Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 25

“Tuhan Kita Sangat Berbelas Kasihan”

“Tuhan Kita Sangat Berbelas Kasihan”

1, 2. (a) Apakah reaksi seorang ibu terhadap tangisan anaknya? (b) Apakah yang lebih kuat daripada belas kasihan seorang ibu?

 PADA larut malam, seorang bayi menangis, dan ibunya segera terbangun. Sejak anaknya dilahirkan, ibu itu tidak pernah tidur nyenyak. Daripada suara tangisan anaknya, dia tahu sama ada anaknya lapar, mahu didukung, atau sebagainya. Tetapi tidak kira apa pun sebabnya bayi itu menangis, dia pasti tidak akan mengabaikan anaknya.

2 Belas kasihan seorang ibu terhadap bayinya amat mendalam, tetapi belas kasihan Yehuwa terhadap manusia jauh lebih mendalam. Jika kita mengkaji belas kasihan yang ditunjukkan oleh Yehuwa, kita akan lebih menghampiri-Nya. Maka sekarang, marilah kita membincangkan apa itu belas kasihan, dan bagaimana Tuhan menunjukkannya.

Apa Itu Belas Kasihan

3. Apakah erti perkataan Ibrani ra·chamʹ?

3 Bible menggunakan beberapa perkataan Ibrani dan Yunani untuk menggambarkan belas kasihan. Sebagai contoh, perkataan Ibrani ra·chamʹ, biasanya diterjemahkan sebagai “berbelas kasihan” atau “mengasihani.” Sebuah buku rujukan menjelaskan bahawa ra·chamʹ “merujuk kepada rasa kasih dan belas kasihan yang mendalam kerana melihat kelemahan atau penderitaan orang yang tersayang atau yang memerlukan bantuan.” Yehuwa pernah menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan diri-Nya, dan perkataan ini juga dikaitkan dengan perkataan “rahim” dan “belas kasihan seorang ibu.” a​—Keluaran 33:19; Yeremia 33:26.

Mungkinkah seorang ibu melupakan anaknya?

4, 5. Bagaimanakah Bible menggunakan belas kasihan seorang ibu untuk mengajar kita tentang belas kasihan Yehuwa?

4 Bible menggunakan belas kasihan seorang ibu untuk mengajar kita tentang belas kasihan Yehuwa. Yesaya 49:15 menyatakan, “Mungkinkah seorang ibu melupakan anak yang disusuinya atau tidak mengasihi [ra·chamʹ] anak dalam kandungannya? Sekalipun ibu melupakan anaknya, Aku tidak akan melupakan engkau.” Gambaran yang menyentuh hati ini menunjukkan betapa dalamnya belas kasihan Yehuwa terhadap umat-Nya. Mengapa?

5 Susah untuk membayangkan bahawa seorang ibu boleh lupa untuk menyusui anaknya. Anak itu tidak berdaya, maka dia memerlukan jagaan dan perhatian ibunya siang dan malam. Tetapi sedihnya, pada “masa genting yang sukar dihadapi” ini, ada ibu yang “tidak memiliki kasih sayang” dan mengabaikan anak mereka. (2 Timotius 3:1, 3) Biarpun begitu, Yehuwa memberitahu kita, “Aku tidak akan melupakan engkau.” Ya, Yehuwa setia dan Dia tidak akan mengabaikan umat-Nya. Belas kasihan Yehuwa terhadap kita adalah lebih mendalam dan lebih kuat daripada belas kasihan seorang ibu terhadap anaknya. Itulah sebabnya seorang pakar Bible berkata berkenaan Yesaya 49:15, “Antara semua ayat yang menggambarkan kasih Tuhan dalam Perjanjian Lama, pernyataan di ayat ini merupakan pernyataan yang paling kuat tentang kasih Tuhan.”

6. Apakah pandangan banyak orang tentang sifat belas kasihan? Tetapi Yehuwa meyakinkan kita tentang apa?

6 Adakah sifat belas kasihan suatu kelemahan? Banyak orang berpendapat sedemikian. Misalnya, seorang ahli falsafah Roma yang bernama Seneca mengajarkan bahawa “belas kasihan ialah tanda kelemahan minda.” Seneca ialah seorang cendekiawan terkenal di Roma yang hidup sezaman dengan Yesus, dan dia ialah penyokong ahli falsafah Stoik. Memandangkan falsafah Stoik menekankan ketenangan tanpa perasaan, Seneca mengatakan bahawa seseorang yang bijaksana akan membantu orang tetapi dia tidak akan membenarkan dirinya mengasihani orang itu. Pandangan sedemikian mementingkan diri dan bertentangan dengan sifat Yehuwa. Menerusi Firman-Nya, Yehuwa meyakinkan kita bahawa Dia “berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yakobus 5:11) Maka jelaslah bahawa belas kasihan bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya suatu kekuatan yang patut dipupuk dalam diri kita. Sekarang, marilah kita melihat bagaimana Yehuwa menunjukkan sifat ini.

Yehuwa Mengasihani Bangsa Israel

7, 8. Apakah yang berlaku kepada orang Israel di Mesir? Apakah reaksi Yehuwa?

7 Yehuwa menunjukkan sifat belas kasihan semasa Dia berurusan dengan bangsa Israel. Pada akhir abad ke-16 Sebelum Masihi, jutaan orang Israel ditindas dan diperhamba di Mesir. Orang Mesir ‘memaksa mereka membuat batu bata dan campuran tanah liat serta berjerih lelah.’ (Keluaran 1:11, 14) Mereka sangat menderita, maka mereka berseru meminta bantuan Yehuwa. Apakah reaksi Tuhan?

8 Yehuwa amat mengasihani mereka, maka Dia berfirman, “Aku memang sudah melihat penderitaan umat-Ku di Mesir, dan Aku mendengar rintihan mereka kerana ditindas oleh pengawas abdi. Aku tahu benar kesakitan mereka.” (Keluaran 3:7) Ya, Yehuwa menyelami perasaan umat-Nya. Dia tidak mungkin melihat penderitaan mereka atau mendengar rintihan mereka tanpa berasa belas kasihan. Seperti yang kita pelajari dalam Bab 24, Yehuwa memiliki sifat empati, iaitu kebolehan untuk membayangkan atau menyelami perasaan atau pengalaman orang lain. Tetapi Yehuwa bukan sahaja merasai penderitaan umat-Nya, Dia bahkan juga tergerak untuk membantu mereka. Yesaya 63:9 menyatakan, “Kerana kasih dan belas kasihan-Nya, Dia menebus mereka.” Yehuwa telah menggunakan “tangan-Nya yang kuat dan perkasa” untuk menyelamatkan mereka dari Mesir. (Ulangan 4:34) Kemudian Dia juga memberi mereka makanan secara mukjizat dan membawa mereka ke Tanah yang Dijanjikan.

9, 10. (a) Mengapakah Yehuwa berkali-kali menyelamatkan orang Israel? (b) Bagaimanakah Yehuwa menyelamatkan umat-Nya pada zaman Yefta? Apakah yang menggerakkan-Nya untuk berbuat demikian?

9 Sewaktu orang Israel mendiami Tanah yang Dijanjikan, mereka berkali-kali tidak setia kepada Yehuwa dan ditimpa banyak malapetaka. Tetapi apabila mereka bertaubat dan berseru kepada Yehuwa, Dia berkali-kali menyelamatkan mereka kerana “Dia mengasihani umat-Nya.”​—2 Tawarikh 36:15; Hakim-Hakim 2:11-16.

10 Pertimbangkanlah apa yang berlaku pada zaman Yefta. Orang Israel ditindas oleh orang Ammon selama 18 tahun kerana mereka telah meninggalkan Yehuwa dan menyembah tuhan-tuhan palsu. Tetapi akhirnya, mereka bertaubat. Bible memberitahu kita, “Mereka menyingkirkan patung-patung dewa bangsa asing yang ada dalam kalangan mereka lalu menyembah Yehuwa. Oleh itu, Tuhan tidak lagi sanggup melihat penderitaan orang Israel.” (Hakim-Hakim 10:6-16) Ya, sebaik sahaja mereka bertaubat, Yehuwa segera menunjukkan belas kasihan dan menyuruh Yefta untuk menyelamatkan mereka daripada musuh-musuh mereka.​—Hakim-Hakim 11:30-33.

11. Apakah yang dapat kita pelajari tentang sifat belas kasihan daripada cara Yehuwa memperlakukan bangsa Israel?

11 Apakah yang dapat kita pelajari tentang sifat belas kasihan daripada cara Yehuwa memperlakukan bangsa Israel? Pertama, kita belajar bahawa seseorang yang berbelas kasihan bukan sekadar mengetahui dan bersimpati dengan penderitaan orang lain. Pada permulaan bab ini, kita telah membaca tentang bagaimana belas kasihan seorang ibu menggerakkannya untuk menenangkan bayinya yang sedang menangis. Begitu juga, apabila Yehuwa mendengar rintihan umat-Nya, rasa belas kasihan akan menggerakkan-Nya untuk meringankan penderitaan mereka. Kedua, kita belajar bahawa sifat belas kasihan bukanlah suatu kelemahan kerana sifat ini menggerakkan Yehuwa untuk bertindak dan menggunakan kuasa-Nya untuk menyelamatkan umat-Nya. Tetapi, adakah Yehuwa juga menunjukkan belas kasihan kepada umat-Nya secara individu?

Yehuwa Mengasihani Umat-Nya Secara Individu

12. Bagaimanakah Hukum Tuhan menunjukkan bahawa Dia mengasihani umat-Nya secara individu?

12 Hukum Tuhan menunjukkan bahawa Dia mengasihani umat-Nya secara individu. Sebagai contoh, Yehuwa tahu bahawa kejadian yang tidak terduga mungkin akan menyebabkan seseorang jatuh miskin. Bagaimanakah orang Israel harus melayan saudara mereka yang miskin? Yehuwa memerintahkan mereka, ‘Kamu mesti rela membantu saudara kamu yang miskin. Kamu tidak boleh bersikap kedekut, kamu mesti memberinya dengan murah hati dan membantunya dengan senang hati, supaya Aku memberkati segala usaha kamu.’ (Ulangan 15:7, 10) Yehuwa juga memerintahkan orang Israel agar tidak menuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang mereka sampai habis dan tidak mengumpulkan sisa-sisa tuaian mereka. Dengan demikian, orang yang miskin dapat mengumpulkannya. (Imamat 23:22; Rut 2:2-7) Apabila bangsa Israel mematuhi hukum ini, orang miskin dalam kalangan mereka tidak perlu mengemis untuk mendapatkan makanan. Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa amat berbelas kasihan?

13, 14. (a) Bagaimanakah kata-kata Daud meyakinkan kita bahawa Yehuwa prihatin terhadap setiap orang? (b) Gunakan pengalaman seorang ibu untuk menggambarkan bagaimana Yehuwa dekat dengan orang yang “remuk hati” atau “tawar hati.”

13 Dewasa ini, Yehuwa juga amat prihatin terhadap kita secara individu. Kita yakin bahawa Dia peka terhadap setiap penderitaan yang kita alami. Dalam buku Mazmur, Daud menulis, “Mata Yehuwa memperhatikan orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar seruan mereka meminta tolong. Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati; Dia menyelamatkan orang yang tawar hati.” (Mazmur 34:15, 18) Seorang pengulas Bible berkata, “Orang yang digambarkan dalam ayat ini merujuk kepada seseorang yang patah hati dan amat sedih. Dia dibebani dosa dan kehilangan harga diri. Dia memandang rendah pada diri sendiri dan berasa bahawa dirinya tidak berguna.” Orang sedemikian mungkin berasa bahawa Yehuwa jauh daripada mereka dan bahawa mereka terlalu kecil untuk diendahkan. Tetapi hal ini tidak benar. Kata-kata Daud meyakinkan kita bahawa Yehuwa tidak sekali-kali akan meninggalkan orang yang “memandang rendah pada diri sendiri.” Dia penuh belas kasihan dan tahu bahawa pada saat-saat yang mencabar seperti itu, kita lebih memerlukan bantuan-Nya. Maka Dia akan berada di sisi kita.

14 Pertimbangkan pengalaman seorang ibu di Amerika Syarikat. Semasa anaknya yang berusia dua tahun mengalami masalah pernafasan, dia segera membawa anaknya ke hospital. Selepas pemeriksaan, doktor berkata bahawa anaknya perlu ditahan di hospital. Di manakah ibu itu bermalam? Di sebuah kerusi di sebelah katil anaknya! Mengapa? Dia ingin berada di sisi anaknya yang sakit itu. Ya, jika ibu itu yang diciptakan menurut gambaran Yehuwa akan berbuat demikian, apatah lagi Yehuwa. Dia pasti akan berada di sisi kita semasa kita memerlukan-Nya. (Kejadian 1:26) Kita dapat memperoleh ketenangan hati daripada Mazmur 34:18 yang menyatakan bahawa Yehuwa dekat dengan orang yang “remuk hati” atau “tawar hati.”

15. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita secara individu?

15 Bagaimanakah Yehuwa membantu kita secara individu? Dia tidak semestinya akan melenyapkan punca penderitaan kita, tetapi Dia memberikan banyak bantuan kepada kita. Contohnya, Bible mengandungi banyak nasihat praktikal. Apabila kita menerapkan nasihat itu, keadaan kita akan bertambah baik. Yehuwa juga mengurniakan para penatua untuk membantu kita. Saudara-saudara yang mempunyai kelayakan rohani ini berusaha untuk mencerminkan sifat belas kasihan Tuhan semasa membantu rakan seiman mereka. (Yakobus 5:14, 15) Selaku “Pendengar doa,” Yehuwa memberikan “kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Mazmur 65:2; Lukas 11:13) Kuasa suci Tuhan dapat memberi kita kekuatan yang luar biasa untuk bertahan sehingga Kerajaan Tuhan melenyapkan semua masalah kita. (2 Korintus 4:7) Tidakkah kita bersyukur atas semua pemberian ini? Ingatlah bahawa semua pemberian ini ialah cara Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada kita.

16. Apakah ungkapan belas kasihan Yehuwa yang teragung? Apakah kesannya kepada kita secara individu?

16 Sememangnya, ungkapan belas kasihan Yehuwa yang teragung ialah aturan korban tebusan. Yehuwa sudi membuat pengorbanan ini agar kita berpeluang diselamatkan. Ingatlah bahawa kita dapat meraih manfaat daripada aturan ini secara individu. Zakharia, iaitu bapa Yohanes Pembaptis, begitu tersentuh dengan aturan tebusan ini sehingga dia berkata, “Tuhan kita sangat berbelas kasihan.”​—Lukas 1:78.

Belas Kasihan Yehuwa Ada Batasnya

17-19. (a) Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa belas kasihan Yehuwa ada batasnya? (b) Apakah yang membuat Yehuwa tidak lagi mengasihani umat-Nya?

17 Adakah belas kasihan Yehuwa tidak terbatas? Tidak. Bible menjelaskan bahawa jika seseorang sengaja melawan Tuhan dan melanggar piawaian-Nya yang benar, Dia tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada orang itu. (Ibrani 10:28) Untuk memahami hal ini dengan lebih baik lagi, marilah kita melihat apa yang berlaku kepada bangsa Israel kuno.

18 Biarpun Yehuwa berkali-kali menyelamatkan bangsa Israel daripada musuh mereka, mereka masih enggan setia kepada-Nya. Umat yang degil itu terus menyembah berhala, dan bahkan membawa patung-patung berhala mereka yang menjijikkan ke dalam Rumah Tuhan! (Yehezkiel 5:11; 8:17, 18) Selain itu, Bible menyatakan, “Mereka tidak henti-henti mentertawakan utusan Tuhan yang benar. Mereka memandang remeh firman-Nya dan menghina nabi-nabi-Nya. Oleh itu, Yehuwa murka terhadap mereka sehingga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.” (2 Tawarikh 36:16) Ya, akhirnya belas kasihan Yehuwa mencapai batasnya. Kejahatan mereka telah mencetuskan kemurkaan Yehuwa. Apakah yang berlaku seterusnya?

19 Yehuwa berfirman, “Aku tidak akan berbelas kasihan terhadap mereka. Aku tidak akan bersedih atau mengasihani mereka. Tiada apa-apa pun yang akan menghalang Aku daripada memusnahkan mereka.” (Yeremia 13:14) Maka Yehuwa membiarkan Yerusalem dan Rumah-Nya dimusnahkan, dan bangsa Israel dibawa sebagai tawanan ke Babilon. Ya, belas kasihan Yehuwa ada batasnya. Jika manusia terus melawan-Nya, akhirnya Dia akan hilang sabar dan tidak lagi mengasihani mereka. Alangkah sedihnya jika hal itu berlaku!—Ratapan 2:21.

20, 21. (a) Apakah yang akan berlaku apabila belas kasihan Yehuwa mencapai batasnya? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

20 Bagaimana pula dengan dewasa ini? Yehuwa tidak pernah berubah. Oleh sebab Dia mengasihani manusia, Dia menyuruh para penyembah-Nya untuk menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” ke seluruh bumi. (Matius 24:14) Apabila orang yang berhati jujur sudi mendengar, Yehuwa membantu mereka untuk memahami berita itu. (Kisah 16:14) Tetapi kerja penyebaran ini tidak akan berlangsung buat selama-lamanya. Mengapa? Hal ini demikian kerana Dia ‘prihatin terhadap nama suci-Nya’ dan mengasihani umat-Nya yang setia. (Yehezkiel 36:20-23) Berkenaan orang jahat, Yehuwa berfirman, “Aku tidak akan mengasihani mereka ataupun memandang mereka dengan belas kasihan. Aku akan memperlakukan mereka setimpal dengan perbuatan mereka sendiri.” (Yehezkiel 9:10) Maka apabila belas kasihan-Nya mencapai batasnya, Dia akan melenyapkan sistem dunia yang jahat ini dan menubuhkan bumi baharu yang adil dan benar.

21 Sehingga hari itu tiba, Yehuwa akan terus menunjukkan belas kasihan kepada manusia, termasuk mereka yang bakal dilenyapkan. Dia akan mengasihani dan mengampuni semua orang yang betul-betul bertaubat. Dalam bab seterusnya, kita akan membincangkan beberapa perumpamaan dalam Bible yang menggambarkan pengampunan Yehuwa.

a Yang menariknya, di Mazmur 103:13, perkataan ra·chamʹ merujuk kepada belas kasihan seorang bapa terhadap anaknya.