Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB LAPAN

Apakah Itu Kerajaan Tuhan?

Apakah Itu Kerajaan Tuhan?
  • Apakah yang dinyatakan di dalam Bible tentang Kerajaan Tuhan?

  • Apakah yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Tuhan?

  • Bilakah Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan bagi bumi?

1. Apakah doa terkenal yang akan dibincangkan sekarang?

BERJUTA-JUTA orang di serata dunia tahu akan doa yang dikenali sebagai Doa Bapa Kami. Doa yang terkenal ini merujuk kepada doa contoh yang diberikan oleh Yesus Kristus. Doa ini sangat bermakna. Dengan membincangkan tiga permohonan yang pertama dalam doa ini, anda akan dibantu untuk mempelajari apa sebenarnya yang diajarkan dalam Bible.

2. Dalam doa contoh yang diberikan oleh Yesus, apakah tiga permohonan yang didoakan?

2 Pada permulaan doa contoh ini, Yesus mengajar pendengar-pendengarnya, ‘Sepatutnya kamu berdoa begini, “Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Tuhan yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati [“nama-Mu disucikan,” NW]. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, [semoga] kehendak-Mu ditaati.”’ (Matius 6:9-13, ABB) Apakah maksud ketiga-tiga permohonan ini?

3. Apakah yang patut kita tahu berkenaan Kerajaan Tuhan?

3 Kita telah banyak belajar tentang nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Kita juga telah mempelajari serba sedikit tentang kehendak Tuhan bagi umat manusia. Ada antara kehendak Tuhan yang telah dilaksanakan dan ada yang akan dilaksanakan pada masa hadapan. Tetapi, apakah yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia berdoa, “Semoga Engkau memerintah di bumi”? Apakah pemerintahan, atau Kerajaan, yang disebutkan oleh Yesus? Apakah kaitan antara Kerajaan ini dengan pelaksanaan kehendak Tuhan?

APAKAH ITU KERAJAAN TUHAN?

4. Apakah itu Kerajaan Tuhan, dan siapakah Raja Kerajaan ini?

4 Kerajaan Tuhan ialah sebuah kerajaan yang ditubuhkan oleh Tuhan Yehuwa dengan seorang Raja pilihan-Nya. Siapakah Raja Kerajaan Tuhan? Yesus Kristus. Yesus ialah Raja yang lebih agung daripada semua pemerintah di bumi dan dia dikenali sebagai “Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama.” (1 Timotius 6:15) Dia mempunyai kuasa untuk melakukan jauh lebih banyak kebaikan daripada mana-mana pemerintah di bumi, bahkan pemerintah manusia yang terbaik.

5. Kerajaan Tuhan terletak di mana, dan akan memerintah mana?

5 Kerajaan Tuhan terletak di mana? Untuk mengetahui jawapannya, kita perlu tahu di mana Yesus berada. Anda tentu ingat bahawa Yesus telah dibunuh pada tiang seksaan. Dia dibangkitkan, dan tidak beberapa lama kemudian, dia telah naik ke syurga. (Kisah 2:33) Oleh itu, Kerajaan Tuhan akan memerintah dari syurga. Itulah sebabnya Bible merujuk kepada Kerajaan Tuhan sebagai “Kerajaan-Nya di syurga.” (2 Timotius 4:18) Walaupun Kerajaan Tuhan terletak di syurga, kerajaan ini akan memerintah seluruh bumi.​—Penyingkapan 11:15.

6, 7. Apakah yang menjadikan Yesus Raja yang tiada tolok bandingnya?

6 Apakah yang menjadikan Yesus seorang Raja yang tiada tolok bandingnya? Salah satu sebab adalah kerana dia tidak akan mati. Tidak seperti raja-raja di bumi, kehidupan Yesus “tidak berkesudahan.” (Ibrani 7:16) Hal ini bermaksud semua perkara baik yang dilakukannya akan berkekalan. Dia juga akan melakukan banyak perkara yang membawa manfaat besar kepada rakyatnya.

7 Fikirkanlah tentang nubuat ini di dalam Bible mengenai Yesus. ‘Kuasa Tuhan [daya aktif Yehuwa] akan mengurniakan kebijaksanaan kepada dia juga pengetahuan dan kecekapan untuk memerintah umatnya. Dia mengenal kehendak Yehuwa dan menghormati Dia. Dia suka mentaati Yehuwa. Dia tidak menghakimi orang secara sekilas pandang ataupun berdasarkan kata orang. Dia menghakimi perkara orang miskin dengan adil, dan membela hak orang yang lemah.’ (Yesaya 11:2-4, ABB) Kata-kata ini menunjukkan bahawa Yesus akan menjadi Raja yang adil benar dan berbelas kasihan terhadap rakyatnya di bumi. Inginkah anda hidup di bawah pemerintahan seorang Raja seperti Yesus?

8. Siapakah yang akan memerintah bersama-sama Yesus?

8 Berikut merupakan satu lagi fakta tentang Kerajaan Tuhan: Yesus bukan satu-satunya pemerintah Kerajaan Tuhan. Terdapat pemerintah lain yang akan memerintah bersama-samanya. Sebagai contoh, hawari Paulus memberitahu Timotius, ‘Jika kita tetap bertabah, kita juga akan memerintah bersama-sama dia.’ (2 Timotius 2:12) Ya, Paulus, Timotius, dan orang Kristian setia yang lain telah dipilih oleh Tuhan untuk memerintah bersama-sama Yesus di Kerajaan di syurga. Berapa orangkah yang mempunyai peluang istimewa ini?

9. Berapa orangkah yang akan memerintah bersama-sama Yesus, dan bilakah mereka mula dilantik oleh Tuhan?

9 Seperti yang telah kita pelajari dalam Bab 7, hawari Yohanes diberi suatu penglihatan. Dia nampak ‘Anak Domba [Yesus Kristus] berdiri di atas Bukit Sion [kedudukan diraja di syurga]. Bersama-samanya berdiri 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis namanya dan nama Bapanya.’ Siapakah 144,000 orang ini? Yohanes memberitahu kita, ‘Mereka mengikuti Anak Domba ke mana sahaja dia pergi. Antara umat manusia, merekalah yang telah diselamatkan oleh Tuhan. Mereka milik Tuhan dan Anak Domba itu, kerana mereka seperti bahagian pertama daripada tuaian, yang dipersembahkan kepada Tuhan.’ (Penyingkapan 14:1, 4) Ya, mereka merupakan pengikut Yesus Kristus yang setia yang telah dipilih khas untuk memerintah bersama-samanya di syurga. Selepas dibangkitkan ke syurga, mereka akan memerintah bumi bersama-sama Yesus. (Penyingkapan 5:10) Sejak zaman para hawari, Tuhan mula melantik orang Kristian yang setia untuk menggenapkan angka 144,000.

10. Mengapakah aturan yang disediakan oleh Tuhan supaya Yesus dan 144,000 orang memerintah umat manusia memperlihatkan kasih-Nya?

10 Aturan yang disediakan oleh Tuhan supaya Yesus dan 144,000 orang memerintah umat manusia memperlihatkan kasih-Nya. Mengapa? Hal ini adalah kerana Yesus pernah menjadi manusia dan dia memahami penderitaan manusia. Mengenai Yesus, Paulus berkata, ‘Penghentar Agung kita ini bukanlah penghentar yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Penghentar Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi dia tidak berbuat dosa!’ (Ibrani 4:15, ABB; 5:8) Dalam cara yang sama, mereka yang akan memerintah dengan Yesus merupakan manusia sebelum mereka naik ke syurga. Semasa di bumi, mereka telah mengalami penderitaan, bergelut dengan ketidaksempurnaan, dan menderita pelbagai jenis penyakit. Sudah tentu, mereka akan memahami masalah-masalah yang dialami oleh manusia!

APAKAH YANG AKAN DILAKSANAKAN OLEH KERAJAAN TUHAN?

11. Mengapakah Yesus mengajar murid-muridnya untuk berdoa supaya kehendak Tuhan dilaksanakan di syurga?

11 Yesus bukan sahaja mengajar murid-muridnya untuk berdoa agar Kerajaan Tuhan datang, tetapi dia juga mengajar mereka untuk berdoa, “Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati.” Tuhan berada di syurga, dan kehendak-Nya selalu dilaksanakan oleh malaikat-malaikat yang setia. Namun, kita telah mempelajari dalam Bab 3 bahawa satu malaikat yang fasiq telah berhenti melakukan kehendak Tuhan. Dia menyebabkan Adam dan Hawa berdosa. Dalam Bab 10, kita akan belajar lebih lanjut tentang apa yang diajarkan dalam Bible tentang malaikat fasiq ini yang dipanggil Syaitan Si Iblis. Syaitan dan malaikat lain yang memilih untuk berpihak kepadanya dipanggil roh-roh jahat. Makhluk-makhluk roh ini dibenarkan untuk tinggal di syurga buat sementara waktu. Maka, pada masa itu bukan semua makhluk yang berada di syurga melakukan kehendak Tuhan. Hal itu akan berubah apabila Kerajaan Tuhan mula memerintah. Raja yang baru ditabalkan, iaitu Yesus Kristus, akan berperang melawan Syaitan.​—Penyingkapan 12:7-9.

12. Apakah dua peristiwa penting yang digambarkan di Penyingkapan 12:10?

12 Nubuat berikut menggambarkan apa yang berlaku, ‘Aku mendengar suara lantang di syurga berkata, “Sekaranglah masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya sebagai Raja! Sekarang Penyelamat [Kristus] yang diutus-Nya itu menunjukkan kekuasaannya, kerana [Syaitan] yang menuduh saudara-saudara kita di hadapan Tuhan siang dan malam, sudah dibuang dari syurga.”’ (Penyingkapan 12:10, ABB) Dapatkah anda lihat dua peristiwa yang sangat penting yang digambarkan dalam ayat Bible ini? Pertama, Yesus Kristus mula memerintah Kerajaan Tuhan. Kedua, Syaitan dibuang dari syurga ke bumi.

13. Apakah yang berlaku selepas Syaitan dibuang dari syurga?

13 Apakah keadaan di syurga selepas kedua-dua peristiwa tersebut berlaku? Mengenai apa yang telah berlaku di syurga, Bible menyatakan, “Oleh itu, bersukacitalah, hai syurga dan semua yang tinggal di syurga!” (Penyingkapan 12:12) Ya, malaikat-malaikat yang setia bersukacita kerana Syaitan dan roh-roh jahat dihalau dari syurga. Sekarang, semua makhluk di syurga setia kepada Tuhan Yehuwa. Keadaan di syurga kini penuh damai dan harmoni, tanpa sebarang gangguan. Kehendak Tuhan telah pun dilaksanakan di syurga.

Penderitaan berleluasa di bumi kerana Syaitan dan roh-roh jahat dibuang dari syurga. Tidak lama lagi, semua masalah akan tiada lagi

14. Apakah yang telah berlaku kerana Syaitan dibuang ke bumi?

14 Bagaimana pula dengan keadaan di bumi? Bible menyatakan, “Malanglah bumi dan laut, kerana Iblis telah turun kepadamu. Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” (Penyingkapan 12:12) Syaitan berasa marah kerana dia dibuang dari syurga dan masanya tinggal sedikit sahaja. Didorong oleh kemarahannya, dia menyebabkan penderitaan di bumi. Kita akan belajar lebih lanjut dalam bab yang seterusnya tentang penderitaan yang dibawa oleh Syaitan. Tetapi persoalannya sekarang ialah, Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak-Nya di bumi?

15. Apakah kehendak Tuhan bagi bumi?

15 Adakah anda masih ingat akan kehendak Tuhan bagi bumi? Anda telah mempelajari hal ini di Bab 3. Di Taman Eden, Tuhan telah menyatakan bahawa kehendak-Nya adalah supaya bumi menjadi sebuah firdaus yang dipenuhi dengan keturunan manusia yang adil benar dan yang tidak akan mati. Namun, Syaitan telah menyebabkan Adam dan Hawa berdosa. Hal ini memberi kesan kepada pelaksanaan kehendak Tuhan di bumi, tetapi kehendak asal Tuhan masih tidak berubah. Yehuwa masih mahu ‘orang yang salih memiliki negeri [bumi] ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.’ (Mazmur 37:29, ABB) Kerajaan Tuhan akan melaksanakan hal ini. Bagaimana?

16, 17. Apakah yang dinyatakan di Daniel 2:44 tentang Kerajaan Tuhan?

16 Mari kita bincangkan nubuat yang terdapat di Daniel 2:44 (ABB). Nubuat ini menyatakan, ‘Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu, Tuhan penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya.’ Apakah yang boleh kita pelajari tentang Kerajaan Tuhan daripada ayat ini?

17 Pertama, Kerajaan Tuhan akan ditubuhkan “pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu,” iaitu semasa kerajaan lain di bumi masih wujud. Kedua, Kerajaan Tuhan akan kekal untuk selama-lamanya. Kerajaan Tuhan tidak akan ditakluki dan digantikan oleh kerajaan yang lain. Ketiga, Kerajaan Tuhan akan berperang dengan kerajaan-kerajaan di bumi ini, dan Kerajaan Tuhan akan meraih kemenangan. Akhirnya, Kerajaan Tuhan akan menjadi satu-satunya kerajaan yang akan memerintah manusia. Pada masa itu, manusia akan menikmati pemerintahan yang paling baik.

18. Apakah nama perang terakhir antara Kerajaan Tuhan dengan semua kerajaan di dunia?

18 Bible mengandungi banyak maklumat tentang perang terakhir antara Kerajaan Tuhan dengan kerajaan lain di bumi. Sebagai contoh, Bible mengajarkan bahawa akhir sistem dunia ini semakin dekat, dan roh-roh jahat akan menyebarkan penipuan untuk memperdaya “semua raja di seluruh dunia.” Apakah tujuannya? Untuk ‘mengumpulkan mereka [semua raja] untuk berperang pada hari Tuhan Yang Maha Kuasa.’ Semua raja di bumi akan dikumpulkan bersama “di suatu tempat yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon.” (Penyingkapan 16:14, 16) Kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa perang yang terakhir antara kerajaan manusia dengan Kerajaan Tuhan dikenali sebagai perang Harmagedon, atau Armagedon.

19, 20. Apakah yang menghalang kehendak Tuhan bagi bumi daripada menjadi kenyataan sekarang?

19 Apakah yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Tuhan melalui perang Armagedon? Fikirkanlah sekali lagi tentang kehendak Tuhan bagi bumi. Tuhan Yehuwa bertujuan supaya bumi menjadi sebuah Firdaus yang dipenuhi dengan penyembah-Nya yang adil benar dan sempurna. Tetapi, apakah yang menghalang tujuan Tuhan daripada menjadi kenyataan sekarang? Pertama, kita semua berdosa, jatuh sakit, dan mati. Namun demikian, kita telah mempelajari di dalam Bab 5 bahawa Yesus mati demi kita supaya kita dapat hidup selama-lamanya. Kemungkinan besar anda masih ingat akan kata-kata Yohanes yang menyatakan, ‘Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.’​—Yohanes 3:16, ABB.

20 Satu lagi masalah ialah ramai orang melakukan hal-hal yang fasiq. Mereka menipu, memperdaya orang, dan melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Mereka tidak mahu melakukan kehendak Tuhan. Mereka yang melakukan hal-hal yang jahat akan dibinasakan oleh Tuhan semasa perang Armagedon. (Mazmur 37:10) Masalah lain pula ialah kerajaan manusia di bumi tidak menggalakkan rakyatnya untuk melakukan kehendak Tuhan. Banyak kerajaan di bumi kurang tegas, tidak berakhlak, atau zalim. Bible secara terus terang menyatakan, “Sesetengah orang mempunyai kuasa, sedangkan yang lain terpaksa menderita di bawah kekuasaan mereka.”​—Pengkhutbah 8:9.

21. Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak-Nya di bumi?

21 Selepas perang Armagedon, umat manusia akan diperintah oleh satu kerajaan sahaja, iaitu Kerajaan Tuhan. Kerajaan ini akan melakukan kehendak Tuhan dan membawa berkat-berkat yang menakjubkan.Sebagai contoh, kerajaan ini akan menghapuskan Syaitan dan roh-roh jahatnya. (Penyingkapan 20:1-3) Nilai korban tebusan Yesus akan digunakan untuk membantu manusia yang setia supaya mereka tidak lagi jatuh sakit dan mati. Sebaliknya, di bawah Kerajaan Tuhan, mereka berpeluang untuk hidup selama-lamanya. (Penyingkapan 22:1-3) Bumi akan menjadi sebuah firdaus. Dengan itu, Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi dan menyucikan nama-Nya. Apakah maksud semua ini? Hal ini bermaksud bahawa di Firdaus yang akan datang, semua orang yang hidup di bawah Kerajaan Tuhan akan memuliakan nama Yehuwa.

BILAKAH KERAJAAN TUHAN BERTINDAK?

22. Bagaimanakah kita tahu bahawa Kerajaan Tuhan tidak ditubuhkan semasa Yesus berada di bumi atau sebaik sahaja dia dibangkitkan?

22 Semasa Yesus berada di bumi, dia menyuruh murid-muridnya untuk berdoa supaya Kerajaan Tuhan datang. Maka, memanglah nyata bahawa pada masa itu Kerajaan Tuhan masih belum datang. Adakah Kerajaan Tuhan ditubuhkan sebaik sahaja Yesus naik ke syurga? Tidak, kerana menurut Petrus dan Paulus, Yesus menggenapi nubuat di Mazmur 110:1 selepas dia dibangkitkan. Nubuat itu menyatakan, ‘Yehuwa berfirman kepada tuanku raja, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuhmu kepadamu.”’ (Kisah 2:32-35; Ibrani 10:12, 13) Oleh itu, sebelum Kerajaan Tuhan datang, suatu jangka masa perlu berlalu.

Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, kehendak Tuhan akan dilaksanakan di bumi seperti di syurga

23. (a) Bilakah Kerajaan Tuhan mula memerintah? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

23 Berapa lamakah jangka masa itu? Pada abad ke-19 dan ke-20, pelajar-pelajar Bible yang tulus hati telah mempelajari secara beransur-ansur bahawa Kerajaan Tuhan akan ditubuhkan pada tahun 1914. (Mengenai tarikh ini, sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “1914​—Tahun yang Penting dalam Nubuat Bible.”) Peristiwa-peristiwa di bumi yang bermula pada tahun 1914 telah mengesahkan bahawa pemahaman mereka adalah betul. Penggenapan nubuat Bible menunjukkan bahawa pada tahun 1914, Kristus menjadi Raja dan Kerajaan Tuhan mula memerintah di syurga. Maka, ‘masa Syaitan tinggal sedikit’ dan kita sedang hidup pada masa ini. (Penyingkapan 12:12; Mazmur 110:2) Kita juga boleh berasa pasti bahawa tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan mengambil tindakan untuk melaksanakan kehendak Tuhan di bumi. Adakah anda percaya bahawa hal yang menakjubkan ini benar? Bab yang seterusnya akan membantu anda untuk melihat bahawa Bible benar-benar mengajarkan hal ini.