Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 14

Memperlihatkan Kejujuran dalam Kehidupan

Memperlihatkan Kejujuran dalam Kehidupan

“Kami selalu ingin melakukan perkara yang benar.”IBRANI 13:18.

1, 2. Mengapakah Yehuwa berasa gembira apabila kita berusaha sedaya upaya untuk bersikap jujur? Berikan contoh.

SEORANG ibu dan anaknya baru melangkah keluar dari sebuah kedai. Tiba-tiba, anak itu tercegat di tengah jalan. Raut mukanya mengukirkan perasaan serba salah. Dia sedang menggenggam sebuah alat permainan di tangannya. Agaknya dia terlupa untuk mengembalikan alat permainan itu kepada pemilik kedai ataupun meminta ibunya untuk membelikan permainan itu untuknya. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat lalu memanggil ibunya dengan cemas. Ibu menenangkan hatinya lalu membawanya pulang ke kedai itu supaya dia dapat mengembalikan barang tersebut dan meminta maaf. Seraya dia berbuat demikian, hati ibunya berlimpah dengan sukacita dan perasaan bangga. Mengapa?

2 Anak-anak yang bersikap jujur tentu membanggakan ibu bapa mereka. Dalam cara yang sama, kita akan membanggakan hati Bapa kita di syurga yang “suka akan kebenaran” seraya kita bertumbuh secara rohani dan berusaha untuk bersikap jujur. (Mazmur 37:28) Oleh sebab kita mahu menyenangkan hati Tuhan dan terus hidup di bawah naungan kasih-Nya, kita juga “selalu ingin melakukan perkara yang benar.” (Ibrani 13:18) Sekarang marilah kita lihat bagaimana kita boleh memperlihatkan kejujuran dalam empat aspek kehidupan kita. Kemudian, kita akan belajar tentang berkat-berkat yang akan kita nikmati jika kita berbuat demikian.

JUJUR DENGAN DIRI SENDIRI

3-5. (a) Apakah amaran yang terkandung dalam Firman Tuhan tentang bahaya menipu diri sendiri? (b) Apakah yang dapat membantu kita untuk jujur dengan diri sendiri?

3 Sebagai manusia yang tidak sempurna, bukan mudah bagi kita untuk berlaku jujur dengan diri sendiri. Kita cenderung menipu diri. Sebagai contoh, orang Kristian di Laodikia berfikir bahawa mereka “kaya dan serba cukup.” Tetapi Yesus memberitahu mereka bahawa mereka sebenarnya “miskin, telanjang, dan buta” dari segi rohani. (Penyingkapan 3:17) Dengan menipu diri, keadaan mereka menjadi lebih parah.

4 Adakah anda ingat akan amaran yang diberikan oleh Yakobus? Dia berkata, ‘Adakah sesiapa menganggap dirinya penyembah Tuhan? Jika dia tidak mengendalikan lidahnya, maka penyembahannya sia-sia dan dia menipu dirinya sendiri.’ (Yakobus 1:26, ABB) Jika kita berfikir bahawa kita boleh menggunakan lidah dengan sesuka hati dan pada masa yang sama menyenangkan hati Tuhan, kita sedang menipu diri. Sebenarnya, penyembahan sebegini adalah sia-sia sahaja. Jadi, bagaimanakah kita dapat menghindari masalah ini?

5 Kita perlu mempunyai pandangan Yehuwa. Amsal 3:32 (ABB) menyatakan, “Tuhan membenci orang yang berbuat jahat [atau, orang yang licik], tetapi Dia akrab dengan orang yang baik.” Oleh sebab ketidakjujuran merupakan kelemahan yang sukar dikenal pasti, kita memerlukan bantuan Firman Tuhan. Yakobus menyamakan kebenaran firman Tuhan kepada sebuah cermin. Jika kita mendalami hukum-hukum Tuhan dalam Bible, kita dapat menilai diri sendiri dengan jujur. Dengan demikian, kita akan menyedari perubahan yang perlu kita lakukan. (Ratapan 3:40; Yakobus 1:23-25) Selain itu, kita perlu berdoa kepada Yehuwa untuk memeriksa kita dan membantu kita mengatasi kelemahan kita. (Mazmur 139:23, 24) Dengan berbuat demikian, kita akan mempunyai pandangan Yehuwa terhadap diri kita. Ingatlah kata-kata Paulus bahawa kita “selalu ingin melakukan perkara yang benar.” Ya, walaupun kita tidak sempurna, kita boleh berusaha untuk berlaku jujur.

KEJUJURAN DALAM KELUARGA

Kejujuran membantu kita menghindari salah laku

6. Mengapakah pasangan yang sudah berkahwin perlu bersikap jujur antara satu sama lain, dan dengan itu apakah bahaya yang dapat dihindari?

6 Yehuwa menghendaki setiap keluarga Kristian memperlihatkan kejujuran. Maka, suami isteri mesti bersikap jujur antara satu sama lain. Mereka tidak boleh melibatkan diri dalam perbuatan yang tidak senonoh, seperti berfoya-foya, mengadakan hubungan rahsia melalui Internet, ataupun menonton pornografi. Sesetengah orang telah melakukan perbuatan sebegini dan menyembunyikannya daripada pasangan mereka. Orang seperti ini tidak jujur! Perhatikan kata-kata Raja Daud, “Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna [“orang yang berdusta,” NW]; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.” (Mazmur 26:4, ABB) Jika anda sudah pun berkahwin, jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang tidak jujur dan menyembunyikannya daripada teman hidup anda!

7, 8. Apakah contoh-contoh Bible yang dapat membantu kanak-kanak belajar tentang pentingnya untuk bersikap jujur?

7 Ibu bapa digalakkan untuk menggunakan contoh yang terkandung di dalam Bible apabila mengajar anak-anak mereka tentang pentingnya nilai kejujuran. Antara contoh orang yang tidak jujur ialah Akhan, yang telah mencuri dan mencuba menyembunyikan perbuatannya; Gehazi, yang telah menipu untuk mendapatkan wang dan harta benda; dan Yudas, yang telah mencuri dan berpura-pura menjadi sahabat Yesus.Yosua 6:17-19; 7:11-25; 2 Raja-Raja 5:14-16, 20-27; Matius 26:14, 15; Yohanes 12:6.

8 Di dalam Bible, terdapat juga contoh-contoh orang yang berlaku jujur. Antaranya ialah Yakub, yang menggalakkan anak-anaknya untuk memulangkan duit yang dijumpai dalam beg mereka kerana dia menyangka bahawa duit itu diletakkan di situ dengan tidak sengaja; Yefta dan anak perempuannya, yang menunaikan ikrar bapanya meskipun susah bagi dia untuk berbuat demikian; dan Yesus, yang berani memperkenalkan dirinya di hadapan gerombolan yang ganas supaya dia dapat menggenapi nubuat dan melindungi kawan-kawannya. (Kejadian 43:12; Hakim-Hakim 11:30-40; Yohanes 18:3-11) Ya, Bible merupakan khazanah yang kaya dengan contoh-contoh sebegini. Contoh-contoh di atas cumalah segelintir daripada contoh yang terkandung di dalam Bible yang dapat membantu ibu bapa mengajar anak-anak mereka tentang pentingnya untuk bersikap jujur.

9. Apakah yang perlu dielakkan oleh ibu bapa jika mereka ingin menyediakan teladan yang baik dalam hal kejujuran, dan mengapakah hal ini penting?

9 Selain itu, teladan anda sebagai ibu bapa adalah sangat penting. Hawari Paulus bertanya, “Kamu mengajar orang lain, tetapi mengapa kamu tidak mengajar diri sendiri? Kamu berkata, ‘Jangan mencuri’—tetapi mengapa kamu sendiri mencuri?” (Roma 2:21, ABB) Jadi anda perlu mengajar anak-anak anda kejujuran melalui tingkah laku anda. Jika anda mencuri atau membohong lalu memberi alasan, “Benda yang dicuri ini kecil sahaja,” atau “Saya berbohong dengan niat yang baik,” anda akan mengelirukan anak-anak anda. Tidak kira kecil atau besar, penipuan atau pencurian adalah salah. * (Lukas 16:10) Ya, jika ibu bapa menyuruh anak-anak mereka bersikap jujur, sedangkan mereka sendiri tidak bersikap jujur, mereka seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul. Apabila anak-anak besar kelak, mereka akan mencerminkan sikap ibu bapa mereka. (Efesus 6:4) Sebaliknya, jika ibu bapa menyediakan teladan yang baik, anak mereka akan meniru teladan mereka dan mengharumkan nama Yehuwa.Amsal 22:6.

KEJUJURAN DALAM SIDANG

10. Untuk bertutur secara jujur dengan saudara saudari kita, apakah yang perlu kita lakukan?

10 Apabila kita bergaul di sidang, kita mempunyai banyak peluang untuk berlaku jujur. Seperti yang telah kita belajar dalam Bab 12, kita perlu mengawal pertuturan kita. Semasa berbual-bual dengan saudara saudari, kita tidak mahu mengumpat mahupun memfitnah orang lain. Jika kita menyebarkan sesuatu tanpa mengetahui sumbernya, kita mungkin bercakap bohong! Oleh itu kita harus berhati-hati semasa menggunakan lidah kita. (Amsal 10:19) Tetapi bagaimana pula jika kita mengetahui sesuatu yang benar tentang orang lain? Hal ini tidak bermaksud bahawa kita mesti menyebarkannya kerana perkara itu bukannya urusan kita dan perkara yang tidak membina tidak patut disebarkan kepada orang lain. (1 Tesalonika 4:11) Selain itu, kejujuran tidak bererti bahawa kita boleh bersikap biadab semasa bertutur. Semua orang Kristian harus memastikan bahawa percakapan mereka sopan dan berpatutan.Kolose 4:6.

11, 12. (a) Bagaimanakah sesetengah orang yang melakukan dosa serius memburukkan lagi keadaan mereka? (b) Apakah tipu muslihat Syaitan mengenai dosa yang serius? Bagaimanakah kita dapat mengelakkan penipuan sebegini? (c) Dalam organisasi Yehuwa, bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita jujur?

11 Adalah sangat penting untuk bersikap jujur semasa bercakap dengan para penatua. Mungkin terdapat saudara saudari yang terjebak dalam dosa yang serius, tetapi mereka memburukkan lagi keadaan dengan mencuba menyembunyikan dosa mereka. Mereka berbohong semasa berdepan dengan para penatua. Orang seperti ini bermuka dua; mereka berpura-pura menyembah Yehuwa tetapi pada masa yang sama menjalankan kehidupan yang sarat dengan dosa. (Mazmur 12:3) Ada pula yang menyembunyikan sesetengah perkara dan tidak memberitahu para penatua cerita yang sebenar. (Kisah 5:1-11) Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa orang sebegini tidak berlaku jujur? Hal ini adalah kerana mereka percaya kepada kata-kata dusta Syaitan.—Lihat kotak “ Tipu Muslihat Syaitan Mengenai Dosa Serius.”

12 Kita juga mesti bersikap jujur semasa mengisi borang dalam organisasi Yehuwa. Contohnya, kita perlu memastikan bahawa maklumat yang diisikan dalam laporan aktiviti penyebaran bulanan adalah tepat. Selain itu, semasa mengisi borang permohonan untuk khidmat tertentu, kita tidak boleh memalsukan butiran peribadi berkenaan kesihatan, kehidupan, atau khidmat kita.Amsal 6:16-19.

13. Bagaimanakah kita boleh bersikap jujur semasa berurus niaga dengan saudara saudari?

13 Kita juga harus berlaku jujur apabila berurus niaga dengan saudara saudari. Hal-hal perniagaan tidak patut dicampuradukkan dengan penyembahan. Semasa di perjumpaan atau aktiviti penyebaran, kita tidak akan berbincang tentang urus niaga kita. Bagaimana pula jika anda seorang majikan atau anda bekerja untuk saudara saudari yang lain? Jika anda seorang majikan, pastikan bahawa anda berlaku jujur terhadap saudara saudari yang bekerja untuk anda dengan membayar gaji mereka pada masa yang ditetapkan, dalam jumlah yang telah dijanjikan, berserta faedah-faedah lain. (1 Timotius 5:18; Yakobus 5:1-4) Sebaliknya, jika anda bekerja untuk seorang saudara atau saudari, pastikan anda jujur semasa bekerja dan tidak curi tulang. (2 Tesalonika 3:10) Anda tidak patut mengharapkan layanan istimewa hanya kerana majikan anda ialah seorang rakan sekepercayaan. Contohnya, anda tidak akan mengharapkan waktu kerja yang lebih pendek atau faedah-faedah tambahan yang tidak diberikan kepada pekerja lain.Efesus 6:5-8.

14. Orang Kristian yang menjalankan urus niaga bersama perlu melakukan apa, dan mengapa?

14 Bagaimana pula jika kita menjalankan urus niaga bersama, contohnya dalam soal pinjaman atau pelaburan? Bible mengandungi prinsip yang sangat penting: Pastikan semua butiran ditulis secara hitam putih! Contohnya, apabila Yeremia membeli sebidang tanah, ‘dia memanggil beberapa orang saksi, menandatangani dan memeteraikan surat pembelian tanah.’ Dia juga membuat salinan surat pembelian tanah tersebut dan menyimpannya. (Yeremia 32:9-12; lihat juga Kejadian 23:16-20) Apabila kita berurus niaga dengan saudara saudari, kita perlu memastikan bahawa semua butiran dicatatkan dalam dokumen yang ditandatangani di hadapan saksi. Hal ini tidak bererti bahawa kita tidak mempercayai saudara saudari kita. Sebaliknya hal ini mencegah salah faham, kekecewaan, atau perbalahan pada masa hadapan. Semua orang Kristian perlu ingat bahawa adalah tidak berbaloi untuk menggadaikan kedamaian dan perpaduan dalam sidang semata-mata untuk urus niaga mereka. *1 Korintus 6:1-8.

KEJUJURAN DALAM DUNIA SEKULAR

15. Apakah perasaan Yehuwa terhadap mereka yang tidak bersikap jujur semasa menjalankan urus niaga, dan apakah pandangan orang Kristian tentang hal ini?

15 Orang Kristian tidak bersikap jujur di sidang sahaja. Paulus berkata, “Kami selalu ingin melakukan perkara yang benar.” (Ibrani 13:18) Yehuwa juga ingin kita bersikap jujur semasa kita menjalankan urus niaga dalam dunia sekular. Di dalam buku Amsal, perasaan Tuhan terhadap timbangan yang tidak tepat disingkapkan sebanyak empat kali. (Amsal 11:1; 16:11; 20:10, 23) Pada masa kuno, orang biasanya menggunakan dacing dan batu timbang untuk menimbang barangan yang dijual dan wang yang digunakan semasa urusan jual beli. Peniaga yang tidak jujur akan menggunakan dua set batu timbang yang berbeza, serta dacing yang tidak tepat supaya dapat menipu pelanggan mereka. * Yehuwa sangat membenci perbuatan sebegini! Jika kita ingin terus berada di bawah naungan kasih-Nya, kita perlu mengelakkan urus niaga yang tidak jujur.

16, 17. Bagaimanakah orang di dunia menunjukkan bahawa mereka tidak jujur, dan apakah tekad orang Kristian sejati?

16 Kita tidak patut berasa hairan bahawa dunia ini penuh dengan orang yang tidak jujur. Mengapa? Hal ini adalah kerana Syaitan merupakan pemerintah dunia ini. Setiap hari, kita digoda untuk melakukan perkara yang tidak jujur. Semasa mengisi borang permohonan kerja, ramai orang berbohong tentang pengalaman atau kelayakan mereka. Semasa mengisi borang imigrasi, cukai, insurans, dan sebagainya, orang kerap mengisi maklumat yang palsu. Ramai pelajar menipu semasa peperiksaan serta mencuri hasil karya orang lain dari Internet dan mengakuinya sebagai hasil sendiri. Apabila berurusan dengan pegawai tertentu, ramai orang memberi rasuah. Ya, orang di dunia sememangnya “mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah.”2 Timotius 3:1-5.

17 Orang Kristian sejati bertekad untuk tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang tidak jujur. Tetapi kadangkala, hal ini tidak mudah kerana orang yang tidak jujur nampaknya menikmati kehidupan yang bahagia dan berjaya dalam segala hal. (Mazmur 73:1-8) Orang Kristian pula mungkin mengalami kerugian kewangan kerana “selalu ingin” melakukan perkara yang jujur. Jadi adakah berbaloi untuk selalu berlaku jujur? Sudah tentu! Mengapa? Kerana terdapat banyak berkat yang dapat diraih oleh orang yang jujur.

KEJUJURAN MEMBAWA BERKAT

18. Mengapakah reputasi sebagai seorang yang jujur sangat bernilai?

18 Reputasi kita sebagai seorang yang jujur dan yang boleh dipercayai sangat bernilai. (Lihat kotak “ Adakah Saya Sentiasa Jujur?”) Yang menariknya, reputasi sebegini tidak bergantung pada bakat, kekayaan, paras rupa, latar belakang, atau faktor lain. Namun, orang yang jujur jarang dijumpai. (Mikha 7:2) Sesetengah orang mungkin memperli anda kerana bersikap jujur. Walaupun begitu, orang lain akan menghargai kejujuran anda dan mereka akan mempercayai dan menghormati anda. Ramai Saksi-Saksi Yehuwa mendapati bahawa kejujuran mereka membawa keuntungan. Mereka tidak dibuang kerja apabila pekerja yang tidak jujur dipecat. Ada juga yang dapat mencari kerja apabila pekerja yang jujur amat diperlukan.

19. Bagaimanakah kejujuran kita mempengaruhi hati nurani serta hubungan kita dengan Yehuwa?

19 Apakah berkat lain yang dapat kita nikmati jika kita selalu jujur? Kita akan menikmati hati nurani yang bersih. Seperti yang dikatakan Paulus, “Kami yakin bahawa hati nurani kami murni.” (Ibrani 13:18) Tambahan lagi, Yehuwa mengasihi orang yang jujur. Maka, kejujuran kita tidak mungkin terlepas daripada perhatian-Nya. (Mazmur 15:1, 2; Amsal 22:1) Ya, jika kita selalu jujur, kita akan menikmati berkat yang nilainya tiada tolok bandingan—kita akan sentiasa berada di bawah naungan kasih Tuhan! Dalam bab yang seterusnya, kita akan membincangkan pandangan Yehuwa terhadap kerja.

^ per. 9 Dalam sidang, mereka yang selalu berdusta dengan niat untuk menyakiti hati orang lain boleh dikenakan tindakan disiplin.

^ per. 14 Berkenaan apa yang harus dilakukan sekiranya berlaku masalah urus niaga, sila lihat rencana Lampiran “Menyelesaikan Masalah Urus Niaga.”

^ per. 15 Mereka menggunakan dua set batu timbang, satu apabila menjual dan satu lagi apabila membeli. Kedua-duanya diubah suai untuk faedah sendiri. Mereka juga mungkin menggunakan dacing yang telah diubah suai. Mungkin satu lengan lebih panjang daripada lengan yang satu lagi ataupun satu lengan lebih berat daripada lengan yang satu lagi. Semuanya ini dilakukan untuk menipu pelanggan mereka.