Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TUJUH BELAS

Menghampiri Tuhan Melalui Doa

Menghampiri Tuhan Melalui Doa
  • Mengapakah kita patut berdoa kepada Tuhan?

  • Apakah yang mesti kita lakukan agar didengari Tuhan?

  • Bagaimanakah Tuhan menjawab doa kita?

Pencipta “langit dan bumi” mendengar doa-doa kita dengan rela hati

1, 2. Mengapakah kita harus memandang doa sebagai satu penghormatan yang besar, dan mengapakah kita perlu mengetahui apa yang diajarkan di dalam Bible mengenai doa?

JIKA dibandingkan dengan alam semesta yang terbentang luas, bumi kita sangat kecil. Sememangnya, bagi Yehuwa “yang menjadikan langit dan bumi,” bangsa-bangsa boleh diibaratkan sebagai setitis air dalam timba. (Mazmur 115:15; Yesaya 40:15) Namun begitu, Bible menyatakan, “Dia [Yehuwa] dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya, dan yang memohon kepada-Nya dengan tulus hati. Dia membekalkan keperluan semua orang yang menghormati-Nya; Dia mendengar seruan mereka.” (Mazmur 145:18, 19, ABB) Bayangkanlah hal ini! Pencipta kita yang maha kuasa dekat kepada kita, dan Dia akan mendengar doa kita jika kita “memohon kepada-Nya dengan tulus hati.” Ya, kita diberi peluang untuk menghampiri Tuhan melalui doa. Alangkah besarnya penghormatan ini!

2 Walau bagaimanapun, jika kita mahu Yehuwa mendengar doa-doa kita, kita mesti berdoa dalam cara yang disenangi-Nya. Kita dapat berbuat demikian hanya jika kita memahami apa yang diajarkan di dalam Bible mengenai doa. Maka, adalah penting untuk kita mengetahui apa yang dikatakan dalam Bible berkenaan doa kerana doa membantu kita untuk menghampiri Yehuwa.

BERDOA KEPADA YEHUWA​—MENGAPA?

3. Berikan satu sebab penting yang menunjukkan mengapa kita patut berdoa kepada Yehuwa.

3 Mengapakah kita patut berdoa kepada Yehuwa? Satu sebab yang penting adalah kerana Dia mengundang kita untuk berbuat demikian. Firman-Nya menggalakkan kita, ‘Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Tuhan yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.’ (Filipi 4:6, 7, ABB) Sudah tentu kita tidak ingin menunjukkan sikap endah tak endah terhadap aturan ini yang telah disediakan oleh Pemerintah Agung alam semesta kita!

4. Bagaimanakah doa yang diucapkan kepada Yehuwa setiap hari dapat mengeratkan hubungan kita dengan-Nya?

4 Satu lagi sebab kita berdoa adalah kerana doa yang diucapkan kepada Yehuwa setiap hari dapat mengeratkan hubungan kita dengan-Nya. Sahabat sejati tidak berkomunikasi hanya jika mereka memerlukan sesuatu. Sebaliknya, mereka mengambil berat akan satu sama lain dan ikatan persahabatan mereka menjadi semakin kuat seraya pendapat, kekhuatiran, serta perasaan mereka diluahkan secara bebas. Hubungan kita dengan Tuhan Yehuwa juga hampir sama. Dengan bantuan buku ini, anda sudah banyak mempelajari apa yang diajarkan di dalam Bible mengenai Yehuwa, keperibadian-Nya, dan tujuan-Nya. Anda mengenali-Nya sebagai individu yang benar-benar wujud. Doa memberi anda peluang untuk meluahkan fikiran dan perasaan yang tersemat di hati kepada Bapa anda di syurga. Seraya anda berbuat demikian, anda akan menghampiri Yehuwa.​—Yakobus 4:8.

APAKAH SYARAT YANG MESTI KITA PENUHI?

5. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa tidak mendengar semua doa?

5 Adakah Yehuwa mendengar semua doa? Mari kita lihat apa yang dikatakan oleh-Nya kepada pemberontak-pemberontak Israel yang tinggal sezaman dengan penubuat Yesaya. Dia berkata, “Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan.” (Yesaya 1:15) Maka, sesetengah perbuatan akan menyebabkan Tuhan tidak mendengar doa kita. Jika kita mahu doa kita didengari Tuhan, kita mesti memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan oleh-Nya.

6. Apakah syarat utama yang perlu dipenuhi agar doa kita didengari Tuhan, dan bagaimanakah kita dapat memenuhi syarat itu?

6 Satu syarat utama yang mesti dipenuhi ialah kita mesti menaruh kepercayaan kepada Tuhan. (Markus 11:24) Hawari Paulus menulis, ‘Tanpa kepercayaan, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan. Orang yang datang kepada Tuhan mesti percaya bahawa Tuhan wujud, dan bahawa Tuhan menganugerahi orang yang mencari-Nya.’ (Ibrani 11:6, ABB) Sekadar mengetahui bahawa Tuhan wujud dan bahawa Dia mendengar serta menjawab doa kita tidak bererti bahawa kita mempunyai kepercayaan yang benar. Kepercayaan kita dibuktikan melalui perbuatan kita. Kita mesti menunjukkan dengan jelas bahawa kita mempunyai kepercayaan melalui cara kita menjalani kehidupan seharian.​—Yakobus 2:26.

7. (a) Mengapakah kita harus berdoa kepada Yehuwa dengan penuh hormat? (b) Semasa berdoa kepada Tuhan, bagaimanakah kita dapat menunjukkan kerendahan hati dan ketulusan hati?

7 Yehuwa juga menghendaki orang berdoa kepada-Nya dengan rendah hati dan tulus ikhlas. Tidakkah anda bersetuju bahawa kita mempunyai banyak alasan untuk merendahkan diri semasa menghadap Yehuwa dalam doa? Apabila seseorang diberi peluang untuk bercakap dengan raja atau perdana menteri, dia akan berbuat demikian dengan penuh hormat. Hal ini menunjukkan bahawa dia mengakui kedudukan mereka. Dalam cara yang sama, bukankah kita perlu memperlihatkan hormat yang lebih mendalam semasa berdoa kepada Yehuwa kerana Dia ialah ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’? (Kejadian 17:1; Mazmur 138:6) Cara kita menyampaikan doa kepada Tuhan harus memperlihatkan bahawa kita dengan rendah hati mengakui kedudukan-Nya sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa. Sikap sedemikian akan menggerakkan kita untuk berdoa dengan tulus hati. Maka, kita akan menghindari doa yang diulangi berkali-kali secara rutin.​—Matius 6:7, 8.

8. Bagaimanakah kita dapat bertindak selaras dengan apa yang didoakan?

8 Untuk doa kita didengari oleh Tuhan, terdapat satu lagi syarat yang harus dipenuhi, iaitu kita harus bertindak selaras dengan apa yang telah didoakan. Yehuwa menghendaki kita berusaha sedaya upaya selaras dengan apa yang didoakan. Sebagai contoh, jika kita berdoa, “Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini,” kita mesti rajin melakukan apa-apa kerja yang ada. (Matius 6:11, ABB; 2 Tesalonika 3:10) Jika kita berdoa memohon bantuan untuk mengatasi kelemahan tertentu, kita mesti berhati-hati untuk menghindari keadaan dan situasi yang boleh menjerat atau menggoda kita untuk berbuat salah. (Kolose 3:5) Selain daripada syarat-syarat asas ini, kita perlu mengetahui jawapan kepada beberapa soalan tentang doa.

JAWAPAN KEPADA SESETENGAH SOALAN TENTANG DOA

9. Kita harus berdoa kepada siapa, dan melalui siapa?

9 Kita harus berdoa kepada siapa? Yesus mengajar pengikut-pengikutnya untuk berdoa kepada ‘Bapa kita yang di syurga.’ (Matius 6:9) Maka, doa-doa kita mesti diucapkan kepada Tuhan Yehuwa sahaja. Walau bagaimanapun, Yehuwa menghendaki kita mengakui kedudukan Anak Tunggal-Nya, iaitu Yesus Kristus. Seperti yang telah kita pelajari di Bab 5, Yesus diutus ke bumi untuk menjadi korban bagi menebus kita daripada cengkaman dosa dan kematian. (Yohanes 3:16; Roma 5:12) Dia ialah Penghentar Agung dan Hakim yang telah dilantik Tuhan. (Yohanes 5:22; Ibrani 6:20) Oleh itu, Bible mengarahkan kita untuk berdoa melalui Yesus. Dia sendiri berkata, ‘Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.’ (Yohanes 14:6, ABB, nota kaki) Agar doa-doa kita didengari Tuhan, kita mesti berdoa kepada Yehuwa sahaja dan melalui Anak-Nya.

10. Mengapakah kita tidak perlu berdoa dengan kedudukan atau postur badan tertentu?

10 Wajibkah kita berdoa dengan postur atau kedudukan tertentu? Tidak. Yehuwa tidak mengenakan sebarang syarat mengenai kedudukan tangan atau postur badan. Bible mengajarkan bahawa kita boleh berdoa dengan pelbagai postur badan. Contohnya, kita boleh duduk, membongkok, melutut, atau berdiri semasa berdoa. (1 Tawarikh 17:16; Nehemia 8:6; Daniel 6:11; Markus 11:25) Apa yang benar-benar penting bukanlah postur badan kita yang boleh dilihat oleh orang, tetapi sikap dan kecenderungan hati yang betul. Malah, kita boleh mengucapkan doa dalam hati kita di mana-mana sahaja, contohnya semasa menjalankan aktiviti harian atau apabila kita menghadapi bahaya dan kecemasan. Yehuwa akan mendengar doa kita walaupun orang di sekitar kita langsung tidak mengetahui bahawa kita sedang berdoa.​—Nehemia 2:1-6.

11. Apakah hal-hal peribadi yang sesuai didoakan?

11 Apakah yang boleh didoakan? Bible menjelaskan, “Dia [Yehuwa] mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya.” (1 Yohanes 5:14) Maka, kita boleh berdoa tentang apa-apa sahaja yang selaras dengan kehendak Tuhan. Adakah kehendak Tuhan merangkumi hal-hal peribadi yang merunsingkan kita? Sudah tentu! Menyampaikan doa kepada Yehuwa adalah seperti bercakap kepada seorang sahabat yang akrab. Kita boleh mencurahkan ‘segala kesusahan kita kepada-Nya.’ (Mazmur 62:9) Adalah sesuai jika kita memohon daya aktif-Nya kerana daya aktif Tuhan akan membantu kita untuk melakukan perkara yang betul. (Lukas 11:13) Kita juga boleh memohon bimbingan untuk membuat keputusan dengan bijak dan kekuatan untuk menangani kesusahan dengan berjaya. (Yakobus 1:5) Jika kita telah berdosa, kita harus meminta ampun atas dasar korban tebusan Kristus. (Efesus 1:3, 7) Sudah tentu, kita tidak patut berdoa tentang masalah-masalah peribadi sahaja. Kita patut berdoa untuk orang lain juga, contohnya ahli keluarga dan saudara saudari Kristian kita.​—Kisah 12:5; Kolose 4:12.

12. Bagaimanakah hal-hal yang berkaitan dengan Tuhan boleh diberi tumpuan utama dalam doa kita?

12 Hal-hal yang berkaitan dengan Tuhan Yehuwa patut diberi keutamaan dalam doa-doa kita. Sememangnya, kita mempunyai banyak sebab untuk memberi pujian dan kesyukuran atas segala kebaikan-Nya terhadap kita. (1 Tawarikh 29:10-13) Doa contoh yang diberikan oleh Yesus tercatat di Matius 6:9-13. Dalam doa itu, dia mengajar kita untuk berdoa agar nama Tuhan disucikan. Seterusnya, dia berdoa agar pemerintahan atau Kerajaan Tuhan datang dan kehendak-Nya dilakukan di bumi seperti di syurga. Hanya setelah Yesus menyentuh hal-hal penting yang berkaitan dengan Yehuwa, barulah dia memberikan perhatian kepada hal-hal peribadi. Seperti Yesus, jika kita mengutamakan Tuhan dalam doa kita, kita menunjukkan bahawa kita tidak mengambil berat akan kesejahteraan diri sendiri sahaja.

13. Berkenaan panjang doa, apakah yang dinyatakan dalam Bible?

13 Doa yang disampaikan harus berapa panjang? Bible tidak menetapkan batas masa untuk doa yang diucapkan secara peribadi atau secara umum. Doa yang diucapkan mungkin berupa doa singkat sebelum makan atau doa panjang yang diucapkan secara peribadi untuk mencurahkan isi hati kepada Yehuwa. (1 Samuel 1:12, 15) Walau bagaimanapun, Yesus mengutuk individu-individu yang menganggap diri alim kerana mereka mengucapkan doa yang panjang untuk menunjuk-nunjuk di depan orang lain. (Lukas 20:46, 47) Doa-doa sebegini tidak mendapat perkenan Yehuwa. Apa yang penting ialah doa kita diluahkan dari hati. Maka, panjang doa yang mendapat perkenan Tuhan mungkin berbeza-beza, bergantung pada keperluan dan keadaan.

Doa anda boleh didengari Tuhan pada bila-bila masa

14. Seperti yang dinyatakan di dalam Bible, apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan “berdoalah sentiasa,” dan mengapakah hal ini melegakan hati kita?

14 Berapa kerapkah kita patut berdoa? Bible menggalakkan kita untuk “berdoalah sentiasa.” (Roma 12:12; 1 Tesalonika 5:17) Sudah tentu, hal ini tidak bermaksud bahawa kita mesti berdoa kepada Yehuwa sehari suntuk. Sebaliknya, Bible sedang menggalakkan kita untuk berdoa secara tetap. Kita patut berdoa kepada Yehuwa untuk bimbingan, kelegaan hati, dan kekuatan. Kita juga patut mengucapkan syukur atas segala kebaikan-Nya. Tidakkah anda berasa lega hati kerana Yehuwa tidak mengehadkan kekerapan atau panjang doa-doa kita? Jika kita benar-benar menganggap doa sebagai suatu penghormatan, kita akan mencari kesempatan untuk berdoa kepada Bapa kita di syurga.

15. Mengapakah kita patut mengucapkan “Amin” pada akhir doa peribadi atau doa yang diucapkan di khalayak ramai?

15 Mengapakah kita patut mengucapkan “Amin” pada penghujung setiap doa? Perkataan “amin” bererti “pasti,” atau “semoga begitulah.” Contoh-contoh di dalam Bible menunjukkan bahawa kita patut mengucapkan “Amin” pada akhir doa peribadi atau doa umum. (1 Tawarikh 16:36; Mazmur 41:14) Dengan mengucapkan “Amin” pada akhir doa sendiri, kita menunjukkan bahawa apa yang diluahkan adalah benar-benar tulus. Apabila kita mengucapkan “Amin” pada akhir doa yang diucapkan di khalayak umum, kita menunjukkan bahawa kita bersetuju dengan apa yang telah didoakan. Ucapan “Amin” boleh diluahkan secara kuat atau di dalam hati.​—1 Korintus 14:16.

BAGAIMANA TUHAN MENJAWAB DOA KITA

16. Berhubung doa, kita boleh berasa yakin tentang apa?

16 Adakah Yehuwa benar-benar menjawab doa kita? Sudah tentu! Kita mempunyai asas yang kukuh untuk berasa yakin bahawa Yehuwa “mengabulkan doa” ikhlas yang diucapkan oleh berjuta-juta orang. (Mazmur 65:3) Yehuwa menggunakan pelbagai cara untuk menjawab doa-doa kita.

17. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Tuhan menggunakan malaikat-malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya untuk menjawab doa kita?

17 Yehuwa menggunakan malaikat-malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya di bumi untuk menjawab doa kita. (Ibrani 1:13, 14) Terdapat banyak pengalaman tentang individu yang berdoa kepada Tuhan untuk memohon bantuan bagi memahami Bible, dan tidak lama kemudian mereka dihubungi oleh salah seorang hamba Yehuwa. Pengalaman sedemikian membuktikan bahawa Tuhan menggunakan para malaikat dalam kerja penyebaran Kerajaan Tuhan. (Penyingkapan 14:6) Untuk menjawab doa yang disampaikan semasa kita benar-benar memerlukan bantuan, Yehuwa boleh menggerakkan hati seorang saudara atau saudari Kristian untuk membantu kita.​—Amsal 12:25; Yakobus 2:16.

Yehuwa boleh menjawab doa kita dengan menggerakkan hati seorang Kristian untuk membantu kita

18. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya dan Firman-Nya untuk menjawab doa hamba-hamba-Nya?

18 Tuhan Yehuwa juga menggunakan daya aktif dan Firman-Nya, iaitu Bible, untuk menjawab doa hamba-hamba-Nya. Jika kita berdoa untuk meminta bantuan bagi menghadapi cubaan, Tuhan mungkin menjawab doa kita dengan memberi kita bimbingan dan kekuatan melalui daya aktif-Nya. (2 Korintus 4:7) Sering kali, jawapan kepada doa kita boleh didapati di dalam Bible. Yehuwa menggunakan Bible untuk memberi kita bimbingan supaya membuat keputusan yang bijak. Ayat-ayat yang dapat membantu kita boleh dijumpai semasa kita mengadakan pembelajaran Bible peribadi dan semasa membaca bahan bacaan Kristian, seperti buku ini. Nasihat daripada Bible yang perlu kita renungi mungkin diperoleh semasa menghadiri perjumpaan, atau semasa mendengar kata-kata seorang penatua yang prihatin.​—Galatia 6:1.

19. Apakah yang harus kita ingat jika doa-doa kita nampaknya tidak dijawab oleh Tuhan?

19 Jika doa-doa kita nampaknya lambat dijawab oleh Yehuwa, hal ini bukanlah kerana Dia tidak terdaya untuk menjawab doa-doa kita. Sebaliknya, kita mesti ingat bahawa Yehuwa menjawab doa-doa kita mengikut kehendak-Nya dan pada masa yang sesuai seperti yang telah ditentukan oleh-Nya. Dia mengetahui keperluan kita serta cara untuk memenuhi keperluan itu dalam cara yang jauh lebih baik daripada kita sendiri. Sering kali, Dia mengizinkan kita untuk terus ‘meminta, mencari, dan mengetuk.’ (Lukas 11:5-10) Ketabahan sedemikian menunjukkan bahawa hasrat kita adalah kuat dan kepercayaan kita adalah tulus. Tambahan lagi, kita tidak dapat menduga cara Yehuwa menjawab doa kita. Sebagai contoh, selepas kita berdoa tentang cubaan tertentu, Dia mungkin tidak menyingkirkan cubaan kita tetapi memberikan kekuatan yang diperlukan supaya kita dapat bertahan.​—Filipi 4:13.

20. Mengapakah kita patut berdoa kepada Yehuwa secara tetap?

20 Alangkah syukurnya kita kerana Pencipta alam semesta ini dekat kepada semua orang yang berdoa kepada-Nya mengikut cara yang betul! (Mazmur 145:18) Kita patut berdoa kepada Yehuwa secara tetap kerana peluang untuk berdoa kepada-Nya merupakan penghormatan yang istimewa. Jika kita terus berbuat demikian, kita akan bersukacita kerana dapat mengeratkan lagi hubungan kita dengan Yehuwa, Pendengar doa kita.