Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 8

Tuhan Mengasihi Orang yang Bersih

Tuhan Mengasihi Orang yang Bersih

“Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci.”MAZMUR 18:27.

1-3. (a) Mengapakah seorang ibu memastikan anaknya bersih dan kemas? (b) Mengapakah Yehuwa mahu penyembah-Nya bersih, dan apakah yang mendorong kita untuk tetap bersih?

SEBELUM membawa anaknya keluar, seorang ibu memastikan bahawa anaknya sudah mandi dan pakaiannya bersih dan kemas. Dia tahu bahawa kebersihan sangat penting bagi kesihatan anaknya. Dia juga sedar bahawa penampilan anaknya akan mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap dia dan suaminya.

2 Yehuwa, Bapa kita di syurga, mahu hamba-hamba-Nya bersih. Firman-Nya memberitahu kita, “Engkau menyatakan diri-Mu suci [atau, bersih] kepada orang yang suci [atau, bersih].” * (Mazmur 18:27) Yehuwa mengasihi kita, dan Dia tahu bahawa kebersihan membawa manfaat besar kepada kita. Dia juga menghendaki Saksi-Saksi-Nya mengharumkan nama-Nya. Sudah tentu, kita tidak mahu mengaibkan nama-Nya yang suci. Penampilan kita yang bersih dan kelakuan kita yang baik akan memuliakan Yehuwa.Yehezkiel 36:22; 1 Petrus 2:12.

3 Dengan mengetahui bahawa Tuhan mengasihi orang yang bersih, kita didorong untuk memelihara kebersihan. Kita mahu cara hidup kita memuliakan-Nya kerana kita mengasihi-Nya. Kita juga ingin terus hidup di bawah naungan kasih-Nya. Jadi, marilah kita kaji mengapa kita perlu memelihara kebersihan, kebersihan merangkumi apa, dan bagaimana kita boleh menjaga kebersihan. Dengan ini, kita akan nampak aspek mana yang perlu diperbaiki.

MENGAPAKAH KITA PERLU MENJAGA KEBERSIHAN?

4, 5. (a) Apakah sebab utama kita perlu menjaga kebersihan? (b) Bagaimanakah kebersihan Yehuwa jelas kelihatan menerusi ciptaan-Nya?

4 Satu cara Yehuwa membimbing kita adalah melalui contoh-Nya. Firman-Nya menggalakkan kita untuk “berusaha mengikut teladan-Nya.” (Efesus 5:1) Berikut merupakan sebab utama kita perlu menjaga kebersihan: Yehuwa, Tuhan yang kita sembah adalah bersih, murni, dan suci dalam semua aspek.Imamat 11:44, 45.

5 Kebersihan Yehuwa, seperti banyak lagi sifat-Nya yang lain, jelas kelihatan menerusi ciptaan-Nya. (Roma 1:20) Bumi direka cipta sebagai tempat tinggal yang bersih bagi manusia. Yehuwa telah menciptakan kitar ekologi yang membersihkan udara dan air. Mikrob tertentu bertindak sebagai agen pembersihan yang mengubahkan bahan buangan menjadi produk yang tidak berbahaya. Ahli sains telah menggunakan beberapa mikroorganisma ini untuk membersihkan tumpahan minyak dan pencemaran lain yang diakibatkan oleh manusia yang tamak dan yang mementingkan diri. Ya, kebersihan memang penting di mata Pencipta bumi kita. (Yeremia 10:12) Maka, kita juga patut mengutamakan kebersihan.

6, 7. Bagaimanakah Hukum Musa menunjukkan bahawa kebersihan merupakan syarat bagi mereka yang menyembah Yehuwa?

6 Satu lagi sebab kita perlu menjaga kebersihan adalah kerana Yehuwa, Pemerintah Yang Berdaulat, menghendaki penyembah-Nya mengekalkan kebersihan. Di bawah Hukum yang diberikan Yehuwa kepada umat Israel, kebersihan berkait rapat dengan penyembahan. Hukum ini menyatakan secara khusus bahawa pada Hari Pengampunan Dosa, penghentar agung perlu mandi dua kali, bukan hanya satu kali. (Imamat 16:4, 23, 24) Penghentar yang bertugas dikehendaki membasuh tangan dan kaki sebelum mempersembahkan korban kepada Yehuwa. (Keluaran 30:17-21; 2 Tawarikh 4:6) Hukum itu menyenaraikan kira-kira 70 jenis keadaan yang menjadikan seseorang najis secara fizikal dan tidak dapat menjalankan upacara keagamaan. Jika seorang umat Israel sengaja melibatkan diri dalam penyembahan semasa dia najis, dia akan dihukum mati. (Imamat 15:31) Sesiapa yang enggan melakukan upacara penyucian yang ditetapkan Tuhan, termasuk membasuh pakaiannya dan mandi, ‘tidak lagi dianggap anggota umat Tuhan’ dan akan dihukum mati.Bilangan 19:17-20.

7 Walaupun kita tidak perlu mematuhi Hukum Musa, kita dibantu untuk memahami pandangan Tuhan mengenai kebersihan. Hukum Musa jelas menunjukkan bahawa kebersihan merupakan syarat bagi mereka yang menyembah Tuhan, dan Yehuwa “tidak berubah.” (Maleakhi 3:6) Penyembahan kita hanya akan diterima-Nya jika penyembahan kita “murni dan sejati.” (Yakobus 1:27) Maka, kita perlu mengetahui apa yang dikehendaki-Nya dalam hal ini.

KEBERSIHAN DI MATA TUHAN MERANGKUMI APA?

8. Yehuwa menghendaki kita memelihara kebersihan dalam aspek-aspek apa?

8 Dalam Bible, konsep kebersihan bukan sekadar merujuk kepada kebersihan fizikal. Jika kita mahu bersih dalam pandangan Tuhan, kita perlu bersih dalam semua aspek kehidupan. Yehuwa menghendaki kita memelihara kebersihan dalam empat aspek utama, iaitu kebersihan rohani, moral, mental, dan fizikal. Mari kita bincangkan apa yang terangkum dalam setiap aspek ini.

9, 10. Apakah yang dimaksudkan dengan kebersihan rohani, dan apakah yang dihindari oleh orang Kristian sejati?

9 Kebersihan rohani. Secara ringkas, kebersihan rohani bermaksud tidak mencampuradukkan penyembahan sejati dengan penyembahan palsu. Apabila orang Israel meninggalkan Babilon untuk kembali ke Yerusalem, mereka dikehendaki mengikut nasihat terilham yang berikut: “Tinggalkanlah Babilonia . . . Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu.” (Yesaya 52:11) Sebab utama orang Israel kembali ke tanah air mereka adalah untuk memulihkan penyembahan sejati. Penyembahan mereka mesti bersih—tidak dinodai ajaran, amalan, dan adat yang berasal daripada agama Babilon.

10 Hari ini, kita sebagai orang Kristian sejati mesti berhati-hati agar tidak dicemari oleh penyembahan palsu. (1 Korintus 10:21) Kita perlu berjaga-jaga kerana pengaruh agama palsu menyelubungi kita seperti udara. Di banyak negara, pelbagai tradisi, aktiviti, dan upacara mempunyai kaitan dengan ajaran agama palsu, seperti konsep bahawa terdapat sesuatu dalam diri kita yang masih hidup selepas kita mati. (Pengkhutbah 9:5, 6, 10) Orang Kristian sejati menghindari adat istiadat yang melibatkan kepercayaan agama palsu. * Kita tidak akan tunduk kepada tekanan orang lain lalu mengkompromikan piawaian Bible berhubung penyembahan murni.Kisah 5:29.

11. Apakah yang terangkum dalam kebersihan moral, dan mengapakah sangat penting bagi kita untuk menjaga kebersihan moral?

11 Kebersihan moral. Untuk mengekalkan kebersihan moral, kita perlu menghindari semua perbuatan seksual yang tidak bermoral. (Efesus 5:5) Adalah sangat penting bagi kita untuk memelihara kebersihan moral. Kita akan mempelajari dalam bab yang seterusnya bahawa untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan, kita mesti ‘menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.’ Orang yang melakukan perbuatan cabul dan enggan bertaubat ‘tidak akan menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (1 Korintus 6:9, 10, 18) Di mata Tuhan, mereka amat menjijikkan. Jika mereka gagal menjaga kebersihan moral, mereka akan mengalami “kematian tahap kedua.”Penyingkapan 21:8.

12, 13. Apakah kaitan antara fikiran dengan perbuatan, dan bagaimanakah kita dapat memelihara kebersihan mental?

12 Kebersihan mental. Fikiran seseorang akan mempengaruhi perbuatannya. Jika kita mengizinkan pemikiran yang salah untuk berakar di hati dan minda, besar kemungkinan kita akan melakukan perbuatan yang najis. (Matius 5:28; 15:18-20) Tetapi jika kita mengisi minda kita dengan perkara yang bersih dan murni, kita akan didorong untuk sentiasa melakukan perbuatan yang bersih. (Filipi 4:8) Bagaimanakah kita boleh memelihara kebersihan mental? Satu cara adalah dengan menghindari semua bentuk hiburan yang boleh mengotorkan fikiran kita. * Selain itu, kita perlu mempelajari Firman Tuhan setiap hari untuk mengisi minda kita dengan perkara yang bersih.Mazmur 19:9, 10.

13 Untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan, kita mesti memelihara kebersihan rohani, moral, dan mental. Ketiga-tiga aspek ini dibincangkan dengan lebih terperinci dalam bab yang lain. Sekarang, marilah kita kaji aspek yang keempatkebersihan fizikal.

CARA MENGEKALKAN KEBERSIHAN FIZIKAL

14. Mengapakah kebersihan fizikal bukan hal peribadi?

14 Kebersihan fizikal merangkumi kebersihan badan serta harta kepunyaan kita. Adakah kebersihan kita hal peribadi yang tidak ada kena-mengena dengan orang lain? Tidak sama sekali. Seperti yang telah dipelajari, kebersihan fizikal penyembah Yehuwa penting di mata-Nya kerana kita dapat membawa manfaat kepada diri dan kerana kebersihan fizikal kita mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap-Nya. Fikirkanlah contoh dalam perenggan pertama. Jika anda nampak seorang budak yang selalu kotor dan tidak kemas, tidakkah anda mempunyai tanggapan buruk terhadap ibu bapanya? Kita tidak mahu penampilan atau cara hidup kita mengaibkan Bapa kita di syurga atau menyebabkan orang lain menolak mesej yang kita sebarkan. Firman Tuhan menggalakkan kita untuk memupuk sikap Paulus. Dia menulis, “Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami. Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan bahawa kami hamba [Tuhan].” (2 Korintus 6:3, 4, ABB) Maka, bagaimanakah kita boleh mengekalkan kebersihan fizikal?

15, 16. Apakah yang terangkum dalam amalan kebersihan yang baik, dan bagaimana pula dengan pakaian kita?

15 Kebersihan dan penampilan peribadi. Tidak kira di negara mana kita berada, kita boleh memperoleh sabun dan air yang mencukupi untuk mandi dan memastikan bahawa kita dan anak-anak kita bersih. Amalan kebersihan yang baik bererti kita membasuh tangan dengan sabun dan air sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas, dan selepas membersihkan bayi atau menukar lampinnya. Membasuh tangan dengan sabun dan air dapat mencegah penyakit dan bahkan dapat menyelamatkan nyawa. Tabiat ini mencegah virus dan bakteria yang berbahaya daripada merebak dan membantu kita menghindari penyakit yang mengakibatkan cirit-birit. Di tempat yang tidak mempunyai sistem pembetungan najis, bahan perkumuhan mungkin dapat ditanam, seperti yang dilakukan di Israel kuno.Ulangan 23:12, 13.

16 Pakaian kita juga perlu sering dibasuh supaya bersih dan elok dipandang. Pakaian orang Kristian tidak perlu mahal atau mengikut fesyen terkini, tetapi patut kemas, bersih, dan sopan. (1 Timotius 2:9, 10) Tidak kira di mana jua kita berada, kita mahu penampilan kita “memuji ajaran tentang [Tuhan], Penyelamat kita.”Titus 2:10.

17. Mengapakah rumah dan harta kepunyaan kita perlu bersih dan kelihatan elok?

17 Rumah dan harta kepunyaan kita. Rumah kita mungkin tidak mewah atau besar, tetapi seharusnya bersih dan elok dipandang. Begitu juga jika kita menggunakan kenderaan untuk pergi ke perjumpaan dan kerja penyebaran, kita harus memastikan bahawa kenderaan kita bersih, baik di dalam mahupun di luar. Janganlah lupa bahawa rumah dan harta kepunyaan yang bersih boleh memberi kesaksian tentang Tuhan. Lagipun, kita mengajar orang bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang bersih, Dia akan “membinasakan mereka yang memusnahkan bumi,” dan tidak lama lagi Kerajaan-Nya akan menukarkan bumi menjadi firdaus. (Penyingkapan 11:18; Lukas 23:43) Sudah tentu kita hendak rumah dan barang kepunyaan kita menunjukkan bahawa kita sedang memupuk tabiat kebersihan yang sesuai untuk kehidupan di dunia baru yang akan datang.

Kebersihan fizikal merangkumi kebersihan badan serta harta kepunyaan

18. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai Dewan Perjumpaan?

18 Tempat penyembahan kita. Dewan Perjumpaan merupakan pusat penyembahan sejati. Kasih kepada Yehuwa mendorong kita untuk menunjukkan bahawa kita menghargai Dewan Perjumpaan. Kita memastikan bahawa tempat ini bersih dan cantik. Mengapa? Hal ini adalah kerana kita mahu orang baru yang datang untuk mempunyai tanggapan yang baik terhadap Yehuwa. Oleh itu, kita meluangkan masa secara sukarela untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di Dewan Perjumpaan. (2 Tawarikh 34:10) Kita juga harus memastikan bahawa Dewan Perhimpunan atau tempat lain yang digunakan untuk perhimpunan atau konvensyen adalah bersih.

MENGHINDARI TABIAT DAN AMALAN NAJIS

19. Apakah yang perlu kita hindari supaya kita dapat mengekalkan kebersihan fizikal, dan bagaimanakah Bible membantu kita dalam hal ini?

19 Untuk mengekalkan kebersihan fizikal, kita perlu menghindari tabiat dan amalan najis seperti merokok dan menyalahgunakan alkohol. Kita juga perlu menghindari bahan yang menagihkan atau mengkhayalkan yang digunakan bukan untuk tujuan perubatan. Bible tidak menyenaraikan semua tabiat dan amalan menjijikkan yang berleluasa hari ini, tetapi mengandungi prinsip yang dapat membantu kita memahami perasaan Yehuwa tentang perkara-perkara ini. Oleh sebab kita mengetahui pandangan Yehuwa, kasih terhadap-Nya mendorong kita untuk mengikut haluan hidup yang diperkenankan-Nya. Sekarang, marilah kita teliti lima prinsip Bible yang berikut.

20, 21. Yehuwa mahu kita bebas daripada amalan apa, dan apakah sebab kukuh yang diberikan dalam Bible untuk berbuat demikian?

20 ‘Tuhan menjanjikan semua itu kepada kita. Oleh itu kita harus menyucikan diri daripada segala yang menajiskan jiwa dan raga kita. Hendaklah kita takut akan Tuhan, supaya kita dapat mengamalkan hidup yang khas untuk Dia dengan sepenuhnya.’ (2 Korintus 7:1, ABB) Yehuwa mahu kita bebas daripada amalan yang mencemarkan tubuh dan merosakkan kecenderungan mental kita. Maka, kita mesti menghindari kelakuan yang mengakibatkan ketagihan dan yang memudaratkan kesihatan fizikal dan mental.

21 Bible memberi kita sebab yang kukuh untuk “menyucikan diri daripada segala yang menajiskan.” Perhatikan bahawa 2 Korintus 7:1 bermula dengan pernyataan, ‘Tuhan menjanjikan semua itu kepada kita.’ Apakah yang telah dijanjikan oleh Tuhan? Seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat sebelumnya, Yehuwa berjanji, “Aku akan menerima kamu. Aku akan menjadi Bapa kamu.” (2 Korintus 6:17, 18) Bayangkanlah hal ini: Yehuwa berjanji untuk melindungi dan menyayangi anda sepertimana seorang bapa melindungi dan menyayangi anaknya. Tetapi Yehuwa akan menunaikan janji ini hanya jika anda menghindari “segala yang menajiskan jiwa dan raga.” Maka, janganlah benarkan mana-mana tabiat atau amalan yang najis untuk menjejaskan hubungan anda dengan Yehuwa!

22-25. Apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu kita menghindari tabiat dan amalan yang najis?

22 ‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ (Matius 22:37, ABB) Yesus memilih perintah ini sebagai perintah yang terpenting. (Matius 22:38) Yehuwa berhak menerima kasih seperti ini daripada kita. Jika kita ingin mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, jiwa, dan akal, kita mesti menghindari semua amalan yang dapat memendekkan nyawa atau menumpulkan daya pemikiran kita yang dikurniakan Tuhan.

23 [Yehuwalah] yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia.” (Kisah 17:24, 25) Nyawa merupakan kurniaan Tuhan. Jika kita mengasihi Pengurnia nyawa, kita akan menghormati nyawa. Kita akan menghindari mana-mana tabiat atau amalan yang memudaratkan kesihatan kerana kita tahu bahawa amalan sedemikian menunjukkan bahawa kita langsung tidak menghormati pemberian nyawa.Mazmur 36:10.

24 “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39) Sering kali, tabiat atau amalan yang menajiskan bukan sahaja memberi kesan yang buruk kepada pelaku, tetapi kepada mereka yang berdekatannya juga. Contohnya, pendedahan kepada asap rokok boleh memudaratkan kesihatan orang yang tidak merokok. Seorang individu yang membawa mudarat kepada orang lain sedang melanggar perintah Tuhan untuk mengasihi orang lain. Dia juga menunjukkan bahawa kasihnya kepada Tuhan sekadar ucapan di bibir.1 Yohanes 4:20, 21.

25 “Taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka.” (Titus 3:1) Di banyak negara, pemilikan dan penyalahgunaan dadah adalah haram di sisi undang-undang. Sebagai orang Kristian sejati, kita tidak memiliki atau menggunakan dadah yang dilarang.Roma 13:1.

26. (a) Apakah yang perlu kita lakukan agar terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan? (b) Mengapakah kita dapat menikmati cara hidup yang terbaik jika kita bersih dalam pandangan Tuhan?

26 Untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan, kita perlu memelihara kebersihan, bukan sahaja dalam satu atau dua aspek, tetapi dalam semua aspek. Mungkin tidak senang untuk meninggalkan dan menghindari tabiat dan amalan yang najis, tetapi hal ini tidak mustahil. * Sememangnya, inilah cara hidup yang terbaik kerana Yehuwa selalu mengajar kita apa yang bermanfaat bagi diri kita. (Yesaya 48:17) Yang terpenting, jika kita memelihara kebersihan, kita dapat berasa puas hati kerana mengharumkan nama Tuhan yang dikasihi, dan dengan demikian kita akan terus hidup di bawah naungan kasih-Nya.

^ per. 2 Dalam bab ini, perkataan “bersih” bukan sahaja merujuk kepada kebersihan fizikal, tetapi juga merangkumi kebersihan moral, mental, dan rohani.

^ per. 67 Nama telah ditukar.