Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 12

“Gunakanlah Kata-kata yang Membina”

“Gunakanlah Kata-kata yang Membina”

“Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina.”EFESUS 4:29.

1-3. (a) Apakah yang dikurniakan oleh Yehuwa kepada kita, dan bagaimanakah kurniaan ini boleh disalahgunakan? (b) Bagaimanakah kita harus bertutur jika kita mahu terus berada di bawah naungan kasih Tuhan?

BAYANGKAN anda memberikan sebuah hadiah kepada seseorang yang anda kasihi. Sayang sekali, dia sengaja menyalahgunakan hadiah yang diberikan. Katakan anda telah memberikan sebuah kereta kepadanya. Bagaimanakah perasaan anda setelah mendapat tahu bahawa dia memandu kereta tersebut dengan cuai lalu mencederakan orang lain? Anda tentu berasa sangat kecewa.

2 “Setiap pemberian yang baik dan sempurna” datangnya daripada Tuhan Yehuwa. Dialah yang mengurniakan umat manusia kebolehan untuk bertutur. (Yakobus 1:17) Dengan adanya kurniaan ini, kita boleh menyampaikan fikiran dan perasaan kita kepada orang lain. Walau bagaimanapun, seperti sebuah kenderaan, kurniaan ini juga boleh disalahgunakan. Bayangkan betapa sedihnya hati Yehuwa semasa kita menggunakan pertuturan dengan sembarangan lalu menyakiti atau menusuk hati orang lain!

3 Untuk terus berada di bawah naungan kasih Tuhan, kita mesti menggunakan kebolehan untuk bertutur dalam cara yang mendapat perkenan-Nya. Yehuwa jelas memberitahu kita cara untuk bertutur. Firman-Nya menyatakan, “Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya.” (Efesus 4:29, ABB) Jadi, marilah kita bincangkan tiga perkara, iaitu (1) mengapa kita harus mengawal pertuturan, (2) jenis pertuturan yang harus dihindari, dan (3) cara kita dapat ‘menggunakan kata-kata yang membina.’

MENGAPA KITA HARUS MENGAWAL PERTUTURAN

4, 5. Apakah yang dinyatakan di dalam Bible mengenai kata-kata kita?

4 Sebab yang pertama kita mesti mengawal pertuturan adalah kerana kata-kata mempunyai kuasa. Amsal 15:4 (ABB) menyatakan, “Kata-kata yang baik membangkitkan semangat, tetapi kata-kata yang kesat mematahkan semangat.” Kata-kata lembut bagaikan embun yang menyegarkan boleh membina semangat pendengarnya. Sebaliknya, kata-kata yang menyakiti hati atau yang menimbulkan kemarahan boleh menghancurkan semangat orang lain. Ya, kata-kata kita mempunyai kuasa untuk menyakiti atau menyembuhkan.Amsal 18:21.

5 Satu lagi ayat Bible menyatakan, “Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang.” (Amsal 12:18, ABB) Pernahkah hati anda ditusuk kata-kata tajam yang dihamburkan orang? Kata-kata yang diucapkan secara melulu boleh meninggalkan luka emosi yang sangat mendalam serta merosakkan hubungan dengan orang lain. Tetapi ayat yang sama menyatakan, “Ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.” Seseorang yang mencerminkan kebijaksanaan Tuhan akan mengucapkan kata-kata yang boleh menyembuhkan hati yang terluka dan memulihkan hubungan. Cubalah ingat kembali kepada masa seseorang telah mengucapkan ‘kata-kata lembut’ yang membelai hati anda. (Amsal 16:24) Tidakkah anda setuju bahawa kata-kata kita amat berkuasa? Semoga kita menggunakan kata-kata untuk menyembuhkan dan bukannya untuk menyakiti orang.

Kata-kata lembut umpama embun yang menyegarkan

6. Mengapakah sangat susah bagi kita untuk mengawal lidah?

6 Kedua, kita mesti mengawal pertuturan kerana dosa dan ketidaksempurnaan menyebabkan kita cenderung menyalahgunakan lidah. Bible menyatakan, “Orang mengucapkan perkara yang terkandung di dalam hati,” dan hati manusia cenderung berbuat jahat. (Lukas 6:45) Maka, sebagai manusia yang tidak sempurna, kita tidak boleh mengekang lidah dengan sempurna. (Yakobus 3:2-4) Namun begitu, kita boleh terus mencurahkan usaha bagi membuat kemajuan dalam aspek ini. Sepertimana seorang perenang harus berusaha untuk berenang menentang arus yang kuat, kita juga harus terus melawan kecenderungan untuk menyalahgunakan lidah.

7, 8. Apakah kesan kata-kata kita ke atas penyembahan kita?

7 Ketiga, pertuturan kita bukan sahaja mempengaruhi hubungan kita dengan orang lain tetapi juga mempengaruhi penyembahan kita kepada Yehuwa. Yakobus 1:26 (ABB) menyatakan, ‘Adakah sesiapa menganggap dirinya penyembah Tuhan? Jika dia tidak mengendalikan lidahnya, maka penyembahannya sia-sia dan dia menipu dirinya sendiri.’ Seperti yang dipelajari dalam bab lepas, pertuturan kita berkait rapat dengan penyembahan kita. Jika lidah kita tidak berkekang, iaitu jika kita menghamburkan kata-kata bisa yang menghiris hati, semua usaha yang dicurahkan dalam penyembahan kita sia-sia di mata Tuhan. Sememangnya, hal ini adalah sangat serius!Yakobus 3:8-10.

8 Ya, kita mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk mengawal penggunaan lidah kita. Mulai perenggan yang seterusnya, kita akan berbincang tentang dua jenis pertuturan, iaitu pertuturan yang membangkitkan semangat dan pertuturan yang mematahkan semangat. Mula-mula, mari kita bincang tentang pertuturan yang mematahkan semangat.

KATA-KATA YANG MEMATAHKAN SEMANGAT

9, 10. (a) Dewasa ini, bagaimanakah pertuturan kebanyakan orang? (b) Mengapakah kita harus menghindari kata-kata yang lucah? (Lihat juga nota kaki.)

9 Kata-kata lucah. Penggunaan kata-kata yang kesat, cabul, atau lucah merupakan perkara biasa dalam dunia hari ini. Ramai mencarut untuk meluahkan perasaan marah. Ada pula yang menggunakan kata-kata yang berbaur seks untuk menghiburkan orang. Namun begitu, Tuhan sangat membenci penggunaan kata-kata lucah. Kira-kira 2,000 tahun dahulu, hawari Paulus menasihati sidang di Kolose supaya jangan menggunakan “kata-kata lucah.” (Kolose 3:8) Paulus juga memberitahu sidang di Efesus bahawa lawak jenaka yang lucah tidak patut diucapkan dalam kalangan orang Kristian sejati.Efesus 5:3, 4.

10 Penggunaan kata-kata lucah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Kata-kata sebegini sangat menjijikkan bagi Yehuwa dan bagi mereka yang mengasihi-Nya. Sememangnya, mereka yang mengasihi Yehuwa tidak menggunakan kata-kata yang lucah. ‘Perbuatan lucah [“kenajisan,” NW]’ yang digunakan oleh Paulus merangkumi kata-kata lucah. (Galatia 5:19-21) Seorang individu yang selalu bercakap tentang perkara yang tidak bermoral, yang menjijikkan, dan yang merosakkan akhlak boleh disingkirkan daripada sidang, terutamanya jika dia dinasihati berulang kali dan enggan bertaubat. *

11, 12. (a) Apakah itu umpatan, dan mengapakah umpatan memudaratkan? (b) Mengapakah penyembah Yehuwa menghindari fitnah?

11 Mengumpat, memfitnah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia suka berbual tentang orang lain. Contohnya kita mungkin menyebarkan berita yang positif, seperti siapa yang telah dibaptiskan atau siapa yang memerlukan galakan. Orang Kristian pada abad pertama amat mengambil berat tentang keadaan saudara saudari mereka; mereka juga berkongsi maklumat yang baik tentang satu sama lain. (Efesus 6:21, 22; Kolose 4:8, 9) Tetapi jika kita mengucapkan kata-kata yang tidak benar tentang orang lain atau mendedahkan hal peribadi mereka, kita sedang mengumpat. Sebenarnya, umpatan amat memudaratkan dan senang berubah menjadi fitnah. Perkataan “fitnah” bermaksud “tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.” Sebagai contoh, orang Farisi menggunakan fitnah untuk sengaja menodai dan memburuk-burukkan nama baik Yesus. (Matius 9:32-34; 12:22-24) Sering kali, fitnah juga menyebabkan pertengkaran.Amsal 26:20.

12 Yehuwa memandang serius tindakan mereka yang menggunakan lidah untuk mengaibkan nama orang lain atau untuk menyebabkan permusuhan. Dia membenci “orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat.” (Amsal 6:16-19) Perkataan Yunani bagi fitnah ialah di·aʹbo·los. Perkataan ini diterjemahkan sebagai “Iblis” dan juga merupakan gelaran bagi Syaitan yang telah memfitnah Tuhan. (Penyingkapan 12:9, 10) Sudah tentu, kita mahu menghindari tutur kata yang akan menjadikan kita pengikut Si Iblis. Saudara saudari di sidang tidak patut menggunakan lidah dalam cara yang menyebabkan “orang bermusuhan dan berkelahi.” (Galatia 5:19-21) Maka, sebelum mengulangi khabar angin tentang seseorang, tanyalah diri, “Adakah apa yang hendak saya sampaikan benar? Adakah saya akan menjatuhkan maruah orang yang terlibat? Adakah saya sedang memperlihatkan kasih? Perlukah saya menyebarkan maklumat ini?”1 Tesalonika 4:11.

13, 14. (a) Apakah kesannya apabila seseorang mencaci maki orang lain? (b) Apakah cara pertuturan yang dikutuk dengan keras dalam Bible? Dan mengapakah orang yang bertutur dalam cara sebegini sedang mengundang masalah?

13 Mencaci maki. Seperti yang telah dipelajari, kata-kata kita boleh menyakiti orang. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita berasa kesal semasa terlanjur kata. Tetapi Bible memberikan amaran tentang cara pertuturan yang mesti dihindari oleh orang Kristian. Paulus menasihati kita, “Janganlah caci maki orang ataupun guna kata-kata lucah.” (Kolose 3:8) Jika kita mencaci maki orang lain dengan mencela, menghina, dan selalu mengkritik mereka, kita sedang menjatuhkan maruah mereka dan menyebabkan mereka berasa tidak berguna. Dalam hal ini, penggunaan kata makian meninggalkan kesan buruk yang mendalam, khususnya dalam hati kanak-kanak muda yang masih mentah. Walaupun “luka” mereka hilang, parutnya tetap dibawa sepanjang hidup.Kolose 3:21.

14 Terdapat satu lagi cara pertuturan yang dikutuk dengan keras dalam Bibletabiat memalukan atau merendahkan martabat orang lain dengan menggunakan kata-kata makian atau hinaan. Seseorang yang mengamalkan pertuturan sebegini melakukan kesalahan serius dan sedang mengundang masalah besar. Dia boleh disingkirkan daripada sidang Kristian jika dia enggan mengubah tabiat ini walaupun dinasihati berulang kali. Oleh itu, dia juga tidak akan menikmati berkat yang dibawa oleh Kerajaan Tuhan. (Galatia 5:19-21) Maka, jika kita ingin tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan, kita perlu menghindari pertuturan yang tidak sihat, yang tidak benar, atau yang tidak memperlihatkan kasih. Pertuturan sebegini tentu mematahkan semangat orang lain.

“KATA-KATA YANG MEMBINA”

15. Apakah yang harus kita lakukan jika kita ingin pertuturan kita membina semangat orang lain?

15 Bagaimanakah kita boleh bertutur dalam cara yang menyenangkan hati Yehuwa? Firman Tuhan menasihati kita supaya ‘menggunakan kata-kata yang membina.’ (Efesus 4:29) Kita dapat menggembirakan hati Yehuwa jika kita meluahkan kata-kata yang membina, menggalakkan, serta membangkitkan semangat orang lain. Jadi, kita perlu berfikir sebelum bercakap. Tetapi, Bible tidak menyenaraikan kata-kata yang patut digunakan atau memberi peraturan khusus mengenai cara untuk bertutur. (Titus 2:8) Walaupun begitu, jika kita ingin pertuturan kita membina semangat orang lain, kita harus memastikan bahawa kata-kata yang kita luahkan adalah sihat, benar, dan memperlihatkan kasih. Sekarang marilah kita perhatikan beberapa contoh spesifik tentang pertuturan yang dapat membina semangat orang lain.—Lihat kotak “ Adakah Pertuturan Saya Membina?

16, 17. (a) Mengapakah kita patut memuji orang lain? (b) Bilakah kita boleh memuji orang lain di sidang? dalam lingkungan keluarga?

16 Pujian yang ikhlas. Yehuwa dan Yesus selalu memuji orang lain. (Matius 3:17; 25:19-23; Yohanes 1:47) Sebagai orang Kristian kita pun harus berbuat demikian. Mengapa? Amsal 15:23 (ABB) menyatakan, “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan.” Tanyalah diri, “Apakah perasaan saya apabila orang lain memuji saya? Tidakkah pujian orang lain membina semangat saya?” Ya, pujian orang lain menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang anda dan bahawa mereka menghargai usaha anda. Selain itu, pujian ikhlas daripada orang lain membina semangat anda dan memberi anda dorongan yang diperlukan untuk meneruskan usaha anda. Jadi, jika anda suka menerima pujian daripada orang lain, tidakkah anda patut memberikan pujian kepada orang lain juga?Matius 7:12.

17 Bagaimanakah kita dapat melakukan hal ini? Cubalah tumpukan perhatian pada kebaikan orang lain. Contohnya di sidang, anda mungkin telah mendengar sebuah ceramah yang disampaikan dengan baik atau anda nampak seorang belia yang sedang berusaha untuk mengejar matlamat rohaninya. Bolehkah anda memuji mereka? Mungkin sidang anda juga mempunyai saudara saudari lanjut usia yang terus menghadiri perjumpaan meskipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan masalah kesihatan. Bolehkah anda memuji mereka juga? Ya, kata-kata pujian yang tulus dapat menyentuh hati mereka serta mendorong mereka untuk terus menyembah Yehuwa. Dalam lingkungan keluarga, suami isteri harus saling meluahkan kata-kata penghargaan dan pujian. (Amsal 31:10, 28) Anak-anak juga perlu dipuji. Seperti pokok yang dapat tumbuh subur dengan sinaran matahari dan air yang mencukupi, anak-anak akan lebih tabah dan yakin jika usaha mereka dihargai dan mereka berasa dikasihi. Maka ibu bapa, carilah peluang untuk memuji anak-anak supaya anda dapat menyemarakkan lagi semangat mereka dan mereka akan didorong untuk melipatgandakan usaha mereka.

18, 19. Mengapakah kita harus berusaha untuk menggalakkan dan melegakan hati saudara saudari kita, dan bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini?

18 Menggalakkan dan melegakan hati. Yehuwa sangat mengambil berat tentang “orang yang tawar hati” dan “orang yang hancur hati.” (Mazmur 34:19; 147:3) Firman-Nya menggesa kita untuk menggalakkan satu sama lain serta “melegakan hati mereka yang murung.” (1 Tesalonika 5:11, 14, NW) Kita berasa yakin bahawa Yehuwa menghargai usaha kita untuk menggalakkan dan melegakan hati saudara saudari yang dibebani kesedihan.

Yehuwa berasa gembira jika kita meluahkan kata-kata yang membina

19 Jadi, bagaimanakah anda dapat menggalakkan saudara atau saudari yang berasa murung atau tawar hati? Janganlah berfikir bahawa anda perlu menyelesaikan masalahnya. Biasanya apa yang diperlukan hanyalah kata-kata yang ringkas dan ikhlas. Beritahulah dia bahawa anda benar-benar mengambil berat tentangnya. Selain itu, anda boleh berdoa bersamanya; rayulah kepada Tuhan supaya membantunya sedar bahawa dia dikasihi oleh Yehuwa dan orang lain. (Yakobus 5:14, 15) Beritahu dia bahawa dia merupakan seorang anggota sidang yang dihargai, dan anggota sidang yang lain memerlukannya. (1 Korintus 12:12-26) Anda juga boleh membaca ayat Bible tertentu bersama-samanya. Hal ini akan membantunya mengetahui bahawa Tuhan benar-benar mengambil berat tentangnya. (Mazmur 34:19; Matius 10:29-31) Jika anda meluangkan masa yang secukupnya untuk meluahkan “kata-kata yang baik,” tentu dia akan berasa dikasihi dan dihargai.Amsal 12:25.

20, 21. Apakah yang perlu kita ingat semasa memberikan nasihat kepada orang lain?

20 Nasihat yang berkesan. Kita semua tidak sempurna. Oleh itu dari semasa ke semasa, kita memerlukan nasihat. Bible menyatakan, “Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak.” (Amsal 19:20, ABB) Bukan penatua sahaja yang boleh menasihati orang lain. Ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka. (Efesus 6:4) Saudari yang matang boleh menasihati saudari lain yang lebih muda. (Titus 2:3-5) Kasih akan mendorong kita untuk memberikan nasihat dalam cara yang lebih senang diterima orang lain. Jadi, bagaimanakah kita dapat memberikan nasihat yang berkesan? Kita perlu ingat akan tiga perkara: motif dan sikap kita, dasar nasihat kita, serta cara kita memberikan nasihat tersebut.

21 Untuk memastikan bahawa nasihat yang diberikan adalah berkesan, kita perlu mempunyai sikap dan motif yang baik. Jika orang yang menasihati kita benar-benar mengambil berat tentang kita, tidak mempunyai niat yang terselindung, dan tidak didorong oleh kemarahan, kita akan menerima nasihat yang diberikan dengan rela hati. Maka sebelum memberi nasihat, kita perlu memeriksa sikap dan motif kita. Selain itu, nasihat yang berkesan mestilah berdasarkan Bible. (2 Timotius 3:16) Maka, apabila para penatua menasihati saudara saudari di sidang, mereka tidak mendasarkan nasihat mereka pada pendapat sendiri. Mereka juga tidak memutarbelitkan ayat Bible untuk menyokong pandangan sendiri. Tambahan lagi, nasihat yang berkesan disampaikan dalam cara yang betul. Orang akan menerima nasihat dengan rela hati jika nasihat yang diberikan memperlihatkan kasih dan tidak merendahkan martabat mereka.Kolose 4:6.

22. Apakah tekad anda berkenaan cara pertuturan anda?

22 Ya, kebolehan untuk bertutur memang merupakan kurniaan yang berharga daripada Tuhan. Kasih kepada Yehuwa akan mendorong kita untuk menggunakan pemberian ini dengan betul. Oleh itu, kita perlu mengingatkan diri bahawa kata-kata yang diluahkan mempunyai kuasa untuk membina semangat ataupun mematahkan semangat orang lain. Maka, kita harus bekerja keras untuk memastikan bahawa kita menggunakan “kata-kata yang membina.” Jika kita berbuat demikian, kita boleh menggalakkan orang lain, dan pada masa yang sama kita akan tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan.

^ per. 10 Istilah kenajisan mempunyai ruang lingkup yang luas dan boleh merangkumi pelbagai jenis perbuatan yang berdosa. Namun, bukan semua perbuatan dalam golongan ini memerlukan tindakan disiplin daripada para penatua. Tetapi mereka yang mengamalkan kenajisan yang menjijikkan tanpa bertaubat boleh disingkirkan daripada sidang.2 Korintus 12:21; Efesus 4:19; lihat “Pertanyaan Pembaca” (Questions From Readers) dalam The Watchtower, 15 Julai 2006.