Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 1

‘Mengasihi Tuhan’—Apakah Ertinya?

‘Mengasihi Tuhan’—Apakah Ertinya?

‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.’1 YOHANES 5:3, ABB.

1, 2. Apakah yang mendorong anda untuk mengasihi Tuhan Yehuwa?

ADAKAH anda mengasihi Tuhan? Jika anda telah membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa, anda tentu menjawab “Ya!” Sebenarnya, kasih kita kepada Yehuwa bukan sesuatu yang menghairankan. Kasih yang kita tunjukkan merupakan balasan kepada kasih yang telah ditunjukkan oleh Tuhan. Bible menyatakan, ‘Kita mengasihi kerana Tuhan [Yehuwa] mengasihi kita terlebih dahulu.’1 Yohanes 4:19, ABB.

2 Yehuwa telah mengambil langkah pertama untuk menunjukkan kasih-Nya kepada kita. Dia memberi kita kediaman yang indah di bumi. Dia menjaga keperluan fizikal dan kebendaan kita. (Matius 5:43-48) Yang lebih penting, Dia menjaga keperluan rohani kita. Dia memberi kita Firman-Nya, Bible. Tambahan lagi, Dia mengundang kita untuk berdoa kepada-Nya dengan jaminan bahawa Dia akan mendengar kita dan akan membantu kita melalui daya aktif-Nya. (Mazmur 65:3; Lukas 11:13) Yang paling penting, Dia telah mengutus Anak-Nya yang paling dikasihi ke bumi untuk membebaskan kita daripada dosa dan kematian. Alangkah dalamnya kasih yang diperlihatkan oleh Yehuwa kepada kita!Yohanes 3:16; Roma 5:8.

3. (a) Untuk tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan, apakah yang perlu kita lakukan? (b) Apakah soalan penting yang perlu kita tanya, dan dari manakah kita boleh mendapat jawapannya?

3 Yehuwa ingin kita memperoleh manfaat yang kekal daripada kasih-Nya. Tetapi, sama ada kita memperoleh manfaat atau tidak bergantung pada diri kita. Firman Tuhan menyeru kita, ‘Hendaklah kamu hidup di bawah naungan kasih Tuhan sementara menantikan hidup sejati dan kekal.’ (Yudas 21) Untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan, usaha perlu dicurahkan. Kita perlu membalas kasih Tuhan dalam cara yang nyata dan spesifik. Maka, satu soalan penting yang perlu kita tanya ialah, “Bagaimanakah saya boleh memperlihatkan kasih kepada Tuhan?” Jawapannya terkandung dalam kata-kata hawari Yohanes yang terilham, ‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.’ (1 Yohanes 5:3, ABB) Kita perlu meneliti erti di sebalik kata-kata ini kerana kita ingin menunjukkan kepada Tuhan betapa dalamnya kasih kita terhadap-Nya.

‘MENGASIHI TUHAN’

4, 5. Jelaskan bagaimana kasih untuk Yehuwa mula berputik di hati anda.

4 Apakah yang dimaksudkan oleh hawari Yohanes apabila dia menggunakan ungkapan ‘mengasihi Tuhan’? Dia sedang merujuk kepada kasih kita kepada Tuhan. Ingatkah anda bila kasih kepada Yehuwa mula berputik di hati?

Pembaktian dan pembaptisan menandakan bermulanya kehidupan yang mencerminkan kasih serta kepatuhan kepada Yehuwa

5 Cuba renung kembali saat anda mula mempelajari kebenaran tentang Yehuwa dan tujuan-Nya, dan anda mula menaruh kepercayaan kepada-Nya. Anda memahami bahawa anda dilahirkan sebagai seorang pendosa yang tidak mengenal Tuhan. Tetapi Yehuwa melalui Kristus telah membuka jalan supaya anda memperoleh kembali kehidupan kekal serta kesempurnaan yang dihilangkan oleh Adam. (Matius 20:28; Roma 5:12, 18) Anda mula menghargai pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Yehuwa dengan mengutus Anak kesayangan-Nya untuk mati bagi anda. Anda berasa terharu, dan kasih kepada Tuhan mula berputik di hati kerana Dia telah menunjukkan kasih yang begitu mendalam kepada anda.1 Yohanes 4:9, 10.

6. Bagaimanakah kasih sejati diperlihatkan, dan kasih untuk Tuhan mendorong anda untuk melakukan apa?

6 Namun, kasih terhadap Yehuwa yang berputik di hati anda hanyalah satu permulaan. Kasih sejati bukanlah sekadar perasaan di hati mahupun ucapan di bibir; sekadar berkata, “Saya mengasihi Yehuwa” tidak mencukupi. Seperti kepercayaan, kasih sejati diperlihatkan melalui perbuatan. (Yakobus 2:26) Sebagai contoh, jika kita mengasihi seseorang, kita akan melakukan perkara yang menyenangkan hatinya. Dalam cara yang sama, jika kasih bagi Yehuwa telah berakar di hati, anda akan didorong untuk hidup dalam cara yang menyenangkan hati Bapa anda di syurga. Adakah anda seorang Saksi yang sudah dibaptis? Jika ya, kasih yang mendalam serta kesetiaan kepada Yehuwa telah mendorong anda untuk membuat pilihan yang terpenting dalam kehidupan. Anda membaktikan diri kepada Yehuwa untuk melakukan kehendak-Nya dan kemudiannya melambangkan pembaktian anda dengan pembaptisan. (Roma 14:7, 8) Bagaimanakah anda dapat memenuhi janji anda kepada Yehuwa? Perhatikan apa yang dikatakan oleh hawari Yohanes.

‘KITA MENTAATI PERINTAH TUHAN’

7. Nyatakan beberapa perintah Tuhan, dan apakah maksudnya mentaati perintah Tuhan?

7 Yohanes menjelaskan bahawa jika kita mengasihi Tuhan, kita akan ‘mentaati perintah-Nya.’ Apakah perintah-perintah Tuhan? Yehuwa memberikan sebilangan perintah yang khusus melalui Firman-Nya, Bible. Sebagai contoh, Dia melarang perbuatan seperti pemabukan, perbuatan seksual yang haram, penyembahan berhala, pencurian, dan pembohongan. (1 Korintus 5:11; 6:18; 10:14; Efesus 4:28; Kolose 3:9) Mentaati perintah Tuhan bermaksud kita hidup selaras dengan piawaian moral yang jelas tertulis di dalam Bible.

8, 9. Walaupun ada situasi yang mana tidak terdapat hukum Bible yang spesifik, bagaimanakah kita dapat tahu apa yang menyenangkan hati Yehuwa? Berikan contoh.

8 Walau bagaimanapun, untuk menyenangkan hati Yehuwa, sekadar mematuhi perintah Bible yang spesifik tidak mencukupi. Yehuwa tidak mengekang kebebasan kita dengan memberikan hukum-hukum yang mengawal setiap aspek kehidupan seharian kita. Maka, setiap hari kita mungkin berdepan dengan situasi yang mana tidak terdapat perintah Bible yang khusus untuk membimbing kita. Dalam situasi sedemikian, bagaimanakah kita dapat mengetahui apa yang akan menyenangkan hati Yehuwa? Cara pemikiran Tuhan jelas tersingkap di dalam Bible. Seraya kita mempelajari Bible, kita akan mengetahui apa yang dicintai dan apa yang dibenci oleh Yehuwa. (Mazmur 97:10; Amsal 6:16-19) Kita akan memahami sikap dan perbuatan yang dihargai-Nya. Semakin banyak kita belajar tentang keperibadian Yehuwa dan cara Dia bertindak, semakin banyak kita akan dipengaruhi oleh fikiran Tuhan dalam pilihan serta perbuatan kita. Jadi, walaupun ada situasi yang mana tidak terdapat hukum Bible yang spesifik, selalunya kita dapat “mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan.”Efesus 5:17.

9 Sebagai contoh, Bible tidak mengandungi perintah spesifik yang melarang kita menonton wayang atau rancangan televisyen yang mengandungi unsur keganasan atau perbuatan seks yang tidak bermoral. Tetapi, adakah kita benar-benar memerlukan hukum yang spesifik mengenai perkara ini? Kita tahu pandangan Yehuwa tentang hal-hal ini. Firman-Nya jelas menyatakan, “[Yehuwa] sangat membenci orang yang mencintai keganasan.” (Mazmur 11:5) Firman-Nya juga menyatakan, ‘Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina.’ (Ibrani 13:4) Dengan merenungkan kata-kata yang terilham ini, kita dapat mengetahui kehendak Yehuwa dengan jelas. Maka kita tidak akan memilih hiburan yang memaparkan perbuatan yang dibenci oleh Tuhan kita. Kita tahu bahawa Yehuwa senang hati apabila kita enggan dihiburkan oleh kenajisan moral sistem dunia ini yang kononnya tidak memudaratkan. *

10, 11. Mengapakah kita memilih untuk mematuhi Yehuwa dalam kehidupan seharian, dan bagaimanakah kita harus memperlihatkan kepatuhan?

10 Apakah sebab utama kita mematuhi perintah Tuhan? Mengapakah kita ingin menjalani kehidupan seharian selaras dengan cara pemikiran Tuhan? Kita tidak berbuat demikian hanya untuk mengelakkan hukuman atau kesan buruk yang menimpa mereka yang tidak mengendahkan kehendak Tuhan. (Galatia 6:7) Sebaliknya, kita menganggap kepatuhan kita kepada Yehuwa sebagai peluang yang baik untuk menunjukkan bahawa kita mengasihi-Nya. Seperti seorang anak yang ingin sekali menyenangkan hati bapanya, kita juga ingin menyenangkan hati Yehuwa. (Mazmur 5:13) Dia merupakan Bapa kita, dan kita mengasihi-Nya. Tidak ada apa-apa yang membawa sukacita yang lebih besar atau kepuasan yang lebih mendalam daripada mengetahui bahawa cara hidup kita diperkenankan Yehuwa.Amsal 12:2.

11 Maka, kita tidak mematuhi Tuhan dengan berat hati. * Kepatuhan kita tidak bersyarat atau mengikut keadaan. Kita tidak mematuhi perintah Tuhan dengan sesuka hati, atau hanya jika mudah untuk berbuat demikian. Sebaliknya, kita patuh kepada-Nya “dengan sepenuh hati.” (Roma 6:17) Perasaan kita adalah seperti penulis mazmur yang menyatakan, “Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu.” (Mazmur 119:47, ABB) Ya, kita gemar mematuhi Yehuwa. Kita sedar bahawa Dia layak dipatuhi dengan sepenuh hati dan tanpa syarat, dan Dia menghendaki kita berbuat demikian. (Ulangan 12:32) Kita ingin Yehuwa memuji kita sepertimana Dia memuji Nuh yang setia. Mengenai Nuh yang menunjukkan kasihnya kepada Tuhan dengan mematuhi-Nya selama berpuluh-puluh tahun, Bible menyatakan, ‘Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Tuhan.’Kejadian 6:22, ABB.

12. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kepatuhan yang menggembirakan hati Yehuwa?

12 Apakah perasaan Yehuwa apabila kita mematuhi-Nya dengan rela hati? Firman-Nya menyatakan bahawa kita akan menggembirakan hati-Nya. (Amsal 27:11) Dapatkah kepatuhan kita benar-benar menggembirakan hati Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat? Sudah tentu! Mengapakah kita boleh berkata demikian? Yehuwa telah menciptakan kita sebagai individu yang memiliki kebebasan untuk membuat pilihan. Hal ini bermaksud kita boleh memilih untuk mematuhi Tuhan atau memilih untuk mengingkari-Nya. (Ulangan 30:15, 16, 19, 20) Jika kita mematuhi Yehuwa dengan rela dan jika kepatuhan kita didorong oleh hati yang penuh kasih sayang, kita dapat membawa kegembiraan serta sukacita yang besar kepada Bapa kita di syurga. (Amsal 11:20) Bukan itu sahaja, dengan berbuat demikian kita sedang memilih jalan hidup yang terbaik.

“PERINTAHNYA PUN TIDAK TERLALU SUSAH BAGI KITA”

13, 14. Mengapakah boleh dikatakan bahawa perintah Tuhan “tidak terlalu susah bagi kita”? Berikan contoh.

13 Apa yang dinyatakan oleh hawari Yohanes tentang perintah Yehuwa melegakan hati kita. Dia berkata, “Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.” Perkataan Yunani yang diterjemahkan “susah” di 1 Yohanes 5:3 secara harfiah bermaksud “berat.” * Satu lagi terjemahan menyatakan, “Perintah-Nya tidak membebankan.” (NW) Apa yang dikehendaki Yehuwa daripada kita adalah munasabah dan tidak membebankan. Bahkan manusia yang tidak sempurna pun dapat mematuhi hukum-Nya.

14 Sebagai contoh, kawan baik anda meminta pertolongan anda apabila dia berpindah rumah. Terdapat banyak kotak yang perlu dipindahkan. Beberapa kotak ini cukup ringan untuk diangkat oleh satu orang. Tetapi kotak yang lain berat dan perlu diangkat oleh dua orang. Kawan anda menentukan kotak mana yang dia mahu anda angkat. Adakah dia akan meminta anda mengangkat kotak yang terlalu berat? Tidak. Dia tentu tidak mahu anda tercedera. Dalam cara yang sama, Tuhan kita yang pengasih dan baik hati tidak memberi kita perintah yang terlalu susah untuk dipatuhi. (Ulangan 30:11-14) Dia tidak akan sekali-kali meminta kita menanggung beban yang terlalu berat. Yehuwa memahami keterbatasan kita kerana “Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka.”Mazmur 103:14, ABB.

15. Mengapakah kita boleh yakin bahawa perintah Yehuwa membawa manfaat yang terbesar kepada kita?

15 Perintah Yehuwa tidak susah atau membebankan. Sebaliknya, perintah-Nya membawa manfaat yang terbesar kepada kita. (Yesaya 48:17) Oleh itu, Musa dapat memberitahu orang Israel kuno, ‘Yehuwa, Tuhan kita memerintah kita untuk mentaati semua hukum itu, dan untuk menghormati Dia. Jika kita berbuat demikian, Dia akan sentiasa menjaga bangsa kita dan menjadikannya makmur.’ (Ulangan 6:24, ABB) Kita pun boleh yakin bahawa Yehuwa memberi kita hukum-Nya kerana Dia menginginkan yang terbaik untuk kita, dan mahu kita memperoleh manfaat sekarang dan untuk selama-lamanya. Mustahil Yehuwa akan memberikan perintah yang akan memudaratkan kita. Yehuwa ialah Tuhan yang mempunyai kebijaksanaan yang tidak ada batasnya. (Roma 11:33) Maka, Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Yehuwa juga merupakan personifikasi kasih. (1 Yohanes 4:8) Kasih, iaitu sifat-Nya yang terunggul, mempengaruhi segala yang dilakukan dan dikatakan oleh-Nya. Kasih merupakan dasar bagi semua perintah yang diberikan oleh Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.

16. Walaupun kita perlu berdepan dengan pengaruh dunia yang keji ini serta ketidaksempurnaan diri, mengapakah kita dapat mematuhi Tuhan dalam kehidupan seharian?

16 Tetapi hal ini tidak bermakna bahawa adalah senang bagi kita untuk mematuhi Tuhan. Kita mesti melawan pengaruh dunia yang keji ini yang berada “di bawah kuasa Iblis.” (1 Yohanes 5:19) Kita juga terpaksa bergelut dengan ketidaksempurnaan yang mendorong kita untuk melanggar hukum Tuhan. (Roma 7:21-25) Tetapi kasih untuk Tuhan dapat membantu kita berjaya dalam pergelutan ini. Yehuwa memberkati mereka yang mematuhi-Nya kerana ingin membuktikan kasih mereka terhadap-Nya. Dia memberikan daya aktif-Nya “kepada orang yang mentaati perintah-Nya.” (Kisah 5:32) Daya aktif Tuhan menolong kita memperlihatkan sifat-sifat indah yang dapat membantu kita mematuhi Tuhan dalam kehidupan seharian.Galatia 5:22, 23.

17, 18. (a) Apakah yang akan kita kaji dalam buku ini? Seraya kita berbuat demikian, apakah yang perlu kita ingat? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

17 Dalam buku ini, kita akan mengkaji prinsip-prinsip dan piawaian moral Yehuwa serta banyak petunjuk lain mengenai kehendak-Nya. Seraya kita berbuat demikian, kita perlu ingat beberapa perkara yang penting. Pertama, Yehuwa tidak memaksa kita mematuhi hukum-hukum dan prinsip-prinsip-Nya; Dia menginginkan kita mematuhi-Nya dengan rela hati. Kedua, Yehuwa mahu kita menjalani kehidupan dalam cara yang akan membawa berkat yang melimpah sekarang, dan kehidupan kekal pada masa hadapan. Dan ketiga, apabila kita mematuhi Yehuwa dengan segenap hati, kita menunjukkan bahawa kita sangat mengasihi-Nya.

18 Yehuwa dengan penuh kasih sayang telah mengurniai kita hati nurani untuk membantu kita membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. Tetapi, hati nurani kita perlu dilatih agar dapat membimbing kita dengan baik. Hal ini akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya.

^ per. 9 Untuk perbincangan mengenai cara memilih hiburan yang baik dan membina, sila lihat Bab 6 dalam buku ini.

^ per. 11 Roh-roh jahat juga boleh mematuhi Yesus dengan berat hati. Apabila Yesus memerintahkan roh-roh jahat keluar daripada beberapa orang yang dirasuk, roh-roh jahat tersebut terpaksa mengakui kekuasaan Yesus dan mematuhinya, walaupun mereka berat hati untuk berbuat demikian.Markus 1:27; 5:7-13.

^ per. 13 Di Matius 23:4, perkataan ini digunakan untuk menggambarkan “beban yang berat,” iaitu peraturan-peraturan terperinci serta adat istiadat buatan manusia yang dikenakan oleh guru-guru Taurat dan orang Farisi ke atas rakyat biasa.