 5:20) Maka kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa selalunya melibatkan perasaan yang mendalam. Biarpun begitu, Dia tidak akan bertindak mengikut perasaan. Kasih-Nya selalu dibimbing oleh prinsip-prinsip-Nya yang adil dan bijaksana.

14 Antara semua sifat Yehuwa, kasih ialah sifat-Nya yang paling menarik, dan sifat ini membuat kita lebih ingin menghampiri-Nya. Kasih juga ialah sifat-Nya yang paling utama. Apakah buktinya?

“Tuhan Itu Kasih”

15. Apakah yang dikatakan dalam Bible tentang sifat kasih Yehuwa? Mengapakah pernyataan itu amat istimewa? (Lihat juga nota kaki.)

15 Bible menggunakan cara yang sangat istimewa untuk menggambarkan kasih. Bible tidak pernah menyatakan bahawa Tuhan itu kuasa, Tuhan itu keadilan, atau Tuhan itu kebijaksanaan. Tuhan memiliki ketiga-tiga sifat itu, dan Dia merupakan Sumber sifat-sifat itu. Tetapi berkenaan kasih, Bible menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” b​—1 Yohanes 4:8.

16-18. (a) Mengapakah Bible mengatakan bahawa “Tuhan itu kasih”? (b) Mengapakah Yehuwa menggunakan manusia untuk melambangkan kasih?

16 “Tuhan itu kasih,” tetapi kita tidak boleh menterbalikkan ayat ini dan berkata bahawa “kasih itu Tuhan.” Tuhan tidak sama dengan kasih kerana Dia bukan sekadar suatu sifat yang baik. Dia ialah Individu yang mempunyai perasaan dan banyak sifat lain. Tetapi kasih sebati dengan Yehuwa, dan tidak boleh dipisahkan daripada-Nya. Secara umum, kita boleh mengatakan bahawa kuasa membolehkan Yehuwa untuk bertindak. Keadilan dan kebijaksanaan membimbing tindakan Yehuwa, tetapi kasih menggerakkan-Nya untuk bertindak. Ya, Yehuwa sentiasa menunjukkan kasih semasa Dia menunjukkan sifat-sifat-Nya yang lain.

17 Yehuwa ialah personifikasi kasih. Maka, jika kita ingin belajar tentang kasih yang berasaskan prinsip, kita haruslah mengenali Yehuwa. Manusia memang dapat memperlihatkan kasih kerana manusia diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kejadian 1:26) Antara semua makhluk di bumi, hanya manusia yang dapat menunjukkan kasih dan meniru Bapa kita yang di syurga. Ingatlah bahawa Yehuwa menggunakan makhluk ciptaan-Nya yang lain untuk melambangkan sifat-sifat utama-Nya. Tetapi Dia menggunakan manusia untuk melambangkan sifat-Nya yang paling utama, iaitu kasih.​—Yehezkiel 1:10.

18 Apabila kita menunjukkan kasih yang berasaskan prinsip dan tidak mementingkan diri, kita sedang mencerminkan kasih Yehuwa. Seperti yang ditulis oleh Yohanes, “Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.” (1 Yohanes 4:19) Apakah maksudnya?

Yehuwa Mengambil Inisiatif

19. Mengapakah Yehuwa menciptakan segala sesuatu? Jelaskan.

19 Yehuwa tidak kesunyian. Dia lengkap dan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Jadi mengapakah Dia mula menciptakan segala sesuatu? Kasih telah menggerakkan-Nya untuk memulakan kerja penciptaan agar Dia dapat berkongsi kegembiraan dengan makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Ciptaan-Nya yang pertama ialah Yesus. (Wahyu 3:14) Kemudian segala sesuatu, termasuk para malaikat, diciptakan melalui Yesus. (Ayub 38:4, 7; Kolose 1:16) Para malaikat dikurniai kebebasan, kepandaian, dan perasaan, maka mereka dapat menjalinkan persahabatan dengan satu sama lain dan dengan Yehuwa. (2 Korintus 3:17) Ya, mereka dapat menunjukkan kasih kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada mereka terlebih dahulu.

20, 21. Bagaimanakah Adam dan Hawa tahu bahawa Yehuwa mengasihi mereka? Namun apakah reaksi mereka?

20 Demikian juga, Yehuwa mencurahkan kasih yang melimpah ke atas Adam dan Hawa. Bukti kasih ini dapat dilihat di setiap penjuru Taman Eden. Bible menyatakan, “Tuhan Yehuwa membuat sebuah taman di Eden, di sebelah timur. Di situ, Dia menempatkan lelaki yang sudah diciptakan oleh-Nya.” (Kejadian 2:8) Pernahkah anda melihat sebuah taman bunga yang indah? Apakah yang paling anda sukai tentang taman itu? Kilauan cahaya yang memancar melalui celah-celah dedaun? Bunga-bunga yang berwarna-warni dan harum semerbak? Atau, dengungan serangga dan kicauan burung yang berterbangan? Tidak kira betapa indahnya taman itu, keindahannya pasti tidak dapat menandingi keindahan Taman Eden. Mengapa?

21 Hal itu demikian kerana Taman Eden dibuat oleh Yehuwa sendiri! Di taman itu, Tuhan telah menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang buahnya baik untuk dimakan. Taman itu lapang, diairi dengan baik, dan mempunyai pelbagai jenis haiwan. Adam dan Hawa dikurniai segala sesuatu yang diperlukan oleh mereka untuk menikmati kehidupan yang bahagia. Yehuwa menunjukkan kasih kepada mereka, dan mereka sepatutnya memperlihatkan penghargaan terhadap kasih itu. Namun, mereka bukan sahaja tidak mematuhi Tuhan, mereka bahkan juga memberontak melawan-Nya.—Kejadian, bab 2.

22. Apakah reaksi Yehuwa terhadap pemberontakan di Taman Eden?

22 Hati Yehuwa pasti amat pedih! Tetapi pemberontakan Adam dan Hawa tidak menghalang-Nya daripada terus menunjukkan kasih. Bible menyatakan, “Kasih setia-Nya kekal abadi.” (Mazmur 136:1) Maka, Dia segera membuat aturan untuk menebus keturunan Adam dan Hawa yang berhati jujur. Seperti yang telah kita pelajari, aturan itu merangkumi korban tebusan Anak-Nya yang tersayang.—1 Yohanes 4:10.

23. Mengapakah Yehuwa dipanggil “Tuhan yang gembira”? Apakah soalan penting yang akan dibincangkan dalam bab seterusnya?

23 Sejak dahulu lagi, Yehuwa telah mengambil inisiatif untuk menunjukkan kasih kepada manusia. Ya, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ‘Tuhan mengasihi kita terlebih dahulu.’ Kasih membawa sukacita dan keharmonian, maka tidak hairanlah Yehuwa dipanggil “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:11) Tetapi adakah Yehuwa benar-benar mengasihi kita secara individu? Soalan ini akan dijawab dalam bab yang seterusnya.

a Perkataan phi·leʹo, yang bererti “kasih sayang, sangat mencintai, atau menyukai (seperti kasih antara adik-beradik atau sahabat akrab),” selalu digunakan dalam Kitab Yunani Kristian. Salah satu bentuk perkataan stor·geʹ, atau kasih antara ahli keluarga, digunakan di 2 Timotius 3:3 untuk menunjukkan bahawa pada hari-hari terakhir, orang tidak akan mengasihi ahli keluarga mereka sendiri. Perkataan eʹros, atau kasih romantik antara lelaki dengan wanita, tidak digunakan dalam Kitab Yunani Kristian, meskipun kasih ini dibincangkan dalam Kitab Ibrani.​—Amsal 5:15-20.

b Ayat-ayat Bible yang lain juga menggunakan gaya bahasa yang serupa. Contohnya, “Tuhan itu cahaya” dan “Tuhan Yehuwa ialah matahari.” (1 Yohanes 1:5; Mazmur 84:11) Tetapi ayat-ayat ini menggunakan gaya bahasa metafora untuk menyamakan Yehuwa dengan benda-benda fizikal. Yehuwa adalah seperti cahaya, kerana Dia suci dan benar. Di dalam diri-Nya, tidak ada “kegelapan,” atau apa-apa yang najis. Selain itu, Yehuwa disamakan dengan matahari kerana Dia merupakan sumber cahaya, nyawa, dan tenaga.