Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 12

‘Dengan Kuasa Yehuwa, Mereka Bercakap dengan Berani’

‘Dengan Kuasa Yehuwa, Mereka Bercakap dengan Berani’

Paulus dan Barnabas menunjukkan kerendahan hati, ketabahan, dan keberanian

Berdasarkan Kisah 14:1-28

1, 2. Apakah peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa Paulus dan Barnabas berada di Listra?

 SESUATU yang menggemparkan telah berlaku di Listra. Seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir kini melompat-lompat kegembiraan selepas disembuhkan oleh dua orang lelaki yang tidak dikenalinya. Orang ramai berasa kagum. Kemudian, seorang imam Dewa Zeus membawa lingkaran bunga untuk dua lelaki itu yang kini dianggap sebagai dewa oleh orang ramai. Kedengaran lembu-lembu jantan berdengus ketika imam itu bersedia untuk menyembelih binatang-binatang itu. Namun, Paulus dan Barnabas membantah tindakan itu dengan suara yang kuat. Mereka mengoyakkan jubah mereka, lalu berlari kepada orang ramai dan menyeru supaya berhenti menyembah mereka. Setelah berusaha sedaya upaya untuk berbuat demikian, barulah orang ramai berhenti.

2 Kemudian, para penentang yang berbangsa Yahudi tiba dari Antiokhia di Pisidia dan Ikonium. Mereka meracuni fikiran orang di Listra dengan menyebarkan fitnah tentang Paulus dan Barnabas. Orang ramai yang pada mulanya mahu menyembah Paulus kini mengepungnya, lalu merejamnya sehingga dia pengsan. Selepas melampiaskan kemarahan mereka, mereka mengheret Paulus ke luar pintu gerbang kota kerana menyangka dia sudah mati.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Apakah yang menyebabkan kejadian yang menggemparkan ini? Apakah yang dapat dipelajari oleh para penyebar berita baik hari ini daripada peristiwa yang melibatkan Barnabas, Paulus, dan penduduk Listra yang mudah berubah hati? Bagaimanakah para penatua dapat meniru ketabahan Barnabas dan Paulus serta ‘bercakap dengan berani dengan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa’?​—Kis. 14:3.

‘Banyak Orang Mula Percaya kepada Yesus’ (Kis. 14:1-7)

4, 5. Mengapakah Paulus dan Barnabas pergi ke Ikonium, dan apakah yang berlaku di sana?

4 Beberapa hari sebelumnya, para penentang itu telah menyebabkan Paulus dan Barnabas diusir dari Antiokhia di Pisidia yang merupakan kota Roma. Meskipun demikian, mereka tidak berasa tawar hati. Sebaliknya, Paulus dan Barnabas “mengebaskan debu daripada kaki mereka” sebagai amaran terhadap penduduk kota yang tidak menyambut berita baik. (Kis. 13:50-52; Mat. 10:14) Mereka beredar dengan damai dan membiarkan para penentang itu menanggung penghakiman daripada Tuhan. (Kis. 18:5, 6; 20:26) Dua mubaligh ini tetap bersukacita dan meneruskan kerja menginjil mereka. Setelah mengadakan perjalanan kira-kira 150 km ke arah tenggara, mereka tiba di sebuah dataran yang subur, yang terletak di antara pergunungan Taurus dan Sultan.

5 Mula-mula, Paulus dan Barnabas singgah di Ikonium. Kawasan itu mengekalkan budaya Yunani dan merupakan salah satu kota terpenting di wilayah Roma, iaitu Galatia. a Di kota ini, terdapat populasi Yahudi yang berpengaruh dan banyak pemeluk agama Yahudi. Seperti biasa, Paulus dan Barnabas pergi ke rumah ibadat dan mula menginjil. (Kis. 13:5, 14) “Kata-kata mereka begitu berkesan sehingga banyak orang Yahudi dan orang Yunani mula percaya kepada Yesus.”​—Kis. 14:1.

6. Mengapakah Paulus dan Barnabas ialah guru yang mahir? Bagaimanakah kita dapat meniru mereka?

6 Mengapakah kata-kata Paulus dan Barnabas sangat berkesan? Paulus memiliki pengetahuan yang luas tentang Ayat-Ayat Suci. Dia mahir merujuk kepada sejarah, nubuat, dan Hukum Musa untuk membuktikan bahawa Yesus ialah Mesias yang dijanjikan. (Kis. 13:15-31; 26:22, 23) Cara Barnabas bercakap dengan orang pula menunjukkan bahawa dia prihatin terhadap mereka. (Kis. 4:36, 37; 9:27; 11:23, 24) Dua mubaligh ini tidak bergantung pada pemahaman sendiri, sebaliknya mereka bercakap “dengan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa.” Bagaimanakah anda dapat meniru para mubaligh ini dalam kerja menginjil? Lakukanlah hal-hal berikut: Mengenali Firman Tuhan dengan lebih baik. Menggunakan ayat-ayat Bible yang dapat menarik minat pendengar anda. Cari cara yang praktikal untuk melegakan hati pendengar anda. Pastikan ajaran anda berdasarkan Firman Yehuwa dan bukan pengetahuan sendiri.

7. (a) Berita baik membawa kesan apa? (b) Jika ahli keluarga anda berpecah belah kerana anda mentaati berita baik, apakah yang harus anda ingat?

7 Namun, bukan semua orang di Ikonium gembira mendengar kata-kata Paulus dan Barnabas. Lukas melaporkan, “Orang Yahudi yang tidak percaya menghasut orang daripada bangsa-bangsa lain untuk membenci Paulus dan Barnabas.” Paulus dan Barnabas sedar bahawa mereka perlu tetap berada di kota itu dan mempertahankan berita baik. ‘Mereka menghabiskan banyak masa di situ dan bercakap dengan berani.’ Hasilnya, “orang ramai di kota itu terbahagi kepada dua kumpulan, ada yang berpihak kepada orang Yahudi dan ada pula yang berpihak kepada para rasul itu.” (Kis. 14:2-4) Hari ini, berita baik juga membawa kesan yang sama. Berita baik menghasilkan perpaduan bagi sesetengah orang, manakala membawa perpecahan bagi yang lain. (Mat. 10:34-36) Jika keluarga anda berpecah belah kerana anda mentaati berita baik, ingatlah bahawa tentangan biasanya berlaku disebabkan khabar angin yang tidak berasas atau fitnah. Namun, tingkah laku anda yang baik dapat menjadi penawar bagi racun khabar angin sebegitu dan mungkin dapat mengubah sikap orang yang menentang anda.​—1 Ptr. 2:12; 3:1, 2.

8. Mengapakah Paulus dan Barnabas meninggalkan Ikonium? Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada contoh mereka?

8 Selepas suatu jangka waktu, para penentang di Ikonium merancang untuk merejam Paulus dan Barnabas. Apabila dua mubaligh ini mengetahui rancangan itu, mereka memutuskan untuk berpindah ke kawasan penyebaran yang lain. (Kis. 14:5-7) Para penginjil hari ini juga menggunakan daya pertimbangan yang sama. Semasa orang menyerang kita dengan kata-kata, kita akan bercakap dengan berani. (Flp. 1:7; 1 Ptr. 3:13-15) Tetapi jika keselamatan kita terancam, kita tidak akan melakukan sesuatu secara melulu yang akan membahayakan diri dan rakan seiman kita.​—Ams. 22:3.

‘Berpaling kepada Tuhan yang Hidup’ (Kis. 14:8-19)

9, 10. Di manakah terletaknya Listra, dan apakah yang kita tahu tentang penduduknya?

9 Sekarang, Paulus dan Barnabas pergi ke Listra, sebuah tanah jajahan Roma yang terletak kira-kira 30 km di barat daya dari Ikonium. Listra telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan Antiokhia di Pisidia. Tetapi, Listra tidak mempunyai komuniti Yahudi yang besar. Walaupun penduduk di situ mungkin bertutur dalam bahasa Yunani, bahasa ibunda mereka ialah Likaonia. Kemungkinan besar, kota itu tidak mempunyai rumah ibadat. Maka, Paulus dan Barnabas mula menginjil di tempat awam. Semasa di Yerusalem, Petrus telah menyembuhkan seorang lelaki yang dilahirkan cacat. Selepas melihat mukjizat yang dilakukannya, banyak orang menjadi pengikut Kristus. (Kis. 3:1-10) Di Listra pula, Paulus menyembuhkan seorang lelaki lumpuh sejak lahir. (Kis. 14:8-10) Namun, mukjizat yang dilakukan oleh Paulus membawa kesan yang berbeza sama sekali.

10 Seperti yang diceritakan di permulaan bab ini, apabila lelaki yang lumpuh itu melompat lalu berjalan, penduduk Listra yang menyembah dewa dewi kafir membuat kesimpulan yang salah. Mereka menggelar Barnabas sebagai Zeus, ketua dewa dewi, dan Paulus sebagai Hermes, iaitu anak Zeus dan jurucakap bagi dewa dewi. (Lihat kotak “ Listra dan Pemujaan Zeus dan Hermes.”) Namun, Paulus dan Barnabas bertekad untuk membantu orang ramai faham bahawa mereka bercakap dan bertindak bukan atas kuasa dewa dewi kafir, tetapi dengan kuasa daripada Yehuwa, satu-satunya Tuhan yang benar.​—Kis. 14:11-14.

‘Berpalinglah daripada benda-benda yang sia-sia itu, lalu datang kepada Tuhan yang hidup. Dialah yang menciptakan langit dan bumi.’​—Kisah 14:15

11-13. (a) Apakah yang dikatakan oleh Paulus dan Barnabas kepada penduduk Listra? (b) Apakah satu pengajaran yang kita peroleh daripada kata-kata Paulus dan Barnabas?

11 Walaupun situasi sangat menggemparkan, Paulus dan Barnabas masih berusaha mencapai hati pendengar mereka. Catatan Lukas tentang peristiwa ini menunjukkan satu cara yang berkesan untuk menginjil kepada orang kafir. Perhatikan kata-kata Paulus dan Barnabas: “Mengapakah kamu melakukan semua ini? Kami pun manusia biasa seperti kamu semua! Kami mengkhabarkan berita baik kepada kamu supaya kamu berpaling daripada benda-benda yang sia-sia itu, lalu datang kepada Tuhan yang hidup. Dialah yang menciptakan langit, bumi, laut, dan semua yang ada di dalamnya. Pada masa lampau, walaupun Tuhan membiarkan orang daripada semua bangsa untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka, Dia masih memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan melakukan apa yang baik. Dia memberi kamu hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya. Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kamu, dan memenuhi hati kamu dengan sukacita.”​—Kis. 14:15-17.

12 Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada kata-kata mereka? Pertama, Paulus dan Barnabas tidak memandang diri lebih baik daripada pendengar mereka. Mereka tidak mendakwa mempunyai kuasa yang istimewa. Sebaliknya, mereka dengan rendah hati mengakui bahawa mereka mempunyai kelemahan yang sama seperti pendengar mereka yang merupakan orang kafir. Memang, Paulus dan Barnabas menerima kuasa suci Tuhan dan dibebaskan daripada ajaran palsu. Mereka juga diberkati dengan harapan untuk memerintah bersama Kristus. Namun, mereka sedar bahawa penduduk Listra pun boleh menerima kurniaan yang sama dengan mentaati Kristus.

13 Apakah sikap kita terhadap orang yang kita temui semasa menginjil? Adakah kita memandang mereka sama seperti kita? Seraya kita membantu orang mengenali kebenaran daripada Firman Tuhan, adakah kita meniru Paulus dan Barnabas dengan tidak mencari kemuliaan sendiri? Charles Taze Russell, seorang pengajar yang mahir, menjadi contoh yang baik bagi kita. Dia mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dia menulis, “Kami tidak mahu orang menyanjung kami atau hasil penulisan kami. Kami juga tidak mahu dikenali sebagai Reverend atau Rabbi.” Saudara Russell mencerminkan kerendahan hati Paulus dan Barnabas. Begitu juga, tujuan kita menginjil bukanlah untuk mencari kemuliaan bagi diri sendiri, tetapi untuk membantu orang berpaling kepada “Tuhan yang hidup.”

14-16. Apakah dua lagi pengajaran yang dapat kita peroleh daripada kata-kata Paulus dan Barnabas kepada penduduk Listra?

14 Pertimbangkan pengajaran kedua yang dapat kita peroleh daripada ucapan mereka. Paulus dan Barnabas sedia membuat penyesuaian. Penduduk Listra tidak seperti orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi di Ikonium. Mereka kurang atau langsung tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci atau hubungan Tuhan dengan bangsa Israel. Walaupun begitu, pendengar Paulus dan Barnabas berasal daripada komuniti pertanian. Listra mempunyai iklim yang sederhana dan tanah yang subur. Maka, orang di situ dapat lihat banyak bukti tentang sifat-sifat Pencipta, contohnya melalui hasil tanaman mereka. Para mubaligh menggunakan titik persamaan ini untuk membantu para pendengar mereka berfikir.​—Rm. 1:19, 20.

15 Bolehkah kita juga bersedia membuat penyesuaian? Seorang petani mungkin menanam benih yang sama di tanah yang berlainan. Maka dia akan menggunakan kaedah yang berbeza untuk menyediakan tanah itu. Jika tanah itu lembut, petani boleh menanam benih. Tetapi tanah yang lain mungkin memerlukan lebih banyak persiapan. Begitu juga, benih yang kita semai adalah sama, iaitu mesej Kerajaan Tuhan daripada Bible. Namun jika kita meniru Paulus dan Barnabas, kita akan cuba memahami situasi dan latar belakang agama pendengar kita. Hal ini akan mempengaruhi cara kita menyampaikan mesej Kerajaan Tuhan.​—Luk. 8:11, 15.

16 Apakah pengajaran ketiga daripada kisah yang melibatkan Paulus, Barnabas, dan penduduk Listra? Walaupun kita sudah berusaha sedaya upaya, benih yang kita semai ada kalanya dirampas atau jatuh di tempat yang berbatu. (Mat. 13:18-21) Jika hal ini berlaku, janganlah putus asa. Seperti peringatan yang diberikan Paulus kepada murid-murid di Roma, “kita [termasuk orang yang kita temui semasa menginjil] bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.”​—Rm. 14:12.

‘Menyerahkan Para Penatua kepada Yehuwa’ (Kis. 14:20-28)

17. Selepas meninggalkan Derbe, Paulus dan Barnabas pergi ke mana, dan mengapa?

17 Orang di Listra telah merejam Paulus dan mengheretnya ke luar kota kerana menyangka bahawa dia sudah mati. Murid-murid menyelamatkannya dan memberinya tempat untuk bermalam di kota itu. Keesokan harinya, Paulus dan Barnabas memulakan perjalanan sejauh 100 km ke Derbe. Bayangkan kesakitan yang dirasai Paulus semasa perjalanan itu kerana dia baru sahaja direjam dengan batu. Namun, dia dan Barnabas bertabah. Apabila mereka tiba di Derbe, mereka “membantu ramai orang untuk menjadi murid.” Kemudian, daripada mengambil laluan yang lebih pendek untuk pulang ke tempat tinggal mereka di Antiokhia di Siria, “mereka kembali ke Listra, Ikonium, dan Antiokhia [Pisidia].” Mengapa? Untuk menguatkan “murid-murid di situ dan menggalakkan mereka supaya terus beriman kepada Tuan Yesus.” (Kis. 14:20-22) Teladan yang sungguh baik! Mereka mengutamakan kepentingan sidang dan bukannya keselesaan sendiri. Hari ini, penyelia lawatan dan mubaligh telah meniru teladan mereka.

18. Apakah yang terlibat dalam pelantikan seorang penatua?

18 Selain menguatkan murid-murid melalui kata-kata dan teladan mereka, Paulus dan Barnabas telah melantik “para penatua bagi setiap sidang.” Walaupun “diutus oleh kuasa suci Tuhan” bagi perjalanan mubaligh ini, Paulus dan Barnabas masih berdoa dan berpuasa lalu “menyerahkan mereka [para penatua] kepada Yehuwa.” (Kis. 13:1-4; 14:23) Cara yang sama diterapkan dewasa ini. Sebelum mengesyorkan seorang saudara, badan penatua tempatan akan berdoa dan mempertimbangkan sama ada saudara itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Firman Tuhan atau tidak. (1 Tim. 3:1-10, 12, 13; Tit. 1:5-9; Yak. 3:17, 18; 1 Ptr. 5:2, 3) Faktor utama bukanlah berapa lama dia menjadi orang Kristian. Sebaliknya kata-kata, tingkah laku, dan reputasi saudara itu harus membuktikan bahawa kuasa suci Tuhan sedang membimbing kehidupannya. Jika dia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Bible bagi seorang penyelia, dia layak dilantik sebagai gembala bagi kawanan Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Penyelia litar bertanggungjawab untuk membuat pelantikan sedemikian.​—Bandingkan 1 Timotius 5:22.

19. Para penatua bertanggungjawab kepada siapa, dan bagaimanakah mereka mencontohi Paulus dan Barnabas?

19 Para penatua yang terlantik tahu bahawa mereka bertanggungjawab kepada Tuhan atas cara mereka melayan saudara saudari. (Ibr. 13:17) Seperti Paulus dan Barnabas, para penatua mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Mereka menguatkan rakan seiman melalui kata-kata. Mereka juga rela mengutamakan kepentingan sidang dan bukannya keselesaan sendiri.​—Flp. 2:3, 4.

20. Apakah manfaatnya jika kita membaca laporan tentang kerja keras saudara saudari yang setia?

20 Apabila Paulus dan Barnabas pulang ke tempat tinggal mereka di Antiokhia di Siria, mereka menceritakan ‘banyak perkara yang sudah dilakukan oleh Tuhan melalui mereka, dan bahawa Tuhan sudah membuka jalan supaya orang daripada bangsa lain pun dapat beriman kepada Yesus.’ (Kis. 14:27) Apabila kita membaca tentang kerja keras saudara saudari dan bagaimana Yehuwa memberkati usaha mereka, kita akan digalakkan untuk terus ‘bercakap dengan berani dengan kuasa Yehuwa.’

a Lihat kotak “ Ikonium​—Kota Orang Frigia.”