Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 19

Nubuat Yesus Memberi Kesan kepada Seluruh Dunia

Nubuat Yesus Memberi Kesan kepada Seluruh Dunia

Yesus menggariskan ciri-ciri yang menandakan kehadirannya sebagai raja dan ciri-ciri yang menandakan penghujung sistem dunia ini

ATAS Bukit Zaitun, iaitu dengan menjamu mata pada pemandangan Yerusalem yang indah permai dan Rumah Tuhan di sana, empat orang rasul Yesus menanyakannya secara peribadi tentang apa yang telah dikatakannya sebelum ini. Yesus baru memberitahu mereka bahawa Rumah Tuhan di Yerusalem akan dimusnahkan. Sebelum itu, dia telah memberitahu mereka tentang penghujung sistem ini. (Matius 13:40, 49) Sekarang, rasul-rasul Yesus bertanya, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?”Matius 24:3, NW.

Dalam jawapan Yesus, dia memberitahu mereka apa yang akan berlaku sebelum Yerusalem dimusnahkan. Tetapi, kata-kata Yesus membawa maksud yang lebih mendalam. Nubuatnya akan menjadi kenyataan dalam cara yang lebih luas yang mencakup seluruh dunia. Yesus telah bernubuat tentang pergabungan peristiwa dan keadaan dunia yang akan membentuk satu tanda. Tanda ini akan menunjukkan kepada mereka di bumi bahawa kehadiran Yesus sebagai Raja di syurga telah bermula. Dalam erti kata lain, tanda ini akan menunjukkan bahawa Tuhan Yehuwa telah menjadikan Yesus Raja Kerajaan Mesias yang telah lama dijanjikan. Tanda ini menunjukkan bahawa, tidak lama lagi, Kerajaan Mesias akan membasmi kejahatan dan membawa keamanan sejati kepada umat manusia. Perkara-perkara yang telah dinubuatkan oleh Yesus akan menandakan hari-hari terakhir bagi sistem dunia yang lama ini. Sistem keagamaan, politik, dan sosial yang wujud sekarang akan berakhir dan sistem dunia yang baru akan bermula!

Yesus menjelaskan apa yang akan berlaku di bumi semasa kehadirannya sebagai Raja di syurga. Dia berkata bahawa peperangan peringkat antarabangsa akan berlaku, makanan tidak akan mencukupi, gempa-gempa bumi akan berlaku, dan penyakit-penyakit akan menular. Kejahatan akan berleluasa. Murid-murid sejati Yesus akan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan di seluruh dunia. Semua perkara di atas akan mencapai puncaknya pada ‘kesengsaraan besar’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini.Matius 24:21.

Bagaimanakah pengikut-pengikut Yesus akan tahu bahawa ‘kesengsaraan besar’ sudah dekat? “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu,” kata Yesus. (Matius 24:32) Percambahan daun pada pokok ara jelas menunjukkan bahawa musim panas sudah dekat. Dalam cara yang sama, kejadian semua perkara yang telah dinubuatkan oleh Yesus, dalam suatu tempoh yang tertentu, jelas membuktikan bahawa akhir sistem dunia ini sudah dekat. Selain daripada Tuhan, tidak ada sesiapa pun mengetahui secara tepat bila kesengsaraan besar akan bermula. Oleh itu, Yesus menggalakkan murid-muridnya, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya.”Markus 13:33.

—Berdasarkan Matius bab 24 dan bab 25; Markus bab 13; Lukas bab 21.

^ per. 14 Untuk perbincangan lanjut tentang nubuat Yesus, lihat bab 9, buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.