Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SEBELAS

Mengapakah Tuhan Mengizinkan Penderitaan?

Mengapakah Tuhan Mengizinkan Penderitaan?
  • Adakah Tuhan yang menyebabkan penderitaan di bumi?

  • Apakah isu yang diungkit di Taman Eden?

  • Bagaimanakah Tuhan akan melenyapkan segala kesan buruk akibat penderitaan manusia?

1, 2. Apakah yang menyebabkan ramai orang menderita hari ini, dan apakah soalan-soalan yang timbul?

SELEPAS berlakunya satu pertempuran sengit di sebuah wilayah yang sudah kucar-kacir akibat perang, mayat ribuan wanita dan kanak-kanak dikebumikan di sebuah perkuburan yang dikelilingi dengan salib-salib kecil. Setiap salib terukir kata, “Mengapa?” Kadangkala, soalan ini ditanya oleh orang yang sedang menanggung penderitaan akibat peperangan, bencana, penyakit, atau jenayah. Mungkin nyawa orang kesayangan mereka diragut, kediaman mereka dimusnahkan, atau mereka mengalami pengalaman perit yang tidak terperi. Mereka ingin tahu mengapa tragedi sebegini menimpa mereka.

2 Mengapakah Tuhan mengizinkan penderitaan? Jika Yehuwa ialah Tuhan yang maha kuasa, penyayang, bijaksana, dan adil, mengapakah dunia kita dibanjiri dengan kebencian dan ketidakadilan? Pernahkah anda memikirkan soalan-soalan ini?

3, 4. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa tidak salah bagi kita untuk bertanya mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan? (b) Apakah perasaan Yehuwa terhadap kefasiqan dan penderitaan?

3 Adakah salah sekiranya kita bertanya mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan? Sesetengah orang risau bahawa jika mereka menanyakan soalan sebegini, mereka kurang berkepercayaan atau tidak menghormati Tuhan. Namun, semasa membaca Bible, anda akan mendapati bahawa mereka yang setia dan takut akan Tuhan juga menanyakan soalan-soalan yang serupa. Sebagai contoh, penubuat yang bernama Habakuk telah menanya Yehuwa, “Mengapa Engkau membiarkan aku mengalami kesusahan seperti ini? Bagaimana Engkau dapat tahan sabar dengan orang yang melakukan kejahatan? Kehancuran dan keganasan berlaku di sekelilingku. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku di merata-rata tempat.”​—Habakuk 1:3, ABB.

Yehuwa akan mengakhiri segala penderitaan

4 Adakah Yehuwa memarahi penubuat yang setia ini kerana dia menanyakan soalan-soalan sebegini? Tidak. Sebaliknya, Tuhan telah memasukkan kata-kata Habakuk yang tulus ikhlas ke dalam Firman-Nya yang terilham. Tuhan juga membantu dia untuk memahami apa yang telah berlaku serta memupuk kepercayaan yang lebih teguh. Yehuwa ingin melakukan hal yang sama bagi anda. Bible mengajarkan bahawa “Dia mengambil berat tentang kamu.” (1 Petrus 5:7) Kebencian Tuhan terhadap kefasiqan dan penderitaan adalah jauh lebih mendalam jika dibandingkan dengan manusia. (Yesaya 55:8, 9) Persoalannya, mengapakah dunia kita sarat dengan penderitaan?

MENGAPAKAH DUNIA KITA SARAT DENGAN PENDERITAAN?

5. Apakah antara jawapan yang diberikan untuk menjelaskan mengapa manusia menderita, tetapi apakah yang diajarkan di dalam Bible?

5 Penganut pelbagai agama menanya pemimpin dan guru agama mereka mengapa dunia kita sarat dengan penderitaan. Selalunya, jawapan yang diterima ialah penderitaan merupakan kehendak Tuhan dan sejak dahulu lagi Dia telah mentakdirkan segala sesuatu, termasuklah peristiwa-peristiwa yang tragik. Ramai diberitahu bahawa apa yang dilakukan oleh Tuhan adalah suatu misteri atau Dia menyebabkan kematian orang, termasuk kanak-kanak, agar mereka dapat berada bersama-sama-Nya di syurga. Tetapi seperti yang telah anda pelajari, Tuhan Yehuwa tidak mungkin menjadi penyebab hal-hal yang buruk. Bible menyatakan, ‘Tuhan Yang Maha Kuasa tidak melakukan kejahatan; semua orang diberikan-Nya keadilan.’​—Ayub 34:12, ABB.

6. Mengapakah ramai orang menyalahkan Tuhan atas segala penderitaan yang berlaku di bumi?

6 Adakah anda tahu mengapa orang menyalahkan Tuhan atas segala penderitaan yang berlaku di bumi? Kebanyakan orang berbuat demikian kerana mereka berfikir bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa merupakan pemerintah sebenar dunia ini. Mereka tidak mengetahui kebenaran asas yang penting yang diajarkan di dalam Bible. Anda telah mempelajari kebenaran ini di dalam Bab 3. Pemerintah sebenar dunia ini ialah Syaitan Si Iblis.

7, 8. (a) Bagaimanakah dunia ini mencerminkan keperibadian pemerintahnya? (b) Bagaimanakah ketidaksempurnaan manusia serta kejadian yang tidak terduga menyebabkan penderitaan?

7 Bible dengan jelasnya menyatakan, “Seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.” (1 Yohanes 5:19) Tidakkah anda setuju bahawa dunia ini mencerminkan keperibadian makhluk roh yang sedang “menipu seluruh dunia”? (Penyingkapan 12:9) Syaitan penuh dengan kebencian, penipuan, dan kekejaman. Maka dunia di bawah pengaruhnya juga penuh dengan kebencian, penipuan, dan kekejaman. Itulah salah satu sebab mengapa dunia kita sarat dengan penderitaan.

8 Sebab yang kedua telah dipelajari dalam Bab 3. Semenjak pemberontakan yang berlaku di Taman Eden, manusia berdosa dan menjadi tidak sempurna. Manusia yang dinodai dosa cenderung merebut kuasa, dan hal ini menyebabkan peperangan, penindasan, dan penderitaan. (Pengkhutbah 4:1; 8:9) Sebab yang ketiga ialah malang tidak berbau. (Pengkhutbah 9:11) Di dalam dunia tanpa Yehuwa sebagai Pemerintah dan Pelindung kita, manusia mungkin menderita kerana kejadian yang tidak terduga boleh menimpa sesiapa sahaja.

9. Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yehuwa mempunyai sebab yang baik untuk mengizinkan penderitaan berterusan?

9 Kita berasa lega hati kerana kita tahu bahawa Tuhan tidak menyebabkan penderitaan. Dia tidak bertanggungjawab atas peperangan, jenayah, penindasan, ataupun bencana alam yang menyebabkan orang merana. Namun demikian, mengapakah Yehuwa mengizinkan penderitaan untuk berlaku? Jika Dia ialah Tuhan Yang Maha Kuasa, Dia boleh menghentikan segala penderitaan. Maka, mengapakah Dia tidak menggunakan kuasa-Nya? Kita tahu bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang penyayang. Oleh itu, Dia tentu mempunyai sebab yang baik untuk mengizinkan penderitaan.​—1 Yohanes 4:8.

ISU YANG SANGAT PENTING DIUNGKIT

10. Apakah yang telah dipersoalkan oleh Syaitan, dan bagaimana?

10 Untuk mengetahui mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan, kita harus kembali pada saat bermulanya penderitaan. Semasa Syaitan mempengaruhi Adam dan Hawa untuk mengingkari Yehuwa, satu persoalan penting telah diungkit. Syaitan tidak mencabar kuasa Yehuwa. Dia tahu bahawa kuasa Yehuwa tidak mempunyai batas. Sebaliknya, Syaitan mempersoalkan hak Yehuwa untuk memerintah. Syaitan menuduh bahawa Tuhan ialah pendusta yang menahan apa yang baik daripada rakyat-Nya. Dengan demikian, Syaitan mendakwa bahawa Yehuwa ialah pemerintah yang buruk. (Kejadian 3:2-5) Secara tidak langsung, Syaitan telah berkata bahawa umat manusia dapat hidup lebih bahagia tanpa pemerintahan Tuhan. Dia telah mencabar kedaulatan Yehuwa atau hak-Nya untuk memerintah.

11. Mengapakah Yehuwa tidak membinasakan sahaja pemberontak-pemberontak di Eden?

11 Adam dan Hawa memberontak melawan Yehuwa. Secara tidak langsung mereka berkata, “Kami tidak memerlukan Yehuwa sebagai Pemerintah kami. Kami dapat menentukan apa yang baik dan apa yang buruk tanpa bantuan Tuhan.” Bagaimanakah Yehuwa dapat menyelesaikan isu ini? Bagaimanakah Dia dapat menunjukkan kepada semua makhluk yang berakal bahawa mereka yang memberontak adalah salah dan cara pemerintahan-Nya sahaja yang terbaik? Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa Tuhan patut membinasakan sahaja pemberontak-pemberontak itu dan menciptakan pasangan manusia yang baru. Tetapi Yehuwa telah menyatakan bahawa tujuan-Nya adalah supaya bumi ini dipenuhi dengan anak cucu Adam dan Hawa, dan Dia mahu mereka hidup dalam sebuah firdaus. (Kejadian 1:28) Yehuwa selalu melaksanakan tujuan-Nya. (Yesaya 55:10, 11) Selain itu, pembinasaan pemberontak-pemberontak di Eden tidak akan menjawab persoalan yang telah diungkit berkenaan hak Yehuwa untuk memerintah.

12, 13. Berikan contoh untuk menjelaskan mengapa Yehuwa telah mengizinkan Syaitan untuk memerintah dunia ini, dan mengapa Tuhan mengizinkan manusia untuk menubuhkan sistem pemerintahan sendiri.

12 Sekarang, marilah kita lihat satu contoh. Bayangkan seorang guru sedang mengajar murid-muridnya cara untuk menyelesaikan satu soalan matematik yang sukar. Seorang pelajar yang bijak tetapi suka melawan mendakwa bahawa cara soalan tersebut diselesaikan adalah salah dan dia mengetahui cara penyelesaian yang jauh lebih baik. Secara tidak langsung, pelajar itu mendakwa bahawa gurunya tidak layak mengajar. Sesetengah pelajar yang lain bersetuju dengannya dan mula melawan guru mereka juga. Apakah yang harus dilakukan oleh guru itu? Jika dia mengusir pelajar-pelajar yang melawannya dari kelas, apakah agaknya reaksi pelajar yang lain? Tidakkah mereka akan percaya bahawa pelajar-pelajar yang memberontak itu adalah betul? Mungkin mereka akan hilang rasa hormat kepada guru mereka dan berfikir bahawa dia takut dibuktikan salah. Oleh itu, guru itu mengizinkan pelajar yang melawannya untuk menunjukkan bagaimana dia akan menyelesaikan soalan matematik tersebut.

Adakah pelajar ini lebih layak daripada gurunya?

13 Yehuwa telah melakukan sesuatu yang serupa dengan apa yang dilakukan oleh guru itu. Isu yang diungkit tidak melibatkan pemberontak-pemberontak di Eden sahaja. Berjuta-juta malaikat juga telah menyaksikan apa yang berlaku. (Ayub 38:7; Penyingkapan 5:11) Cara Yehuwa menangani pemberontakan yang telah berlaku akan meninggalkan kesan yang besar ke atas semua malaikat serta umat manusia. Maka, apakah yang telah dilakukan oleh Yehuwa? Dia mengizinkan Syaitan untuk menunjukkan bagaimana Syaitan akan memerintah umat manusia. Tuhan juga mengizinkan manusia untuk menubuhkan sistem pemerintahan sendiri di bawah bimbingan Syaitan.

14. Apakah manfaat yang akan diperoleh kerana Yehuwa mengizinkan manusia untuk memerintah diri sendiri?

14 Guru dalam contoh tersebut tahu bahawa pelajar yang melawan itu serta pelajar-pelajar lain yang menyokongnya adalah salah. Tetapi, dia juga sedar bahawa seluruh kelas boleh mendapat manfaat jika dia memberi mereka yang memberontak peluang untuk membuktikan dakwaan mereka. Apabila mereka gagal, pelajar lain akan nampak bahawa guru mereka sahaja yang layak untuk mengajar kelas tersebut. Selepas itu, semua pelajar akan memahami sebabnya dia menghalau mereka yang memberontak. Dalam cara yang sama, Yehuwa tahu bahawa semua malaikat dan manusia yang berhati jujur akan mendapat manfaat apabila mereka nampak kegagalan Syaitan dan pemberontak-pemberontak yang memihak kepadanya. Tambahan lagi, mereka akan sedar bahawa manusia tidak berupaya memerintah diri sendiri. Seperti Yeremia yang hidup pada zaman Bible, mereka akan mengakui kebenaran yang sangat penting ini, ‘Ya Yehuwa, aku insaf bahawa tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.’​—Yeremia 10:23, ABB.

MENGAPA BEGITU LAMA?

15, 16. (a) Mengapakah Yehuwa mengizinkan penderitaan berterusan untuk begitu lama? (b) Mengapakah Yehuwa tidak menghalang perkara-perkara yang buruk seperti jenayah?

15 Mengapakah Yehuwa mengizinkan penderitaan berterusan untuk begitu lama? Mengapakah Dia tidak menghalang hal-hal buruk daripada berlaku? Fikirkan dua perkara yang tidak dilakukan oleh guru di dalam contoh itu. Pertama, dia tidak menghalang pelajar yang memberontak daripada membuktikan dakwaannya, dan kedua, dia tidak membantu pelajar itu untuk membuktikan dakwaannya. Dalam cara yang sama, mari kita lihat dua perkara yang tidak dilakukan oleh Yehuwa. Pertama, Dia tidak menghalang Syaitan dan mereka yang memihak kepadanya daripada membuktikan dakwaan mereka. Maka, Dia telah memberi mereka suatu tempoh masa untuk berbuat demikian. Sepanjang sejarah manusia yang menjangkau ribuan tahun, manusia diberi peluang untuk mencuba segala bentuk pemerintahan atau kerajaan manusia. Meskipun manusia telah membuat kemajuan dalam bidang sains dan bidang-bidang lain, namun ketidakadilan, kemiskinan, jenayah, dan peperangan makin lama makin parah. Pemerintahan manusia terbukti gagal.

16 Kedua, Yehuwa tidak membantu Syaitan untuk memerintah dunia ini. Misalnya, jika Tuhan menghalang jenayah yang mengerikan daripada berlaku, bukankah Dia sedang menyokong dakwaan para pemberontak? Tidakkah tindakan-Nya itu mendorong manusia untuk berfikir bahawa mereka dapat menubuhkan pemerintahan sendiri tanpa akibat buruk? Jika Yehuwa bertindak sedemikian, Dia menunjukkan bahawa Dia sedang menyokong dusta Syaitan. Tetapi, Bible menyatakan bahawa ‘Tuhan tidak dapat berdusta.’​—Ibrani 6:18.

17, 18. Bagaimanakah Yehuwa akan melenyapkan semua kesan buruk akibat pemerintahan manusia dan pengaruh Syaitan?

17 Bagaimana pula dengan segala keburukan yang telah berlaku sepanjang pemberontakan terhadap Tuhan? Kita seharusnya ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Jadi, Dia bukan sahaja boleh, malah akan melenyapkan kesan buruk penderitaan umat manusia. Seperti yang telah kita pelajari, bumi kita yang berada dalam keadaan rosak binasa akan berubah menjadi sebuah Firdaus. Kesan dosa akan dimansuhkan melalui kepercayaan dalam korban tebusan Yesus. Kesedihan dan keperitan akibat kematian akan lenyap semasa berlakunya pembangkitan. Ya, Tuhan akan menggunakan Yesus untuk “memusnahkan pekerjaan Iblis.” (1 Yohanes 3:8) Yehuwa akan melakukan semua ini tepat pada waktunya. Kita harus berasa lega kerana Dia tidak bertindak lebih awal. Kesabaran-Nya telah membuka peluang agar kita dapat mempelajari kebenaran dan berkhidmat kepada-Nya. (2 Petrus 3:9, 10) Sementara itu, Tuhan giat mencari orang yang akan menyembah-Nya dengan tulus ikhlas dan Dia sedang membantu mereka mengharungi segala bentuk penderitaan dalam dunia yang kucar-kacir ini.​—Yohanes 4:23; 1 Korintus 10:13.

18 Mungkin sesetengah orang akan bertanya, Adakah semua penderitaan dapat dihindari jika Tuhan menciptakan Adam dan Hawa supaya mereka tidak dapat memberontak? Untuk menjawab soalan ini, anda harus ingat akan kurniaan berharga yang telah dianugerahkan oleh Yehuwa kepada anda.

BAGAIMANAKAH ANDA AKAN MENGGUNAKAN KURNIAAN TUHAN?

Tuhan akan membantu anda menanggung penderitaan

19. Apakah kurniaan berharga yang telah dianugerahkan oleh Yehuwa kepada kita, dan mengapakah kita patut menghargainya?

19 Seperti yang telah dipelajari di Bab 5, manusia telah diciptakan dengan kebebasan untuk membuat pilihan. Sedarkah anda betapa berharganya kurniaan itu? Tuhan telah menciptakan banyak binatang dan binatang-binatang ini bertindak mengikut naluri. Manusia telah menciptakan robot yang boleh mengikut setiap arahan yang diberi. Adakah kita akan berasa gembira jika Tuhan menciptakan kita seperti itu? Tidak! Sebaliknya, kita berasa gembira kerana mempunyai kebebasan untuk memilih haluan hidup, memilih sahabat, membentuk keperibadian sendiri, dan sebagainya. Ya, kita suka mempunyai kebebasan untuk memilih. Oleh itu, Tuhan telah menganugerahkan kurniaan ini kepada kita.

20, 21. Bagaimanakah kita dapat menggunakan kebebasan untuk memilih dengan sebaik-baiknya, dan mengapakah kita ingin berbuat demikian?

20 Yehuwa tidak suka memaksa orang untuk menyembah-Nya. (2 Korintus 9:7) Bayangkan seorang anak berkata kepada ibu bapanya, “Saya sayang mak dan ayah.” Ibu bapanya tentu akan berasa gembira jika anak mereka meluahkan kata-kata itu dengan rela dan bukannya kerana dipaksa. Maka, bagaimanakah anda akan menggunakan kebebasan untuk memilih yang telah dianugerahkan oleh Yehuwa kepada anda? Syaitan, Adam, dan Hawa telah menyalahgunakan kebebasan mereka. Mereka menolak pemerintahan Tuhan Yehuwa. Bagaimana pula dengan anda?

21 Anda berpeluang untuk menggunakan kebebasan untuk memilih dengan sebaik-baiknya. Anda boleh menyertai jutaan orang yang telah menggunakan kurniaan istimewa ini dengan memihak kepada Yehuwa. Mereka menggembirakan hati Tuhan kerana mereka giat membuktikan Syaitan sebagai pendusta dan pemerintah yang gagal sama sekali. (Amsal 27:11) Anda juga dapat berbuat demikian dengan memilih haluan hidup yang betul. Hal ini akan dijelaskan dalam bab yang seterusnya.