Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Siapakah Mikhael, Ketua Malaikat di Syurga?

Siapakah Mikhael, Ketua Malaikat di Syurga?

MAKHLUK roh yang bernama Mikhael jarang disebut di dalam Bible. Namun, ayat-ayat Bible yang menyebut tentangnya menunjukkan bahawa dia sedang giat melakukan sesuatu. Contohnya, di dalam buku Daniel, Mikhael sedang melawan malaikat-malaikat yang jahat; dalam surat Yudas, dia sedang berbalah dengan Syaitan; dan dalam buku Penyingkapan, dia sedang berperang dengan Si Iblis dan roh-roh jahat. Oleh sebab dia membela pemerintahan Yehuwa dan melawan musuh-musuh Tuhan, Mikhael hidup selaras dengan erti namanya, iaitu “Siapa Seperti Tuhan?” Tetapi, siapakah Mikhael?

Adakalanya, sesetengah individu mempunyai lebih daripada satu nama. Sebagai contoh, Yakub juga dikenali sebagai Israel, dan hawari Petrus juga dikenali sebagai Simon. (Kejadian 49:1, 2; Matius 10:2) Dalam cara yang sama, Bible menunjukkan bahawa Mikhael merupakan nama lain bagi Yesus Kristus, sebelum dia datang ke bumi dan selepas dia naik ke syurga. Mari kita lihat beberapa sebab kita dapat membuat kesimpulan ini berdasarkan Bible.

Ketua Malaikat. Firman Tuhan menyatakan bahawa Mikhael ialah “ketua malaikat.” (Yudas 9) Ungkapan “ketua malaikat” di dalam Bible hanya digunakan untuk merujuk kepada satu individu, dan tidak pernah digunakan dalam bentuk jamak. Maka, hal ini menunjukkan bahawa hanya satu malaikat dipanggil “ketua malaikat.” Tambahan lagi, Bible menunjukkan bahawa Yesus menyandang kedudukan ketua malaikat ini. Mengenai Tuan Yesus Kristus yang telah dibangkitkan, 1 Tesalonika 4:16 dalam New World Translation of the Holy Scriptures menyatakan, “Tuan sendiri akan turun dari syurga dengan seruan yang kuat, dengan suara ketua malaikat dan dengan trompet Tuhan.” Oleh sebab suara Yesus digambarkan sebagai suara ketua malaikat, kita dapat menyimpulkan bahawa Yesus ialah ketua malaikat yang bernama Mikhael.

Ketua Pasukan Tentera. Bible menyatakan bahawa “Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu . . . yang dibantu oleh malaikat-malaikatnya.” (Penyingkapan 12:7) Maka jelaslah bahawa Mikhael ialah Ketua pasukan tentera yang terdiri daripada malaikat-malaikat yang setia. Buku Penyingkapan juga menggambarkan Yesus sebagai Ketua pasukan tentera yang terdiri daripada malaikat-malaikat yang setia. (Penyingkapan 19:14-16) Tambahan lagi, hawari Paulus secara khususnya merujuk kepada Yesus dan ‘malaikat-malaikatnya yang perkasa.’ (2 Tesalonika 1:7) Jadi Bible menyebut tentang Mikhael dan “malaikat-malaikatnya” serta Yesus dan ‘malaikat-malaikatnya.’ (Matius 13:41; 16:27; 24:31; 1 Petrus 3:22) Adakah mana-mana ayat dalam Firman Tuhan menunjukkan bahawa terdapat dua pasukan malaikat yang setia di syurga? Tidak. Bible tidak pernah menunjukkan bahawa satu pasukan tentera diketuai oleh Mikhael dan satu lagi diketuai oleh Yesus. Maka wajarlah kita menyimpulkan bahawa Mikhael sebenarnya merujuk kepada Yesus Kristus apabila dia berada di syurga. *

^ per. 3 Maklumat lanjut yang menunjukkan bahawa nama Mikhael merujuk kepada Anak Tuhan boleh didapati di dalam buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 2, muka surat 393-394 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.