Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 13

Perayaan yang Tidak Menyenangkan Hati Tuhan

Perayaan yang Tidak Menyenangkan Hati Tuhan

“Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan.”EFESUS 5:10, ABB.

1. Siapakah yang Yehuwa inginkan sebagai penyembah-Nya, dan mengapakah mereka perlu memastikan bahawa mereka tetap menyenangkan hati-Nya?

YESUS berkata, “Penyembah-penyembah benar akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; sebab Bapa menghendaki penyembah-penyembah demikian.” (Yohanes 4:23, nota kaki) Apabila Yehuwa menjumpai penyembah sebegini, Dia akan memimpin mereka kepada-Nya dan kepada Anak-Nya. Tidakkah anda gembira kerana berpeluang menyembah Tuhan? (Yohanes 6:44) Walau bagaimanapun, Syaitan telah berjaya menipu banyak orang. Jadi, semua yang mengasihi Tuhan perlu memastikan bahawa mereka tetap “melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan.”Efesus 5:10; Penyingkapan 12:9.

2. Apakah pandangan Yehuwa terhadap orang yang mencampuradukkan penyembahan sejati dengan penyembahan palsu? Berikan contoh.

2 Fikirlah tentang apa yang berlaku di Gunung Sinai semasa orang Israel meminta Harun membuat tuhan untuk mereka. Harun menurut permintaan mereka lalu membuat sebuah patung lembu emas dan berkata, ‘Esok kita akan mengadakan pesta untuk menghormati Yehuwa.’ Secara tidak langsung, Harun menyatakan bahawa patung itu mewakili Yehuwa. Apakah pandangan Yehuwa terhadap umat-Nya yang mencampuradukkan penyembahan sejati dengan penyembahan palsu? Bible menyatakan bahawa kira-kira tiga ribu orang Israel yang menyembah patung lembu itu dibunuh. (Keluaran 32:1-6, 10, 28) Jadi, apakah pengajarannya? Jika kita ingin terus berada di bawah naungan kasih Tuhan, kita tidak boleh ‘menyentuh apa-apa yang najis.’ Ya, kita tidak boleh mencemari penyembahan sejati dengan penyembahan palsu!Yesaya 52:11; Yehezkiel 44:23; Galatia 5:9.

3, 4. Sehubungan dengan perayaan dan adat yang biasa diamalkan hari ini, mengapakah kita patut mengambil kira prinsip Bible?

3 Malangnya, selepas kematian para hawari, agama Kristian mula dicampuradukkan dengan perayaan dan adat agama kafir. Perayaan-perayaan tersebut kemudiannya dipanggil “perayaan Kristian.” (2 Tesalonika 2:7, 10) Seraya kita membincangkan beberapa contoh, perhatikan bagaimana perayaan-perayaan ini mencerminkan sikap dunia dan bukannya sikap yang diperkenankan Tuhan. Secara umumnya, perayaan dunia mencerminkan ciri-ciri “Babel yang agung.” Perayaan-perayaan ini mengumpan orang untuk menurut keinginan hati, dan menggalakkan ajaran agama palsu serta spiritisme. * (Penyingkapan 18:2-4, 23) Selain itu, Yehuwa telah memerhatikan sendiri bagaimana amalan agama palsu diserap ke dalam sesetengah adat yang popular. Bahkan hari ini juga, semua perayaan ini masih menjijikkan bagi Yehuwa.2 Yohanes 6, 7.

4 Sebagai orang Kristian sejati, kita mementingkan pandangan Yehuwa. Kita tahu bahawa perayaan tertentu tidak diperkenankan-Nya. Oleh itu kita perlu memastikan bahawa kita tidak melibatkan diri dalam mana-mana perayaan sebegitu. Mari kita bincangkan mengapa Yehuwa tidak menyukai perayaan tertentu. Hal ini tentu akan membantu kita untuk terus berada di bawah naungan kasih-Nya.

KRISMAS BERASAL DARIPADA PEMUJAAN DEWA MATAHARI

5. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yesus tidak lahir pada 25 Disember?

5 Bible tidak mengandungi catatan tentang sambutan hari jadi Yesus. Sebenarnya, tarikh lahirnya tidak diketahui. Tetapi, kita boleh yakin bahawa dia tidak dilahirkan pada 25 Disember kerana pada masa itu cuacanya sejuk. * Dalam buku Lukas, kita diberitahu bahawa “gembala sedang menjaga domba di padang” sewaktu Yesus lahir. (Lukas 2:8-11) Jika gembala-gembala di Betlehem “menjaga domba di padang” sepanjang tahun, kita masih boleh menerima tarikh 25 Disember sebagai tarikh lahir Yesus. Walau bagaimanapun, kota Betlehem mengalami cuaca sejuk disertai hujan dan salji pada musim sejuk sekitar bulan Disember. Oleh itu, para gembala di situ akan memastikan bahawa domba, atau biri-biri mereka tidak berkeliaran di padang pada musim sejuk. Selain itu, Yusuf dan Maria pergi ke Betlehem kerana Kaisar Agustus mengeluarkan perintah supaya semua penduduk mendaftarkan diri untuk dibanci. (Lukas 2:1-7) Pada masa itu, ramai orang tidak menyukai pemerintahan Empayar Roma, jadi tidak mungkin Kaisar menyuruh mereka untuk pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri semasa cuaca sangat sejuk.

6, 7. (a) Apakah asal usul kebanyakan amalan Krismas? (b) Apakah yang mendorong orang Kristian sejati untuk memberikan hadiah? Bagaimana pula dengan orang yang memberikan hadiah pada musim Krismas?

6 Perayaan Krismas tidak berasaskan Bible, sebaliknya berasal daripada perayaan agama kafir pada masa lampau, seperti perayaan Saturnalia. Perayaan ini diadakan demi dewa pertanian yang dinamakan Saturn. Selain itu, pada 25 Disember, penyembah-penyembah Mitra menyambut “hari jadi matahari yang tidak terkalahkan,” kata New Catholic Encyclopedia. “Krismas mula dirayakan semasa pemujaan matahari mempunyai pengaruh yang kuat di Roma,” iaitu kira-kira tiga abad selepas kematian Kristus.

Orang Kristian sejati memberi kerana didorong oleh kasih

7 Pada masa perayaan-perayaan itu, orang kafir saling memberi hadiah dan berpesta. Amalan ini masih merupakan sebahagian daripada perayaan Krismas hari ini. Namun pada masa Krismas, kebanyakan orang yang memberikan hadiah tidak didorong oleh prinsip Bible di 2 Korintus 9:7 yang menyatakan, ‘Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.’ Orang Kristian sejati akan memberi orang lain hadiah kerana didorong oleh kasih. Mereka tidak memberi hadiah pada tarikh tertentu sahaja atau berharap agar orang lain membalas hadiah mereka. (Lukas 14:12-14; Kisah 20:35) Tambahan lagi, mereka berasa lega kerana tidak terperangkap dalam kegilaan Krismas dan masalah kewangan yang dialami ramai pada masa itu.Matius 11:28-30; Yohanes 8:32.

8. Adakah ahli kaji bintang memberikan hadiah sempena hari jadi Yesus? Jelaskan.

8 Tetapi bagaimana pula dengan hadiah yang diberikan oleh ahli kaji bintang kepada Yesus? Adakah mereka memberikan hadiah sempena hari jadi Yesus? Tidak. Sebenarnya, ahli kaji bintang tidak menjumpai Yesus dalam sebuah palung pada malam kelahirannya. Sebaliknya, mereka melawat Yesus beberapa bulan kemudian semasa Yesus sudah pun tinggal dalam sebuah rumah. Pada zaman Bible, hadiah diberikan kepada seseorang yang penting sebagai tanda hormat, dan hal ini merupakan adat yang biasa.1 Raja-Raja 10:1, 2, 10, 13; Matius 2:2, 11.

PANDANGAN BIBLE TENTANG HARI JADI

9. Bible menceritakan tentang dua sambutan hari jadi sahaja. Apakah yang telah berlaku pada masa itu?

9 Kelahiran bayi memang merupakan masa yang menggembirakan. Tetapi Bible tidak menceritakan tentang sambutan hari jadi hamba Yehuwa. (Mazmur 127:3) Adakah penulis-penulis Bible terlupa berbuat demikian? Tidak, kerana terdapat dua sambutan hari jadi yang dicatatkan dalam Bible, iaitu hari jadi Firaun dari Mesir dan hari jadi Herodes Antipas. (Kejadian 40:20-22; Markus 6:21-29) Dalam kedua-dua sambutan ini, perkara buruk telah berlaku. Contohnya, semasa sambutan hari jadi Herodes, kepala Yohanes Pembaptis telah dipancung.

10, 11. Mengapakah orang Kristian masa awal tidak menyambut hari jadi?

10 “Orang Kristian masa awal menganggap sambutan hari jadi sebagai adat kafir,” kata The World Book Encyclopedia. Contohnya, orang Yunani kuno percaya bahawa kelahiran setiap individu dihadiri oleh roh yang akan melindungi orang itu sepanjang hayatnya. Roh ini “mempunyai hubungan yang ajaib dengan dewa yang hari kelahirannya sama dengan orang tersebut,” kata buku The Lore of Birthdays (Tradisi Hari Jadi). Hari jadi juga lama dikaitkan dengan astrologi dan horoskop.

11 Ya, hamba-hamba Yehuwa pada masa lampau tidak menyambut hari jadi kerana sambutan ini mempunyai asal usul kafir yang dicemari spiritisme. Selain itu, terdapat satu lagi sebab mengapa mereka menghindari sambutan hari jadi. Hal ini merangkumi pandangan mereka terhadap kelahiran dan nyawa. Apakah maksudnya? Memandangkan mereka rendah hati, mereka tidak menganggap hari lahir mereka sebagai hari yang sangat penting sehinggakan perlu disambut. * (Mikha 6:8; Lukas 9:48) Sebaliknya mereka berasa bahawa Yehuwa harus dimuliakan kerana Dialah yang mengurniakan nyawa kepada mereka. *Mazmur 8:4, 5; 36:10; Penyingkapan 4:11.

12. Mengapakah Bible menyatakan bahawa hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran?

12 Yehuwa tidak akan melupakan penyembah-Nya yang setia walaupun mereka telah mati. Mereka mempunyai harapan pembangkitan. (Ayub 14:14, 15) Pengkhutbah 7:1 (ABB) menyatakan, “Nama baik lebih harum daripada minyak wangi yang mahal, dan hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran.” Maka, jika kita tetap setia kepada Yehuwa sepanjang hidup, kita akan memperoleh “nama baik.” Yang menariknya, orang Kristian diberikan perintah untuk menyambut kematian Yesus, dan bukan kelahirannya. Ya, melalui “nama” Yesus kita memperoleh penyelamatan.Lukas 22:17-20; Ibrani 1:3, 4.

EASTER—UPACARA KESUBURAN?

13, 14. Apakah asal usul Easter?

13 Perayaan Easter yang kononnya merupakan perayaan untuk menyambut pembangkitan Kristus sebenarnya berasal daripada agama palsu. Perkataan Easter dikaitkan dengan Eostre, iaitu dewi musim bunga dan waktu subuh bangsa Anglo-Saxon. Bagaimana pula dengan telur dan arnab yang sering dikaitkan dengan Easter? Encyclopædia Britannica menyatakan bahawa telur “melambangkan kehidupan baru dan pembangkitan,” dan dari dahulu lagi arnab melambangkan kesuburan. Maka Easter yang dianggap ramai sebagai hari pembangkitan Kristus sebenarnya merupakan suatu upacara kesuburan! *

14 Adakah Yehuwa mengizinkan orang untuk menggunakan upacara kesuburan yang menjijikkan bagi memperingati pembangkitan Anak-Nya? Tidak! (2 Korintus 6:17, 18) Sebenarnya, Bible tidak memberikan apa-apa perintah untuk menyambut hari pembangkitan Yesus. Maka, mereka yang menyambut Easter sebagai hari pembangkitan Yesus sedang mengundang kemurkaan Tuhan.

BAGAIMANA PULA DENGAN KEMATIAN?

15. Mengapakah orang Kristian sejati menghindari sesetengah adat resam yang berkaitan dengan kematian?

15 Orang Kristian sejati menghindari banyak adat resam yang berkaitan dengan kematian. Antaranya termasuk menutup cermin, meletakkan mayat pada arah tertentu, membakar lilin, dan mengadakan upacara tertentu yang berkaitan dengan penjagaan mayat. Ada juga yang membakar barang-barang yang ingin diberikan kepada si mati atau meletakkannya bersama mayat. Adat lain pula dijalankan beberapa hari, bulan, atau tahun selepas kematian si mati. Semua adat ini dikaitkan dengan kepercayaan bahawa si mati boleh membantu atau menyakiti orang yang hidup. Memandangkan orang mati “tidak tahu apa-apa pun,” mereka yang ingin terus berada di bawah naungan kasih Tuhan tidak akan menyertai mana-mana adat yang berkaitan dengan pemujaan orang mati.Pengkhutbah 9:5, 10.

PASTIKAN PERKAHWINAN ANDA SUCI

16, 17. (a) Mengapakah pasangan yang bakal berkahwin digalakkan untuk memeriksa sama ada adat perkahwinan tempatan selaras dengan prinsip Bible? (b) Berkenaan adat penaburan beras atau bahan lain, apakah yang harus diingati oleh seorang Kristian?

16 Tidak lama lagi, “keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi” di Babilon Besar. (Penyingkapan 18:23) Mengapa? Kerana Babilon Besar akan dibinasakan akibat penglibatannya dalam amalan spiritisme. Ya, spiritisme boleh mencemarkan perkahwinan seseorang, bahkan sejak hari pertama perkahwinan mereka.

17 Adat resam berbeza dari negara ke negara. Sesetengah adat yang pada zahirnya nampak baik sebenarnya berakar umbi pada amalan Babilon Besar yang kononnya akan membawa nasib baik kepada pasangan pengantin atau tetamu mereka. (Yesaya 65:11) Salah satu tradisi yang dimaksudkan ialah penaburan beras atau bahan lain. Apakah asal usul tradisi ini? Mengikut kepercayaan orang, makanan dapat menenangkan roh-roh jahat agar tidak membawa nasib malang kepada pasangan pengantin. Tambahan lagi, beras sudah lama dikaitkan dengan kesuburan, kebahagiaan, dan umur yang panjang. Jadi, semua yang ingin terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan akan menghindari adat-adat seperti ini.2 Korintus 6:14-18.

18. Apakah prinsip-prinsip Bible yang harus dijadikan pedoman oleh pasangan yang bakal berkahwin dan tetamu yang dijemput?

18 Hamba Yehuwa juga menghindari amalan duniawi yang boleh mencemarkan kemuliaan hari perkahwinan mereka atau yang mungkin mengganggu hati nurani orang lain. Sebagai contoh, mereka tidak akan memberi ucapan yang berbaur seks, atau yang diselitkan dengan sindiran dan lawak jenaka yang mungkin memalukan pasangan pengantin atau orang lain. (Amsal 26:18, 19; Lukas 6:31; 10:27) Mereka juga tidak akan mengadakan majlis yang terlalu mewah sekadar untuk menunjuk-nunjuk. (1 Yohanes 2:16) Maka jika anda akan melangkah ke alam perkahwinan, ingatlah bahawa Yehuwa mahu anda mengenang hari perkahwinan anda dengan sukacita dan bukannya dengan perasaan kesal. *

MINUM UCAP SELAMAT—BETUL ATAU SALAH?

19, 20. Apakah yang dinyatakan oleh sebuah ensiklopedia tentang asal usul minum ucap selamat, dan mengapakah adat ini tidak sesuai bagi seorang Kristian?

19 Satu lagi amalan yang biasa diadakan semasa jamuan perkahwinan atau jamuan sosial ialah minum ucap selamat. Encyclopædia Britannica menyatakan, “Pada waktu makan, orang Yunani dan Roma menuangkan air persembahan kepada dewa dewi mereka, dan semasa upacara tertentu, mereka mengajukan minum ucap selamat kepada dewa dewi mereka dan orang mati.”

20 Ramai orang tidak menganggap minum ucap selamat sebagai amalan keagamaan atau kepercayaan karut. Namun demikian, tindakan mengajukan gelas ke syurga boleh dipandang sebagai permohonan rahmat daripada “kuasa atasan.” Hal ini tidak selaras dengan apa yang termaktub di dalam Bible.Yohanes 14:6; 16:23. *

“BENCILAH AKAN KEJAHATAN, HAI ORANG YANG MENGASIHI TUHAN”

21. Walaupun tidak mempunyai unsur keagamaan, apakah acara popular yang dihindari oleh orang Kristian, dan mengapa?

21 Piawaian moral manusia hari ini sedang menjunam ke tahap yang sangat rendah. Hal ini digalakkan oleh agama palsu, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Sesetengah negara menaja dan menggalakkan karnival tertentu seperti karnival Mardi Gras. Karnival sebegini menonjolkan tarian lucah dan menggalakkan hubungan sejenis sebagai sesuatu yang baik. Patutkah seseorang yang “mengasihi Tuhan” menghadiri atau menonton acara sebegini? Jika dia menghadiri atau menonton acara sebegini, adakah dia benar-benar membenci akan kejahatan? (Mazmur 1:1, 2; 97:10, nota kaki) Seorang penulis mazmur telah berdoa, “Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia.” (Mazmur 119:37) Bukankah lebih baik jika kita mencerminkan sikap sebegini?

22. Bilakah seorang Kristian boleh membuat keputusan untuk menyertai perayaan tertentu?

22 Semasa orang lain sedang menyambut perayaan duniawi, seorang Kristian mesti berhati-hati supaya tidak memberi orang lain tanggapan bahawa dia turut menyambut perayaan itu. Hawari Paulus menulis, ‘Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.’ (1 Korintus 10:31, ABB; lihat kotak “ Membuat Keputusan yang Bijak”.) Namun begitu, jika adat atau perayaan tertentu tidak mempunyai unsur keagamaan, politik, atau kebangsaan, dan tidak melanggar mana-mana prinsip Bible, setiap orang Kristian perlu memutuskan sendiri sama ada dia mahu menyertainya atau tidak. Sudah tentu dia akan mengambil kira hati nurani orang lain agar tidak menyebabkan mereka tersandung.

MULIAKAN TUHAN MELALUI PERTUTURAN DAN TINGKAH LAKU

23, 24. Bagaimanakah kita dapat memberikan kesaksian yang baik kepada orang lain mengenai piawaian yang ditetapkan oleh Yehuwa?

23 Musim perayaan dianggap ramai sebagai peluang keemasan untuk mengeratkan tali silaturahim antara sanak saudara dan sahabat terdekat. Maka, orang lain mungkin tidak memahami pendirian kita dan berpendapat bahawa kita bersifat keterlaluan. Apakah yang boleh kita lakukan? Kita boleh meyakinkan mereka bahawa Saksi-Saksi Yehuwa menghargai keluarga dan kawan-kawan mereka dan suka menghabiskan masa bersama orang yang dikasihi. (Amsal 11:25; Pengkhutbah 3:12, 13; 2 Korintus 9:7) Tetapi memandangkan kita mengasihi Tuhan dan piawaian-Nya yang adil benar, kita tidak akan merosakkan suasana gembira sedemikian dengan mengamalkan adat yang tidak disenangi Tuhan.—Sila lihat kotak “ Penyembahan Sejati Membawa Kebahagiaan Terbesar.”

24 Dalam usaha untuk membantu orang yang berminat, sesetengah Saksi menggunakan bab 16 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? * Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa matlamat kita adalah untuk mencapai hati mereka dan bukannya untuk membuktikan bahawa mereka salah. Jadi kita perlu memperlihatkan hormat, bersikap lemah lembut, dan menggunakan bahasa yang sopan.Kolose 4:6.

25, 26. Bagaimanakah ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka untuk mengukuhkan kepercayaan dan kasih terhadap Yehuwa?

25 Sebagai hamba-hamba Yehuwa, kita telah dididik dengan baik dan mengetahui sebabnya kita menerima atau menolak adat dan kepercayaan tertentu. (Ibrani 5:14) Maka ibu bapa, tirulah Yehuwa dan ajar anak-anak anda untuk menggunakan daya fikiran mereka yang telah dilatih oleh Bible. Jika anda berbuat demikian, anda akan membantu mereka untuk mengukuhkan kepercayaan dan menjawab pertanyaan orang dengan menggunakan Bible. Pada masa yang sama, anda akan membantu mereka untuk merasai kasih sayang Yehuwa.Yesaya 48:17, 18; 1 Petrus 3:15.

26 Penyembah Yehuwa bukan sekadar menghindari perayaan yang tidak berasaskan Bible. Mereka juga berikhtiar untuk bersikap jujur dalam semua aspek kehidupan mereka. Hari ini, ramai orang berasa bahawa tidak berbaloi jika mereka bersikap jujur. Tetapi kita akan lihat dalam bab yang seterusnya bahawa kejujuran membawa banyak berkat.

^ per. 3 Lihat kotak “ Patutkah Saya Menyertai Perayaan Ini?” Terdapat juga beberapa perayaan yang disenaraikan di dalam Watch Tower Publications Index yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 5 Menurut catatan Bible dan sejarah sekular, besar kemungkinan Yesus dilahirkan pada tahun 2 SM, bulan Etanim dalam kalendar Yahudi (bersamaan bulan September/Oktober).—Lihat buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 2, muka surat 56-57 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 11 Hukum Musa menyatakan bahawa seorang wanita yang baru melahirkan anak perlu mempersembahkan “korban untuk mengampunkan dosa.” (Imamat 12:1-8) Hukum ini mengingatkan orang Israel bahawa manusia mewariskan dosa kepada anak-anak mereka dan membantu mereka mempunyai pandangan yang seimbang terhadap anak yang dilahirkan. Selain itu, mereka dibantu untuk menghindari adat-adat hari jadi yang kafir.Mazmur 51:7.

^ per. 13 Eostre (atau Eastre) juga merupakan dewi kesuburan. Sebuah kamus tentang mitos menyatakan bahawa “dia memiliki seekor arnab di bulan yang suka akan telur dan kadangkala ada gambar yang menunjukkan dia berkepala arnab.”

^ per. 18 Sila lihat tiga rencana dalam The Watchtower, 15 Oktober 2006, muka surat 18-31 yang membincangkan soal perkahwinan dan jamuan sosial.

^ per. 20 Lihat The Watchtower, 15 Februari 2007, muka surat 30-31.

^ per. 24 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.