Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Yesus Kristus​—Mesias yang Dijanjikan

Yesus Kristus​—Mesias yang Dijanjikan

UNTUK membantu kita mengenal pasti identiti Mesias, Tuhan Yehuwa mengilhami banyak penubuat untuk membekalkan kita dengan butiran terperinci mengenai kelahiran, aktiviti penyebaran, dan kematian Penyelamat yang dijanjikan. Semua nubuat Bible ini digenapi dalam diri Yesus Kristus, dan adalah sangat tepat serta terperinci. Sebagai contoh, mari kita bincangkan beberapa nubuat mengenai peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan kelahiran Mesias serta zaman kanak-kanaknya.

Penubuat Yesaya telah menubuatkan bahawa Mesias akan datang daripada keturunan Raja Daud. (Yesaya 9:6) Yesus memang dilahirkan dalam keturunan Daud.​—Matius 1:1, 6-17.

Mikha, seorang lagi penubuat Tuhan telah menubuatkan bahawa anak ini akan menjadi seorang pemerintah dan dia akan dilahirkan di “Betlehem Efrata.” (Mikha 5:1) Semasa Yesus dilahirkan, terdapat dua kota di Israel yang dinamakan Betlehem. Sebuah kota terletak berhampiran Nasaret, iaitu di kawasan utara Israel, dan sebuah lagi kota terletak berhampiran Yerusalem di Yudea. Nama lama bagi kota Betlehem yang terletak berhampiran dengan Yerusalem ialah Efrata. Tepat seperti yang telah dinubuatkan, Yesus dilahirkan di kota itu!​—Matius 2:1.

Satu lagi nubuat Bible menyatakan bahawa Anak Tuhan akan dipanggil “keluar dari Mesir.” Semasa Yesus masih kecil, dia dibawa ke Mesir. Dia dibawa balik selepas kematian Herodes, dan dengan demikian, nubuat ini menjadi kenyataan.​—Hosea 11:1; Matius 2:15.

Dalam  jadual yang bertajuk “Nubuat mengenai Mesias,” ayat Bible yang disenaraikan di bawah tajuk kecil “Nubuat” mengandungi butiran tentang Mesias. Sila bandingkan ayat Bible yang tercatat di ruangan ini dengan ayat Bible yang disenaraikan di bawah tajuk kecil “Penggenapan.” Dengan berbuat demikian, kepercayaan anda dalam kebenaran Firman Tuhan akan menjadi semakin kuat.

Seraya anda meneliti ayat-ayat Bible ini, ingatlah bahawa nubuat-nubuat ini dirakamkan ratusan tahun sebelum Yesus dilahirkan. Yesus menyatakan, ‘Setiap perkara yang tertulis tentang diriku di dalam Taurat Musa, Kitab Penubuat-Penubuat dan Mazmur mesti berlaku.’ (Lukas 24:44) Seperti yang ditunjukkan dalam Bible, setiap butiran nubuat ini telah digenapi dengan terperinci!