Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 21

Yesus Hidup Semula!

Yesus Hidup Semula!

Yesus menampakkan diri kepada pengikut-pengikutnya untuk memberi mereka arahan dan galakan

PADA hari ketiga selepas kematian Yesus, beberapa orang wanita yang merupakan pengikutnya mendapati bahawa batu penutup pintu makam Yesus telah digulingkan ke tepi. Malah, makam Yesus didapati kosong!

Dua malaikat muncul. “Kamu mencari Yesus orang Nasaret,” kata satu malaikat. “Dia sudah dibangkitkan!” (Markus 16:6) Tanpa membuang masa, wanita-wanita itu berlari untuk memberitahu rasul-rasul Yesus apa yang telah berlaku. Dalam perjalanan mereka, mereka menemui Yesus. “Janganlah takut,” kata Yesus. “Pergilah beritahu saudara-saudaraku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat aku.”Matius 28:10.

Kemudian, pada hari itu juga, semasa dua orang pengikut Yesus berada dalam perjalanan dari Yerusalem ke kampung Emaus, seorang lelaki yang tidak dikenali mereka menyertai mereka dan bertanya tentang perbualan mereka. Sebenarnya, lelaki itu ialah Yesus yang telah dibangkitkan, dan dia menampakkan diri kepada mereka dengan menggunakan tubuh yang tidak dikenali mereka. Dengan pilu, mereka menjawab bahawa mereka sedang berbual tentang Yesus. Lelaki itu mula menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan Mesias seperti yang terkandung dalam Bible. Sememangnya, nubuat-nubuat tentang Mesias menjadi kenyataan dalam diri Yesus sehingga ke butir yang terkecil. * Apabila pengikut-pengikut itu sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus yang telah dibangkitkan sebagai makhluk roh, Yesus menghilangkan diri.

Dengan serta-merta, kedua-dua orang pengikut itu berpatah balik ke Yerusalem. Di sana, mereka menjumpai rasul-rasul Yesus yang sedang berkumpul di dalam sebuah bilik terkunci. Semasa kedua-dua orang pengikut itu sedang menceritakan pengalaman mereka, Yesus muncul di hadapan mereka. Pengikut-pengikutnya terpegun! Mereka tidak mempercayai apa yang dilihat. “Mengapa hati kamu ragu-ragu?” tanya Yesus. “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh [Tuhan] mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga.”Lukas 24:38, 46.

Selama 40 hari selepas pembangkitannya, Yesus menampakkan diri kepada pengikutnya pada kesempatan-kesempatan yang berlainan. Pernah sekali, dia menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang pengikutnya! Mungkin pada kesempatan itu, dia telah memberi mereka tugas yang penting ini: “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikutku. . . . Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah aku perintahkan. Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.”Matius 28:19, 20.

Pada perjumpaan Yesus yang terakhir dengan 11 orang rasulnya yang setia, Yesus berjanji, “Kamu akan menerima kuasa, apabila roh [Tuhan] datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksiku . . . sampai ke hujung bumi.” (Kisah 1:8) Selepas itu, seraya mereka sedang menyaksikan kenaikan Yesus ke syurga, kepulan awan menyembunyikan Yesus daripada pandangan mereka.

—Berdasarkan Matius bab 28; Markus bab 16; Lukas bab 24; Yohanes bab 20 dan bab 21; 1 Korintus 15:5, 6.

^ per. 6 Bagi contoh-contoh nubuat Mesias yang digenapi dalam diri Yesus, lihat Bahagian 14, Bahagian 15, dan Bahagian 16 brosur ini, termasuk bahagian lampiran “Yesus Kristus—Mesias yang Dijanjikan,” buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?