Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TIGA BELAS

Pandangan Tuhan terhadap Nyawa

Pandangan Tuhan terhadap Nyawa
  • Apakah pandangan Tuhan terhadap nyawa?

  • Apakah pandangan Tuhan terhadap pengguguran anak?

  • Bagaimanakah kita menghormati nyawa?

1. Siapakah yang menciptakan semua benda hidup?

‘ENGKAU, Yehuwa, Tuhan yang benar,’ kata penubuat yang bernama Yeremia. ‘Engkau Tuhan yang hidup.’ (Yeremia 10:10) Tuhan Yehuwa merupakan Pencipta semua benda hidup. Makhluk-makhluk roh di syurga berkata kepada-Nya, “Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.” (Penyingkapan 4:11) Dalam sebuah lagu pujian kepada Tuhan, Raja Daud berkata, “Engkaulah sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:10) Maka, nyawa ialah hadiah kurniaan Tuhan.

2. Apakah yang dilakukan oleh Tuhan untuk memelihara kehidupan kita?

2 Selain memberi nyawa kepada kita, Yehuwa juga memelihara kehidupan kita. (Kisah 17:28) Dia memberi kita makanan, minuman, udara, dan tanah untuk hidup. (Kisah 14:15-17) Yehuwa telah membekalkan semua ini agar kita dapat menikmati kehidupan. Tetapi, jika kita ingin menikmati kehidupan dengan sepenuhnya, kita perlu mempelajari dan mematuhi hukum-hukum Tuhan.​—Yesaya 48:17, 18.

MENGHORMATI NYAWA

3. Apakah pandangan Tuhan terhadap pembunuhan Habel?

3 Tuhan mahu kita menghormati nyawa, baik nyawa sendiri mahupun nyawa orang lain. Contohnya, pada zaman Adam dan Hawa, anak lelaki mereka yang bernama Kain sangat marah kepada adiknya, Habel. Yehuwa memberitahu Kain bahawa kemarahannya boleh menyebabkannya terjerumus dalam kancah dosa yang serius. Kain tidak mempedulikan amaran Tuhan. Akhirnya, “Kain menyerang adiknya lalu membunuh dia.” (Kejadian 4:3-8) Yehuwa menghukum Kain kerana dia telah membunuh adiknya.​—Kejadian 4:9-11.

4. Apakah yang dinyatakan dalam Hukum Musa mengenai pandangan Tuhan terhadap nyawa?

4 Ribuan tahun kemudian, Yehuwa telah memberi orang Israel hukum-hukum supaya mereka dapat menyembah-Nya dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Hukum-hukum ini diberikan melalui seorang penubuat yang bernama Musa. Oleh itu, hukum-hukum ini juga dipanggil Hukum Musa. Salah satu hukum ini menyatakan, “Jangan membunuh.” (Ulangan 5:17) Hal ini menunjukkan kepada orang Israel bahawa dari pandangan Tuhan, nyawa adalah sangat bernilai dan manusia mesti menghargai nyawa orang lain.

5. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap pengguguran anak?

5 Bagaimana pula dengan nyawa seorang bayi yang belum lahir? Hukum Musa menyatakan, “Jika beberapa orang berkelahi dan mereka mencederakan seorang wanita yang hamil dan anaknya keluar tetapi kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa tidak berlaku, ganti rugi harus ditetapkan ke atas pesalah oleh pemilik wanita itu; dan dia mesti memberikan ganti rugi melalui para hakim. Tetapi jika kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa berlaku, maka pesalah mesti memberikan nyawa ganti nyawa.” (Keluaran 21:22, 23, NW) Ya, nyawa seorang bayi yang belum lahir dianggap berharga oleh Yehuwa. (Mazmur 127:3) Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengguguran anak adalah salah.

6. Mengapakah kita tidak patut membenci orang lain?

6 Menghormati nyawa bermaksud bahawa kita mempunyai pandangan yang betul tentang orang lain. Bible menyatakan, “Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal.” (1 Yohanes 3:15, ABB) Jika kita ingin menikmati kehidupan yang kekal, kita harus menyingkirkan rasa benci yang berakar di dalam hati kita kerana kebencian merupakan punca kebanyakan keganasan. (1 Yohanes 3:11, 12) Kita mesti belajar untuk menunjukkan kasih sesama manusia.

7. Apakah sesetengah amalan yang menunjukkan bahawa seseorang tidak menghormati nyawa?

7 Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghormati dan menghargai nyawa sendiri? Biasanya, orang tidak mahu mati. Tetapi sesetengah orang membahayakan nyawa mereka semata-mata untuk tujuan keseronokan. Sebagai contoh, banyak orang menggunakan tembakau, mengunyah pinang, atau menyalahgunakan dadah. Bahan-bahan sebegini merosakkan tubuh dan boleh mengakibatkan kematian. Seseorang yang mengamalkan amalan-amalan buruk ini tidak menganggap nyawa suci. Amalan-amalan ini dianggap najis oleh Tuhan. (Roma 6:19; 12:1; 2 Korintus 7:1) Untuk menyembah Tuhan dalam cara yang diperkenankan-Nya, kita harus menghentikan amalan-amalan ini. Walaupun hal ini tidak mudah, Yehuwa boleh membantu kita. Dia pasti menghargai usaha yang kita curahkan untuk menjaga nyawa sendiri sebagai kurniaan yang berharga daripada-Nya.

8. Mengapakah kita mesti mengutamakan keselamatan?

8 Jika kita menghormati nyawa, kita akan mengutamakan keselamatan. Kita tidak akan cuai atau mengambil risiko semata-mata untuk keseronokan. Kita akan memandu secara berhati-hati dan mengelakkan sukan yang berbahaya dan ganas. (Mazmur 11:5) Hukum Tuhan bagi orang Israel kuno menyatakan, “Apabila kamu membina rumah baru [yang berbumbung datar], kamu mesti memasang pagar di sekeliling tepi bumbung rumah itu. Dengan demikian kamu tidak dipertanggungjawabkan [“berhutang darah,” NW] jika seseorang jatuh dari atas bumbung itu lalu mati.” (Ulangan 22:8, ABB) Selaras dengan prinsip yang dinyatakan dalam hukum ini, pastikan setiap bahagian rumah anda, misalnya tangga, berada dalam keadaan yang baik agar orang tidak tersandung, terjatuh, atau cedera parah. Jika anda memiliki sebuah kereta, pastikan kereta anda selamat untuk dipandu. Jangan biarkan rumah atau kereta anda membahayakan nyawa sendiri atau orang lain.

9. Bagaimanakah kita akan memperlakukan binatang jika kita menghormati nyawa?

9 Bagaimana pula dengan nyawa binatang? Bagi Pencipta kita, nyawa binatang juga suci. Tuhan mengizinkan kita untuk membunuh binatang bagi mendapatkan makanan dan pakaian, atau melindungi kita daripada bahaya. (Kejadian 3:21; 9:3; Keluaran 21:28) Namun demikian, penderaan, penyeksaan, atau pembunuhan binatang untuk hiburan adalah salah dan menunjukkan bahawa kita langsung tidak menghormati kesucian nyawa.​—Amsal 12:10.

MENGHARGAI DARAH

10. Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kaitan antara nyawa dengan darah?

10 Selepas Kain membunuh adiknya, Habel, Yehuwa berkata kepada Kain, “Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah.” (Kejadian 4:10) Semasa Tuhan bercakap tentang darah Habel, Dia memaksudkan nyawa Habel. Kain telah meragut nyawa Habel, dan sekarang Kain harus dihukum. Darah atau nyawa Habel seolah-olah sedang menyeru kepada Yehuwa untuk mendapatkan keadilan. Kaitan antara nyawa dan darah ditunjukkan sekali lagi selepas Banjir Besar berlaku pada zaman Nuh. Sebelum berlakunya Banjir Besar, manusia hanya memakan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, dan kekacang. Tetapi selepas Banjir Besar, Yehuwa berkata kepada Nuh dan anak-anaknya, “Kini kamu boleh makan semuanya [burung, ikan, dan binatang lain], serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan.” Namun, Tuhan telah menetapkan larangan berikut, “Hanya daging yang masih berdarah tidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah.” (Kejadian 1:29; 9:2-4, ABB) Memang jelaslah bahawa dalam pandangan Yehuwa terdapat kaitan rapat antara nyawa sesuatu makhluk dengan darahnya.

11. Sejak zaman Nuh, apakah larangan Tuhan berkenaan penggunaan darah?

11 Kita menunjukkan bahawa kita menghargai darah dengan tidak memakan darah. Di dalam Hukum yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel, Dia memberikan perintah berikut, “Orang Israel mahupun bangsa asing . . . yang menangkap seekor binatang atau burung yang halal, mesti mencurahkan darah haiwan itu ke tanah lalu menutupi darah itu dengan tanah. . . . [Yehuwa] memberitahu umat Israel bahawa mereka tidak boleh makan darah sebarang makhluk.” (Imamat 17:13, 14) Walaupun larangan untuk makan darah diberikan oleh Tuhan kepada Nuh 800 tahun dahulu, namun perintah ini masih berkuat kuasa. Pandangan Yehuwa terhadap hal ini adalah jelas: Umat-Nya dibenarkan untuk makan daging binatang tetapi bukan darah. Darah binatang mesti dicurahkan ke tanah. Tindakan ini menunjukkan bahawa nyawa makhluk dikembalikan kepada Tuhan.

12. Apakah perintah mengenai darah yang diberikan oleh daya aktif Tuhan pada abad pertama yang masih perlu dipatuhi hari ini?

12 Perintah yang hampir sama diberikan kepada orang Kristian. Para hawari serta lelaki lain yang mengambil pimpinan dalam kalangan pengikut Yesus pada abad pertama telah bertemu lalu membuat keputusan tentang perintah-perintah yang mesti dipatuhi oleh semua di dalam sidang Kristian. Kesimpulan mereka ialah, ‘Roh [daya aktif] Tuhan dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja: Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik [yang darahnya tidak dicurahkan], dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul.’ (Kisah 15:28, 29, ABB; 21:25) Maka kita mesti menjauhi darah. Dari pandangan Tuhan, melakukan hal itu sama pentingnya dengan menjauhi penyembahan berhala dan perbuatan seksual yang tidak bermoral.

Jika doktor menyuruh anda menjauhi minuman keras, adakah anda akan menyuntikkannya ke dalam salur darah anda?

13. Berikan contoh yang menerangkan sebabnya perintah untuk tidak makan darah merangkumi pemindahan darah.

13 Adakah perintah “jangan makan darah” merangkumi pemindahan atau transfusi darah? Ya. Sebagai contoh, bayangkan seorang doktor memberitahu anda bahawa anda tidak boleh minum minuman keras. Adakah doktor itu bermaksud anda tidak boleh minum minuman keras tetapi boleh menyuntikkannya ke dalam salur darah anda? Sudah tentu tidak! Dalam cara yang sama, jika kita ingin menjauhi darah, kita tidak boleh memasukkan darah ke dalam tubuh kita dalam apa jua cara. Maka perintah untuk “jangan makan darah” bermaksud kita tidak akan mengizinkan sesiapa pun untuk memindahkan darah ke dalam salur darah kita.

14, 15. Jika doktor berkata bahawa seorang saudara Kristian akan mati jika dia tidak menerima transfusi darah, apakah yang akan dilakukannya, dan mengapa?

14 Bagaimana pula jika seorang saudara Kristian cedera parah atau perlu menjalani pembedahan yang besar? Katakan doktor-doktor memberitahu dia bahawa dia akan mati jika dia tidak menerima transfusi darah. Sudah tentu saudara Kristian kita tidak mahu mati. Dalam usaha untuk menyelamatkan nyawanya yang merupakan kurniaan Tuhan yang berharga, dia akan menerima rawatan-rawatan lain yang tidak membabitkan penyalahgunaan darah. Maka, jika rawatan alternatif yang tidak melibatkan darah tersedia, dia boleh membuat keputusan untuk menerima rawatan-rawatan itu.

15 Adakah seorang Kristian akan melanggar hukum Tuhan semata-mata untuk melanjutkan nyawanya dalam sistem dunia ini? Yesus berkata, ‘Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untukku, akan mengalami hidup yang sejati.’ (Matius 16:25, ABB) Kita tidak mahu mati. Tetapi jika kita mencuba menyelamatkan nyawa kita dengan melanggar hukum Tuhan, kita mungkin kehilangan harapan untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita boleh yakin bahawa hukum Tuhan tidak mungkin salah dan jikalau kita mati pun, Pengurnia Nyawa kita akan mengingati kita. Dia akan memulihkan nyawa kita semasa pembangkitan nanti.​—Yohanes 5:28, 29; Ibrani 11:6.

16. Berkenaan darah, hamba-hamba Tuhan bertekad untuk membuat apa?

16 Hari ini, hamba-hamba Tuhan yang setia kepada-Nya bertekad untuk mengikut larangan Tuhan berkenaan darah. Mereka tidak akan memakan darah dalam apa bentuk pun. Mereka juga tidak akan menggunakan darah atas alasan perubatan. * Mereka berasa pasti bahawa Pencipta darah tahu apa yang terbaik untuk mereka. Adakah anda juga mempercayai hakikat ini?

SATU SAHAJA PENGGUNAAN DARAH YANG SESUAI

17. Pada zaman orang Israel kuno, apakah satu-satunya penggunaan darah yang diterima oleh Tuhan Yehuwa?

17 Hukum Musa menekankan satu-satunya penggunaan darah yang sesuai. Hal ini berkaitan dengan penyembahan orang Israel kuno. Yehuwa memberi perintah berikut, “Nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya. Itulah sebabnya Tuhan memberikan perintah supaya semua darah dituangkan ke atas mazbah untuk menghapuskan dosa umat. Darah, iaitu nyawa, menghapuskan dosa.” (Imamat 17:11, ABB) Semasa orang Israel berdosa, mereka boleh mendapat pengampunan dengan mempersembahkan binatang lalu meletakkan sedikit darah binatang pada mazbah di khemah suci. Selepas Rumah Tuhan siap dibina, hal yang sama dilakukan di sana. Maka, satu-satunya penggunaan darah yang sesuai adalah untuk korban-korban seperti itu.

18. Apakah manfaat yang boleh kita dapati daripada darah Yesus yang dicurahkan bagi kita?

18 Orang Kristian yang sejati tidak perlu mematuhi Hukum Musa. Maka, mereka tidak mempersembahkan korban binatang dan meletakkan darah binatang pada mazbah. (Ibrani 10:1) Namun demikian, darah yang diletakkan di atas mazbah pada zaman Israel kuno menggambarkan korban tebusan Yesus Kristus yang sangat berharga. Seperti yang telah kita pelajari di Bab 5, dengan mengizinkan darahnya untuk dicurahkan sebagai korban tebusan, Yesus telah menyerahkan nyawanya demi kita. Kemudian, dia telah naik ke syurga dan menyerahkan nilai darahnya kepada Tuhan, sekali untuk selama-lamanya. (Ibrani 9:11, 12) Hal ini menjadi dasar supaya dosa-dosa manusia diampuni dan membuka jalan kepada kita untuk memperoleh kehidupan abadi. (Matius 20:28; Yohanes 3:16) Pencurahan darah Yesus terbukti amat penting bagi kita! (1 Petrus 1:18, 19) Kita boleh mendapat penyelamatan hanya jika kita menaruh kepercayaan dalam nilai darah Yesus yang dicurahkan sebagai korban bagi kita.

Bagaimanakah anda dapat menghormati nyawa dan menghargai darah?

19. Seperti Paulus, apakah yang mesti kita buat supaya tidak berhutang darah?

19 Tidakkah anda berasa syukur kerana Tuhan Yehuwa yang penyayang telah mengurniakan nyawa kepada kita? Hal ini patut mendorong kita untuk memberitahu orang lain bahawa kepercayaan dalam korban tebusan Yesus akan membuka peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang kekal. Jika kita meniru Yehuwa dan mengambil berat tentang kehidupan orang lain, kita akan berbuat demikian dengan semangat membara. (Yehezkiel 3:17-21) Seandainya kita menjalankan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh, kita dapat berkata seperti hawari Paulus, ‘Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku [aku tidak berhutang darah]. Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Tuhan kepada kamu.’ (Kisah 20:26, 27, ABB) Cara yang baik untuk menunjukkan bahawa kita sangat menghormati nyawa dan menghargai darah adalah dengan memberitahu orang tentang Tuhan dan tujuan-Nya.

^ per. 16 Untuk maklumat lanjut tentang rawatan alternatif yang tidak melibatkan darah, sila lihat bab yang bertajuk “Quality Alternatives to Transfusion” dalam brosur How Can Blood Save Your Life? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.