Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 10

Salomo—Pemerintah yang Bijaksana

Salomo—Pemerintah yang Bijaksana

Yehuwa mengurniakan kebijaksanaan kepada Raja Salomo; semasa pemerintahan Salomo, umat Israel menikmati kedamaian dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya

DAPATKAH anda bayangkan kehidupan di sebuah negara yang mana raja dan semua rakyatnya mengakui Yehuwa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat dan mentaati hukum-hukum-Nya? Hidup sebegini digambarkan melalui pemerintahan Raja Salomo yang menjangkau masa 40 tahun.

Sebelum Daud meninggal, dia melantik anaknya, Salomo sebagai pewaris takhtanya. Melalui sebuah mimpi, Tuhan menjemput Salomo untuk membuat satu permintaan. Salomo memohon kebijaksanaan dan pengetahuan agar dia dapat mengadili rakyatnya dengan bijak dan saksama. Yehuwa senang hati dengan permintaan Salomo lalu mengurniakan kebijaksanaan dan pengertian kepadanya. Yehuwa juga berjanji untuk memberi Salomo kekayaan, kemuliaan, dan umur yang panjang jika dia terus mentaati-Nya.

Salomo menjadi terkenal kerana dia mengadili orang dengan bijak. Pernah sekali, dua orang wanita bertengkar kerana masing-masing mendakwa bahawa mereka merupakan ibu kepada bayi lelaki yang sama. Salomo mengarahkan bayi itu dibelah dua, dan satu bahagian diberikan kepada setiap wanita. Wanita yang pertama bersetuju, tetapi ibu sebenar bayi itu merayu supaya bayi itu diberikan kepada wanita yang pertama. Maka, Salomo tahu bahawa wanita yang berbelas kasihan itu merupakan ibu sebenar bayi tersebut. Salomo menyerahkan bayi itu kepadanya. Tidak lama selepas itu, berita tentang cara Salomo mengadili kes ini tersebar ke seluruh Israel. Mereka sedar bahawa Salomo memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan.

Salah satu pencapaian Salomo yang terunggul ialah pembinaan Rumah Yehuwasebuah bangunan indah di Yerusalem yang menjadi pusat penyembahan umat Israel. Semasa upacara pentahbisan Rumah Tuhan, Salomo berdoa, “Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina!”1 Raja-Raja 8:27.

Nama baik Salomo tersebar ke negeri-negeri lain termasuklah negeri Syeba, sebuah negeri yang terletak di tanah Arab. Ratu negeri Syeba telah mengembara dari jauh untuk melihat kemuliaan dan kekayaan Salomo serta menguji kebijaksanaannya. Kebijaksanaan Salomo dan kemakmuran rakyat Israel mempesonakan ratu Syeba. Maka, dia terdorong untuk memuji Yehuwa kerana menabalkan seorang raja yang begitu bijaksana. Sememangnya, dengan berkat Yehuwa, pemerintahan Salomo merupakan pemerintahan yang paling makmur dan aman dalam sejarah orang Israel kuno.

Malangnya, Salomo gagal untuk terus hidup berpandukan kebijaksanaan Yehuwa. Dia tidak menghiraukan perintah Tuhan dan berkahwin dengan ratusan wanita, termasuk mereka yang menyembah tuhan-tuhan palsu. Lama-kelamaan, isteri-isteri Salomo berjaya mempengaruhinya untuk meninggalkan Yehuwa dan menyembah berhala. Yehuwa memberitahu Salomo bahawa sebahagian besar daripada kerajaannya akan dirampas daripadanya. Hanya sebahagian kecil daripada kerajaan tersebut akan menjadi warisan keluarganya kerana Tuhan telah membuat perjanjian dengan Daud, bapa Salomo. Walaupun Salomo telah meninggalkan Yehuwa, Yehuwa masih tetap setia kepada Perjanjian Kerajaan yang telah dibuat-Nya dengan Daud.

Berdasarkan 1 Raja-Raja bab 1 hingga bab 11; 2 Tawarikh bab 1 hingga bab 9; Ulangan 17:17.