Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan

Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan

Penginjil Kerajaan Tuhan yang Dikasihi,

Bayangkan anda salah seorang rasul yang berdiri di Gunung Zaitun. Yesus muncul di hadapan anda. Sebelum dia naik ke syurga, dia kata, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Apakah perasaan anda apabila mendengar hal itu?

Mungkin anda berasa risau apabila memikirkan betapa beratnya tugasan itu. Barangkali anda fikir, “Bagaimanakah kami, sekumpulan kecil pengikut Yesus, dapat menginjil ‘sampai ke hujung bumi’?” Anda juga mungkin ingat amaran Yesus pada malam sebelum kematiannya: “Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Jika mereka telah mematuhi ajaranku, mereka akan mematuhi ajaran kamu juga. Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Mereka akan melakukan semua ini terhadap kamu kerana namaku, dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus aku.” (Yoh. 15:20, 21) Semasa memikirkan kata-kata ini, anda mungkin tanya diri, “Jika saya menghadapi penganiayaan dan tentangan, bagaimanakah saya dapat memberikan kesaksian yang menyeluruh?”

Hari ini sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita diberikan tugasan untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh “sampai ke hujung bumi,” dan kepada orang daripada “semua bangsa.” (Mat. 28:19, 20) Jadi, bagaimanakah kita dapat melaksanakan kerja ini, terutamanya semasa menghadapi penganiayaan yang dinubuatkan Yesus?

Buku Kisah Para Rasul menceritakan kepada kita bagaimana para rasul dan rakan seiman pada abad pertama M dapat melaksanakan tugasan mereka dengan bantuan Yehuwa. Bahan bacaan ini disediakan untuk membantu anda memeriksa dan merasai betapa menariknya peristiwa yang dicatatkan dalam buku Kisah. Anda akan kagum melihat persamaan antara umat Tuhan pada abad pertama dengan umat-Nya hari ini. Anda juga akan lihat bahawa persamaannya bukan hanya tentang kerja yang kita buat, tetapi juga cara kita diorganisasikan untuk melakukan kerja itu. Apabila merenungkannya, sudah pasti anda akan semakin percaya bahawa Tuhan Yehuwa masih terus membimbing bahagian organisasi-Nya di bumi.

Kami berdoa dan berharap bahawa apabila anda mengkaji buku Kisah, anda akan semakin yakin Yehuwa akan membantu anda dan kuasa suci-Nya akan menyokong anda. Semoga anda terus “memberikan kesaksian yang menyeluruh” tentang Kerajaan Tuhan dan membantu orang lain menempuh haluan yang menuju penyelamatan.​—Kis. 28:23; 1 Tim. 4:16.

Saudara-saudara anda,

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa