Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

1914​—Tahun yang Penting dalam Nubuat Bible

1914​—Tahun yang Penting dalam Nubuat Bible

BERDEKAD-DEKAD sebelum tahun 1914, pelajar Bible telah mengumumkan bahawa perkembangan yang penting akan berlaku pada tahun 1914. Apakah perkembangan-perkembangan yang dimaksudkan, dan apakah bukti yang menunjukkan bahawa tahun 1914 merupakan tahun yang sangat penting?

Seperti yang tercatat di Lukas 21:24, Yesus berkata, ‘Bangsa yang tidak mengenal Tuhan akan menginjak-injak Yerusalem sehingga habis masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka.’ Pada masa dahulu, Yerusalem ialah ibu kota bangsa Yahudi. Yerusalem juga merupakan pusat pemerintahan bagi raja-raja daripada keturunan Raja Daud. (Mazmur 48:2, 3) Tetapi, raja-raja ini berbeza daripada pemimpin bangsa yang lain. Mereka “naik takhta yang telah ditetapkan oleh [Yehuwa].” Dengan demikian, mereka menjadi wakil Tuhan. (1 Tawarikh 29:23) Maka, Yerusalem menjadi lambang bagi pemerintahan Yehuwa.

Namun, bagaimanakah ‘bangsa yang tidak mengenal Tuhan’ mula “menginjak-injak” pemerintahan-Nya? Bilakah hal ini berlaku? Hal ini berlaku pada tahun 607 SM apabila Yerusalem ditawan oleh orang Babilon. “Takhta yang telah ditetapkan oleh [Yehuwa]” menjadi kosong, dan jurai raja-raja daripada keturunan Daud terputus. (2 Raja-Raja 25:1-26) Adakah ‘injak-injakan’ ini akan berterusan untuk selama-lamanya? Tidak. Malaikat Gabriel memberitahu Maria bahawa Yesus ‘akan dijadikan raja seperti Daud, nenek moyangnya.’ (Lukas 1:32, 33) Maka, ‘injak-injakan’ ini akan berakhir semasa Yesus menjadi Raja.

Bilakah peristiwa yang penting ini akan berlaku? Yesus menunjukkan bahawa pemerintahan ‘bangsa yang tidak mengenal Tuhan’ akan berlanjutan untuk suatu tempoh masa yang ditentukan. Kisah di Daniel bab 4 merupakan kunci kepada pengetahuan tentang panjang tempoh masa itu. Kisah ini berkaitan dengan nubuat berupa mimpi yang dialami oleh raja Babilon, iaitu Raja Nebukadnezar. Dia nampak sebatang pokok besar yang ditebang. Tunggul pokok yang tertinggal tidak dapat bertumbuh kerana diikat dengan rantai besi dan gangsa. Tunggul pokok itu diikat “selama tujuh tahun.”​Daniel 4:10-16.

Di dalam Bible, pokok kadangkala digunakan untuk melambangkan pemerintahan. (Yehezkiel 17:22-24; 31:2-5) Maka, penebangan pokok simbolik ini menunjukkan bagaimana pemerintahan Tuhan, yang diwakili oleh raja-raja di Yerusalem, akan berhenti buat sementara. Walau bagaimanapun, penglihatan ini juga menunjukkan bahawa ‘injak-injakan Yerusalem’ hanyalah sementara, dan akan berlanjutan selama “tujuh tahun.” Dalam nubuat-nubuat Bible, perkataan “tahun” yang digunakan bukanlah merujuk kepada tahun secara harfiah. Jadi, berapa panjangkah tempoh masa ini?

Penyingkapan 12:6, 14 memberi petunjuk kepada kita. Ayat ini menunjukkan bahawa tiga tahun setengah adalah sama dengan “1,260 hari.” Oleh itu, “tujuh tahun” adalah dua kali lebih panjang, iaitu selama 2,520 hari. Tetapi ‘bangsa yang tidak mengenal Tuhan’ masih “menginjak-injak” pemerintahan Tuhan 2,520 hari setelah Yerusalem ditawan. Maka adalah jelas bahawa nubuat ini meliputi jangka masa yang lebih panjang. Berdasarkan ayat di Bilangan 14:34 dan Yehezkiel 4:6, satu hari melambangkan satu tahun. Maka 2,520 hari ini merujuk kepada 2,520 tahun.

Tempoh 2,520 tahun ini bermula pada bulan Oktober 607 SM, iaitu semasa Yerusalem ditakluki oleh orang Babilon dan raja daripada keturunan Daud diturunkan dari takhta. Tempoh masa ini berakhir pada bulan Oktober 1914. Pada masa itu, ‘masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka [bangsa yang tidak mengenal Tuhan]’ telah berakhir, dan Yesus Kristus ditabalkan sebagai Raja Kerajaan Tuhan di syurga. *​—Mazmur 2:1-6; Daniel 7:13, 14.

Tepat seperti yang dinubuatkan oleh Yesus, kehadirannya sebagai Raja di syurga dapat diketahui melalui perkembangan-perkembangan ketara di bumi seperti peperangan, kebuluran, gempa bumi, dan wabak. (Matius 24:3-8; Lukas 21:11) Perkembangan-perkembangan sedemikian merupakan bukti kukuh yang menunjukkan bahawa tahun 1914 sememangnya menandakan kelahiran Kerajaan Tuhan di syurga dan permulaan “hari-hari terakhir” sistem dunia yang fasiq ini.​—2 Timotius 3:1-5.

^ per. 1 Dari Oktober 607 SM hingga Oktober 1 SM ialah 606 tahun. Oleh sebab tahun sifar tidak wujud, dari Oktober 1 SM hingga Oktober 1914 M ialah 1,914 tahun. Jika 606 tahun dan 1,914 tahun ditambah, kita mendapat jumlah 2,520 tahun. Untuk maklumat lanjut mengenai kejatuhan kota Yerusalem pada tahun 607 SM, sila lihat buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures, tajuk kecil “Chronology”) yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.