Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 17

Yesus Mengajar tentang Kerajaan Tuhan

Yesus Mengajar tentang Kerajaan Tuhan

Yesus mengajar murid-muridnya banyak perkara, tetapi dia menumpukan perhatiannya pada satu tema sahajaKerajaan Tuhan

APAKAH kerja khas yang dilakukan oleh Yesus di bumi? Yesus sendiri berkata, ‘Berita baik tentang bagaimana Tuhan memerintah [‘Kerajaan Tuhan,’ nota kaki] harus aku khabarkan kerana Tuhan mengutus aku untuk melakukan tugas itu.’ (Lukas 4:43) Kerajaan Tuhan merupakan tema utama kerja penyebaran Yesus. Mari kita bincangkan empat perkara yang diajarkan olehnya tentang Kerajaan itu.

1. Yesus akan menjadi Raja. Secara terus terang, Yesus telah mengatakan bahawa dialah Mesias yang telah dijanjikan. (Yohanes 4:25, 26) Dia juga menunjukkan bahawa dialah Raja yang dilihat oleh Nabi Daniel dalam penglihatannya. Yesus memberitahu rasul-rasulnya bahawa pada suatu hari nanti, dia akan duduk di atas “takhtanya yang mulia,” dan mereka akan duduk di atas takhta-takhta juga. (Matius 19:28) Dia memanggil kumpulan pemerintah yang ‘kecil bilangannya’ sebagai “kawanan kecil,” dan mengatakan bahawa dia mempunyai ‘biri-biri lain,’ yang bukan sebahagian daripada kumpulan ini.Lukas 12:32; Yohanes 10:16.

2. Kerajaan Tuhan akan membawa keadilan yang sejati. Semenjak pemberontakan yang berlaku di Taman Eden, nama Yehuwa telah diaibkan dengan teruknya oleh Syaitan. Yesus menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan akan melenyapkan ketidakadilan yang paling besar ini dengan menyucikan nama Tuhan Yehuwa, dan membersihkan segala penghinaan yang telah dilemparkan oleh Syaitan ke atas nama Tuhan. (Matius 6:9, 10) Yesus juga menunjukkan keadilan tiap-tiap hari dengan mengajar semua orang, tanpa mengira lelaki atau wanita, tua atau muda. Walaupun kerja utama Yesus adalah untuk mengajar orang Israel, dia juga menghulurkan bantuan kepada orang Samaria dan orang bukan Yahudi. Tidak seperti pemimpin agama yang hidup sezaman dengannya, dia langsung tidak menunjukkan sifat berat sebelah atau pilih kasih.

3. Kerajaan Tuhan tidak akan menjadi sebahagian daripada dunia ini. Yesus hidup semasa pergolakan politik yang teruk berlaku di tanah airnya. Tanah airnya berada di bawah cengkaman kuasa asing. Namun, apabila orang cuba melibatkannya dalam hal-ehwal politik, dia mengundur diri. (Yohanes 6:14, 15) Dia memberitahu seorang ahli politik, “Pemerintahanku bukan dari dunia ini.” (Yohanes 18:36) Dia memberitahu pengikut-pengikutnya, “Kamu sekarang bukan lagi milik dunia.” (Yohanes 15:19) Dia tidak membenarkan mereka untuk menggunakan senjata api, walaupun untuk mempertahankannya.Matius 26:51, 52.

“Yesus menjelajah kota dan pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik.”Lukas 8:1

4. Pemerintahan Kristus akan berasaskan kasih. Yesus telah berjanji bahawa dia akan menyegarkan orang dan meringankan beban mereka. (Matius 11:28-30) Dia mengotakan janjinya dengan memberikan nasihat yang praktikal, sesuai untuk diamalkan, dan didasarkan pada kasih. Dia membantu orang menangani kekhuatiran hidup, memperbaik hubungan sesama manusia, melawan sikap mementingkan kebendaan, dan mencari kebahagiaan. (Matius, bab 5-7) Oleh sebab Yesus menunjukkan kasih, orang daripada semua latar belakang mendapati bahawa dia mudah dihampiri. Bahkan mereka yang paling tertindas pun datang secara berduyun-duyun kepada Yesus dengan keyakinan bahawa dia akan menjaga maruah mereka dan melayan mereka dengan baik. Alangkah baiknya jika Yesus menjadi Pemerintah kita!

Terdapat satu lagi cara yang sangat berkesan yang digunakan oleh Yesus untuk mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. Dia melakukan banyak mukjizat. Mengapakah Yesus telah berbuat demikian? Marilah kita lihat jawapannya.

—Berdasarkan bukuMatius, Markus, Lukas, dan Yohanes.