Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB ENAM

Di Manakah Orang yang Telah Mati?

Di Manakah Orang yang Telah Mati?
  • Apakah yang akan berlaku kepada kita selepas kita mati?

  • Mengapakah manusia mati?

  • Adakah anda berasa lega hati selepas mengetahui kebenaran tentang kematian?

1-3. Mengenai kematian, apakah soalan-soalan yang ditanyakan oleh orang, dan apakah jawapan yang diberikan oleh pelbagai agama?

SOALAN-SOALAN ini difikirkan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu. Tidak kira siapa kita dan di mana kita tinggal, soalan-soalan ini perlu dijawab kerana jawapannya melibatkan setiap seorang daripada kita.

2 Dalam bab sebelum ini, kita telah membincangkan tentang bagaimana korban tebusan Yesus Kristus membuka jalan kepada kehidupan kekal. Kita juga mempelajari nubuat Bible yang menyatakan bahawa pada suatu hari nanti, “kematian akan tiada lagi.” (Penyingkapan 21:4) Sementara waktu, kita semua akan mati. “Orang yang masih hidup tahu bahawa mereka akan mati,” kata Raja Salomo yang bijaksana. (Pengkhutbah 9:5) Kita semua ingin hidup selama yang mungkin. Namun, kita mungkin tertanya-tanya tentang apa yang akan berlaku apabila kita mati.

3 Semasa orang kesayangan kita mati, kita meratapi kematian mereka. Mungkin kita tertanya-tanya, “Apakah yang telah berlaku kepada mereka? Adakah mereka sedang menderita? Adakah mereka sedang melindungi kita? Bolehkah kita membantu mereka? Dapatkah kita bertemu dengan mereka lagi?” Agama-agama di dunia menawarkan jawapan yang berlainan bagi soalan-soalan ini. Ada yang mengajarkan bahawa orang yang baik akan naik ke syurga dan orang yang jahat akan diseksa di neraka. Yang lain pula mengajarkan bahawa semasa seseorang mati, orang itu akan pergi ke alam roh untuk bertemu dengan nenek moyangnya. Ada pula yang mengajarkan bahawa orang yang telah mati akan pergi ke alam ghaib untuk dihakimi dan kemudian dijelmakan semula, atau dilahirkan semula dalam tubuh yang lain.

4. Apakah ajaran kebanyakan agama mengenai kematian?

4 Semua ajaran ini mempunyai satu persamaan, iaitu sesuatu di dalam badan manusia akan terus hidup walaupun tubuh fizikal kita mati. Dari dahulu sampai sekarang, hampir semua agama mengajarkan bahawa selepas kita mati, kita tetap hidup untuk selama-lamanya dan masih berupaya melihat, mendengar, dan berfikir. Tetapi, bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Otak kita merupakan pusat kawalan bagi semua deria dan fikiran kita. Semasa kita mati, otak kita berhenti berfungsi. Ingatan, perasaan, dan deria kita tidak akan terus berfungsi secara ajaib. Semuanya akan berhenti berfungsi apabila otak kita mati.

APAKAH SEBENARNYA YANG BERLAKU SELEPAS KITA MATI?

5, 6. Apakah yang diajarkan dalam Bible mengenai keadaan orang yang telah mati?

5 Bagi Yehuwa, Pencipta otak manusia, apa sebenarnya yang berlaku selepas manusia mati bukanlah suatu misteri. Dia mengetahui kebenaran tentang keadaan orang yang telah mati. Hal ini diterangkan di dalam Firman-Nya, iaitu Bible. Bible dengan jelasnya mengajarkan: Semasa seseorang mati, dia tidak wujud lagi. Kematian berlawanan dengan kehidupan. Orang yang telah mati tidak dapat melihat atau mendengar atau berfikir. Tidak ada mana-mana bahagian daripada badan kita yang hidup selepas kita mati. Kita tidak mempunyai jiwa atau roh yang tidak boleh mati. *

Ke manakah perginya api lilin?

6 Selepas Salomo menyatakan bahawa manusia yang masih hidup tahu bahawa mereka akan mati, dia menulis, “Orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun.” Kemudian, dia mengembangkan kebenaran asas ini dengan menyatakan bahawa orang yang telah mati tidak dapat mengasihi atau membenci, dan “tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat” di perkuburan. (Pengkhutbah 9:5, 6, 10) Mazmur 146:4 juga menyatakan bahawa semasa manusia mati, “segala rancangan mereka musnah.” Maka, jelaslah bahawa manusia boleh mati. Kita tidak hidup selepas tubuh kita mati. Kehidupan yang kita nikmati boleh diibaratkan kepada api sebatang lilin. Api yang telah dipadamkan tidak pergi ke mana-mana. Api itu tidak wujud lagi. Dalam cara yang sama, apabila seseorang manusia mati, nyawanya tiada lagi.

APA YANG DIKATAKAN OLEH YESUS MENGENAI KEMATIAN

7. Bagaimanakah Yesus menerangkan keadaan orang yang telah mati?

7 Yesus Kristus pernah menyebut tentang keadaan orang yang telah mati. Dia berbuat demikian selepas kematian kawan baiknya yang bernama Lazarus. Yesus memberitahu murid-muridnya, “Sahabat kita Lazarus sudah tidur.” Mereka menyangka bahawa Lazarus sedang tidur atau berehat supaya dia dapat sembuh. Tetapi itu bukanlah apa yang dimaksudkan oleh Yesus. Yesus menjelaskan kepada mereka bahawa “Lazarus sudah meninggal.” (Yohanes 11:11-14) Perhatikan bahawa Yesus membandingkan kematian dengan tidur. Lazarus tidak berada di syurga atau di neraka berapi. Dia tidak bertemu dengan malaikat atau nenek moyangnya. Lazarus tidak dilahirkan semula sebagai manusia yang lain. Selepas Lazarus mati, keadaannya adalah seperti seorang yang sedang tidur nyenyak tanpa bermimpi. Pada kesempatan yang lain, semasa Yesus membangkitkan anak perempuan Yairus, Yesus sekali lagi membandingkan kematian dengan keadaan tidur. Dia berkata, “Anak ini tidak meninggal, dia hanya tidur!”​—Lukas 8:52, 53.

Yehuwa menciptakan manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa kematian manusia bukanlah tujuan Tuhan?

8 Adakah tujuan asal Tuhan merangkumi kematian manusia? Tidak! Yehuwa menciptakan manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi. Seperti yang telah kita pelajari dalam buku ini, Tuhan telah menempatkan pasangan manusia yang pertama di sebuah firdaus yang cantik. Dia memberkati mereka dengan kesihatan yang sempurna. Yehuwa mahukan yang terbaik untuk mereka. Adakah mana-mana ibu bapa yang penyayang mahu anak mereka mengalami keperitan yang dibawa oleh usia lanjut dan kematian? Tentunya tidak! Yehuwa mengasihi anak-anak-Nya dan ingin mereka menikmati kebahagiaan yang tidak terhingga di bumi. Bible menyatakan, “[Yehuwa] menyematkan di hati manusia kesedaran bahawa masa itu abadi.” (Pengkhutbah 3:11, NW) Tuhan menciptakan kita dengan keinginan untuk hidup selama-lamanya. Dan Dia telah membuka jalan agar keinginan ini menjadi kenyataan.

SEBAB MANUSIA MATI

9. Apakah larangan yang dikenakan oleh Yehuwa ke atas Adam, dan mengapakah perintah ini tidak sukar untuk dipatuhi?

9 Maka, mengapakah manusia mati? Untuk mencari jawapannya, kita perlu lihat apa yang telah berlaku semasa bumi hanya didiami oleh sepasang manusia. Bible menjelaskan, ‘Tuhan Yehuwa menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik.’ (Kejadian 2:9) Walau bagaimanapun, Yehuwa telah mengenakan satu larangan. Yehuwa memberitahu Adam, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.” (Kejadian 2:16, 17, ABB) Perintah ini tidak sukar untuk dipatuhi kerana Adam dan Hawa dapat makan buah daripada banyak pokok yang lain. Segala sesuatu yang baik, termasuk kehidupan yang sempurna yang dinikmati oleh mereka telah diberikan oleh Tuhan. Maka, sekarang mereka diberi peluang istimewa untuk menunjukkan kesyukuran mereka kepada Tuhan. Jika mereka mematuhi Yehuwa, mereka memperlihatkan hormat terhadap kewibawaan Bapa mereka dan menunjukkan bahawa mereka menginginkan bimbingan-Nya.

10, 11. (a) Bagaimanakah pasangan yang pertama mengingkari Tuhan? (b) Mengapakah keingkaran Adam dan Hawa merupakan perkara yang serius?

10 Malangnya, pasangan manusia yang pertama telah memilih untuk mengingkari Yehuwa. Syaitan bercakap melalui seekor ular kepada Hawa. Dia menanyakan Hawa, ‘Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?’ Hawa menjawab, ‘Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini, kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Tuhan melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.’​—Kejadian 3:1-3, ABB.

11 “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati,” kata Syaitan. ‘Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.’ (Kejadian 3:4, 5, ABB) Syaitan mahu Hawa percaya bahawa dia boleh mendapat manfaat dengan memakan buah larangan itu. Menurut Syaitan, Hawa boleh membuat keputusan sendiri untuk menentukan apa yang baik dan apa yang salah; dia berhak untuk melakukan apa yang diingininya. Syaitan juga mendakwa bahawa Yehuwa telah berdusta tentang apa yang akan berlaku jika Hawa memakan buah itu. Hawa mempercayai Syaitan. Oleh itu, Hawa memetik buah itu dan memakannya. Selepas itu, dia memberikan buah itu kepada suaminya dan suaminya juga makan buah itu. Mereka bukannya tidak tahu bahawa tindakan mereka salah. Mereka sedar bahawa mereka sedang melakukan apa yang dilarang oleh Tuhan. Dengan memakan buah itu, mereka sengaja mengingkari perintah Tuhan yang mudah dan munasabah. Mereka menunjukkan kebencian terhadap Bapa mereka dan kewibawaan-Nya. Sikap tidak hormat yang diperlihatkan terhadap Pencipta mereka yang pengasih tidak boleh dimaafkan!

12. Dengan menggunakan sebuah perumpamaan, jelaskan perasaan Yehuwa semasa Adam dan Hawa sengaja memberontak menentang-Nya.

12 Sebagai perumpamaan, bayangkan perasaan anda jika anda telah membesarkan dan menjaga seorang anak yang kemudiannya bukan sahaja tidak patuh, malah langsung tidak menghormati atau mengasihi anda. Anda tentu berasa remuk hati. Dapatkah anda membayangkan betapa sedihnya hati Yehuwa semasa Adam dan Hawa sengaja memberontak menentang-Nya?

Adam diciptakan daripada tanah, dan dia kembali ke tanah

13. Menurut Yehuwa, apakah yang akan berlaku kepada Adam apabila dia mati, dan apakah yang dimaksudkan oleh-Nya?

13 Oleh sebab Adam dan Hawa telah mengingkari Yehuwa, Yehuwa tidak ada sebarang sebab untuk membenarkan mereka menikmati kehidupan yang kekal. Seperti yang telah dikatakan oleh Yehuwa, Adam dan Hawa akhirnya mati; mereka tidak wujud lagi. Kita tahu bahawa mereka tidak pergi ke alam roh kerana semasa Yehuwa menghakimi Adam atas keingkarannya, Dia telah berkata, “Engkau [akan] kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” (Kejadian 3:19) Tuhan telah menciptakan Adam dengan menggunakan tanah. (Kejadian 2:7) Sebelum itu, Adam tidak wujud. Oleh itu, semasa Yehuwa menyatakan bahawa Adam akan kembali ke tanah, Dia bermaksud bahawa Adam tidak akan wujud lagi. Adam akan menjadi seperti tanah yang tidak bernyawa yang digunakan oleh Tuhan untuk menciptakannya.

14. Mengapakah manusia mati?

14 Jika Adam dan Hawa patuh kepada Tuhan, mereka dapat hidup sampai ke hari ini. Tetapi, akibat keingkaran mereka, mereka telah berdosa lalu mati. Sebagai keturunan Adam, kita mati kerana dia telah mewariskan dosa dan kematian kepada kita. (Roma 5:12) Dosa adalah seperti penyakit teruk yang diwarisi dan yang tidak dapat dielakkan. Hasilnya, dosa membawa kematian. Kematian merupakan sumpahan dan musuh manusia. (1 Korintus 15:26) Betapa syukurnya kita kerana Yehuwa telah menyediakan tebusan untuk menyelamatkan kita daripada musuh yang dahsyat ini!

MENGETAHUI KEBENARAN TENTANG KEMATIAN MEMBAWA MANFAAT

15. Setelah mengetahui kebenaran tentang kematian, mengapakah hati kita berasa lega?

15 Apa yang diajarkan dalam Bible mengenai kematian melegakan hati kita. Seperti yang telah kita lihat, orang yang mati tidak menderita kesakitan atau berasa sakit hati. Kita tidak ada sebab untuk takut akan mereka yang telah mati kerana mereka tidak boleh mencederakan kita. Mereka tidak memerlukan bantuan kita, dan mereka tidak dapat membantu kita. Kita tidak boleh bercakap dengan mereka, dan mereka tidak boleh bercakap dengan kita. Namun, ramai pemimpin agama mendakwa bahawa mereka boleh membantu orang yang telah mati, dan ramai orang mempercayai penipuan mereka lalu memberikan wang kepada mereka. Jika kita mengetahui kebenaran tentang kematian, kita dilindungi supaya tidak diperdaya oleh mereka yang mengajar penipuan sebegini.

16. Ajaran banyak agama telah dipengaruhi oleh siapa, dan bagaimana?

16 Adakah ajaran kebanyakan agama selaras dengan apa yang diajarkan dalam Bible mengenai kematian? Tidak. Mengapa? Kerana ajaran mereka telah dipengaruhi oleh Syaitan. Dia menggunakan agama palsu untuk menyebabkan orang percaya bahawa selepas tubuh seseorang mati, dia akan terus hidup di alam roh. Syaitan telah menggabungkan penipuan ini dengan penipuan-penipuan yang lain untuk menyebabkan orang meninggalkan Tuhan Yehuwa. Bagaimanakah dia melakukan hal ini?

17. Mengapakah ajaran tentang neraka berapi mengaibkan nama baik Yehuwa?

17 Seperti yang telah dinyatakan, sesetengah agama mengajarkan bahawa orang yang jahat akan diseksa di neraka berapi untuk selama-lamanya. Ajaran ini mengaibkan nama baik Tuhan. Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan Dia tidak akan menyebabkan orang menderita sebegini. (1 Yohanes 4:8) Apakah perasaan anda terhadap seorang lelaki yang menghukum anaknya yang ingkar dengan meletakkan tangan anaknya ke dalam api? Adakah anda akan menghormati lelaki itu? Adakah anda mahu mengenalinya? Tentunya tidak! Anda tentu berasa bahawa lelaki itu sangat kejam. Tetapi, Syaitan mahu kita percaya bahawa Yehuwa menyeksa orang dalam api buat selama-lamanya!

18. Penyembahan orang yang telah mati adalah berdasarkan penipuan apa?

18 Syaitan juga menggunakan sesetengah agama untuk mengajarkan bahawa selepas kematian, manusia akan menjadi makhluk roh yang mesti dihormati oleh mereka yang masih hidup. Menurut ajaran ini, roh orang yang telah mati boleh menjadi kawan yang berkuasa ataupun musuh yang menggerunkan. Ramai orang percaya akan penipuan ini. Mereka takut akan orang yang telah mati lalu menghormati dan menyembah mereka. Sebaliknya, Bible mengajarkan bahawa orang yang telah mati sedang tidur. Bible juga mengajarkan bahawa kita patut menyembah Tuhan yang benar sahaja, iaitu Yehuwa, kerana Dia merupakan Pencipta dan Pemberi segala sesuatu yang kita perlukan.​—Penyingkapan 4:11.

19. Apakah ajaran Bible lain yang boleh kita fahami dengan mengetahui kebenaran tentang mereka yang telah mati?

19 Dengan mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, anda tidak akan disesatkan oleh agama palsu. Hal ini juga membantu anda memahami ajaran lain yang terdapat dalam Bible. Sebagai contoh, setelah anda mengetahui bahawa manusia tidak pergi ke alam roh selepas mereka mati, janji kehidupan kekal di firdaus di bumi menjadi lebih bermakna.

20. Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

20 Lama dahulu, seorang lelaki baik yang bernama Ayub telah mengemukakan soalan ini, “Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup lagi?” (Ayub 14:14) Bolehkah seseorang manusia yang sedang tidur dalam kematian dihidupkan kembali? Apa yang diajarkan di dalam Bible tentang perkara ini sangat melegakan hati. Hal ini akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya.

^ per. 5 Untuk perbincangan tentang “jiwa” dan “roh,” sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “‘Jiwa’ dan ‘Roh’​—Apakah Maksud Sebenar Kedua-dua Perkataan Ini?