Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Apakah Itu Hari Penghakiman?

Apakah Itu Hari Penghakiman?

APAKAH yang terbayang di minda anda semasa Hari Penghakiman disebut? Ramai berpendapat bahawa berbilion-bilion orang, iaitu seorang demi seorang, akan dibawa ke hadirat Tuhan untuk dihakimi. Sesetengah orang diberkati dan dapat hidup bahagia di syurga. Yang lain pula dihukum dan akan diseksa untuk selama-lamanya. Walau bagaimanapun, gambaran Bible tentang Hari Penghakiman adalah sangat berbeza. Firman Tuhan tidak menggambarkan Hari Penghakiman sebagai masa yang mengerikan. Sebaliknya, Hari Penghakiman digambarkan sebagai masa yang penuh harapan dan pemulihan.

Kita diberi gambaran tentang Hari Penghakiman oleh hawari Yohanes di Penyingkapan 20:11, 12 (ABB). Dia berkata, “Aku nampak sebuah takhta besar berwarna putih dan Dia yang duduk di atasnya. Langit dan bumi lari dari hadirat-Nya, sehingga tidak kelihatan lagi. Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan sebuah kitab lain juga dibuka iaitu Kitab Orang Hidup. Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu.” Siapakah Hakim yang digambarkan ini?

Tuhan Yehuwa ialah Hakim tertinggi bagi umat manusia. Walau bagaimanapun, Dia menugaskan kerja dan kuasa untuk menghakimi manusia kepada wakil-Nya. Menurut apa yang tercatat di Kisah 17:31, hawari Paulus menyatakan bahawa Tuhan telah “menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil” dan “tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya.” Hakim yang telah dipilih-Nya ialah Yesus Kristus yang telah dibangkitkan daripada kematian. (Yohanes 5:22) Tetapi, bilakah Hari Penghakiman akan bermula? Berapa lamakah tempoh Hari Penghakiman ini?

Buku Penyingkapan menunjukkan bahawa sistem dunia Syaitan akan dibinasakan semasa perang Armagedon. Kemudian, Hari Penghakiman akan bermula. * (Penyingkapan 16:14, 16; 19:19–20:3) Selepas perang Armagedon, Syaitan dan roh-roh jahatnya akan dipenjarakan di sebuah jurang yang dalam selama seribu tahun. Sepanjang masa itu, 144,000 orang yang dipilih oleh Tuhan untuk ke syurga akan menjadi hakim dan “memerintah sebagai raja bersama-sama Kristus selama seribu tahun.” (Penyingkapan 14:1-3; 20:1-4; Roma 8:17) Hari Penghakiman bukanlah satu peristiwa singkat yang akan berlangsung selama 24 jam. Tempohnya ialah seribu tahun.

Sepanjang tempoh seribu tahun itu, Yesus Kristus akan “menghakimi orang yang hidup dan yang mati.” (2 Timotius 4:1) “Orang yang hidup” merujuk kepada kumpulan besar manusia yang selamat mengharungi perang Armagedon. (Penyingkapan 7:9-17) Hawari Yohanes juga nampak “orang yang sudah mati . . . berdiri di hadapan takhta” penghakiman. Seperti yang telah dijanjikan oleh Yesus, “orang mati akan mendengar suara [Kristus], lalu keluar dari kubur” semasa pembangkitan. (Yohanes 5:28, 29; Kisah 24:15) Tetapi, apakah dasar yang akan digunakan untuk menghakimi semua orang?

Menurut penglihatan hawari Yohanes, gulungan atau “kitab-kitab pun dibuka,” dan “orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu.” Adakah “kitab-kitab” ini mengandungi catatan tentang apa yang telah dilakukan oleh mereka sebelum mereka mati? Tidak. Penghakiman ini tidak berdasarkan apa yang telah dilakukan sebelum mereka mati. Bagaimanakah kita mengetahui hal ini? Bible menyatakan, “Apabila seseorang mati, dia dibebaskan daripada kuasa dosa.” (Roma 6:7, ABB) Jadi, mereka yang telah dibangkitkan seolah-olah mempunyai lembaran baru yang bersih. “Kitab-kitab” ini sebenarnya melambangkan perkara tambahan yang dikehendaki oleh Tuhan daripada kita. Untuk mendapat kehidupan yang kekal, mereka yang selamat mengharungi perang Armagedon serta mereka yang dibangkitkan mesti mematuhi perintah Yehuwa, termasuklah perintah-perintah baru yang akan disingkapkan oleh-Nya semasa seribu tahun itu. Maka, setiap individu akan dihakimi berdasarkan apa yang dilakukan oleh mereka semasa Hari Penghakiman.

Semasa Hari Penghakiman, berbilion-bilion orang diberi peluang buat pertama kali untuk mempelajari kehendak Tuhan lalu menyelaraskan diri dengan kehendak-Nya. Hal ini bererti kerja pendidikan akan dijalankan secara besar-besaran. Ya, “apabila [Tuhan] menghakimi bumi kelak, penduduknya akan mengetahui makna keadilan.” (Yesaya 26:9) Walau bagaimanapun, bukan semua orang akan mengikut kehendak Tuhan. Yesaya 26:10 (ABB) menyatakan, “Walaupun orang jahat diperlakukan dengan baik, namun mereka tidak juga berbuat yang adil. Bahkan di negeri umat yang jujur, mereka tetap berlaku curang, dan tidak mengakui keagungan-Mu.” Orang fasiq ini akan dibinasakan untuk selama-lamanya semasa Hari Penghakiman.​—Yesaya 65:20.

Menjelang akhir Hari Penghakiman, manusia yang terselamat akan “hidup semula” sebagai manusia yang sempurna. (Penyingkapan 20:5) Hal ini bererti bahawa semasa Hari Penghakiman, manusia akan dipulihkan kepada keadaan asal, iaitu mereka akan menjadi sempurna. (1 Korintus 15:24-28) Kemudian, ujian terakhir akan berlangsung. Syaitan akan dibebaskan dan diizinkan untuk menyesatkan umat manusia buat kali terakhir. (Penyingkapan 20:3, 7-10) Mereka yang melawan Syaitan akan menikmati penggenapan lengkap janji Bible, “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.” (Mazmur 37:29, ABB) Ya, Hari Penghakiman akan membawa berkat kepada semua manusia yang setia kepada Tuhan!

^ per. 2 Berkenaan perang Armagedon, sila lihat buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 1, muka surat 594-595, 1037-1038, dan bab 20 dalam buku “Sembahlah Tuhan” (Worship the Only True God). Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.