Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Cara Memperlakukan Individu yang Telah Disingkirkan

Cara Memperlakukan Individu yang Telah Disingkirkan

Bayangkan saudara-mara atau sahabat karib anda disingkirkan daripada sidang kerana enggan bertaubat atas dosa yang dilakukan. Tidakkah anda akan berasa sangat sedih dan remuk hati? Reaksi kita kepada arahan Bible dalam hal ini akan menyingkapkan sedalam mana kasih kita terhadap Tuhan dan kesetiaan kita terhadap aturan-Nya. * Marilah kita perhatikan beberapa soalan yang timbul mengenai perkara ini.

Bagaimanakah kita patut memperlakukan seseorang yang telah disingkirkan? Bible menyatakan, “Kamu tidak patut bergaul dengan orang yang mengaku dirinya orang Kristian, tetapi sebenarnya cabul atau tamak, atau menyembah berhala, atau mengumpat orang, pemabuk ataupun penipu. Janganlah makan dengan orang seperti itu!” (1 Korintus 5:11, ABB) Mengenai “sesiapa yang tidak berpegang kepada ajaran Kristus,” Bible menyatakan, “Janganlah sambut dia ke dalam rumah . . . Janganlah berkata kepadanya, ‘Salam sejahtera.’ Hal ini demikian, kerana sesiapa yang memberikan salam kepada orang semacam itu, menjadi subahat dalam perbuatannya yang jahat.” (2 Yohanes 9-11, ABB) Kita tidak menjalinkan hubungan rohani atau sosial dengan mereka yang telah disingkirkan. The Watchtower, 15 September 1981, muka surat 25, menyatakan, “Sekadar mengucapkan ‘Helo’ kepada seseorang mungkin merupakan langkah pertama yang membawa kepada perbualan dan persahabatan. Adakah kita ingin mengambil langkah ini dengan individu yang telah disingkirkan?”

Adakah kita perlu memutuskan segala hubungan dengan individu itu? Ya. Berikut merupakan beberapa sebab kita mesti berbuat demikian. Pertama, kita memperlihatkan kesetiaan terhadap Tuhan dan Firman-Nya. Kita bukan sahaja mematuhi Yehuwa apabila senang tetapi juga apabila susah. Kasih untuk Tuhan menggerakkan kita untuk mematuhi segala perintah-Nya; kita sedar bahawa Dia adil dan pengasih, dan hukum-Nya membawa manfaat yang terbesar. (Yesaya 48:17; 1 Yohanes 5:3) Kedua, dengan memutuskan hubungan dengan seorang pesalah yang enggan bertaubat, semua di sidang dilindungi daripada dicemari secara rohani dan moral, dan nama baik sidang dijaga. (1 Korintus 5:6, 7) Ketiga, dengan berpegang teguh pada prinsip Bible, kita boleh membawa manfaat kepada individu yang telah disingkirkan. Dengan menyokong keputusan jawatankuasa pengadilan, kita mungkin menyentuh hati pesalah yang setakat ini gagal menyambut baik bantuan para penatua. Memandangkan dia tidak dapat bergaul dengan orang yang dikasihinya, mungkin ‘dia akan sedar’ betapa serius kesalahannya dan mengambil langkah untuk kembali kepada Yehuwa.Lukas 15:17.

Bagaimana pula jika saudara-mara kita disingkirkan? Tali silaturahim sesama ahli keluarga boleh menguji kesetiaan kita. Bagaimanakah kita patut memperlakukan saudara-mara yang telah disingkirkan? Buku ini tidak membincangkan segala situasi yang mungkin timbul, tetapi marilah kita tumpukan perhatian pada dua situasi yang berikut.

Dalam sesetengah situasi, individu yang telah disingkirkan masih tinggal dalam rumah yang sama dengan keluarga terdekatnya. Memandangkan penyingkiran tidak memutuskan hubungan kekeluargaannya, urusan dan aktiviti harian dalam keluarga boleh berjalan seperti biasa. Tetapi, haluan hidup individu itu menunjukkan bahawa dia telah memilih untuk memutuskan ikatan rohani dengan keluarganya yang masih menyembah Yehuwa. Jadi ahli keluarga yang setia kepada Yehuwa tidak boleh melibatkannya dalam kegiatan rohani. Sebagai contoh, jika individu yang telah disingkirkan itu berada di rumah, dia tidak akan menyertai keluarganya yang berkumpul untuk pembelajaran Bible. Walau bagaimanapun, jika individu yang telah disingkirkan itu merupakan seorang anak di bawah umur, ibu bapanya masih bertanggungjawab untuk mendidik dan mendisiplinkannya. Maka ibu bapa yang pengasih boleh membuat aturan untuk mengadakan pembelajaran Bible dengan anak itu. *Amsal 6:20-22; 29:17.

Dalam situasi yang lain, individu yang telah disingkirkan tidak tinggal dalam rumah yang sama dengan keluarga terdekatnya. Tetapi kadangkala hal keluarga tertentu yang tidak dapat dielakkan mungkin timbul dan ahli keluarga Kristian yang setia perlu berurusan dengan individu yang telah disingkirkan. Walaupun begitu, hubungan sebegini harus diminimumkan. Ahli keluarga Kristian yang setia tidak akan mencari alasan untuk berhubung dengan saudara-mara yang telah disingkirkan dan yang tidak tinggal dalam rumah yang sama. Sebaliknya, kesetiaan kepada Yehuwa dan organisasi-Nya menggerakkan mereka untuk berpegang teguh pada aturan Bible mengenai penyingkiran. Haluan mereka yang setia sebenarnya adalah untuk kebaikan pesalah dan dapat membantunya memanfaatkan disiplin yang diberi kepadanya. *Ibrani 12:11.

^ per. 1 Prinsip-prinsip Bible yang digunakan dalam hal penyingkiran juga sesuai digunakan apabila seseorang menyisihkan diri daripada sidang.

^ per. 2 Untuk maklumat lanjut mengenai anak di bawah umur yang telah disingkirkan dan yang masih tinggal bersama ibu bapanya, sila lihat The Watchtower, 1 Oktober 2001, muka surat 16-17, dan 15 November 1988, muka surat 20.

^ per. 1 Untuk maklumat lanjut mengenai cara memperlakukan saudara-mara yang telah disingkirkan, sila lihat nasihat Bible yang dibincangkan dalam The Watchtower, 15 April 1988, muka surat 26-31, dan 15 September 1981, muka surat 26-31.