Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 2

Firdaus Hilang

Firdaus Hilang

Satu malaikat pemberontak mempengaruhi pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa untuk menolak pemerintahan Tuhan. Inilah permulaan dosa dan kematian

LAMA sebelum manusia diciptakan, Tuhan telah menciptakan makhluk-makhluk roh yang tidak dapat dilihat. Mereka dipanggil malaikat. Salah satu malaikat telah memberontak, dan dia kemudiannya dikenali sebagai Syaitan Si Iblis. Di Taman Eden, malaikat yang licik ini telah menggoda Hawa untuk memakan buah yang dilarang oleh Tuhan.

Dengan menggunakan seekor ular untuk bercakap kepada Hawa, Syaitan menyusupkan idea bahawa Tuhan enggan memberikan sesuatu yang amat berharga kepada Hawa dan suaminya. Malaikat ini memberitahu Hawa bahawa dia dan suaminya tidak akan mati jika mereka makan buah yang dilarang oleh Tuhan. Maka, Syaitan melontarkan tuduhan bahawa Tuhan telah membohongi anak-anak-Nya di bumi. Penipu ini menggoda mereka untuk mempercayai bahawa keingkaran kepada Tuhan adalah sesuatu yang manis dijamah dan akan membawa kebebasan serta memberi mereka ilmu yang istimewa. Tetapi, hal ini adalah suatu dusta, iaitu dusta pertama di bumi. Isu sebenar yang diungkit melibatkan kedaulatan Yehuwa, atau kedudukan-Nya sebagai Pemerintah Yang Tertinggi. Hal ini bermaksud bahawa Syaitan telah mempertikaikan sama ada Tuhan berhak memerintah manusia, dan sama ada pemerintahan-Nya adalah adil dan mengutamakan kepentingan rakyat-Nya.

Hawa mempercayai tipu muslihat Syaitan. Hawa mula memasang hasrat untuk memakan buah itu, dan akhirnya dia telah makan buah itu. Kemudian, dia memberikan buah itu kepada suaminya, dan dia juga makan buah itu. Maka, mereka menjadi pendosa. Walaupun apa yang dilakukan oleh mereka nampaknya remeh, perbuatan mereka menunjukkan keingkaran mereka. Oleh sebab Adam dan Hawa telah sengaja memilih untuk mengingkari perintah Tuhan, mereka menunjukkan bahawa mereka menolak pemerintahan Pencipta yang telah mengurniakan mereka dengan segala-galanya, termasuklah kehidupan mereka yang sempurna.

Benih itu “akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumitnya.”Kejadian 3:15, NW

Tuhan menjatuhkan hukuman mati atas pemberontak-pemberontak itu. Dia menubuatkan kedatangan seorang Penyelamat, atau Benih yang akan membinasakan Syaitan, iaitu individu di sebalik ular itu. Tuhan menangguhkan hukuman itu untuk suatu jangka masa. Dengan berbuat demikian, Tuhan memperlihatkan belas kasihan-Nya kepada anak-anak Adam dan Hawa yang masih belum dilahirkan. Maka, anak cucu mereka mempunyai harapan kerana Penyelamat yang bakal diutus Tuhan akan membatalkan kesan-kesan buruk akibat pemberontakan yang berlaku di Taman Eden. Bagaimanakah hal ini boleh menjadi kenyataan? Siapakah Penyelamat ini? Perkara-perkara ini disingkapkan secara beransur-ansur seraya Bible ditulis.

Tuhan menghalau Adam dan Hawa keluar dari Firdaus. Oleh itu, mereka terpaksa berjerih lelah untuk mengusahakan tanah bagi mencari rezeki di luar Taman Eden. Hawa kemudiannya menjadi hamil dan melahirkan Kain, anak sulung mereka. Mereka juga mempunyai anak lelaki dan anak perempuan yang lain, termasuk Habel dan Set, iaitu nenek moyang kepada Nuh.

—Berdasarkan Kejadian bab 3 hingga bab 5; Wahyu 12:9.