Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 16

Lawanlah Iblis dan Tipu Muslihatnya

Lawanlah Iblis dan Tipu Muslihatnya

“Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.”YAKOBUS 4:7.

1, 2. Pembaptisan membawa sukacita kepada siapa?

MUNGKIN anda telah pun berkhidmat kepada Yehuwa selama bertahun-tahun, dan pernah mendengar banyak ceramah pembaptisan. Walaupun begitu, setiap kali anda menghadiri konvensyen atau perhimpunan, anda mungkin berasa terharu sewaktu memerhatikan mereka di barisan hadapan auditorium bangun untuk menjawab soalan-soalan pembaptisan. Pada saat itu, para hadirin diselubungi perasaan gembira lalu memberi tepukan yang gemuruh. Mungkin anda digenangi air mata seraya anda melihat calon-calon pembaptisan berpihak kepada Yehuwa. Ya, kita semua berasa sukacita pada masa itu!

2 Setiap tahun kita berpeluang untuk melihat beberapa pembaptisan sahaja. Tetapi para malaikat mempunyai jauh lebih banyak peluang untuk berbuat demikian. Bolehkah anda membayangkan perasaan para malaikat seraya melihat ribuan individu menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa di bumi? (Lukas 15:7, 10) Sudah tentu pertambahan ini membawa kegembiraan yang sangat besar di syurga!Hagai 2:7.

SI IBLIS “MERAYAU-RAYAU SEPERTI SINGA YANG MENGAUM”

3. Mengapakah Syaitan “merayau-rayau seperti singa yang mengaum,” dan apakah yang ingin dia lakukan?

3 Walau bagaimanapun, Syaitan dan roh-roh jahatnya sangat marah semasa pembaptisan dijalankan. Mengapa? Sejak dahulu lagi, Syaitan telah mendakwa bahawa semua manusia di bumi tidak mengasihi Yehuwa dengan ikhlas dan akan berpaling tadah semasa menghadapi cubaan. (Ayub 2:4, 5) Tetapi, setiap kali seseorang membaktikan diri kepada Yehuwa, Syaitan dibuktikan salah. Maka, setiap pembaptisan merupakan tamparan yang hebat bagi Syaitan. Tidak hairanlah jika Syaitan sedang “merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.” (1 Petrus 5:8) Seperti singa yang ingin membaham orang, dia teringin sekali memutuskan hubungan kita dengan Yehuwa.Mazmur 7:2, 3; 2 Timotius 3:12.

Setiap kali seseorang membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptiskan, Syaitan dibuktikan salah

4, 5. (a) Apakah dua sekatan yang dikenakan Tuhan ke atas Si Iblis? (b) Orang Kristian sejati diberi jaminan apa?

4 Walaupun Syaitan diumpamakan kepada “singa yang mengaum,” kita tidak perlu berasa takut. Mengapa? Kerana Yehuwa telah mengenakan dua sekatan ke atas musuh-Nya ini. Yang pertama, Yehuwa telah menubuatkan bahawa sekumpulan besar orang Kristian sejati akan selamat mengharungi kesengsaraan besar. (Penyingkapan 7:9, 14) Memandangkan nubuat Tuhan tidak pernah gagal, Syaitan tentu tahu bahawa dia tidak akan berjaya menyesatkan segenap umat Tuhan.

5 Sekatan yang kedua pula dapat dilihat melalui kata-kata penubuat Azarya kepada Raja Asa, “Tuhan berserta kamu selama kamu berserta Dia.” (2 Tawarikh 15:2; 1 Korintus 10:13) Banyak contoh di dalam Bible membuktikan bahawa selagi hamba-hamba Tuhan tetap berada di sisi-Nya, Syaitan tidak mungkin dapat membaham mereka. (Ibrani 11:4-40) Hari ini, orang Kristian yang berpaut pada Yehuwa berupaya melawan Si Iblis bahkan mengalahkannya. Firman Tuhan memberi jaminan kepada kita, “Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.”Yakobus 4:7.

KITA BERJUANG MELAWAN ROH-ROH JAHAT

6. Bagaimanakah Syaitan mencuba menakluki setiap seorang daripada kita?

6 Memang Syaitan tidak akan memenangi perang rohani ini. Tetapi setiap seorang daripada kita mungkin menjadi mangsanya jika kita tidak berhati-hati. Syaitan mencuba sedaya upaya untuk meregangkan hubungan kita dengan Yehuwa. Dia tahu bahawa jika hubungan kita dengan Yehuwa tidak kuat, dia dapat menakluki kita. Bagaimanakah dia melakukan hal ini? Dia menggunakan serangan yang dahsyat, melawan kita secara peribadi, dan menggunakan muslihat-muslihat yang licik. Marilah kita bincangkan strategi-strategi ini yang digunakan oleh Syaitan.

7. Mengapakah Syaitan sedang melancarkan serangan yang dahsyat ke atas umat Tuhan?

7 Serangan dahsyat. Hawari Yohanes telah menyatakan, “Seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.” (1 Yohanes 5:19) Ya, kata-katanya merupakan amaran bagi orang Kristian sejati. Memandangkan seluruh dunia yang fasik ini sudah pun berada di bawah pengaruhnya, Syaitan boleh menumpukan perhatian pada umat Yehuwa. (Mikha 4:1; Yohanes 15:19; Penyingkapan 12:12, 17) Tambahan lagi, Syaitan sangat marah kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit sahaja. Jadi, dia sedang melipatgandakan usahanya untuk menyerang umat Tuhan. Dia ingin membawa kemusnahan yang menyeluruh ke atas kita. Maka, kita perlu “menentukan apa yang harus dilakukan . . . pada masa yang tepat.”1 Tawarikh 12:32.

8. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa “berjuang melawan” roh-roh jahat?

8 Pergelutan peribadi. Hawari Paulus mengingatkan orang Kristian, “Kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan . . . roh-roh yang berkuasa.” (Efesus 6:12) Frasa Yunani yang diterjemahkan “berjuang melawan” merujuk kepada pergelutan berjarak dekat. Maka, Paulus sedang menekankan bahawa kita perlu bergelut dengan roh-roh jahat secara peribadi. Tidak kira sama ada masyarakat tempatan kuat percaya pada roh-roh jahat atau tidak, kita perlu tahu bahawa sejak pembaktian kita kepada Yehuwa, kita seolah-olah telah melangkah masuk ke gelanggang pertarungan untuk melawan roh-roh jahat. Itulah sebabnya Paulus menggesa orang Kristian di Efesus supaya “mempertahankan diri” dan “bersiap sedia” untuk melawan roh-roh jahat!Efesus 6:11, 13, 14.

9. (a) Mengapakah Syaitan dan roh-roh jahat menggunakan pelbagai muslihat yang licik? (b) Mengapakah Syaitan berhasrat untuk mencemarkan fikiran kita, dan bagaimanakah kita dapat melawannya? (Lihat kotak “ Awas! Syaitan Sangat Licik.”) (c) Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

9 Muslihat yang licik. Paulus menggesa orang Kristian untuk mempertahankan diri daripada “muslihat Iblis yang jahat.” (Efesus 6:11) Dalam bahasa Yunani asal, Paulus menggunakan istilah “muslihat” dalam bentuk jamak. Maksudnya, Syaitan dan roh-roh jahat menggunakan muslihat yang berbeza-beza untuk memerangkap kita. Mengapa? Kerana sesetengah penyembah Yehuwa yang berjaya mengatasi satu muslihat telah ditewaskan oleh muslihat yang lain. Maka, Si Iblis dan roh-roh jahat memerhatikan gerak-geri kita dengan teliti untuk mengenal pasti kelemahan rohani kita. Kemudian mereka menantikan saatnya untuk mengambil kesempatan ke atas kita. Mujurlah, kita tahu akan muslihat-muslihat yang digunakan oleh Syaitan kerana Yehuwa telah menyingkapkannya di dalam Bible. (2 Korintus 2:11) Dalam bab-bab yang lepas kita telah pun membincangkan beberapa muslihat Syaitan seperti cinta akan kebendaan, pergaulan yang buruk, dan perbuatan seksual yang tidak bermoral. Tetapi sekarang, marilah kita bincangkan satu lagi muslihat Syaitan—spiritisme.

AMALAN SPIRITISME—PERBUATAN KHIANAT

10. (a) Apakah itu spiritisme? (b) Apakah pandangan Yehuwa terhadap spiritisme, dan apa pula pandangan anda terhadap spiritisme?

10 Jika seseorang mengamalkan spiritisme, dia sedang berhubung dengan roh-roh jahat secara langsung. Ilmu ramal, ilmu sihir, jampi, dan perbuatan berhubung dengan orang yang sudah mati adalah sebahagian daripada spiritisme. Yehuwa memandang perbuatan-perbuatan ini sebagai “perbuatan keji.” (Ulangan 18:10-12; Penyingkapan 21:8) Oleh sebab kita mesti “membenci apa yang jahat,” adakah munasabah jika kita sengaja melibatkan diri dengan roh-roh jahat? (Roma 12:9) Sememangnya amalan spiritisme merupakan perbuatan yang mengkhianati Yehuwa!

11. Mengapakah Syaitan bagaikan meraih kemenangan apabila seorang Kristian digoda untuk melibatkan diri dalam spiritisme? Berikan contoh.

11 Oleh sebab penglibatan diri dalam spiritisme merupakan perbuatan khianat terhadap Yehuwa, Syaitan khusyuk menggoda kita untuk terjebak dalam spiritisme. Syaitan seolah-olah meraih kemenangan yang besar setiap kali dia berjaya mengumpan seorang Kristian untuk melibatkan diri dalam spiritisme. Mengapakah kita berkata demikian? Fikirlah tentang contoh ini: Jika seorang askar berjaya dipujuk untuk membelot dan menyertai pihak musuh, komander pihak musuh tentu berasa sangat gembira. Dia mungkin akan memperagakan si pembelot untuk menghina bekas komander pembelot itu. Dalam cara yang sama, jika seorang Kristian melibatkan diri dalam spiritisme, dia dengan sengaja menderhakai Yehuwa dan menjadikan Syaitan “komandernya.” Bayangkan betapa gembiranya Syaitan jika seseorang mengkhianati Yehuwa! Adakah anda ingin memberi Si Iblis kemenangan sedemikian? Sudah tentu tidak!

SOALAN YANG MENIMBULKAN KERAGUAN

12. Apakah kaedah yang digunakan oleh Syaitan untuk mengubah pandangan kita terhadap spiritisme?

12 Asalkan kita membenci amalan spiritisme, Syaitan tidak akan berjaya menggunakan muslihat ini untuk menjerat kita. Oleh itu dia bertekad untuk mengubah pandangan kita. Dia berusaha mengelirukan orang Kristian sehinggakan mereka tidak dapat membezakan yang “baik dan yang jahat.” (Yesaya 5:20) Dia melakukan hal ini dengan menggunakan satu kaedah yang sangat berkesan—dia menggunakan soalan untuk menimbulkan keraguan.

13. Bagaimanakah Syaitan menggunakan soalan untuk menimbulkan keraguan?

13 Perhatikan bagaimana Syaitan menggunakan kaedah ini pada masa lampau. Semasa di Taman Eden dia telah bertanya kepada Hawa, ‘Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?’ Pada zaman Ayub, semasa malaikat-malaikat di syurga menghadap Tuhan, Syaitan mengajukan soalan ini kepada Yehuwa, ‘Mahukah Ayub menyembah-Mu jika dia tidak mendapat apa-apa ganjaran?’ Apabila Yesus berada di bumi pula, Syaitan telah mencabarnya, ‘Jika engkau Anak Tuhan, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.’ Bayangkan hal ini: Baru kira-kira enam minggu sebelum itu, Yehuwa sendiri telah berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.” Sekarang Si Iblis pula berani menentang firman yang diucapkan oleh Yehuwa!Kejadian 3:1; Ayub 1:9; Matius 3:17; 4:3.

14. (a) Bagaimanakah Syaitan membangkitkan keraguan tentang spiritisme? (b) Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

14 Hari ini, Syaitan menggunakan kaedah yang sama untuk membangkitkan keraguan tentang spiritisme. Dia berjaya menimbulkan keraguan di minda segelintir penyembah Yehuwa sehingga ada yang mula mempersoalkan sama ada spiritisme betul-betul merupakan amalan yang jahat. Mereka seolah-olah bertanya, “Benarkah semua bentuk spiritisme salah?” (2 Korintus 11:3) Bagaimanakah kita dapat membantu mereka? Apakah yang perlu kita lakukan supaya kita sendiri tidak terpengaruh oleh muslihat Syaitan? Untuk mencari jawapannya, marilah kita teliti dua aspek dalam kehidupan yang sering dinodai spiritisme—hiburan dan kesihatan.

MENGAMBIL KESEMPATAN KE ATAS KEINGINAN DAN KEPERLUAN KITA

15. (a) Apakah pandangan banyak orang di negara Barat mengenai spiritisme? (b) Bagaimanakah sesetengah orang Kristian terpengaruh dengan pandangan sebegini?

15 Khususnya di negara Barat, amalan spiritisme seperti ilmu ghaib, ilmu sihir, dan sebagainya dipandang remeh. Amalan spiritisme yang berleluasa dalam filem, buku, rancangan TV, dan permainan komputer dipandang sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan tidak berbahaya. Sesetengah filem dan buku yang mengandungi unsur spiritisme menjadi begitu popular sehingga pemujanya menubuhkan kelab peminat sendiri. Jelaslah bahawa ramai orang dipengaruhi oleh roh-roh jahat dan memandang spiritisme sebagai sesuatu yang remeh. Bolehkah pandangan sebegini mempengaruhi pandangan orang Kristian? Sudah tentu boleh. Perhatikan apa yang dikatakan oleh seorang Kristian selepas menonton sebuah filem yang berkisarkan ilmu ghaib. Dia berkata, “Saya sekadar menonton sahaja, saya bukannya mengamalkan spiritisme.” Mengapakah pemikiran sebegini amat berbahaya?

16. Mengapakah hiburan yang mempunyai unsur spiritisme berbahaya?

16 Memang, menonton hiburan yang mengandungi unsur spiritisme tidak bermaksud bahawa seseorang itu sedang mengamalkan spiritisme. Tetapi perbuatan sebegini sangat berbahaya. Mengapa? Syaitan dan roh-roh jahat tidak mempunyai kebolehan untuk membaca fikiran kita. * Oleh itu, mereka memerhatikan kita dengan teliti kerana mereka ingin sekali mengetahui kelemahan-kelemahan rohani kita. Jika seorang Kristian menunjukkan bahawa dia suka akan filem atau buku yang berkisarkan ilmu ajaib, rasukan hantu, kegiatan bomoh, dan lain-lain, dia seolah-olah sedang mengundang roh-roh jahat untuk menjeratnya. Roh-roh jahat pula sudah tentu akan mengambil kesempatan ke atas kelemahannya sehingga mereka berjaya menaklukkan dia. Pada hakikatnya, sesetengah orang yang tertarik kepada hiburan yang mengandungi unsur spiritisme akhirnya terlibat dalam amalan spiritisme.Galatia 6:7.

Mintalah bantuan Yehuwa semasa sakit

17. Apakah muslihat yang digunakan oleh Syaitan untuk mengambil kesempatan ke atas mereka yang sakit?

17 Syaitan juga mencuba mengambil kesempatan ke atas kita semasa kita mempunyai masalah kesihatan. Seorang Kristian yang menghadapi masalah kesihatan yang teruk mungkin berasa tawar hati kerana gagal mencari penawar bagi penyakit yang dihidapinya. (Markus 5:25, 26) Keadaan sebegini sangat sesuai bagi Syaitan dan roh-roh jahat untuk menjeratnya. Syaitan dan roh-roh jahat tahu bahawa Firman Tuhan telah memberi amaran yang berikut: “Jangan lakukan ilmu sihir apa pun.” (Imamat 19:26) Jadi mereka akan mencuba sedaya upaya untuk menyebabkan seseorang melanggar perintah itu. Contohnya, jika seseorang menghidapi penyakit yang parah dan terdesak untuk mencari penawar, roh-roh jahat boleh menggodanya supaya melawat bomoh atau menggunakan kaedah rawatan lain yang melibatkan amalan spiritisme. Jika roh-roh jahat berjaya melakukan hal ini, hubungan orang Kristian itu dengan Yehuwa akan terjejas. Mengapa?

18. Apakah yang akan ditolak oleh seorang Kristian, dan mengapa?

18 Yehuwa memberi amaran kepada mereka yang melanggar hukum-Nya, “Jika kamu tidak mentaati hukum, doa kamu pun akan menjijikkan.” (Amsal 28:9, ABB) Sudah tentu kita tidak ingin melakukan apa-apa yang akan menghalang doa kita atau menyebabkan kita kehilangan perkenan Tuhan, lebih-lebih lagi semasa kita sakit. (Mazmur 41:4) Maka jika seorang Kristian sejati mendapati bahawa kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti atau merawat penyakitnya mengandungi unsur spiritisme, dia patut menolaknya dengan serta-merta. * (Matius 6:13) Dengan demikian, dia boleh berasa pasti bahawa dia akan terus mendapat pertolongan Yehuwa.—Lihat kotak “ Adakah Hal Ini Berkaitan dengan Spiritisme?

APABILA CERITA ROH JAHAT MENJADI BUAH MULUT

19. (a) Si Iblis memperdayakan orang untuk mempercayai apa? (b) Apakah cerita-cerita yang dihindari oleh orang Kristian sejati?

19 Meskipun ramai di negara Barat memandang remeh kuasa Syaitan, orang di negara lain pula mempunyai pandangan yang bertentangan. Mereka tidur, makan, kerja, dan hidup dalam ketakutan kerana Si Iblis memperdayakan mereka untuk percaya bahawa dia sangat berkuasa. Cerita tentang kegiatan roh-roh jahat terdapat di merata-rata. Cerita sebegini disebarkan dengan penuh sensasi dan ramai orang amat terpesona dengan kisah-kisah ini. Patutkah kita menyebarkan cerita sebegini? Tidak. Orang Kristian sejati menghindarinya atas dua sebab yang penting.

20. Bagaimanakah seseorang boleh menjadi konco Syaitan?

20 Pertama, dengan menyebarkan cerita tentang kegiatan roh-roh jahat, seseorang menjadi konco Syaitan. Bagaimana? Firman Tuhan mengesahkan bahawa Syaitan berupaya melakukan “segala macam mukjizat.” Tetapi Firman Tuhan juga memberitahu kita bahawa Syaitan menggunakan “tipu muslihat jahat,” dan “keajaiban [untuk] menyesatkan orang.” (2 Tesalonika 2:9, 10) Syaitan ialah penipu yang mahir; dia tahu caranya untuk mempengaruhi minda orang yang berminat terhadap spiritisme. Dia juga tahu caranya untuk meyakinkan orang supaya mempercayai perkara-perkara yang tidak benar. Mereka yang suka akan spiritisme mungkin benar-benar percaya bahawa sesetengah perkara pelik yang dilihat atau didengar adalah benar. Lama-kelamaan, cerita ini yang diulangi berkali-kali akan ditokok tambah dan dibesar-besarkan. Jika seorang Kristian menyebarkan cerita-cerita sedemikian, dia boleh dikatakan menurut kehendak ‘bapa segala dusta.’ Ya, dia sedang membantu Syaitan menyebarkan tipu muslihatnya.Yohanes 8:44; 2 Timotius 2:16.

21. Perbualan kita seharusnya berpusat pada apa?

21 Kedua, walaupun seorang Kristian pernah melihat roh-roh jahat pada masa dahulu, adalah baik jika dia tidak menceritakan pengalamannya untuk menghiburkan orang Kristian lain. Mengapa? Kerana kita dinasihati untuk ‘menumpukan pandangan kita kepada Yesus.’ (Ibrani 12:2) Ya, perhatian kita patut ditumpukan pada Kristus dan bukannya Syaitan. Semasa Yesus berada di bumi, dia tidak menghiburkan para pengikutnya dengan cerita tentang roh-roh jahat walaupun dia tahu benar kebolehan dan kelemahan Syaitan. Sebaliknya, Yesus menumpukan perhatiannya pada berita Kerajaan Tuhan. Maka, kita seharusnya meniru teladan baik Yesus dan para hawari dan memastikan bahawa ‘hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Tuhan’ menjadi buah mulut kita.Kisah 2:11; Lukas 8:1; Roma 1:11, 12.

22. Bagaimanakah kita boleh menyumbang kepada kegembiraan di syurga?

22 Ya, Syaitan memang mahir menggunakan pelbagai tipu muslihat yang licik, termasuk spiritisme, untuk mencuba menghancurkan hubungan kita dengan Yehuwa. Tetapi, kita bertekad untuk menolak semua bentuk spiritisme. Oleh itu, kita harus membenci apa yang jahat dan mencintai apa yang baik. Dengan demikian kita tidak memberi Si Iblis peluang untuk melemahkan tekad kita. (Efesus 4:27) Jangan lupa, kegembiraan yang sangat besar akan terhasil di syurga jika kita terus “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat”!Efesus 6:11.

^ per. 16 Walaupun Syaitan diberi gelaran Penentang, Pemfitnah, Pendusta, dan Penggoda, hal ini tidak menunjukkan bahawa dia dapat membaca hati atau fikiran kita. Sebaliknya, Bible menunjukkan bahawa Yehuwa boleh “menyelidiki hati” dan Yesus boleh “menyelami fikiran dan hati manusia.”Yeremia 17:10; Penyingkapan 2:23.

^ per. 18 Untuk maklumat lanjut mengenai ujian atau rawatan perubatan, sila lihat rencana dalam The Watchtower, 15 Disember 1994, muka surat 19-22, dan Awake! 8 Januari 2001, muka surat 26-27.