Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 15

Nabi dalam Pembuangan Mendapat Penglihatan Masa Hadapan

Nabi dalam Pembuangan Mendapat Penglihatan Masa Hadapan

Daniel bernubuat tentang Kerajaan Tuhan dan kedatangan Mesias. Babilon ditawan

DANIEL, seorang pemuda yang mempunyai integriti yang menakjubkan, telah dibuang negeri ke Babilon sebelum Yerusalem dibinasakan. Dia dan beberapa orang Yahudi lain, yang merupakan orang buangan dari kerajaan Yehuda yang telah dibinasakan, diberikan banyak kelonggaran oleh penawan mereka. Sepanjang hayatnya yang panjang di Babilon, Daniel dicucuri berkat Tuhan; dia terselamat daripada maut apabila dicampakkan ke dalam lubang singa dan dia diberi penglihatan-penglihatan yang membolehkannya melihat apa yang bakal berlaku jauh di masa hadapan. Nubuat-nubuat Daniel yang terpenting berpusatkan Mesias dan pemerintahannya.

Daniel mendapat tahu bila Mesias akan datang. Daniel diberitahu bila umat Tuhan akan dapat melihat ketibaan Mesias atau “pemimpin yang dipilih oleh [Tuhan]”7 kali 69 tahun selepas perintah dikeluarkan untuk memulihkan dan membina semula tembok Yerusalem. Perintah itu dikeluarkan lama selepas Daniel telah meninggal, iaitu pada tahun 455 SM. Bermula dari tahun itu, 7 kali 69 tahun, atau 483 tahun, akan berlalu. Jangka masa ini berakhir pada tahun 29 M. Di dalam bab seterusnya, kita akan belajar tentang apa yang telah berlaku pada tahun itu. Daniel juga diberitahu bahawa Mesias “akan dibunuh,” untuk menebus dosa-dosa manusia.Daniel 9:24-26.

Mesias akan menjadi Raja di syurga. Dalam suatu penglihatan luar biasa yang menunjukkan syurga, Daniel nampak Mesias, yang dipanggil seseorang “seperti manusia,” mendekati takhta Yehuwa. Yehuwa menganugerahkannya “kuasa, kehormatan, dan kedaulatan.” Kedaulatan ini akan dipamerkan oleh Yesus yang memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Kerajaan yang diperintahnya akan wujud selama-lamanya. Daniel mengetahui satu lagi butiran yang menarik tentang Kerajaan Mesias—Pemerintahan Kerajaan tersebut akan dikongsi oleh Raja Kerajaan tersebut dengan orang lain, iaitu sekumpulan orang yang dipanggil “umat [Tuhan] Yang Maha Tinggi.”Daniel 7:13, 14, 27.

Kerajaan Mesias akan menghapuskan semua kerajaan di bumi. Tuhan mengurniai Daniel kebolehan untuk mentafsir mimpi yang telah membingungkan Raja Nebukadnezar, iaitu raja Babilon. Raja itu telah bermimpi tentang sebuah patung yang sangat besar. Kepala patung itu dibuat daripada emas tulen; dada dan lengannya daripada perak; pinggang dan pinggulnya daripada gangsa; paha dan betisnya daripada besi, sedangkan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi daripada tanah liat. Kemudian sebuah batu yang dipahat keluar daripada sebuah gunung menimpa kaki patung tersebut lalu menghancurkan patung itu sehingga dijadikan serbuk. Daniel menjelaskan bahawa bahagian-bahagian yang berlainan pada patung ini mewakili turutan kuasa dunia, bermula dengan kuasa Babilon sebagai kepala patung yang dibuat daripada emas. Tuhan memberitahu Daniel bahawa Kerajaan-Nya akan mengambil tindakan semasa pemerintahan kuasa dunia yang terakhir. Kerajaan Tuhan akan menghancurkan semua kerajaan lain di bumi. Selepas itu, Kerajaan Tuhan akan memerintah untuk selama-lamanya.Daniel, bab 2.

Apabila Daniel sudah sangat tua, dia menjadi saksi kepada kejatuhan kuasa Babilon. Seperti yang dinubuatkan, Raja Kores telah menawan kota itu. Tidak lama selepas itu, orang Yahudi dibebaskan daripada menjadi orang buangan di Babilon. Hal ini berlaku tepat pada waktunya, seperti yang dinubuatkan, iaitu 70 tahun selepas kemusnahan tanah air mereka. Di bawah bimbingan gabenor, imam, dan nabi yang setia, orang Yahudi akhirnya membina semula Yerusalem dan memulihkan Rumah Yehuwa. Tetapi, apakah yang akan berlaku selepas tamatnya tempoh 483 tahun itu?

Berdasarkan buku Daniel.