Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB ENAM BELAS

Berpegang Teguh pada Penyembahan Sejati

Berpegang Teguh pada Penyembahan Sejati
  • Apakah ajaran Bible mengenai penggunaan patung berhala dan lambang serta pemujaan nenek moyang?

  • Apakah pandangan orang Kristian terhadap perayaan berunsur keagamaan?

  • Bagaimanakah anda dapat menjelaskan kepercayaan anda tanpa menyinggung perasaan orang lain?

1, 2. Selepas anda meninggalkan agama palsu, apakah soalan yang mesti ditanya, dan mengapakah penting untuk menanyakan soalan ini?

BAYANGKAN anda dimaklumkan bahawa sekitar kawasan kediaman anda dicemari oleh bahan beracun. Ada orang telah curi-curi membuang sisa toksik di kawasan perumahan anda, dan sekarang bahaya maut mengancam anda semua. Apakah yang akan anda lakukan? Jika boleh, anda tentu akan berpindah. Namun, selepas berbuat demikian, anda masih berdepan dengan soalan yang penting ini, “Adakah saya terkena racun?”

2 Situasi yang hampir sama timbul berkenaan agama palsu. Bible mengajarkan bahawa agama palsu dicemari dengan ajaran dan amalan yang najis. (2 Korintus 6:17) Itulah sebabnya adalah penting bagi anda untuk keluar dari Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia. (Penyingkapan 18:2, 4) Sudahkah anda berbuat demikian? Jika ya, anda harus dipuji. Tetapi, selain memansuhkan keahlian atau memutuskan hubungan dengan agama palsu, apa lagi yang perlu anda lakukan? Tanyalah diri, “Adakah sisa-sisa agama palsu masih mencemari diri saya?” Mari kita lihat beberapa contoh.

PATUNG BERHALA, LAMBANG, DAN PEMUJAAN NENEK MOYANG

3. (a) Apakah yang dinyatakan di dalam Bible mengenai penggunaan patung berhala dan lambang, dan mengapakah pandangan Tuhan susah untuk diterima oleh sesetengah orang? (b) Apakah yang patut anda lakukan dengan objek-objek yang ada kaitan dengan penyembahan palsu?

3 Sesetengah orang memiliki patung berhala, lambang, atau tokong kecil di dalam rumah mereka selama bertahun-tahun. Anda juga mungkin begitu. Mungkin anda menyayangi objek-objek ini dan berasa tidak selesa atau bersalah jika anda tidak menggunakan objek-objek ini semasa menyembah Tuhan. Tetapi Tuhanlah yang menentukan bagaimana Dia harus disembah, dan Bible mengajarkan bahawa Dia tidak mahu kita menggunakan patung berhala atau lambang. (Keluaran 20:4, 5; Mazmur 115:4-8; Yesaya 42:8; 1 Yohanes 5:21) Maka, anda dapat berpegang teguh pada penyembahan sejati dengan memusnahkan objek-objek yang ada kaitan dengan penyembahan palsu. Yehuwa “membenci penyembahan berhala,” maka kita juga mesti mempunyai pandangan yang sama.​—Ulangan 27:15.

4. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa pemujaan nenek moyang adalah sia-sia sahaja? (b) Mengapakah Yehuwa melarang umat-Nya daripada melibatkan diri dalam sebarang bentuk spiritisme?

4 Pemujaan nenek moyang juga merupakan adat dalam banyak agama palsu. Sebelum sesetengah orang mempelajari kebenaran dalam Bible, mereka percaya bahawa orang yang telah mati akan terus hidup di alam roh. Mereka percaya bahawa orang yang telah mati dapat membantu atau mencederakan orang yang hidup. Mungkin dahulu anda telah mencurahkan banyak wang dan masa untuk memuja nenek moyang anda yang telah meninggal. Tetapi seperti apa yang telah anda pelajari di Bab 6, mereka yang mati tidak hidup atau wujud di tempat yang lain. Maka, usaha untuk berhubung dengan mereka adalah sia-sia sahaja. Sebarang pesanan yang kononnya datang daripada orang kesayangan kita yang telah mati sebenarnya berasal daripada roh-roh jahat. Itulah sebabnya Yehuwa melarang orang Israel daripada berhubung dengan orang yang telah mati, atau melibatkan diri dalam mana-mana bentuk spiritisme.​—Ulangan 18:10-12.

5. Apakah yang boleh anda lakukan jika dahulu anda menggunakan berhala dan lambang atau memuja nenek moyang?

5 Jika dahulu anda biasa menggunakan patung dan lambang, atau memuja nenek moyang anda, apakah yang boleh anda lakukan? Anda digalakkan untuk membaca lalu merenung ayat-ayat Bible yang menyingkapkan perasaan dan pandangan Tuhan terhadap hal-hal ini. Berdoalah kepada Yehuwa setiap hari tentang hasrat anda untuk berpegang teguh pada penyembahan sejati, dan mintalah bantuan Tuhan supaya anda dapat memupuk pandangan yang selaras dengan pandangan-Nya.​—Yesaya 55:9.

KRISMAS​—TIDAK DIRAIKAN OLEH ORANG KRISTIAN MASA AWAL

6, 7. (a) Pada pendapat banyak orang, mengapakah Krismas disambut, dan adakah pengikut Yesus pada abad pertama menyambut perayaan ini? (b) Orang Kristian pada abad pertama mengaitkan sambutan hari jadi dengan apa?

6 Agama palsu juga boleh mencemari penyembahan seseorang melalui perayaan-perayaan yang biasa disambut. Mari kita ambil contoh perayaan Krismas atau Natal. Banyak orang berpendapat bahawa Krismas ialah hari besar yang dirayakan untuk memperingati kelahiran Yesus Kristus. Hampir semua orang yang menganggap diri sebagai orang Kristian menyambut Krismas. Namun demikian, kita tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan bahawa murid-murid Yesus pada abad pertama telah meraikan perayaan ini. Sebaliknya, buku Sacred Origins of Profound Things (Asal Usul Suci Hal-hal yang Bermakna Dalam) menyatakan, “Selama dua ratus tahun selepas kelahiran Kristus, tiada sesiapa yang mengetahui dengan tepat bila dia dilahirkan, dan hanya segelintir orang yang peduli akan hal itu.”

7 Namun, seandainya murid-murid Yesus mengetahui bila Yesus dilahirkan, mereka masih tidak akan merayakan hari jadinya. Mengapa? Kerana seperti apa yang dinyatakan dalam The World Book Encyclopedia, orang Kristian pada abad pertama “menganggap sambutan hari jadi sebagai adat kafir.” Hanya dua sambutan hari jadi disebut di dalam Bible dan kedua-dua sambutan itu diraikan oleh pemerintah yang tidak menyembah Yehuwa. (Kejadian 40:20; Markus 6:21) Sambutan hari jadi juga diraikan untuk memuja dewa dewi orang kafir. Sebagai contoh, orang Roma merayakan hari jadi dewi Diana pada 24 Mei. Pada keesokan harinya, mereka merayakan hari jadi dewa matahari, iaitu Apollo. Maka, sambutan hari jadi dikaitkan dengan agama kafir dan bukannya agama Kristian.

8. Jelaskan kaitan antara sambutan hari jadi dengan kepercayaan karut.

8 Orang Kristian pada abad pertama tidak menyambut hari jadi Yesus atas satu lagi sebab. Kemungkinan besar murid-murid Yesus tahu bahawa sambutan hari jadi dikaitkan dengan kepercayaan karut. Sebagai contoh, orang Yunani dan orang Roma pada zaman kuno percaya bahawa satu roh akan menghadiri kelahiran setiap manusia dan akan melindungi orang itu sepanjang hayatnya. Buku The Lore of Birthdays (Tradisi Hari Jadi) menyatakan, “Roh ini mempunyai hubungan yang ajaib dengan dewa yang hari kelahirannya sama dengan orang tersebut.” Mana-mana sambutan yang mengaitkan Yesus dengan kepercayaan karut pasti tidak menyenangkan hati Yehuwa. (Yesaya 65:11, 12) Maka, mengapakah begitu banyak orang menyambut Krismas?

ASAL USUL KRISMAS

9. Bagaimanakah 25 Disember dipilih sebagai hari untuk menyambut kelahiran Yesus?

9 Beberapa ratus tahun selepas Yesus berada di bumi, barulah orang mula menyambut kelahirannya pada 25 Disember. Tetapi, itu bukanlah tarikh kelahiran Yesus kerana Yesus ternyata dilahirkan sekitar bulan Oktober. * Maka, mengapakah 25 Disember dipilih? Mungkin sesetengah orang yang kemudian mendakwa diri sebagai orang Kristian “mahu tarikh itu jatuh sempena perayaan orang Roma kafir yang menyambut ‘hari jadi matahari yang tidak tertakluk.’” (The New Encyclopædia Britannica) Pada musim sejuk, iaitu semasa pancaran matahari paling lemah, orang kafir mengadakan upacara-upacara untuk menyerukan supaya sumber cahaya dan haba pulang daripada pengembaraannya yang jauh. Tanggal 25 Disember dianggap sebagai tarikh yang mana matahari dikatakan kembali daripada pengembaraannya. Dalam usaha menggalakkan orang kafir untuk menukar agama mereka, para pemimpin agama telah memasukkan perayaan ini ke dalam penyembahan mereka dan mencuba untuk menjadikan perayaan ini berbaur “Kristian.” *

10. Pada masa dahulu, mengapakah sesetengah orang tidak menyambut Krismas?

10 Dari dahulu lagi, orang sudah mengetahui bahawa Krismas berasal daripada penyembahan orang kafir. Oleh sebab Krismas tidak mempunyai asal usul yang berdasarkan Bible, perayaan ini diharamkan di negara Inggeris dan di beberapa tanah jajahan di Amerika pada abad ke-17. Bahkan sesiapa yang tidak bekerja pada hari Krismas dikenakan denda. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, adat yang lama ini menjadi popular semula, dan beberapa adat lain ditokok tambah. Perayaan Krismas sekali lagi menjadi perayaan yang penting, dan sampai hari ini, perayaan ini masih dirayakan secara besar-besaran di banyak negara. Namun demikian, oleh sebab Krismas berkait rapat dengan agama palsu, mereka yang mahu menyenangkan hati Tuhan tidak menyambut perayaan ini atau mana-mana perayaan yang berasal daripada agama palsu. *

ADAKAH ASAL USUL SESUATU PERAYAAN PENTING?

11. Mengapakah sesetengah orang menyambut perayaan-perayaan tertentu, tetapi apakah yang seharusnya diutamakan dalam kehidupan kita?

11 Sesetengah orang bersetuju bahawa perayaan-perayaan seperti Krismas berasal daripada agama palsu. Tetapi mereka masih berasa bahawa tidak salah jika mereka memilih untuk terus menyambutnya. Bagi kebanyakan orang, musim perayaan membuka peluang untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan mereka. Kaitannya dengan agama palsu tidak terlintas di fikiran mereka. Adakah anda juga berasa begitu? Jika ya, mungkin hal ini menunjukkan bahawa kasih akan keluarga, dan bukannya kasih akan agama palsu yang menghalang anda daripada berpegang teguh pada penyembahan sejati. Yehuwa, iaitu pengasas institusi keluarga, mahu anda mempunyai hubungan yang baik dengan saudara-mara anda. Tetapi, anda dapat mengeratkan pertalian keluarga anda dengan menggunakan cara-cara yang diperkenankan Tuhan. Berkenaan apa yang harus diutamakan dalam kehidupan kita, hawari Paulus telah menulis, “Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan.”​—Efesus 5:10, ABB.

Adakah anda akan makan gula-gula yang dipungut dari longkang?

12. Berikan contoh untuk menunjukkan mengapa adat dan perayaan yang mempunyai asal usul yang najis patut dihindari.

12 Anda mungkin berpendapat bahawa asal usul sesuatu perayaan tidak ada kaitan dengan cara perayaan itu disambut hari ini. Tetapi, adakah asal usul sesuatu perayaan benar-benar penting? Sudah tentu! Sebagai contoh, bayangkan bahawa anda nampak gula-gula di dalam longkang. Adakah anda akan memungut gula-gula itu lalu memakannya? Tentu tidak! Gula-gula itu tidak bersih. Sama seperti gula-gula itu, perayaan tertentu mungkin seronok disambut tetapi mempunyai asal usul yang najis. Untuk berpegang teguh pada penyembahan sejati, kita perlu memupuk pandangan yang sama seperti penubuat Yesaya. Dia memberitahu umat Tuhan yang sejati, “Janganlah sentuh apa-apa yang najis.”​—Yesaya 52:11.

LAYANI ORANG DENGAN BIJAKSANA

13. Apakah cabaran yang mungkin timbul semasa anda tidak menyambut perayaan-perayaan?

13 Cabaran mungkin timbul semasa anda membuat keputusan untuk tidak menyertai perayaan-perayaan. Sebagai contoh, rakan sekerja anda mungkin tertanya-tanya mengapa anda tidak menyertai sesetengah aktiviti yang diadakan sempena perayaan tertentu. Apakah yang akan anda lakukan jika anda diberikan hadiah pada hari Krismas? Adakah salah untuk menerima hadiah itu? Bagaimana pula jika teman hidup anda tidak mempunyai kepercayaan yang sama? Apakah yang boleh dilakukan supaya anak-anak anda tidak berasa terpinggir atau susah hati kerana mereka tidak dapat menyambut perayaan-perayaan?

14, 15. Apakah yang boleh anda lakukan jika seseorang memberi ucapan selamat sempena sesuatu perayaan atau mahu memberi anda hadiah?

14 Pertimbangan yang baik diperlukan bagi mengetahui caranya untuk menangani setiap keadaan. Jika ucapan selamat diberikan sempena sesuatu perayaan, anda boleh mengucapkan terima kasih. Tetapi, bagaimana pula jika ucapan yang sama diberikan oleh rakan sekerja atau seseorang yang anda biasa temui? Anda mungkin membuat keputusan untuk memberi penjelasan yang lebih terperinci. Di bawah apa jua keadaan, gunakanlah kata-kata sopan yang tidak menyinggung perasaan orang lain. Sepertimana garam dapat melazatkan lagi sesuatu hidangan, Bible menasihati kita supaya “memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya.” (Kolose 4:6) Pastikan bahawa anda tidak bersikap biadab terhadap orang lain. Sebaliknya, tunjukkan sikap hormat dan jelaskan pendirian anda dengan sopan. Nyatakanlah dengan jelas bahawa anda bukannya tidak suka memberi dan menerima hadiah atau menghadiri jamuan, tetapi anda lebih suka berbuat demikian pada masa yang lain.

15 Namun, apakah yang akan anda lakukan jika seseorang ingin memberi anda hadiah? Pemberi hadiah mungkin berkata, “Saya tahu bahawa anda tidak menyambut perayaan ini. Tetapi saya masih mahu memberi hadiah ini kepada anda.” Anda perlu mempertimbangkan keadaannya. Di bawah sesetengah keadaan, anda mungkin memutuskan bahawa menerima hadiah yang diberikan tidak sama dengan menyertai perayaan yang disambut. Sudah tentu, jika pemberi hadiah tidak tahu akan pendirian anda, anda boleh memberitahunya bahawa anda tidak menyambut perayaan berkenaan. Hal ini akan membantu dia untuk memahami mengapa anda tidak membalas hadiahnya pada kesempatan itu. Sebaliknya, jika sesebuah hadiah diberikan dengan niat untuk menunjukkan bahawa anda sanggup mengkompromikan pendirian atau mencemarkan prinsip anda semata-mata untuk keuntungan kebendaan, adalah baik jika anda tidak menerima hadiah tersebut.

CARA UNTUK MELAYANI AHLI KELUARGA

16. Dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan, bagaimanakah anda boleh menggunakan kata-kata sopan yang tidak menyinggung hati?

16 Bagaimanakah anda akan melayani ahli keluarga yang tidak sekepercayaan? Sekali lagi, anda harus menggunakan kata-kata sopan yang tidak menyinggung hati. Janganlah berbalah tentang setiap adat atau perayaan yang disambut oleh saudara-mara anda. Sebaliknya, hormatilah pendapat dan pandangan mereka sepertimana anda ingin mereka menghormati pendapat dan pandangan anda. (Matius 7:12) Hindari apa-apa sahaja yang menyebabkan anda menjadi sebahagian daripada perayaan yang disambut. Pada masa yang sama, tunjukkanlah sikap bertimbang rasa dalam hal-hal yang tidak berkaitan langsung dengan perayaan itu. Dalam apa-apa keputusan yang dibuat, pastikan hati nurani anda tidak terganggu.​—1 Timotius 1:18, 19.

17. Apakah yang boleh membantu anak-anak anda supaya tidak berasa tersisih kerana mereka tidak dapat menyambut perayaan seperti orang lain?

17 Apakah yang boleh anda lakukan supaya anak-anak anda tidak berasa tersisih kerana mereka tidak dapat menyambut perayaan yang berasal daripada agama palsu? Banyak bergantung pada apa yang anda lakukan pada masa-masa yang lain. Ada ibu bapa yang menetapkan masa tertentu untuk memberi hadiah kepada anak-anak mereka. Namun, hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada anak-anak anda ialah masa dan perhatian anda.

AMALKAN PENYEMBAHAN SEJATI

Amalkan penyembahan sejati dan nikmati kebahagiaan yang berkekalan

18. Bagaimanakah kehadiran di perjumpaan dapat membantu anda untuk berpegang teguh pada penyembahan sejati?

18 Untuk menyenangkan hati Tuhan, anda mesti menolak penyembahan palsu dan berpegang teguh pada penyembahan sejati. Hal ini merangkumi apa? Mengenai hari-hari terakhir ini, Bible menyatakan, “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain.” (Ibrani 10:24, 25, ABB) Perjumpaan di sidang merupakan masa yang menggembirakan kerana kita dapat menyembah Tuhan dalam cara yang mendapat perkenan-Nya. (Mazmur 22:23; 122:1) Di perjumpaan sebegini, orang Kristian yang setia dapat saling memberi dorongan dan galakan.​—Roma 1:12.

19. Mengapakah penting bagi anda untuk memberitahu orang lain tentang hal-hal yang telah anda pelajari daripada Bible?

19 Satu lagi cara anda dapat berpegang teguh pada penyembahan sejati adalah dengan memberitahu orang lain tentang apa yang telah anda pelajari melalui pembelajaran Bible anda dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Banyak orang benar-benar berasa “sedih dan susah” akibat kefasiqan yang sedang berlaku di dunia. (Yehezkiel 9:4) Mungkin anda kenal orang yang berasa sedemikian. Bolehkah anda memberitahu mereka tentang harapan masa depan yang telah anda pelajari daripada Bible? Seraya anda bergaul dengan umat Tuhan yang sejati dan memberitahu orang lain tentang kebenaran yang menakjubkan di dalam Bible, anda akan mendapati bahawa keinginan yang tersemat di hati anda berkenaan adat-adat agama palsu akan hilang secara beransur-ansur. Anda boleh yakin bahawa anda akan berasa sangat gembira dan akan menerima banyak berkat jika anda berpegang teguh pada penyembahan sejati.​—Maleakhi 3:10.

^ per. 9 Perayaan Saturnalia juga menyumbang kepada pemilihan tarikh 25 Disember. Perayaan ini disambut untuk memberi penghormatan kepada dewa pertanian Roma dan diadakan dari 17-24 Disember. Semasa perayaan Saturnalia, orang berpesta, bersuka ria, dan saling memberi hadiah.

^ per. 10 Untuk perbincangan tentang pandangan orang Kristian sejati terhadap perayaan popular yang lain, sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “Patutkah Kita Menyambut Perayaan?”